C-3-16, BBS

Bab 3

“Sudahlah Sue, tidurlah. Takde apa,” kata Kak Piah bila melihat aku masih dengan muka cuak dan mata aku masih melilau melihat sekeliling bilik.

“Kak Piah, boleh tak saya nak biarkan lampu berpasang malam ni?” tanyaku.

“Boleh, biarkan lampu pasang. Sue tidurlah. Kalau ada apa-apa, panggil Kak Piah ye,” kata Kak Piah sambil menarik daun pintu untuk ditutup.

“Eh, Kak Piah. Biarkan pintu tu terbuka,” kataku lagi. Kak Piah tergelak kecil sambil membuka semula pintu bilik aku.

Aku berbaring semula di katil. Mataku tak lepas memandang ke katil satu lagi yang kosong. Walaupun panas, aku selimut seluruh tubuh aku. Tinggal bahagian mata je masih berada diluar selimut. Aku terlelap tanpa aku sedar.

Pagi esoknya, lepas solat subuh, aku terus ke bilik Aliya. Aku lihat Aliya masih kat atas sejadah. Aku masuk ke biliknya dan memandang keliling. Aku duduk kat tepi Aliya.

“Kenapa kau pandang bilik aku macam tu?” tanya Aliya yang pelik dengan keadaan aku.

“Kau ok ke? Semalam kau tidur lena?” aku bertanya.

“Aku ok je. Masih mengantuk. Semalam tak berapa lena, kau la ni, kacau aku tengah malam buta,” kata Aliya sambil menanggalkan telekungnya.

“Aik, apa aku pulak? Aku tak kacau kau pun,” kataku.

“Tak kacau kau kata? Pukul 2 kau datang, pukul 3 kau datang, pukul 4 kau datang. Last-last kau tidur kat katil tu ha. Itu kau kata tak kacau? Huh!” kata Aliya sambil menggantung telekungnya.

“Aku? Datang ke bilik kau? Mana ada,” kataku pelik. Mana ada aku datang bilik Aliya semalam. Aku berusaha segigih mungkin tak kacau dia semalam walaupun aku ada hasrat nak message dia. Tapi aku yakin bahawa aku tak keluar dari bilik aku.

“Kau ni Sue, mimpi lagi kot. Tu tengok, kain batik kau ada kat atas katil tu lagi. Kau pakai buat selimut semalam. Kau kata takut nak balik bilik kau,” kata Aliya. Dan ternyata benar apa yang dia kata, memang kain batik bekalan mak aku ada kat atas katil tu. Aku garu kepala yang tak gatal. Aku cubit pipi aku kuat-kuat. Sakit! Maknanya aku tak bermimpi.

“Macammana kain batil aku ada kat bilik kau ni? Aku tak datang ke bilik kau pun malam tadi,” balas aku dengan yakinnya.

“Habis tu, aku yang datang selongkar almari kau, ambil kain batik mak kau dan saja-saja letak kat situ?” Aliya tanya aku.

“Aliya, aku berani sumpah, aku tak datang ke bilik kau semalam. Aku pun alami perkara pelik semalam. Ada orang lain tidur kat bilik aku, kakinya berantai.” Kata aku membuatkan Aliya memandang aku.

“Siapa? Mana kau tahu kakinya berantai?” tanyanya.

“Ehem, ehem. Apa yang bising ni awal pagi ni?” tiba-tiba je tersembul Kak Piah kat muka pintu sambil tersenyum memandang aku dan Aliya.

“Takde apa Kak Piah, si Sue ni, dia tak mengaku dia tidur kat bilik ni semalam. Tapi kain batik dia ada je kat katil tu,” kata Aliya sambil tergelak kecil.

“Tengah malam semalam Kak Piah ada datang ke bilik saya kan? Saya kata ada orang tidur kat katil kosong dalam bilik tu. Lepas tu saya minta izin supaya lampu tak tutup dan saya juga tak bagi Kak Piah tutup pintu. Itu bukti saya memang berada di bilik saya, bukan sini, betul kan Kak Piah?” kataku sedang mencari bukti.

“Mana ada Kak Piah datang ke bilik kamu semalam. Kak Piah tak ingat apapun,” kata Kak Piah.

Ahhh…. Sudah! “Habis tu, siapa yang datang ke bilik saya semalam?” tanyaku lagi dengan wajah cuak.

“Takde siapa pergi ke bilik kau, kau tu yang datang ke bilik aku,” kata Aliya.

“Dah la tu, jom sarapan. Lepas sarapan kita keluar. Kak Piah tunjukkan kawasan sini. Kat mana nak ambil bas semua tu,” kata Kak Piah.

“Elok juga tu. Jom Sue,” kata Aliya sambil menarik tangan aku untuk keluar dari biliknya dan mengikut langkah Kak Piah ke dapur.

“Kak Piah masak ke ni?” tanyaku bila melihat bihun goreng dalam mangkuk.

“Iyelah, Kak Piah malas nak keluar pagi-pagi beli sarapan. Kalau Kak Piah seorang, takdelah masak macam ni, makan roti cicah kopi je la. Ni dah alang-alang ada peneman, baru seronok masak dan makan bersama,” kata Kak Piah.

Kami duduk bersama sambil makan bihun goreng yang Kak Piah masak. Tapi kepala aku masih tertanya-tanya, siapa dalam bilik aku semalam, siapa ‘aku’ yang masuk ke dalam bilik Aliya dan kenapa Kak Piah kata semalam dia takde datang ke bilik aku sedangkan dia yang pasang suis lampu. Aku tak rasa aku bermimpi. Memang aku penat tapi aku masih sedar apa yang aku buat.

“Mengelamun je kau ni Sue. Aku dah nak tambah lagi, kau baru makan dua sudu je.” Aku tersentak bila Aliya menegur aku.

“Makan cepat, jom kita keluar. Nanti kalau lewat, matahari dah tinggi. Panas pulak nanti. Nanti akak bawa terus ke pasar yang terdekat. Selalunya setiap hari minggu, kami kat sini akan beli stok untuk seminggu. Peti sejuk tu besar, boleh simpan barangan kamu kat dalam tu. Tapi kenalah label supaya tahu barang kita ke barang orang,” kata Kak Piah. Aku dan Aliya hanya mengangguk.

Kak Piah bawa aku dan Aliya meronda di kawasan flat tu. Ramai juga orang di flat tu. Kak Piah juga bawa kami ke pasar pagi minggu yang lebih kurang lima belas minit kami berjalan kaki dari rumah. Segalanya dekat. Baguslah, kami memang dah dapat tempat tinggal yang sangat sesuai dengan kami.

“Kak Piah, kalau sesekali mak ayah kami nak datang melawat, boleh ke mereka datang ke rumah kita tu?” tanya Aliya.

“Boleh je. Tapi kamu kena la faham, rumah kita tu rumah bujang perempuan. Datang sesekali siang hari takpelah, jangan sampai kawan-kawan serumah rasa tak selesa je,” kata Kak Piah.

“Kami faham Kak Piah,” sahut aku dan Aliya serentak.

Kami bergerak pulang ke rumah setelah jam hampir ke pukul 11 pagi. Matahari pun dah naik tinggi. Sampai kat rumah, Kak Piah terus ke dapur. Aku dan Aliya masuk ke bilik.

Masa aku tolak pintu bilik, aku nampak seseorang berdiri di tingkap. Dia membelakangkan aku. Aku tak jadi masuk bilik tu. Aku terus ke dapur mencari Kak Piah. Tapi Kak Piah takde di dapur. Aku terus melangkah perlahan ke bilik Aliya. Aku nampak Aliya berdiri di pintu biliknya sambil menjenguk ke dalam biliknya. Aku cuit bahu Aliya.

Aliya menoleh ke arah aku dan buat isyarat diam. Aku buat isyarat ‘kenapa?’. Aliya tunjukkan ke arah dalam bilik dia. Aku pun jenguk perlahan. Aku nampak seseorang berdiri di tingkap, seperti orang yang sama dengan kedudukan yang sama di bilik aku. Tiba-tiba je aku rasa seram sejuk. Padahal waktu tu tengahari kot. Sepatutnya panas.

“Siapa tu?” aku tanya Aliya berbisik. Aliya angkat bahu.

“Dia ada kat bilik aku juga,” kataku masih berbisik. Aliya bulatkan matanya, macam nak tersembul dia pandang aku.

Aku dan Aliya menjenguk semula ke dalam bilik Aliya, nak tengok orang tu. Tapi orang tu dah takde kat situ. “Mana dia?” tanyaku. Aliya sekali lagi angkat bahu.

Aku tarik tangan Aliya, suruh dia ikut aku ke bilik aku. Kat pintu bilik, aku jenguk ke dalam bilik aku. Orang tu pun takde kat situ. “Takde sesiapapun,” kata Aliya. “Tadi dia ada kat situ, sebab tu aku pergi cari kau,” kata aku membalas Aliya sambil mata aku mencari-cari susuk tubuh yang aku nampak tadi.

“Cuba masuk dalam bilik. Mana tahu dia ada kat belakang pintu ni,” kata Aliya.

“Hish, kau la masuk. Aku takut,” kataku.

Baru je Aliya melangkah kaki nak masuk ke bilik aku, Kak Piah menyapa kami. “Apa yang berbisik-bisik kat pintu bilik ni? Kenapa tertinjau-tinjau dari luar, kenapa tak masuk bilik?” tanya Kak Piah.

“Kak Piah, kami nampak ada orang dalam bilik kami. Tadi dia berdiri kat tingkap. Bilik Aliya pun sama,” kataku.

“Ada orang? Takkan Mirza atau Nisa dah balik kot. Mereka kata akan balik hari sabtu depan,” kata Kak Piah sambil mengerutkan dahinya.

“Perempuan ke lelaki? Kak Piah takut kalau penyamun je,” kata Kak Piah sambil turut sama menjenguk ke dalam bilik aku.

“Rasanya perempuan. Sebab tengok sekilas je. Tak berani nak tengok lama-lama, buatnya dia menoleh nanti, seram pula mengenangkannya,” kataku.

“Haah, tapi tak nampak macam penyamun pun,” sahut Aliya.

Kak Piah menolak pintu bilik aku sampai terbuka luas. Dia melangkah masuk ke bilik aku. Aku dan Aliya pun masuk sekali. Melilau mata kami melihat sekeliling.

“Takde siapa pun,” kata Kak Piah. Aku dan Aliya diam.

“Jom kita tengok bilik Aliya pulak,” kata Kak Piah sambil melangkah keluar dari bilik aku dan terus ke bilik Aliya. Dengan gerak yang sama, Kak Piah menolak perlahan pintu bilik dan menjenguk ke dalam. Ternyata tiada sesiapa.

“Takkan dia terjun ikut tingkap kot,” kata Aliya.

“Hish kamu ni. Tingkap tu kan ada pagar besi yang dah dipasang siap. Tak muat seorang manusia nak lalu ikut pagar tu walaupun anak kecil,” kata Kak Piah.

Haah, iye juga. Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri.

“Dah, jom kita masak sama-sama. Tadi Kak Piah ada beli ketam, kita buat masak lemak kuning. Kamu makan ketam tak?” tanya Kak Piah.

“Kami ni makan semua Kak Piah, tolak batu dengan kayu je,” kata Aliya cuba melupakan apa yang dilihatnya sebentar tadi.

“Iye ke kau tolak batu dengan kayu Aliya? Kau kan makan semua. Jambu batu, Ikan kayu, semua kau bedal,” kataku sambil tersenyum memandang Aliya, aku juga cuba nak lupakan apa yang kulihat tadi.

Kak Piah ketawa kecil mendengar aku mengusik Aliya. Dia melangkah ke dapur dan kami menuruti langkahnya.

Ternyata Kak Piah seorang yang pandai memasak. Memang sedap masakannya. Kak Piah kata, dulu maknya buka kedai makan kat kampung. Dia belajar memasak dari emaknya.

Lepas makan, Kak Piah masuk ke biliknya. Sebelum tu dia berpesan, kalau nak keluar, beritahu dia dulu. Katanya jangan keluar sebarangan sebab dia kata risau kami sesat. Maklumlah, tempat baru. Flat ni semua nampak sama je. Bila terdengar Kak Piah berpesan macam tu, tiba-tiba aku rindu kat mak aku. Mak aku pun selalu berpesan kat aku macam tu, macam aku ni anak kecil lagi.

Aku dan Aliya melangkah ke bilik. Sampai bilik, aku jenguk dulu ke dalam. Takde sesiapa. Cuak gak. Aliya pun macam tu. Kami cuba lupakan apa yang kami nampak. Mungkin bayangan je kot. Atau biasan cahaya matahari yang masuk ke dalam bilik melalui tingkap.

Aku berbaring kat atas katil, menunggu masa masuknya waktu solat zohor. Baru pukul 1 masa tu. Dengan perut yang kenyang, mata pun berat. Dengan kipas angin sejuk dari kipas yang berpusing laju, aku rasa nak lelap. Aku tersentak bila aku dengar bunyi ketukan kat pintu. Aku bangun dan terus buka pintu bilik.

-Bersambung-

One thought on “C-3-16, BBS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s