C-3-16, BBS

Bab 4

Tiada siapa kat luar. Aku jenguk keluar bilik, tiada siapa. Aku jeling pintu bilik Kak Piah dan Aliya, juga tertutup rapat. Ah, perasaan aku je kot. Aku baring semula di atas katil. Dan sekali lagi terdengar bunyi ketukan. Aku angkat kepala.

“Siapa tu?” panggilku perlahan. Tiada sahutan. Aku duduk.

Tok tok tok…. Aku dengar lagi. Aku cuba mencari punca bunyi tu. Bukan dari pintu bilik. Tapi dari dalam almari baju kawan sebilik aku. Aku merapati almari berwarna hitam tu. Aku rapatkan telinga aku. Buk! Aku dengar bunyi pintu itu ditumbuk dari dalam. Terlompat aku terkejut.

‘Ada apa kat dalam almari tu?’ desis hati kecilku.

Sedang aku leka tenung almari tu sambil kepala aku berputar-putar menanya hati aku, nak buka almari tu ke tak, tiba-tiba je Aliya datang ke bilik aku tergesa-gesa. Dia duduk kat sebelah aku dengan muka cuak habis sambil termengah-mengah macam lah dah lari jauh sangat, walhal pintu bilik dia dengan bilik aku selang lima langkah je kot.

“Kau ni dah kenapa Aliya?” tanyaku, terlupa dah pasal almari tu.

“Tu, kat bilik aku tu, ada benda kat bawah katil.” Katanya masih termengah-mengah.

“Hah! Ada benda bawah katil? Benda apa?” tanyaku. Aliya angkat bahu, mukanya dah macam nak menangis.

“Benda hidup ke benda tak hidup?” tanyaku.

“Benda tu bergerak. Hiduplah kot,” kata Aliya.

“Kau nampak ke bendanya? Binatang ke apa?” tanyaku lagi, terasa geram sebab Aliya jawab sikit-sikit.

“Aku tak tahu,” sahutnya, lagi la aku geram.

“Kalau kau tak tahu, macammana kau tahu itu benda hidup?” tanyaku dengan suara agak tinggi. Dan masa ni Aliya menangis. Aku pula tiba-tiba rasa bersalah sebab tinggikan suara kat dia.

“Maaflah Aliya, aku bukannya nak marah kau. Aku pun panik juga, bila kau jawab sikit-sikit, aku hilang sabar,” kataku sambil mengusap bahu Aliya perlahan-lahan.

“Aku tak marah kau. Aku cuma takut sangat,” kata Aliya.

“Cuba kat cerita kat aku, apa yang kau nampak? Binatang ke, orang ke?” tanyaku perlahan.

“Tadi aku masuk dalam bilik, terus baring kat atas katil. Tiba-tiba aku dengar bunyi macam ada sesuatu terseret. Bila aku cuba dengar, bunyi tu takde, aku baring balik. Lepas tu aku dengar lagi, macam orang berjalan sambil seret kaki. Bunyi tu macam dekat je dengan aku tapi aku tak nampak sesiapa. Tiba-tiba ada sesuatu ketuk katil aku dari bawah katil. Masa tu aku cuak dah. Dan bunyi benda terseret tu makin kuat. Aku beranikan diri tunduk lihat bawah katil,” Aliya berhenti bercerita.

“Apa yang ada kat bawah katil tu?” tanyaku tak sabar dengan jantung berdegup kencang.

“Ada satu nenek tua, badannya terlipat-lipat kat bawah katil tu, dengan rambut panjang putih, matanya pun putih, menyeringai kat aku, macam sedang berusaha nak capai aku. Dia seret badannya perlahan-lahan macam nak kelaur dari bawah katil tu. Aku menggeletar satu badan, nak jerit pun takde suara. Nak bergerak pun tulang aku macam dah terlekat kat katil tu. Sampailah aku terasa ada benda sejuk pegang kaki aku, masa tu aku terus melompat dan lari ke sini,” kata Aliya sambil menyambung tangisnya tadi.

Belum sempat aku bersuara, tiba-tiba almari kat depan aku berbunyi semula seperti ada sesuatu kat dalamnya yang sedang berusaha untuk keluar. Aliya berhenti menangis, dia pandang almari tu.

“Apa benda kat dalam almari tu Sue?” tanyanya.

“Aku pun tak tahu, dari tadi ada bunyi macam orang ketuk dari dalam. Belum sempat aku siasat, kau dah datang dulu,” kataku.

Bunyi ketukan tu makin kuat. Macam nak pecah almari tu. Aku dan Aliya memegang berpelukan sesama sendiri kat katil aku. Kami memang takut masa tu. Dan tak lama lepas tu bunyi ketukan terhenti, dan tak pintu almari tu terbuka seperti ada yang menolaknya dari dalam. Aku memang menggeletar habis. Aliya lagi la, tak pulih lagi semangat dia, dah terpaksa hadapi perkara lain pula.

Kami masing-masing diam, tak tahu nak cakap apa, tak tahu nak buat apa. Sekadar menanti apa yang akan keluar dari almari tu.

“Allahu Akbar Allahu Akbar!”

“Allahu Akbar Allahu Akbar!”

“Asyhadu an Laa ilaahaillah…”

azan zohor berkumandang. Dan almari itu tertutup dengan sendirinya. Aku dan Aliya masih di katil.

“Astaghfirullah al azim,” ucapku perlahan sambil menyapu muka yang berpeluh.

“Sue, aku takut,” kata Aliya.

“Aku pun sama. Nanti kita tanyakan Kak Piah. Mana tahu, kat sini memang ada sejarah tak elok,” kataku. Aliya diam.

“Jom kita solat zohor dulu,” kataku sambil bangun dari katil.

“Tapi aku takut nak masuk bilik aku tu Sue,” kata Aliya. Aku diam, kalau aku pun aku akan rasa macam tu.

“Takpe, kau solat kat bilik aku ni je dulu. Nanti kita pergi tengok bilik kau sama-sama,” kataku. Dan Aliya akur.

Kami keluar dari bilik. Kami tak nampak Kak Piah. Mungkin sedang berehat di dalam biliknya. Kami pun tak nak ganggu dia.

Selesai solat, aku ajak Aliya pergi ke biliknya. “Jom Aliya, kita tengok bilik kau. Kot-kot ada benda lain kat bawah katil kau tapi kau silap tengok ke apa ke,” kataku menarik tangan Aliya.

Aliya akur walaupun jelas diwajahnya dia keberatan.

Aku dan Aliya melangkah ke biliknya. Aku tolak pintu biliknya perlahan-lahan. Tiada apa-apa yang pelik. Aku dan Aliya sama-sama tunduk melihat ke bawah katil, tiada apa juga. Aku tarik tangan Aliya, ajak dia masuk ke dalam bilik tu.

Kami masuk dalam bilik Aliya, melilau pandang keliling. Dan pintu bilik Aliya tertutup kuat seperti ada orang menariknya. Aku dan Aliya terkejut. Kami sama-sama berlari ke pintu dan cuba buka pintu tapi tak boleh. Nak kata terkunci, pintu tu patutnya terkunci dari dalam bukannya dari luar.

“Kak Piah!” Kami jerit serentak. Tak lama kemudian, pintu bilik tu terbuka, Kak Piah berdiri kat muka pintu.

“Kenapa ni Sue, Aliya?” tanya Kak Piah dengan suara risau. Kami tanpa segan silu terus peluk Kak Piah sambil menangis.

“Kak Piah, ada benda mengacau kat bilik ni,” kata Aliya dalam esaknya.

“Benda apa?” tanya Kak Piah sambil memerhati sekeliling bilik.

“Tak tahu. Tak berapa jelas,” sahut Aliya, tak tahu macammana nak menceritakan apa yang dia nampak.

“Dah dah, jom kita keluar. Duduk kat ruang tamu. Bertenang dulu. Nanti ceritakan kat Kak Piah satu persatu,” kata Kak Piah memujuk.

Kami akur lalu mengikut langkah Kak Piah ke ruang tamu. Aku ambil air masak dan bagi kepada Aliya, suruh dia minum.

“Penyewa lain tak pernah mengadu apa-apa ke kepada Kak Piah?” tanyaku.

“Ada la juga, mereka kata nampak orang lain kat dalam bilik. Rasa macam ada yang memerhati. Tapi semua tu masa mula-mula mereka masuk je. Lepas sebulan dua dah takde mereka mengadu. Macam Kak Piah ni, dah lama duduk sini, tak terasa apa dah,” kata Kak Piah.

“Tempat ni memang ada kisah Kak Piah?” tanyaku lagi.

“Entahlah. Ada juga terdengar orang bercerita masa nak bina flat ni dulu, ada buruh binaan yang mati dan mayat mereka tak diuruskan dengan baik. Ada yang keadaannya mayatnya tak sempurna sebab tangan terputus semua tu. Tapi biasalah, mana-mana pembinaan pun pasti ada kecelakaan. Tambahan pula flat 20 tingkat macam ni.” Kata Kak Piah.

Aku dan Aliya diam.

“Tapi ramai je orang yang tinggal lama kat flat ni. Macam jiran sebelah kita ni, sebelum Kak Piah masuk, dia dah tinggal kat sini. Mula-mula katanya memang macam-macam yang dia pandang dan dengar, tapi lama kelamaan hilang macam tu je.” Kata Kak Piah.

“Mungkin sebab kami masih baru kat sini, ‘benda’ tu belum kenal kami lagi. Nanti dah lama ok lah kot, kan Kak Piah?” Tanya Aliya pula.

“Mungkinlah. Takpe, macam ni. Sementara Mirza dan Nisa belum balik ni, korang berdua duduk sebilik dulu. Jangan duduk seorang diri. Kadang tu, perasaan kita juga yang memikirkan perkara buruk bila duduk sendirian, tempat baru pulak tu.” Kata Kak Piah membuatkan aku dan Aliya seperti dapat satu semangat baru.

“Okay juga macam tu Kak Piah. Kami setuju,” kata Aliya, barulah wajahnya ada ceria sikit. Betullah tu, mungkin bila berdua, kami akan berani sikit.

Lepas tu aku dan Aliya masuk ke bilik aku. Aliya kata guna bilik aku je dulu sebab dia masih terbayangkan ‘benda’ kat bawah katilnya. Aku setuju je. Mungkin sebab kami kepenatan mental, kami terlena seketika sementara tunggu waktu asar menjelang.

Kami tersedar bila terdengar azan berkumandang. “Aliya, jom kita solat, lepas solat, dah redup sikit nanti kita pergi keluar jalan-jalan sekejap. Tenangkan hati, kot boleh bersembang dengan jiran jiran,” kataku mengajak Aliya.

“Ok jugak tu. Aku tengok kat padang permainan kat belakang flat ni pun macam best je,” kata Aliya.

Lepas solat, kami bersiap nak keluar. Kami panggil Kak Piah, ketuk bilik dia. Kak Piah buka pintu, muka Kak Piah lain macam sikit, kelihatan pucat, macam orang sakit. “Kenapa ni Kak Piah?” aku tanya.

“Takde apa, Kak Piah sakit kepala sikit. Korang nak ke mana ni?” tanyanya bila melihat kami dan bersiap macam nak keluar.

“Kami nak keluar sekejap, round-round ambil angin.” Kataku.

“Eh, tunggu sekejap, Kak Piah ikut,” kata Kak Piah terus masuk ke dalam bilik. Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri.

“Takpelah Kak Piah, kami boleh pergi sendiri. Lagipun Kak Piah tak sihat,” kataku. Tiada sahutan. Aku pandang Aliya, Aliya angkat bahu.

Tak lama lepas tu, Kak Piah keluar dari biliknya. Wajahnya dah ceria balik. “Jom,” katanya sambil melangkah keluar dan kami menuruti langkahnya.

Selepas Kak Piah kunci pintu, kami melangkah ke lif yang selang dua pintu dari rumah Kak Piah, untuk turun ke tingkat bawah. Masa lalu kat depan rumah jiran sebelah rumah Kak Piah, aku sempat juga menjeling ke dalam rumah yang terbuka. Aku tak nampak sesiapa. Pelik juga, dari semalam aku tak nampak sesiapa dalam rumah tu, walaupun pintu terbuka. Kawasan flat itu pun sunyi, aku tak nampak orang. Tapi dari segi keadaan rumah, memang rumah tu ada orang sebab aku nampak kain yang bersidai, kereta motor penuh kat tingkat bawah. Cuma aku tak nampak orang.

Kami memasuki lif. Baru turun sampai tingkat 2, lif berhenti dan pintu lif terbuka. Kak Piah seperti ke tepi sikit, macam ada orang lalu. Tapi aku dan Aliya tak nampak sesiapa pun. Lepas tu pintu lif tertutup. Sampai kat tingkat bawah, pintu lif terbuka dan Kak Piah tak terus keluar, dia seperti memberi laluan kepada seseorang untuk keluar dulu. Aku dan Aliya agak pelik dengan perbuatan Kak Piah. Tapi kami tak berani tanya.

– Bersambung –

One thought on “C-3-16, BBS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s