C-3-16, BBS

Bab 2

Aku duduk kembali kat dalam bilik aku, menyambung mengemas baju yang terhenti tadi. Tak lama lepas tu, aku terasa seperti ada seseorang melintas kat depan pintu aku. Aku pandang ke arah pintu tapi takde pulak nampak sesiapa. Aku sambung kerja aku.

Tiba-tiba je pintu aku yang tertutup separuh tu bergerak, seolah ditolak perlahan dari luar. Masa ni meremang bulu roma aku. Aku yakin pintu aku ditolak oleh seseorang, bukan ditolak angin. Aku bangun dan melangkah perlahan ke pintu. Belum sempat aku sampai kat pintu, Aliya melangkah masuk ke bilik aku. Terkejut beruk aku. Hish, budak bertuah ni.

“Kenapa Aliya?” tanyaku kepada Aliya bila lihat air mukanya lain macam je.

“Tadi aku pergi ke bilik air, aku ingat nak ambil wudhu untuk solat asar. Sampai ke pintu bilik air tu, aku dengar bunyi air paip terpasang dan air semburan mandi tu pun macam terpasang. Aku rasa ada orang sedang mandi kat dalam tu,” kata Aliya.

“Siapa?” tanyaku semula. Aliya angkat bahu.

“Seingat aku, Kak Piah keluar ke kedai katanya tadi. Aku tengok sendiri dia keluar tadi. Yang dua orang lagi takde kat rumah, mereka balik kampung. Jadi, siapa pula yang mandi?” tanya aku lagi.

“Itu yang aku datang kat bilik kau ni. Mana tahu Kak Piah ada beritahu kau apa-apa,” kata Aliya.

“Takde pulak Kak Piah beritahu apa-apa. Dia beritahu pasal kat mana nak cari makanan je. Malam ni nak bawa kita pergi pasar malam katanya. Kat bawah flat ni je,” kataku dan Aliya mengangguk.

“Eh Sue, jom la teman aku ke bilik air tu. Aku nak ambil wudhu. Kau taknak solat ke pun?” tanya Aliya balik.

Aku pun bangun. Kami sama-sama melangkah ke bilik air. Makin rapat ke pintu bilik air tu, memang kami dengar bunyi air semburan mandi terpasang. Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri. Aku beranikan diri mengetuk pintu bilik air.

“Ada orang kat dalam ke?” aku panggil dengan suara agak kuat sebab bunyi air semburan mandi tu pun agak kuat. Tiada sahutan.

“Kak Piah terlupa tutup air kot,” kataku. Aliya diam je berdiri kat belakang aku.

Aku memegang tombol pintu bilik air, tak berkunci. Aku tolak pintu bilik air perlahan. Dan tiba-tiba ada sesuatu yang menolak pintu bilik air dari sebelah dalam. Melompat aku dengan Aliya. Menjerit kami. Terkejut weh. Meremang bulu roma aku. Aliya pegang tangan aku kuat.

“Siapa tu?” tanya Aliya.

“Mana aku tahu,” kataku.

Kami masih berdiri di depan pintu bilik air, merenung pintu bilik air yang terbuka sedikit.

Tiba-tiba bunyi air semburan mandi ditutup. Berkeriut bunyi paip air seperti ada yang memulasnya. Begitu juga dengan bunyi air paip. Aku dan Aliya masih di depan pintu, terkaku di situ. Lepas tu, pintu bilik air seperti ditarik dari dalam. Seperti ada seseorang yang nak keluar dari pintu tu. Aku dan Aliya masih di situ, kaki kami terlekat di lantai.

“Kenapa ni?” tiba-tiba ada suara menegur kami dari arah belakang. Aku dan Aliya menjerit dan melompat.

Kelihatan Kak Piah sedang berdiri di belakang kami sambil memegang beberapa beg plastik. Dia memandang kami dengan wajah pelik.

“Kenapa kamu berdua ni Aliya, Sue?” tanya Kak Piah sambil meletakkan barangannya di atas meja makan.

“Saya nak masuk bilik air tapi dengar bunyi macam ada orang sedang mandi kat dalam. Air berpasang.” Kata Aliya.

Kak Piah terus melangkah ke bilik air dan menolak pintu. Dia pasang lampu dan terus masuk ke bilik air tu. Aku dan Aliya pun menjenguk sama. Tiada siapa kat dalam bilik air tu. Lantai pun kering je, tak macam baru lepas digunakan pun.

“Mana ada sesiapa?” kata Kak Piah.

“Entahlah Kak Piah. Tapi tadi memang kami dengar, kan Sue kan?” kata Aliya meminta sokongan dari aku. Dan aku menganggukkan kepala.

“Hish korang ni. Janganlah cakap macam tu, Kak Piah ni penakut tahu tak. Dah la, korang lapar kot. Pergi solat dulu, tu Kak Piah ada beli apam balik. Sedap apam balik dia. Nanti kita makan sama-sama. Tahu tak kiblat arah mana?” tanya Kak Piah sambil mengambil cerek elektrik dan memasukkan air ke dalamnya.

“Tahu, saya tengok arah kibat kat phone. Arah sana kan?” tanya Aliya sambil menunjukkan arah kiblat yang diperolehinya dari aplikasi telefonnya.

“Haah, betullah tu,” kata Kak Piah sambil menekan suis untuk menjerang air. Aku dan Aliya masuk ke bilik air mengambil wudhu dan solat asar.

Lepas solat, kami ke dapur mencari Kak Piah. Kak Piah takde. “Kak Piah kat dalam bilik kot,” kataku. “Iyelah agaknya,” sahut Aliya. Aku tengok kat atas meja dapur, ada air teh ‘o’ dengan apam balik dah terhidang.

“Sue, aku laparlah. Jom makan,” Aliya mengajak.

“Hish kau ni, kot ye pun, tunggu la Kak Piah.” Kataku sambil melangkah ke bahagian beranda di dapur. Aku nampak ada mesin basuh manual kat sana. Penyidai pun di sana. Aku jenguk ke bawah, aku nampak ada padang permainan tapi aku tak nampak sesiapa sedangkan masa tu adalah waktu yang sesuai untuk riadah.

“Kenapa tak makan ni? Dah sejuk tak sedap.” Tiba-tiba terdengar suara Kak Piah mengejutkan aku dan Aliya yang sedang asyik memerhati pemandangan di belakang flat.

Aku dan Aliya tak menyahut, kami terus duduk di kerusi bersama Kak Piah yang sedang menuangkan air teh ke dalam cawan.

“Dah lama ke Kak Piah tinggal di sini?” tanyaku memulakan perbualan.

“Lama dah, dulu ayah Kak Piah belikan rumah ni untuk Kak Piah duduk kat sini masa belajar. Masa tu ramai kawan Kak Piah pun sekali kat sini. Tapi lepas habis belajar, Kak Piah pun dapat kerja dekat-dekat sini juga, tu yang terus tinggal kat sini,” kata Kak Piah.

“Keluarga Kak Piah kat mana?” tanya Aliya pula. Kak Piah termenung sekejap.

“Mereka semua dah meninggal dunia di dalam kebakaran rumah kat kampung.” Sahut Kak Piah membuatkan kami terlopong.

“Minta maaf Kak Piah, saya tak tahu,” kata Aliya terasa bersalah kerana bertanya soalan tu.

“Takpelah, apa yang nak dimaafkan. Perkara dah lama berlalu,” kata Kak Piah.

“Kak Piah kata malam ni ada pasar malam kat bawah flat ni. Sebelah depan ke sebelah belakang?” Tanyaku menukar topik.

“Kat depan. Lepas maghrib kita pergi,” kata Kak Piah.

“Bila rakan sebilik kami tu akan balik ke sini Kak Piah?” tanya Aliya.

“Mereka cuti dua minggu. Sabtu depan la baru balik kot. Korang ni bila daftar kolej?” tanya Kak Piah.

“Kami daftar hari Selasa depan. Kerja start 15 haribulan.” Sahutku.

“Oklah tu, ada masa nak kenal-kenal tempat ni dulu. Kerja kat mana? Sama tempat ke?” kata Kak Piah.

“Haah, kami kerja kat tempat kerja Paksu Aliya. Pejabat pemaju perumahan, jadi kerani cabuk je Kak Piah.” Kataku.

“Jadilah, asalkan ada kerja. Tak susahkan mak ayah. Hidup di KL ni kosnya tinggi,” sahut Kak Piah. Kami anggukkan kepala.

“Kak Piah kerja kat mana?” tanyaku.

“Kak Piah kerja kat sebuah syarikat insuran kat simpang tiga sebelum masuk ke Bandar Baru Sentul. Tak jauh sangat.” Kata Kak Piah. Kami diam sambil menghabiskan baki-baki air teh dalam cawan.

Malam tu, seperti yang dijanjikan, lepas maghrib, Kak Piah bawa kami ke pasar malam yang terletak kat hujung flat kami. Kat situ ada jalan besar. Panjang juga kawasan pasar malam tu. Macam-macam ada. Makananlah kebanyakannya. Rambang mata aku dan Aliya. Makanan yang kami tak pernah dengar pun ada.

Selesai meronda di pasar malam, Kak Piah ajak kami balik. Masa tu dah pukul 9.30 malam. Perut pun dah kenyang, mata pun dah mengantuk. Maklumlah, kami takde rehat sejak keluar dari rumah mak ayah pagi tadi.

Sampai kat rumah, Kak Piah terus duduk di depan tv sambil makan makanan yang dibelinya tadi. Aku dan Aliya pun duduk sama tapi sekejap je sebab kami dah mengantuk.

“Kak Piah, kami masuk tidur dululah ye.” Kataku minta izin.

“Iye, pergilah rehat,” kata Kak Piah.

Aku dan Aliya masuk bilik masing-masing, solat isya’, tutup lampu dan terus berbaring di atas katil. Tak lama, aku dah tak sedar dah. Dah mimpi sampai mana.

Aku tersedar bila aku terdengar bunyi benda jatuh kat ruang tamu. Aku duduk di birai katil. Cuba mendengar jika ada bunyian lain. Tiada. Dan aku berbaring semula.

Masa aku baring, aku perasan sesuatu. Dari samar-samar lampu kat luar flat tu, aku lihat ke katil bujang kat tepi dinding sana. Ada seseorang sedang berbaring di sana! Dia menghadap dinding. Aku gosok mataku berkali-kali. Dan cuba lagi untuk melihat, memang sah ada seseorang berbaring di sana.

Aku mula rasa tak sedap hati. Aku capai telefon aku. Aku nak hantar message kat Aliya. Belum sempat aku taip message, tiba-tiba aku terdengar lagi bunyi benda jatuh kat ruang tamu. Kali ni lebih kuat. Berderau darah aku. Tercampak telefon aku ke lantai. Aduh.

Aku beranikan diri meraba-raba ke lantai mencari telefon aku yang jatuh. Masa ni aku terasa seperti ada sesuatu yang sejuk menjalar kat tangan aku. Ya Allah. Aku nak menjerit tapi suara aku tak keluar. Apa benda tu? Aku tarik tangan aku dan cepat-cepat lari semula naik ke katil aku. Aku pandang keliling. Walaupun kipas berpusing laju, tapi aku berpeluh.

Masa ni aku terdengar bunyi katil kat sebelah aku berkeriut, seolah ada seseorang atau sesuatu yang bergerak di sana. Aku menoleh perlahan-lahan ke arah katil tu. Aku nampak seorang perempuan sedang duduk kat atas katil tu. Dia pandang aku. Rambutnya panjang, dia pakai baju tidur berwarna putih. Aku cuba lihat perempuan tu betul-betul, orang atau hantu.

“Siapa kamu?” perempuan tu tanya aku dengan suara garau. Itu bukan suara Kak Piah atau Aliya.

“Siapa kamu?” tanyanya lagi. Aku rasa nak menangis masa tu. Aku nampak perempuan tu berdiri, dan melangkah perlahan ke arah aku. Setiap kali dia melangkah, ada bunyi rantai seperti diseret di kakinya. Aku kaku di atas katil aku. Aku takut, takut sangat.

Aku tutup mata. Jantungku berdegup kencang. Aku hanya mendengar bunyi rantai diseret, dekat dan semakin dekat dengan aku. Aku berserah diri je sekarang ni.

Tiba-tiba bilik aku cerah. Aku buka mata. Aku nampak Kak Piah berdiri kat pintu bilik aku, memandang aku dengan wajah pelik. Aku pandang keliling bilik, aku tak nampak sesiapa atau apa-apa yang pelik.

“Kenapa Sue?” tanya Kak Piah.

“Tadi, ada perempuan kat katil tu,” kataku sambil menunjukkan ke katil sebelah.

“Mana ada sesiapa. Kat dalam rumah ni sekarang cuma ada kita bertiga je. Kamu mimpi kot, penat sangat sebab berjalan jauh siang tadi. Atau mungkin kamu belum biasa kat tempat baru,” kata Kak Piah memujuk aku. Aku diam.

-Bersambung-

One thought on “C-3-16, BBS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s