C-3-16, BBS

BAB 5

Lepas kami keluar dari lif, Kak Piah berjalan agak laju di hadapan kami, seperti nak menyorok dari sesuatu, atau seseorang. Kami toleh juga ke kiri kanan, tapi tak nampak sesiapa pun. Memang takde orang, sunyi je. Tapi apa yang kami nampak, seolah ada orang di setiap rumah kat situ.

Kami berjalan laju sebab nak bersaing dengan Kak Piah. Berlari anak juga la kami. Tak tahu la Kak Piah nak lari dari siapa. Tadi kami kata kami nak pergi sendiri, dia yang nak ikut sangat. Sekarang dia nampak macam tergesa-gesa sangat.

Sampai kat padang permainan kat belakang flat kami, Kak Piah duduk di satu kerusi kayu di situ. Kami pun ikut sekali duduk di kerusi. Kak Piah nampak tenang je kat sini, tak macam tadi.

“Kenapa Kak Piah macam tergesa-gesa je lepas keluar dari lif tadi? Kak Piah lari dari seseorang ke?” tanyaku.

“Taklah, Kak Piah nak cepat sampai kat sini. Nak duduk sini.” Kata Kak Piah, jawapannya sangat tak memuaskan hati kami tapi kami diam je la. Dah dia cakap macam tu.

“Kak Piah, kenapa kawasan flat ni tak nampak ramai orang pun? Sedangkan saya tengok flat ni tinggi, dan rasanya setiap rumah ada orang sebab saya nampak kain bersidai, ada kereta motor semua. Tapi orangnya saya nampak dua tiga orang je.” Kata Aliya.

“Orang-orang kat KL ni, di hari cuti memang habiskan masa dalam rumah, mereka tak keluar. Tambahan pula sekarang ni musim panas. Kalau takde kat rumah, mereka keluar cari shoping kompleks yang ada aircond.” Kata Kak Piah, sekali lagi macam tak masuk akal jawapannya. Sebab takkanlah dah petang macam ni takde anak-anak kecil yang keluar bermain di padang? Tapi aku dan Aliya diam juga.

Sedang kami berbual sambil menghirup udara petang, tiba-tiba buaian kat tepi aku berhayun sendiri. Aku terlompat perlahan. Eh eh… bergerak sendiri buaian tu.

“Takde apa, angin kuat ni.” Kata Kak Piah. Aku dan Aliya diam. Kami tak rasa itu angin, sebab buaian tu bermula dengan berhayun perlahan, dan semakin laju dan laju, seperti dihayun oleh sesuatu dan seperti ada sesuatu yang memberatkan buaian itu.

Tak habis di situ, tiba-tiba entah dari mana ada bola terpelanting terkena kepala Aliya. Aliya menggosok kepalanya yang sakit terkena bola tersebut. Aku perhatikan boleh tu dan cuba mencari siapa yang sedang bermain bola tu. Tapi padang itu ternyata kosong, tiada orang. Aku melangkah nak ambil bola tu tapi dilarang oleh Kak Piah.

“Biarkan bola tu, jangan usik,” kata Kak Piah membantutkan langkahku.

Tak sempat aku menoleh semula ke arah bola tu, aku lihat bola tu bergolek sendiri seperti digelecek seseorang. Berkerut dahi aku dan Aliya melihatnya.

“Dahlah tu. Takde apa kat sini. Jomlah kita naik,” tiba-tiba je Kak Piah mengajak kami balik.

“Takpelah Kak Piah, Kak Piah balik dulu. Nanti kami balik sendiri. Jangan risau,” kata Aliya.

Kak Piah pandang aku dan Aliya semacam. Dia pandang kami tanpa berkelip. Pertama kali kami lihat Kak Piah begitu sejak kami tiba semalam.

“Kak Piah bukannya apa. Kamu berdua masih baru kat sini. Banyak perkara yang kamu belum tahu. Banyak orang jahat yang kamu lihat baik. Nanti dah lama kat sini, Kak Piah takkan sekat kamu lagi,” kata Kak Piah kembali melembutkan pandangannya kepada kami.

Kami akur, menurut langkah Kak Piah pulang ke rumah, walaupun di hati kami dah ada perasaan lain macam. Kenapa Kak Piah macam nak kontrol kami sangat, kami bukannya anak kecil. Lagipun kami bukannya pergi jauh sangat, kalau dia risau kami sesat. Kami kat bawah flat ni je. Dia dah tunjuk kat mana tangga, kat mana lif, kat mana kedai, pasar, kenapa dia nak risau lagi?

Tapi takpelah, buat masa ni, kami hanya kenal Kak Piah. Kami belum keluar dari kawasan ni. Kami tak tahu suasananya lagi. Macam Kak Piah kata, kami belum kenal siapa baik siapa jahat lagi. Betullah apa yang Kak Piah kata.

Sampai je kat rumah, Kak Piah terus masuk ke bilik dia. Tak cakap apapun kat kami. Dia marah kami ke pun? Kami buat apa?

“Aliya, ambil barang kau semua. Bawa ke bilik aku. Kita duduk kat bilik aku je la ye sementara yang dua orang lagi tu balik. Sabtu depan baru mereka balik kan? Ada seminggu lagi, kita duduk sebilik dulu. Kak Piah pun dah izinkan,” kataku.

“Kau temanlah aku ke bilik aku. Aku takutlah,” kata Aliya.

“Iyelah, aku temankan kau.” Sahutku sambil mengikut Aliya ke biliknya.

Aliya menolak pintu biliknya perlahan. Dia masuk ke biliknya sambil mata melilau melihat sekeliling. Wajahnya cuak juga.

“Takde apa Aliya, In Shaa Allah.” Kataku memujuk Aliya. Aku masuk terus ke biliknya dan pergi ke tingkap cermin. Aku jenguk ke bawah. Kat bawah tu adalah padang permainan yang kami pergi tadi. Airmuka ku berubah.

“Aliya, meh sini jap,” kataku menggamit Aliya dan Aliya merapati aku.

“Kau nampak tak apa yang aku nampak?” tanyaku.

“Ramai pula budak-budak bermain kat padang tu. Tadi masa kita pergi macam takde orang,” kata Aliya.

“Kan?” tanyaku balik. Aku sengaja suruh Aliya tengok sendiri dan beritahu aku apa yang aku nampak. Sebab aku nak tahu kalau-kalau itu hanya imaginasi aku je. Tapi kalau Aliya pun nampak perkara yang sama macam aku nampak, maknanya tak salah la pandangan aku.

“Kau tak rasa pelik ke, dari jauh kita nampak orang. Tapi bila kita di sana, takde orang. Masa pergi pasar malam semalam, perasan tak orang macam tak nampak kita. Aku ada tegur seorang makcik tu, dia pandang aku tapi buat muka pelik. Dia macam tak nampak aku tapi dia dengar suara aku.” Kata Aliya.

“Dan tiap kali kita nak beli, Kak Piah kata biar dia belikan. Dia macam taknak kita berinteraksi dengan orang kat sini. Dia cuma nak kita ikut dia je,” kataku lagi.

Aku memang dah perasan sejak kami ke pasar malam semalam. Tapi aku taknak cakap pasal tu kat Aliya sebab aku takut itu cuma perasaan aku je. Dan aku berpendapat, Kak Piah mahu bertindak seperti kakak kami, nak jaga kami sebab kami budak baru di KL.

Sedang kami asyik memerhati kanak-kanak bermain di padang tu, tiba-tiba mata aku terpandang seseorang.

“Aliya, kau nampak tak perempuan yang duduk kat kerusi hujung sana?” kataku sambil menunjukkan ke arah seorang perempuan yang duduk di atas kerusi kayu yang kami duduk bersama Kak Piah tadi.

“Eh, itu bukan Kak Piah ke?” tanya Aliya sambil mengecilkan matanya bagi melihat dengan jelas.

“Aku pun rasa itu dia. Tapi tak berapa jelas. Tengok dari baju dan bentuk badan tu, aku rasa itu dia,” sahutku, juga masih melihat perempuan itu.

“Takkan kot. Sebab dia dah naik ke atas dengan kita tadi. Kita pun bukannya kenal orang kat sini lagi. Mungkin ada yang iras-iras Kak Piah,” kata Aliya.

“Haaa…. Mengumpat Kak Piah ye?” tiba-tiba Kak Piah menegur kami. Melompat kami berdua kat tingkat tu. Kussss… Semangat.

“Apa yang kamu berdua asyik sangat melihat keluar tu? Sampai tak sedar Kak Piah ada kat sini lama dah perhati kamu berdua,” kata Kak Piah.

Entahlah kenapa, bulu roma aku meremang. Aku pandang jam, dah dekat pukul 7 malam.

“Takde apalah Kak Piah. Saya temankan Aliya ni nak ambil baju. Kami tidur kat bilik saya sampai dua orang tu lagi balik ye Kak Piah.” Kataku.

“Boleh je, kan tadi Kak Piah dah bagi izin,” kata Kak Piah sambil tersenyum memandang kami.

Aliya cepat-cepat kembali menyusun bajunya yang nak dipindahkan ke bilik aku.

“Malam ni Kak Piah gorengkan bihun ye. Nanti kita makan sama-sama,” kata Kak Piah sambil memerhatikan kami.

“Eh, takpelah Kak Piah. Kak Piah kan tak sihat. Kami boleh masak,” sahutku.

“Dah ok sikit. Tadi Kak Piah sakit kepala. Lepas ambil angin petang tadi kat padang tu, rasa macam dah ok sikit. Kamu mandi dan siaplah. Nanti kita makan sama-sama,” kata Kak Piah.

“Baiklah. Terima kasih Kak Piah. Kak Piah baik sangat dengan kami. Malu pulak kami dah macam bos, semua Kak Piah buat,” kataku. Aliya tetap tunduk melihat bajunya walaupun bajunya dah siap disusun.

“Takde apa sangatlah. Kak Piah pun bukannya ada kerja nak buat. Kamu berdua temankan Kak Piah kat sini pun, Kak Piah dah seronok dah. Ada juga teman Kak Piah,” kata Kak Piah sambil melangkah pergi meninggalkan kami.

“Tak siap lagi ke Aliya? Nak ambil baju je pun.” Kataku menegur Aliya yang masih tunduk dan diam.

“Kau ok ke ni Aliya? Kau dah kenapa? Macam nampak hantu,” kataku menegur Aliya bila aku sentuh tangannya sejuk dan menggeletar.

Aliya angkat muka dan pandang aku. Mukanya pucat.

“Kenapa ni Aliya?” tanyaku cuak.

“Kau tak nampak ke apa yang aku nampak?” tanya Aliya.

“Kau nampak apa?” tanyaku makin cuak.

“Muka Kak Piah macam nenek tua,” kata Aliya.

“Hah!? Takde pun. Aku tengok dia sama je,” kataku.

“Tadi masa kau sembang dengan dia, dia pandang kau. Aku pula duduk kat bawah ni susun baju. Entah kenapa aku rasa nak pandang Kak Piah dari bawah tu, masa tu la aku nampak dia macam nenek tua. Rambut dia putih berserabut, dagunya panjang sampai ke dada, dan…”

Pang! Aliya terhenti bercakap bila terdengar bunyi bilik Aliya terhempas tertutup sendiri.

Aku buka semula pintu bilik Aliya perlahan dan jenguk keluar, manalah tahu ada orang yang dah tarik pintu tu. Tapi tiada. ‘Angin kot’ desis hatiku. Suasana dah makin suram.

“Dah tu Aliya, jom kita pergi bilik aku. Dah nak maghrib ni.” Kataku sambil membuka semula pintu bilik Aliya, dan kami keluar bersama-sama ke bilik aku. Sempat juga aku jenguk ke ruang tamu, tak nampak Kak Piah.

Kami terus masuk ke bilik aku. Aku tutup pintu bilik.

“Aku mandi dulu ye Aliya,” kataku sambil mencapai tuala.

“Aku takut la Sue,” kata Aliya.

“Takde apalah,” sahutku walaupun hatiku sendiri dah goyah.

“Aku nak ikut kau Sue,” kata Aliya.

“Hish, kau ni Aliya. Aku nak mandi la, takkan kau nak mandi sama dengan aku pulak,” kataku.

“Takpelah, bilik air tu besar. Kita mandi sekali lah,” kata Aliya. Dia betul-betul takut.

“Kau tunggu je kat sini sekejap. Aku mandi P Ramlee je. Kejap je. Lepas tu kau pula mandi, aku teman kat pintu bilik air tu,” kataku memujuk.

Aliya diam, matanya melilau melihat keliling. Mukanya cuak habis.

Aku keluar dari bilik, melangkah ke dapur. Aku tak nampak sesiapa di dapur. Aku terus ke bilik air. Dari dalam bilik air, aku dengar bunyi seseorang ketawa perlahan. Suara seorang perempuan. Aku pandang keliling, tiada siapa.

Dan aku masih dengar suara orang ketawa tu. “Siapa tu?” tanyaku perlahan.

“Aku kat sini, di atas pintu,” aku dengar suara garau seorang perempuan. Dan cepat-cepat aku pandang ke atas pintu, tiada siapa.

Aku taknak fikir panjang, aku tak jadi mandi. Aku capai tuala aku semula. Aku pasang paip dan ambil wudhu. Lepas tu aku cepat-cepat keluar dari bilik air dan terus masuk bilik. Kat bilik aku tengok Aliya sedang duduk di tepi katil sambil tutup mukanya dengan tuala. Dia menggeletar.

– Bersambung –

One thought on “C-3-16, BBS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s