C-3-16, BBS

Bab 7

Sampai kat bilik, aku nampak Aliya masih kat atas katil, baca Al-Quran. Aku duduk kat tepi Aliya. Aliya berhenti membaca Al-Quran. Dia tutup Al-Quran. Dia pandang aku.

“Kenapa?” tanyanya bila tengok muka aku lain macam.

“Takde apa,” sahutku.

“Aku kenal kau dah lama Sue,” kata Aliya. Aku diam je.

“Jom solat Isya’ sama-sama,” kata Aliya. Aku mengangguk.

“Aku pergi ambil wudhu dulu,” kataku sambil bangun dan melangkah keluar dari bilik.

Aku melangkah perlahan keluar dari bilik. Aku kena lalu kat ruang tamu untuk ke dapur dan bilik air. Aku menjenguk ke tempat Kak Piah duduk tadi. Kak Piah masih di situ, pandang aku, bukan tengok tv. Dia tak cakap apa-apa, cuma pandang aku dengan pandangan tajam. Aku tak tegur dia pun, aku jalan je terus ke bilik air. Tapi aku tahu Kak Piah masih pandang aku.

Aku ambil wudhu selepas pandang ke sekeliling bilik air. Pintu bilik air rumah ni adalah pintu sliding. Perlu ditarik ke kiri atau ke kanan untuk tutup dan buka pintu tu.

Sebaik aku selesai ambil wudhu, aku tarik pintu bilik air dan Kak Piah berdiri di sana, memandang aku. Dengan rambutnya yang putih dan kusut masai. Aku tundukkan muka aku. ‘Astaghfirullah al-azim’ bisikku perlahan. Dan bila aku angkat muka aku kembali, Kak Piah tiada di situ.

Aku melangkah ke bilik, dan masih perlu lalu di ruang tamu. Kak Piah masih di situ, memandang aku tanpa sepatah kata. Aku pun berlalu ke bilik, juga tanpa sepatah kata. Walaupun jantung aku berdegup bagai nak meletup.

Aku masuk ke bilik, dan terus tutup pintu bilik. Aliya pandang aku.

“Kenapa kau kelam kabut ni Sue?” Aliya tanya. Aku cuma gelengkan kepala tanda tiada apa. Aku tak tahu macammana nak beritahu Aliya. Aku taknak dia takut. Cukuplah aku seorang takut. Kalau kami dua-dua takut, nanti kekuatan kami hilang.

Kami berjemaah solat isya’. Selesai solat, jam dah pukul 9.45 malam.

“Kau taknak makan ke Aliya? Nanti kau lapar,” kataku. Aku memang risaukan dia. Kalau boleh, biarlah kami berdua sihat dalam seminggu dua ni. Janganlah ada yang sakit.

“Kau tahu tak kenapa aku tak jadi basuh baju tadi?” Aliya tanya aku tanpa jawab soalan aku.

“Kan kau kata nak basuh pagi esok sekali dengan baju yang kita pakai ni,” sahutku. Aliya gelengkan kepala dia.

“Habis tu?” tanyaku lagi.

“Bila aku buka mesin basuh tu, ada kain putih kat dalamnya. Dan bau busuk ya amat, macam bau bangkai. Kain putih tu macam dah lusuh, ada kesan selut yang dah lama,” kata Aliya.

“Kenapa kau tak tanya Kak Piah? Kot itu kain dia ke? Atau sesiapa yang basuh kain tapi terlupa nak sidai atau keluarkan dari mesin tu?” tanyaku.

“Kalau betul pun kain tu milik orang, takkan bau macam tu. Dengan selut macam tanah kubur je,” kata Aliya membuatkan aku terdiam dan meremang bulu roma.

“Kenapa muka kau lain macam je masuk ke bilik ni sebelum solat isya’ tadi?” Aliya tanya aku.

“Hmmm…. Susah aku nak cakap.” Sahutku.

“Cakap je la. Kau nampak sesuatu yang pelik pada Kak Piah kan?” Aliya tanya aku.

“Haah. Aku duduk kat belakang dia, aku nampak rambutnya panjang berleret ke lantai dan dia pakai baju putih. Baunya busuk macam bangkai. Dan aku nampak sesuatu yang bergerak dalam bilik dia. Mungkin sebab tadi kita dah pulas tombol pintu bilik dia tapi lepas tu tak tutup rapat. Benda tu macam tinggi tapi aku tak nampak jelas. Bila aku cuba tengok, pintu tu tertutup kuat macam ada orang tolak dari dalam,” kataku menceritakan kepada Aliya.

Tapi Aliya nampak tenang je.

“Esok kan kita plan nak keluar jalan-jalan? Jangan beritahu Kak Piah tau. Kita ada kunci. Esok lepas dia pergi kerja, baru kita keluar,” kata Aliya.

“Kalau Kak Piah tanya?” tanyaku semula.

“Kata je belum rancang apa-apa,” kata Aliya. Aku anggukkan kepala.

Aliya ambil telefon, dan mendail nombor. “Kau nak telefon siapa?” Aku tanya. “Aku nak telefon Maksu aku,” sahut Aliya. Aku diam.

Lepas beberapa kali cuba mendail, Aliya letak telefon. “Kenapa?” aku tanya. “Entah, takde bunyi apa pun. Aku dah try lima kali, sama je bunyinya macam angin je.” Kata Aliya.

Aku capai telefon aku. Cuba dail nombor telefon mak aku. Sekali, dua kali, hingga tujuh kali. Sama macam Aliya, tiada bunyi.

“Kak Piah kata, kat sini memang signal tak berapa elok,” kataku memujuk Aliya dan hati sendiri.

“Kalau iye pun tak elok, at least operator akan kata nombor tak dapat dihubungi ke atau yang macam biasa kita dengar tu. Takdelah bunyi angin je,” kata Aliya.

“Takpelah, kita tidur dulu. Esok kita keluar, kita cuba call dari luar pulak,” kata aku.

Aliya berbaring kat katil satu lagi kat bilik aku. Aku pula berbaring kat katil aku. Dengan lampu masih berpasang.

Tiba-tiba kami terdengar bunyi suara perempuan ketawa mengilai, macam dalam cerita hantu tu, bunyi pontianak mengilai masa dia terbang. Bunyi tu datangnya dari arah ruang tamu. Aku dan Aliya dah buat muka cuak.

“Bunyi apa tu Sue?” Aliya tanya aku.

“Tadi Kak Piah tengah tengok cerita Pontianak. Bunyi dari tv dia kot,” kataku memujuk hati.

Tapi bunyi tu makin kuat, seperti makin menghampiri bilik kami. Aku dan Aliya masing-masing dah menggeletar kat katil. Nak bergerak pun tak berani dah.

Kami melompat terkejut bila pintu bilik kami terbuka. Kak Piah tercongok kat muka pintu. Aku dan Aliya terus bangun.

“Eh, nak tidur dah? Awalnya tidur,” katanya Kak Piah sambil melangkah masuk ke bilik kami.

“Kami dah biasa kat kampung memang tidur awal,” aku menjawab sambil aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri.

Kak Piah berjalan mundar mandir di bilik kami sambil matanya melilau melihat keliling bilik.

“Kak Piah nak cari apa-apa ke?” Aliya bertanya.

“Takde apa. Nak tengok kamu berdua ok ke tak je. Aliya taknak makan ke? Nanti perut masuk angin pula,” kata Kak Piah tanpa memandang Aliya.

“Takde rasa lapar Kak Piah. Mungkin sebab beralih tempat kot,” sahut Aliya.

“Kak Piah, kami biar lampu berpasang, takpe kan?” tanyaku.

“Takpe. Biarlah berpasang kalau kamu nak. Macam Kak Piah, Kak Piah tak boleh tidur kalau cerah,” kata Kak Piah.

Kami diam dan Kak Piah keluar dari bilik. Masa dia nak tutup pintu bilik, dia memandang kami berdua sambil tersenyum tapi pandangannya amat tidak menyenangkan hati kami. Sebaik sahaja pintu tertutup, aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri, tiada patah kata yang kami dapat zahirkan.

“Dah, jom kita tidur.” Aku terus baring dan menyelimutkan badan aku. Begitu juga Aliya.

Aku tersedar bila terdengar bunyi seperti rantai diseret. Aku angkat kepala. Aku tengok Aliya sedang tidur. Aku perhatikan sekeliling, tiada sesiapa. Aku beranikan diri turun dari katil dan merapati Aliya. Aku kejutkan Aliya tapi Aliya tak bergerak pun. Selalunya Aliya mudah terjaga dari tidur.

“Aliya, Aliya, bangun,” panggilku sambil menggerakkan badan Aliya. Namun Aliya tetap tidur. Bunyi rantai diseret tu makin kuat, seperti berada di luar bilik aku. Bunyi tu seakan mundar mandir ke kiri dan ke kanan. Aku dah cuak. Aku tengok jam pukul 2 pagi. Aku terus goncang badan Aliya tapi Aliya tetap tak bergerak.

Tak lama lepas tu, bunyi rantai diseret tu berhenti, betul-betul kat depan pintu bilik aku. Aku naik atas katil Aliya, masuk bawah selimut Aliya dan berbaring bersamanya. Sedang aku menggeletar di bawah selimut, aku dengar bunyi pintu bilik aku diketuk kuat, bertalu-talu. Allahu Akbar. Aku menggeletar sampai menangis. Dah la Aliya taknak bangun, kat luar tu entah apa benda yang menunggu. Mujurlah lampu terpasang. Kalau tak, mahu aku terkencing kat situ.

Aku biarkan bunyi ketukan pintu yang bertalu talu tu. Aku peluk Aliya tapi aku rasa badan Aliya sejuk je, macam ikan yang baru dikeluarkan dari peti ais. Aku pelik juga, sebab Aliya tak bergerak langsung.

Tiba-tiba aku dengar bunyi pintu bilik aku terbuka. Aku diam tak bergerak. Selimut Aliya agak nipis, dan dengan suasana bilik tu yang agak cerah, aku dapat lihat satu lembaga yang agak tinggi berwarna hitam legam, kurus dan kepalanya mencecah siling. Dia bergerak sambil menyeret kakinya yang seperti diikat dengan rantai.

Dia berjalan mundar mandir di bilik aku. Dan aku dapat dengar bunyi rengusan yang agak kuat, seperti bunyi anjing yang sedang marah. Keadaan tu tak lama, lembaga itu kemudiannya berjalan keluar dari bilik aku. Di pintu bilik, aku nampak Kak Piah sedang berdiri dan memandang ke arah aku walaupun aku di bawah selimut.

Aku pejamkan mata. Dan aku terdengar bunyi pintu bilik aku ditutup perlahan. Dan selepas itu aku terasa seperti Aliya bergerak. Dia menyentuh tangan aku.

“Aliya, bangun. Aku takut,” kataku sambil bangun dan keluar dari bawah selimut. Belum sempat aku menoleh ke arah Aliya, aku terdengar bunyi pintu bilik aku diketuk lagi. Kali ni aku terdengar suara Aliya memanggil aku. Sayup sekali suaranya.

“Sue, buka pintu ni Sue.” Aku dengar jelas. Aku terus menoleh ke arah ‘Aliya’ yang sedang baring di atas katil. Terkejutnya aku bila yang berbaring di atas katil itu ialah seorang budak perempuan dengan rambut panjang sampai ke kaki, matanya hitam, badannya putih pucat. Dia mengangkat tangannya seperti nak menggapai aku tapi aku lari macam orang tak sedar diri. Aku buka pintu bilik dan Aliya berada di luar bilik, sedang menjerit dan menangis.

Sebaik sahaja aku buka pintu bilik, Aliya terus peluk aku. “Sue, aku rasa macam nak lari keluar dari rumah ni. Malam ni juga,” kata Aliya.

“Kau dari mana Aliya? Bukankah kau tidur kat bilik aku tadi?” tanyaku.

“Kan. Memang aku tidur kat bilik kau. Dan aku tersedar bila ada orang tarik kaki aku. Bila aku buka mata, aku nampak Kak Piah dengan rupa nenek tua yang aku cakap tu, sedang tarik dan kaki aku dan seret aku. Aku tak tahu nak buat apa, aku terus azan. Lepas tu dia hilang. Dan aku terus lari ke sini. Tapi pintu bilik kau tak boleh dibuka. Tu yang aku ketuk bertalu-talu,” kata Aliya.

“Jom kita keluar dari sini,” kataku mengajak Aliya.

“Dah tengah malam ni. Kita nak kemana?” tanya Aliya.

“Aku tak tahu, aku Cuma rasa macam aku nak keluar dari sini je,” sahutku.

“Kita tak biasa dengan kawasan sini dan kita pun tak tahu kita di mana sekarang ni. Mana tahu kalau kita keluar, keadaan makin teruk?” kata Aliya.

“Kau nak ikut, kau ikut. Aku tak peduli dah. Aku nak keluar,” kataku sambil melangkah ke arah ruang tamu untuk ke pintu utama.

Baru je beberapa langkah aku melangkah, tup! Lampu terpadam. Suasana jadi gelap gelita. Aku dan Aliya menjerit serentak.

“Nak pergi mana?” kami dengar suara garau seorang perempuan. Kami diam sambil berpelukan dalam kegelapan.

“Janganlah pergi. Aku sunyi kat sini,” suara itu bergema lagi. Aku terasa macam ada sesuatu yang sejuk meleret kat leher, tangan dan pipi aku. Aliya peluk aku sambil menangis teresak-esak.

“Kamu siapa? Kami tak ganggu kamu, kami tak cari pasal dengan kamu. Tolong lepaskan kami,” kataku memberanikan diri.

“Kamu tak ganggu aku, tapi aku mahu kami menemani aku. Aku kesunyian,” suara itu menjawab.

Aku menyentuh dinding. “Aliya, ikut aku. Jangan lepaskan tangan aku,” kataku sambil memegang kuat tangan Aliya. Aku melangkah perlahan menyusuri tepi dinding dan cuba mengingati laluan untuk ke pintu keluar rumah itu.

“Kamu tak boleh pergi tanpa izin aku,” kata suara perempuan itu lagi.

Aku tak menyahut, tapi aku terus meraba-raba dinding dan berjalan dengan kaki yang terketar-ketar dan degup jantung yang tak tentu arah. Aku akan berusaha untuk keluar dari rumah ni. Aku tekad. Aku dapat rasakan bahawa ada seseorang atau sesuatu yang bergerak mengeliling aku dan Aliya dari bunyi rengusan nafas yang agak kuat.

“Sue, aku takut,” aku dengar suara Aliya.

“Jangan takut. Allah ada bersama kita. Istighfar, jangan putus zikir. Aku tak tahu apa benda dalam rumah ni tapi aku pasti mereka tak sama alam dengan kita, tapi dia tetap hamba Allah,” kataku.

“Kamu tak boleh keluar. Kamu milik aku,” terdengar lagi suara perempuan tu.

“Kami milik Allah, kamu juga,” sahutku. Aku pun tak tahu dari mana datangnya keberanian tu. Betullah kata orang, bila kita terdesak, dan bila kita tiada tempat bergantung, kita akan mampu buat sesuatu yang kita tak pernah sangka bahawa kita mampu lakukan.

Ketika aku rasa aku dah sampai kat ruang tamu, tiba-tiba lampu terpasang. Suasana cerah semula. Aku dan Aliya pandang sekeliling. Kat pintu keluar, kami nampak Kak Piah sedang berdiri sambil tangannya memegang suis utama.

“Kenapa ni?” Kak Piah tanya kami.

– Bersambung –

One thought on “C-3-16, BBS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s