C-3-16, BBS

Bab 1

Lepas aku habis SPM dulu, aku sambung pengajian di Kuala Lumpur bersama dengan kawan aku Aliya. Aku dari Tapah, Aliya dari Batu Gajah. Dulu aku dan Aliya belajar bersama kat sebuah sekolah menengah kat Ipoh. Lepas SPM, keluarga kami pindah ke kampung. Aku dan Aliya memang rapat sejak sekolah rendah lagi. Sebab tu kami takkan putus hubungan. Mak ayah kami pun saling mengenali.

Oleh itu, kami pakat la pergi Kuala Lumpur bersama setelah dapat surat pengajian diploma kat sebuah IPTS. Kenapa ambil IPTS, sebab aku perlu belajar separuh masa. Aku perlu bekerja untuk dapatkan wang perbelanjaan aku seharian. Kesian pula nak harapkan mak ayah aku dengan gaji tak seberapa ayah aku. Adik-adik aku lagi, aku ni anak sulung. Adik bawah aku muda setahun je dari aku. Jadi, biarlah mak ayah aku tanggung adik aku sambung belajar. Tambahan pula dia lelaki. Zaman tu mana ada PTPTN ni.

Aliya ada seorang mak saudara di Kuala Lumpur. Aliya panggil dia Maksu. Aku pun ikut jugak le panggil Maksu. Maksu ni dah berkeluarga, anak pun dah tiga. Aliya sendiri pun segan nak menumpang kat rumah Maksu walaupun dah dipelawa oleh Maksunya. Mujurlah ada aku, jadi adalah alasan untuk Aliya duduk kat rumah sewa.

Maka, Maksu pun carikan rumah sewa untuk kami. Maksu kata, kat KL senang je nak cari rumah sewa. Pergi je ke Seven Eleven atau mana-mana pasaraya yang dibuka 24 jam. Di sana akan ada papan kenyataan yang dikhaskan untuk orang awam letakkan pengumuman. Maklumlah, masa tu mana ada facebook semua ni.

Akhirnya, Maksu dapat sebuah rumah sewa untuk kami. Ianya sebuah flat dengan 3 bilik di mana setiap bilik disewa oleh dua orang. Kami pun setuju je, sebab kami tak tahu apa-apa pasal KL. Yang penting sekarang ni, kami perlu cari sebuah rumah sewa yang dekat dengan tempat kami bekerja dan belajar.

Sampai hari yang dijanjikan, aku dan Aliya pun pergilah ke KL. Sampai kat rumah sewa tu, ternganga kami tengok flatnya tinggi sampai tingkat 20. Mujurlah rumah yang kami sewa tu kat tingkat 3 je, pintu nombor 16, Blok C, kat Bandar Baru Sentul.

Masa Maksu, aku dan Aliya sampai kat rumah sewa tu, lebih kurang pukul 3.00 petang, kami disambut oleh seorang perempuan dalam usia awal 30an. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Kak Piah. Katanya dia yang iklankan pasal rumah sewa tu. Dia adalah pemilik rumah tu dan memang dia sewakan kepada orang luar terutama student sebab rumah tu dekat dengan kolej. Bila mereka dah habis belajar, biasanya mereka akan keluar dari rumah tu. Ada juga yang stay lepas habis belajar tapi keluar sebab berkahwin. Jadi, bila ada orang keluar, Kak Piah akan cari penyewa baru.

“Selagi Kak Piah tak kahwin, memang bertukar ganti teman serumah Kak Piah. Itulah, kenapa jodoh sampai lambat kan?” kata Kak Piah berseloroh. Kami senyum je. Maklumlah, masih malu, masih ragu, masih gementar, masih blur sebab baru sampai kat tempat orang, baru keluar dari rumah sendiri.

“Ni pun sebab ada dua orang dah nak kahwin. Mereka dah pindahkan barang pun. Jadi, bila ada orang nak keluar, kita kena bayar balik deposit sewa mereka. Untuk bayar balik deposit sewa mereka, kita cari penyewa baru. Sewa rumah ni RM900.00 sebulan. Rumah ni ada tiga bilik, jadi satu bilik RM300.00. Satu bilik muat 2 orang. Cuma Kak Piah je yang duduk seorang kat bilik depan. Macam korang berdua ni, boleh share RM150 seorang.” Kata Kak Piah menerangkan.

“Kami boleh duduk sebilik bersama ke Kak Piah?” Tanya Aliya.

“Bilik yang kosong tu di lain-lain bilik. Bilik ni ada Mirza je. Bilik yang tu ada Nisa je. Jadi korang berdua terpaksa duduk bilik asing-asing. Sekarang ni Mirza dan Nisa takde kat rumah, mereka cuti semester, balik kampung masing-masing. Nanti mereka balik, cubalah pakat. Mana tau mereka boleh duduk sebilik, bolehlah kamu berdua duduk berkongsi bilik sama. Tapi buat masa ni, kena bilik asing la dulu. Boleh kan?” tanya Kak Piah.

“Takpe duduk bilik mana pun, asalkan dah ada rumah sewa ni. Tempat ni dah strategik, tempat belajar dekat, tempat kerja pun kena ambil satu bas je. Rumah pun nak fully furnished, tv peti ais, dapur gas, semua ada dah. Rasa susah sementara nak biasa je, dah biasa nanti tak terasa apa dah.” Sahut Maksu. Aku dan Aliya berpandangan sesama sendiri. Kami ni kalau boleh nak la duduk sebilik yang sama.

“Mirza dan Nisa tu pun student juga. Tapi mereka dah tahun akhir. Jadi bolehlah korang menuntut ilmu sikit dari senior. Cuma mungkin course tak sama la.” Kata Kak Piah. Aku dan Aliya senyum je. Nak kata apa lagi?

Lepas hampir sejam kat rumah tu, Maksu minta diri nak balik. Rumah Maksu kat Cheras. Katanya tak jauh sangat, tapi dengan keadaan jalan di KL, setengah jam boleh jadi sejam. Lagipun Maksu tinggal anak-anaknya yang masih kecil kat rumah dengan suaminya. Anak Maksu yang bongsu baru berusia lima bulan dan masih menyusu badan. Itu pasal Maksu tak boleh keluar lama sangat. Ini pun dah kira lama maksu keluar, dah la tunggu kami kat puduraya tadi hampir sejam juga sebab bas kami lambat sampai. Bawa kami makan lagi. Baiknya Maksu Aliya ni.

Lepas Maksu balik, aku dan Aliya masuk ke bilik yang Kak Piah tunjukkan. Aku sebilik dengan Mirza manakala Aliya sebilik dengan Nisa. Bilik mereka kemas je. Setiap bilik ada dua katil bujang. Ada dua almari baju dan satu meja tulis dengan 2 kerusi. Maknanya memang dah set satu bilik tu untuk dua orang.

Barang-barang yang aku dan Aliya bawa tak banyak, sebab kami tak tahu lagi macammana suasananya ketika kami sampai di KL ni. Mak dan ayah aku pun kata tak payah bawa barang banyak sangat dulu. Nanti bila semua dah ok, ayah kata dia akan datang sendiri bawa barang-barang aku yang lain naik kereta dengan mak. Iyelah, mak dan ayah aku nak juga tahu kat mana aku tinggal kan. Macam Aliya, dia ada mak saudara dia kat sini. Aku ni iyelah takde siapa. Rasanya kalau takde Aliya, memang takdelah aku datang KL ni seorang diri.

Sedang aku mengemas tu, Kak Piah datang. Dia ketuk pintu bilik yang memang aku tak tutup rapat.

“Kamu Suraya kan? Kak Piah panggil Sue je boleh kan?” tanyanya.

“Boleh je Kak Piah. Memang kawan-kawan semua panggil saya Sue.” Sahutku sambil tersenyum melihat Kak Piah yang masih berdiri di pintu bilik.

“Ok tak bilik ni?” tanya Kak Piah lagi.

“Eh, ok sangat dah ni Kak Piah. Kalau bilik saya kat kampung lagi selerak dan kecil dari bilik ni,” kataku.

“Kak Piah nak keluar sekejap. Nak pergi kedai. Sue nak kirim apa-apa ke?” tanya Kak Piah.

“Takde apa Kak Piah. Saya pun tak tahu lagi sebenarnya saya nak apa. Hahaha… Kat sini senang ke nak beli makanan?” tanyaku.

“Hari ini Sabtu, malam ni ada pasar malam kat depan jalan besar tu. Tak jauh, jalan kaki 5 minit sampai la. Kalau hari biasa, kat bawah flat kita ni, sebelah malam ada dua tiga kedai burger. Pilih je nak yang mana satu. Tapi kalau siang Kak Piah selalu makan kat pejabat je. Kalau hari cuti, Kak Piah masak.” kata Kak Piah. Aku anggukkan kepala.

“Takpelah, Sue dan Aliya rehat je dulu. Esok-esoklah Kak Piah tunjukkan sekitar sini ye. Kat mana nak cari kedai runcit, kat mana nak beli makanan semua tu. Malam nanti kita pergi pasar malam,” kata Kak Piah.

“Boleh juga,” sahutku. Gembira kerana berjumpa dengan seseorang yang baik, yang boleh aku buat kawan selain Aliya. Aku risau juga sebelum datang KL, sebab dengar khabar, orang-orang KL ni sombong, tak bertegur sapa, jiran sendiri tak kenal, masing-masing buat hal sendiri, tak peduli orang lain. Orang jahat pun ramai. Semuanya yang buruk la.

Itulah yang orang kata, tak kenal maka tak cinta. Jangan dengar cerita sebelah pihak selagi kita tengok sendiri keadaan sebenar.

Aku lihat Kak Piah melangkah ke pintu dan keluar. Aku dengar Kak Piah mengunci pintu dari luar. Aku dan Aliya pun dah diberi kunci masing-masing. Kak Piah kata, pintu rumah tu kena selalu berkunci, melainkan kami semua ada di rumah dan duduk di ruang tamu. Kak Piah kata kat KL ni macam-macam boleh berlaku. Perompak penyamun berada di mana-mana. Kita tak boleh cuai walau sekejap. Kat kampung pun banyak juga orang jahat tapi kat KL lagi banyak, tambahan orang luar pun ramai. Itulah pesan Kak Piah. Dan pesan Maksu Aliya juga.

Maksu Aliya ada kata, kalau ada orang yang nampaknya baik, tak semestinya dia baik, mungkin dia sekadar nak ambil kesempatan. Dan kalau nampak orang sombong, tak semestinya dia sombong. Mungkin dia memang taknak campur hal orang lain sebab dia ada banyak hal nak diuruskan. Mana tahu, yang sombong tu yang akan bantu kita satu hari nanti.

Apa yang penting, jaga diri baik-baik. Jaga solat, jangan bergaduh dan jangan mudah merajuk dengan kawan serumah. Itu pesan mak.

Sedang aku memindahkan baju-baju aku dari beg ke dalam almari, aku dengan suara Aliya seperti berbual-bual dengan seseorang. Aku pasang telinga. Sesekali terdengar dia ketawa.

“Aliya,” aku panggil.

“Ya Sue, kenapa?” Aliya jawab dari biliknya.

“Kau sembang dengan siapa?” tanyaku.

“Kak Piah,” jawab Aliya.

“Kak Piah?” tanyaku.

“Haah la. Kak Piah. Marilah sembang sekali,” panggil Aliya.

Aku diam sejenak. Tadi aku nampak Kak Piah dah keluar rumah. Tak sampai 5 minit pun, aku masih kat tempat sama masa Kak Piah keluar tapi aku tak nampak pun Kak Piah masuk. Rasanya pintu utama itu satu je. Kak Piah masuk ikut pintu mana?

Aku bangun. Melangkah perlahan-lahan ke pintu. Aku jenguk keluar bilik. Rumah tu tak cerah sangat, maklumlah kiri kanan dinding, hanya ada tingkap cermin kat sebelah pintu masuk. Itupun dah ditutup dengan langsir berenda-renda, maklumlah, rumah perempuan kan. Pintu pula sentiasa bertutup. Jam pukul 4.30 petang masa tu.

Aku pasang telinga, tak dengar dah Aliya bercakap. Aku melangkah perlahan ke bilik Aliya. Pintu biliknya terbuka separuh. Aku tolak pintu bilik tu, aku nampak Aliya sedang mengeluarkan baju dan memindahkannya ke dalam almari.

Aliya terkejut bila terdengar bunyi pintu biliknya berbunyi akibat ditolak oleh aku. “ Hish kau ni Sue, kot ye pun, bagilah salam. Terkejut aku,” marahnya. Dari reaksinya, memang ternyata dia terkejut.

“Hai, tadi kau yang panggil aku datang ke sini. Terkejut apanya,” kataku sambil melangkah masuk ke bilik Aliya dan mataku melilau melihat sekeliling. Lebih kurang sama dengan bilik aku.

“Bila masa pula aku panggil kau ke sini? Kau dah habis kemas baju ke?” tanya Aliya tak pandang aku pun.

“Tadi kan kau kata kau tengah sembang dengan Kak Piah. Tergelak-gelak aku dengar. Lepas tu kau panggil aku join sembang sekali,” kataku, masih membelek bilik Aliya.

“Mana ada Sue. Kau ni ngigau ke apa? Dari tadi aku seorang je kat sini. Mana ada Kak Piah.” Kata Aliya membuatkan aku pandang dia tanpa berkelip.

“Kau ni pandang aku macam tu dah kenapa Sue? Pergilah balik ke bilik kau. Seram pulak aku tengok kau macam ni,” kata Aliya menghalau aku.

Aku tak jawab apa-apa. Aku melangkah balik semula ke bilik aku sambil menggaru kepala yang tak gatal. Aku yakin aku tak mengigau. Aku yakin apa yang aku dengar tadi.

-Bersambung-

5 thoughts on “C-3-16, BBS

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s