C-3-16, BBS

Bab 6

Aku merapati Aliya, aku sentuh bahunya perlahan. “Aliya, kenapa ni?” tanyaku lembut. Aliya tersentak dan terus membuka kain penutup mukanya. Dia pandang aku dan terus peluk aku sambil menangis.

“Kenapa ni?” tanyaku lagi.

Aliya menudingkan jarinya ke arah atas almari. Aku pandang, tiada apa kat sana.

“Takde apa kat sana,” kataku.

“Ada, ada orang kat atas sana,” kata Aliya masih menekupkan wajahnya ke bahu aku.

“Mana ada orang. Ni aku tengah tengok ni. Cuba kau tengok,” kataku memujuk. Aliya menoleh perlahan-lahan. Tiada siapa.

“Kan aku kata takde siapa kat sana,” kataku.

“Tadi ada perempuan rambut panjang berbaju putih. Dia duduk sambil juntaikan kaki ke bawah. Rambutnya pulak panjang sampai cecah lantai ni. Mukanya tak nampak sebab rambutnya tutup muka,” kata Aliya buatkan bulu roma aku yang baru nak turun lepas keluar dari bilik air tadi, naik semula.

“Biasalah Aliya, mak kita pun selalu kata, waktu maghrib ni syaitan berkeliaran. Mungkin masa ni Allah izinkan kau nampak mereka.” Pujukku lagi. Aliya berhenti menangis.

“Kau dah mandi ke?” tanyanya.

“Aku taknak mandi, aku sejuk. Tapi aku dah ambil wudhu. Sekejap lagi azan la ni. Kau pergilah ambil wudhu dulu. Jom aku temankan,” kataku, kononnya nak teman Aliya walhal aku pun takut nak tinggal kat bilik tu seorang diri.

Aliya bangun. Kami sama-sama melangkah keluar bilik dan menuju ke bilik air. Aku tunggu Aliya kat pintu bilik air, tapi tak rapat sangat, sebab aku terasa-rasa ada sesuatu kat atas pintu bilik air tu memerhatikan aku.

Sebaik sahaja Aliya keluar dari bilik air, terdengar azan maghrib berkumandang di udara. Kami jadi tenang semula. Padaku, laungan azan itu dah cukup mengingatkan aku bahawa Allah sentiasa bersama kami. Kekuatan aku datang semula.

Mak aku selalu pesan, kat dalam dunia ni, ada banyak lagi makhluk lain yang melata. Semua itu adalah makhluk ciptaan Allah. Kita nampak mereka dengan izin Allah, dan kita tak nampak mereka pun kerana dihijabkan oleh Allah. Apapun yang terjadi, kita kena ingat, segalanya dengan izin Allah. Bagaimana kita berusaha sehabis mungkin, jika Allah tak izinkan, tetap tak dapat. Tapi kalau Allah izinkan, ianya tetap hak kita.

Aku solat berjemaah bersama Aliya. Kami mohon agar Allah tunjukkan jalan di depan kami. Apa yang sedang kami lalui. Moga Allah lindungi kami. Lepas solat, Aliya pun nampak tenang sikit. Dia dah mula bersembang dengan aku.

“Sue, esok kita keluar naik bas nak? Kita saja-saja cuba naik bas, pergi ke chow kit ke, kita tengok suasana di KL. Selasa kita dah nak daftar kolej. Lepas tu kita akan sibuk kot. 15 haribulan dah start kerja.” Kata Aliya, masih duduk di atas sejadahnya.

“Ok juga tu,” kataku.

“Dah la, jom kita keluar. Tolong Kak Piah masak ke. Segan pulak rasanya kat Kak Piah. Sejak kita sampai sini, dia je yang masak dan sediakan makanan kat kita,” kataku sambil bangun dan menanggalkan kain telekung dan menggantungnya di penyidai.

“Sue, entah kenapa aku rasa Kak Piah tu macam ada sembunyikan sesuatu dari kita. Kau ada rasa yang sama macam aku tak?” tiba-tiba Aliya bertanya sambil dia turut sama mengemas telekung dan sejadahnya.

“Sembunyikan apa?” tanyaku semula. Sebenarnya aku lebih rasa pelik kat rumah ni berbanding Kak Piah.

“Entahlah, aku rasa macam Kak Piah tu bukan seperti apa yang kita lihat. Dia ada satu sisi lain yang kita tak kenal.” Kata Aliya lagi.

“Aku pula tak rasa pelik dengan Kak Piah, tapi aku pelik dengan rumah ni. Rumah ni macam ada orang lain di dalamnya, yang memerhatikan kita, yang sedang mengawal kita,” kata aku meluahkan apa yang aku rasa.

“Kau perasan tak, Kak Piah tu yang macam nak kawal kita. Kita nak keluar pun dia tetap nak ikut walaupun dia tak berapa sihat. Lepas tu, macam tak selesa bila berada di luar rumah ni. Paling aku pelik, kenapa kita tak jumpa orang? Sedangkan kita nampak orang ramai dari rumah ni,” kata Aliya.

Aku diam. Tak tahu nak jawab apa. Sebab aku pun ada perasaan yang pelik tu, Cuma aku cuba mengalihkan perasaan aku sebab kami masih terlalu baru di situ. Kami pun tak tahu memang begitu keadaan orang di kota besar, semua lari masuk rumah bila ada jiran tetangga lalu? Itulah sebabnya ada yang kata kat kota besar, sesama jiran pun tak saling mengenali.

Lepas siap mengemas, kami keluar dari bilik. Kami terus ke dapur. Gelap je. “Kak Piah mana? Bukan dia kata nak masa bihun ke?” tanya Aliya. Aku angkat bahu.

“Dia kat dalam bilik kot. Siang tadi kan nampak macam dia tak sihat?” kataku.

“Takpelah, kita je masak. Dah siap nanti kita panggil dia,” kata Aliya.

“Eh, mana boleh macam tu. Kita boleh masak tapi kenalah minta izin Kak Piah dulu. Takkan pandai-pandai nak ambil peralatan dia macam tu je, takut Kak Piah tak suka pula nanti,” kataku.

“Iye juga. Nak pergi tengokkan dia kat bilik ke?” tanya Aliya.

“Jom,” kataku sambil melangkah ke pintu bilik Kak Piah.

“Kak Piah, Ooo Kak Piah. Kak Piah ok ke?” panggilku sambil mengetuk pintu bilik Kak Piah.

Tiada sahutan.

“Kak Piah?” aku panggil lagi.

Masih tiada sahutan. Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri.

Aku pusing tombol pintu bilik Kak Piah perlahan-lahan. Belum sempat aku tolak pintu bilik Kak Piah, aku dengar bunyi air paip berpasang di dapur. Aku pandang Aliya.

“Siapa kat dapur tu?” Aliya tanya. “Entah, tadi takde siapa pun kat dapur tu,” jawabku.

Aku lepaskan tombol pintu bilik Kak Piah. Aku dan Aliya melangkah ke dapur. Kami nampak sesusuk tubuh di sinki. Kami berhenti melangkah. Kami pandang susuk tubuh tu. Dan seketikan kemudian, susuk tubuh itu berpaling ke arah kami dan ternyata itu Kak Piah.

Kak Piah pandang kami sambil pegang besen yang dipenuhi yang dah direndam. “Kenapa kamu berdua tercegat kat situ? Meh kita masak sama-sama,” kata Kak Piah sambil tersenyum memandang kami.

“Bila masa Kak Piah datang sini. Tadi kami ke sini takde orang pun,” tanyaku.

“Kak Piah dalam bilik air tadi. Sakit perut.” Kata Kak Piah.

“Ooo… patutlah. Tadi kami dah ketuk pintu bilik Kak Piah. Ingatkan Kak Piah ada kat dalam bilik. Takpelah kalau Kak Piah tak sihat. Kami boleh masak. Cuma nak minta izin Kak Piah je nak guna dapur dan ambil barangan semua,” kataku sambil menarik kerusi untuk duduk di tepi Kak Piah yang sedang memotong sawi.

“Alaaa…. Tak payah minta izin la. Ambil je. Nanti bila kami dah pandai beli barang, dah dapat gaji, kamu beli barang. Letak je kat dalam peti sejuk ni. Memang sesiapa saja yang sewa rumah ni, Kak Piah bagi guna semua ni,” kata Kak Piah. Aku diam.

“Kak Piah, mesin basuh tu boleh guna ke? Kalau boleh, saya nak basuh baju sikit. Sebab kami tak bawa banyak baju lagi. Sebab mak suruh bawa sikit je, nanti mereka akan datang nak tengok rumah dan hantar pakaian kami lagi,” kata Aliya pula.

“Haah Kak Piah.” Sahutku pula.

“Guna je. Sabun pun ada kat tepi mesin tu,” kata Kak Piah.

“Sue, aku ambil baju kau sekali ye. Aku basuh sekali,” kata Aliya.

“Ok jugak tu.” sahutku sambil memotong bebola ikan untuk dimasak bersama bihun.

Aliya meninggalkan kami. Tak lama kemudian dia datang semula membawa sebakul kecil pakaian aku dan dia. Dia terus ke balkoni belakang dapur. Aku kira tak sampai tiga minit pun, Aliya kembali dengan bakulnya dengan wajah lain macam memandang aku, terus berjalan ke bilik semula.

“Kenapa Aliya?” Tanyaku sambil dipandang oleh Kak Piah. Aliya pandang Kak Piah dengan wajah serba salah.

“Takde apa. Aku ingat pagi esoklah kita basuh. Boleh basuh sekali baju yang kita pakai sekarang ni. Takdelah membazir air sangat. Basuh empat helai je tapi air tetap kena guna banyak,” kata Aliya dengan suara tersekat-sekat tanpa memandang aku mahupun Kak Piah.

“Ooo… ok juga tu. Esoklah kita basuh sekali,” sahutku.

Aliya terus melangkah ke bilik dan tak datang semula. Aku dengan Kak Piah terus memasak bihun goreng dan setelah siap, aku panggil Aliya. “Aku tak lapar la Sue. Kau je la makan,” kata Aliya ketika aku mengajaknya makan.

“Kau tak lapar? Kita makan tengahari tadi je. Petang tadi tak makan apapun. Takkanlah kau tak lapar?” tanyaku pelik. Antara aku dengan Aliya, dia paling kuat makan dan cepat lapar berbanding aku walaupun dia lebih kurus dari aku.

“Perut aku dah masuk angin agaknya. Kau makanlah dulu. Nanti bila aku lapar, aku makan,” kata Aliya sambil duduk di atas katil dan membuka Al-Quran kecilnya. Aliya memang suka baca Al-Quran.

“Ok, takpelah kalau macam tu. Aku makan dengan Kak Piah dulu. Nanti aku simpankan untuk kau,” kataku sambil berlalu pergi meninggalkan Aliya.

“Eh, mana Aliya? Dia taknak makan sekali?” tanya Kak Piah bila dia tengok aku datang seorang.

“Katanya belum lapar. Nanti lapar dia makan,” aku beritahu.

“Takpelah, nanti letak je kat atas meja ni. Tutup dengan tudung saji.” Kata Kak Piah sambil makan. Aku pun turut sekali.

Lepas makan, aku dan Kak Piah duduk dekat depan tv. Tapi tv tu macam takde siaran. “Kat sini memang selalu macam ni, area tv tak elok. Kalau macam hujan lagi la teruk.” Kata Kak Piah. Aku diam je.

“Rumah ni memang takde telefon telekom ke Kak Piah?” tanyaku sebab baru aku perasan kat rumah tu takde telefon.

“Haah, dulu ada telefon. Ada sekali tu sampai beribu bil sampai. Kak Piah tanya siapa yang guna, semuanya taknak mengaku. Tengok kat bil, sampai ke oversea mereka telefon. Lepas tu Kak Piah tak bayar dan terus kena potong. Sekarang ni sesiapa yang masuk menyewa sini, pakailah handphone sendiri.” Kata Kak Piah. Aku anggukkan kepala.

Masa Kak Piah asyik membetulkan tv, aku dengar bunyi pintu bilik Kak Piah terbuka perlahan, macam ditarik dari dalam bilik. Bilik Kak Piah adalah bilik utama yang berada di bahagian depan rumah merangkap bahagian ruang tamu. Dan kedudukan aku dan Kak Piah masa tu, kami membelakangkan pintu bilik Kak Piah.

Bila aku dengar bunyi pintu bilik Kak Piah terbuka perlahan, bulu roma aku meremang. Sebab suasana kat situ sunyi. Hanya dengar bunyi tv dengan siaran yang rosak tu je.

Aku menoleh perlahan melihat ke arah bilik Kak Piah. Masa ni memang aku nampak pintu bilik Kak Piah terbuka sikit, dalam bilik tu gelap tapi aku nampak macam ada sesuatu yang bergerak kat dalam bilik tu. Benda tu macam tinggi sangat, sampai ke siling bilik.

Aku kecilkan mata aku, nak fokuskan apa benda tu tapi pang!! Pintu bilik tu dihempas kuat. Masa ni aku menoleh semula kepada Kak Piah dan lebih mengejutkan, Kak Piah berada betul-betul kat depan muka aku. Fuh!! Rasa nak jatuh jantung aku terkejut. Aku berganjak ke belakang sedikit sebab Kak Piah terlalu rapat dengan aku, dah macam nak tercium.

“Kamu tengok apa tu?” tanya Kak Piah.

“Ada orang lain ke dalam bilik Kak Piah tu?” Tanyaku.

“Mana ada sesiapa, angin kot,” kata Kak Piah kembali mengadap tv. Nampak macam dah nak dapat signal.

Aku tengok tv tu. Nampak macam cerita hantu. Kak Piah terus duduk. “Tv berapa ni Kak Piah?” aku tanya sebab tak nampak logo tv berapa kat tv tu.

“Entah. Selalunya macam ni la, siaran mana dapat, Kak Piah tengok je,” kata Kak Piah, masih tengok tv, tak pandang aku.

Aku tengok tv tu, macam cerita Pontianak pun ada. Aku ni penakut. Masa tengok cerita tu, aku tutup muka aku dengan jari. Kak Piah pandang aku sambil senyum.

“Kamu takut  ke?” Kak Piah tanya.

“Saya memang takut tengok cerita hantu,” sahutku.

“Cerita je. Mana ada hantu macam ni. Hantu tak hisap darah orang. Kadang-kadang manusia ni suka buat cerita macam ni, macamlah hantu tu teruk sangat.” Kata Kak Piah. Aku diam tapi masih tutup muka aku dengan jari.

Aku mengesot sikit, duduk kat belakang Kak Piah. Selalunya pun macam tu, aku kena duduk kat belakang orang, baru aku berani sikit.

Tapi masa ni la aku nampak sesuatu pada Kak Piah. Aku nampak rambut Kak Piah panjang sangat, sampai ke lantai. Baju Kak Piah pun nampak lusuh. Dan macam ada satu bau bangkai yang busuk sangat. Elok-elok aku tutup mata, terus aku tutup hidung. Dan aku bangun dari duduk. Kak Piah pandang aku.

“Kenapa Sue?” tanyanya.

“Takde apa. Dah masuk masuk isya’ ni. Saya solat dulu la,” kataku sambil melangkah ke bilik dan aku perasan Kak Piah pandang setiap langkah aku dengan pandangan tajam.

– Bersambung –

3 thoughts on “C-3-16, BBS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s