HANTAR AKU BALIK

Bab 9

Kami semua yang berada di dalam dorm terdiam. Izzat yang baran tu pun terdiam sama. Aku tarik Adli mengundur dua tiga tapak dari pintu dorm yang terbuka luas. Adli masih menekan perut dengan muka mengerekot menahan sakit perut yang memulas.

Tiada siapa di muka pintu yang terbuka. Kami masih menunggu. Masing-masing tak berani bergerak. Menahan nafas. Masa ni rasanya kalau ada jarum jatuh ke lantai pun boleh dengar, silap gaya bunyi jarum pun macam bunyi kerusi terbalik sampai semua orang boleh terkejut.

Setelah suasana sunyi seketika, Izam bangun lalu melangkah ke pintu. “Zam, kau nak kemana?” tanya Azizi.

“Aku nak tengok la, siapa yang tolak pintu ni. Dia tunggu kat luar, kita tunggu kat dalam, sudahnya sampai subuh tak tidur nanti. Aku mengantuk ni.” sahut Izam seperti dah hilang sabar menunggu.

“Tak usahlah Zam. Dah terang-terang kita kunci pintu tadi, macammana pula boleh terbuka sendiri. Nak kata angin, takkanlah sebab dulu angin lagi kuat dari ni pun, tak pernah terbuka pintu ni kalau kita kunci,” kata Wan pula.

Izam tak peduli, dia melangkah terus ke pintu. Sampai kat pintu, dia menjenguk keluar. Masa dia menjenguk keluar tu la, aku nampak perempuan tadi merangkak secara terbalik kat atas siling. Rambutnya mengurai tergantung. Meremang bulu roma aku. Perempuan itu merangkak dan berhenti betul-betul di atas kepala Izam yang masih terjenguk-jenguk ke luar.

“Zam, lari Zam. Dia kat atas kepala kau,” aku jerit. Semua mata memandang ke atas kepala Izam tapi takde siapa yang nampak perempuan tu.

“Benda apa kat atas kepala aku? Takde apa pun,” kata Izam sambil mendongak kepalanya ke atas. Masa ni aku nampak perempuan di merapatkan mukanya ke muka Izam. Aku hilang sabar, aku berlari dan tarik Izam jauh sikit dari perempuan tu. Perempuan tu pandang aku.

“Bagi barang aku, aku lepaskan semuanya,” katanya dengan suara garau sambil memandang tepat ke arah aku.

“Tadi kau dah selongkar loker aku, kau tak jumpa kan? Maknanya barang kat tiada kat aku. Jangan kacau kami lagi,” dalam tak sedar aku menjerit memarahi perempuan yang masih dalam keadaan terbalik di siling. Semua kawan-kawan aku yang berada di dalam dorm memandang aku tanpa berkelip. Mereka pelik kot sebab aku bercakap seorang diri sambil memandang ke siling.

“Bagi barang aku. Kau tahu dimana barang aku. Kalau tidak, salah seorang kawan kamu akan menjadi korban pada malam ni,” katanya lagi sambil merangkak perlahan-lahan ke arah kawan-kawan aku yang masih ternganga melihat aku.

Aku hanya memandang ke arahnya. Dia merangkak dan berhenti di atas kawan-kawan aku yang sedang berkumpul. Aku tak mampu nak beritahu mereka tentang apa yang aku nampak sebab hanya aku yang nampak, mereka yang lain tak nampak.

Tiba-tiba je Faris melompat sambil menggosok kepalanya. “Kenapa Faris?” Zikri bertanya.

“Ada air menitis kat kepala aku,” katanya sambil memandang ke siling tempat dia duduk tadi. Dimatanya memang takde apa. Tapi di mataku memanglah ada perempuan tu sedang bertenggek di siling dengan air liurnya meleleh.

Tak lama lepas tu, loker di tepi Wan jatuh terbalik ke lantai. Yang lain sempat lari tapi Wan tak sempat, loker besi tu jatuh tertimpa kakinya. Menjerit dia bila kakinya terhimpit dengan loker tu. Beberapa orang kawan aku cuba mengangkat loker tu tapi tak boleh. Loker tu bukannya berat sangat tapi perempuan tu sedang berdiri di atasnya, menjadikannya berat.

“Bagi barang aku!” katanya memandang tepat ke arah aku. Aku terkaku seketika. Sesungguhnya aku betul-betul lupa kat mana aku letak cincin tu. Aku rasa memang kat dalam loker, tapi bahagian mana aku pun tak ingat. Sebab dia dah selongkar loker aku tadi, tapi tak jumpa. Sama je kalau aku yang selongkar loker aku sendiri.

Di satu sudut, aku nampak satu lembaga seakan pocong berdiri. Allahu. Dia berdiri betul-betul kat tepi Azizi. Sama je posisinya.

“Zizi, kat tepi kau,” aku kata. Dan tanpa banyak soal, Azizi terus melangkah ke tempat lain. Semua yang berada di situ memang dah tiada suara. Dalam keadaan kalut tu, tiba-tiba aku perasan sesuatu. Izzat sedang berdiri di atas pagar batu, bersedia untuk melompat ke bawah!

“Weh, korang, tahan Izzat. Cepat!” aku jerit membuatkan Faris, Izam, Zikri dan Azizi berlari pantas ke arah Izzat dan terus memegang tangan Izzat yang dah separuh senget nak terjun ke bawah. Perempuan tadi dalam keadaan terapung, merangkak ke arah Izzat yang sedang dipegang oleh kawan-kawan. Kawan lain yang masih berada di dalam dorm mengangkat loker yang menghempap kaki Wan. Berdarah juga kakinya kerana tercucuk dengan bahagian tajam bucu loker tu yang terkopek besinya.

Aku nampak perempuan tu menarik tangan Izzat ke bawah membuatkan Izzat kembali seakan nak terjun walaupun dipegang oleh beberapa orang kawan termasuk aku. Masa menarik tangan Izzat, perempuan tu lalu ditepi kami semua sambil meleretkan kukunya yang panjang ke leher dan tubuh kami. Mereka yang lain tak nampak tapi aku perasan mereka asyik menggosok leher mereka seperti mereka terasa ada sesuatu yang bergerak di leher mereka. Macam aku lagi la, aku yang nampak dan lutut aku menggeletar.

“Astaghfirullah!” aku terdengar suara orang menjerit dari bahagian bawah. Aku jenguk dan nampak Ustaz Ismail bersama beberapa orang murid dari dorm tingkat 2. Mungkin mereka yang memanggil Ustaz Ismail di surau.

“Ustaz, tolong. Kami tak dapat tahan lagi ni,” kata Faris. Masa ini, murid dari dorm sebelah pun dah datang membantu.

Seketika kemudian, Ustaz Salleh dan Ustaz Khairi muncul di tingkat 3. Masa ni aku nampak perempuan tu terbang agak jauh sedikit. Dia berdiri terapung di siling. Ustaz Salleh menarik tangan Izzat dan Izzat terus terduduk di tepi dinding dorm dengan wajah pucat dan dia menggeletar.

Ustaz Khairi memegang kepala Izzat dan membacakan beberapa surah lalu meniupnya ke wajah Izzat. Masa ni barulah Izzat nampak tenang sikit.

“Kau nampak dia Aiman?” tanya Ustaz Salleh. Aku menganggukkan kepala.

“Dia tak seorang, ada banyak lagi.” Kataku. Memang benar, berdiri kat depan kami sekarang ada pelbagai bentuk, pelbagai rupa.

“Dia ganggu minda kau, jangan pandang tepat ke mata mereka. Sebab itu adalah cara mereka untuk kamu ikut mereka,” kata Ustaz Salleh. Aku terus tundukkan muka.

Aku dengar Ustaz Salleh membaca Al Fatihah dan ayat-ayat Ruqyah. Aku dan kawan lain turut sama membaca pada bahagian-bahagian ayat yang kamu tahu dan hafal.

Aku nampak beberapa makhluk dengan rupa menyeramkan di depan kami hilang satu persatu. Hingga akhirnya tinggal perempuan tu sahaja.

“Aku mahu kamu tunaikan janji kamu,” katanya.

“Aku tak pernah berjanji dengan kamu,” kata Ustaz Salleh.

“Kamu berjanji andai aku dapat keluarkan cincin perak dari tempat tu, kamu bagi aku satu korban,” katanya lagi. Tapi aku nampak dia seakan lemah.

“Mana cincin perak tu?” Ustaz Salleh bertanya.

“Ada pada dia,” katanya sambil menunjukkan kepada aku. Dan serta merta dada aku berdebar.

“Maknanya ia masih tiada pada kamu. Jadi kamu belum berjaya untuk menuntut janjimu,” kata Ustaz Salleh.

“Tapi aku telah terlepas dari ikatanmu,” katanya lagi.

“Kamu cuma terlepas, tapi kamu tak dapat cari barangnya,” kata Ustaz Salleh masih berlawan cakap dengan perempuan tu.

“Kamu baliklah ke tempat kamu. Di sini bukan tempat kamu. Kamu takkan perolehi apa-apa di sini. Pergilah dengan cara baik, kalau tak, aku bakar kau dengan surah Quran,” ugut Ustaz Salleh.

Aku lihat perempuan tu terbang ke luar dari kawasan bangunan.

“Ustaz, dia dah pergi,” kataku.

“Saya nampak,” kata Ustaz Salleh.

“Ustaz nampak?” tanya aku lagi.

Ustaz Salleh menganggukkan kepala.

“Dia dah pergi maknanya dah takde apalah kan Ustaz?” tanyaku.

“Kau percaya dia dah pergi?” tanya Ustaz Salleh lagi. Dan aku menganggukkan kepala.

“Tak semudah itu. Dia akan datang balik sampai dia dapat apa yang dia nak.” Kata Ustaz Salleh.

“Jadi, macammana sekarang?” tanyaku lagi. Baru je rasa nak lega, ingatkan hantu perempuan tu dah pergi, rupanya dia menyorok je sebab kepanasan dengan surah-surah yang dibaca.

Tiba-tiba ada bau busuk. Kami semua menoleh sekeliling. Aku dah meremang bulu roma balik. Ingatkan perempuan tu dah pergi, mana tahu dia datang balik dan kali ni dengan bau yang amat busuk.

“Dia datang balik ke?” tanya Ustaz Khairi.

“Takde pun,” sahutku dan Ustaz Salleh serentak.

Kami sama-sama mencari arah bau busuk itu. Hinggalah kami terjumpa Adli yang terduduk di dalam dorm di sebelah pintu. “Ustaz, saya terbuang kat sini. Saya dah tak tahan,” kata Adli dengan wajah merah padam. Kami semua menutup hidung.

“Pengotor kamu ni, pergi ke tandas cepat. Nanti cuci balik kalau ada yang tercicir kat sini. Hish!” Kata Ustaz Ismail.

Aku pun baru teringat kat Adli, dari tadi dia dah tak tahan nak ke tandas sebab perutnya memulas. Kesian dia. Aku dan kawan-kawan lain tergelak kecil sambil geleng kepala. Jadi bahan la Adli lepas ni.

“Ambil cincin tu. Bagi saya.” Kata Ustaz Khairi tiba-tiba mematahkan tawa kami.

“Saya lupa kat mana saya letak,” sahutku dengan wajah bersalah.

Ustaz Salleh, Ustaz Khairi dan Ustaz Ismail memandang aku dengan wajah macam singa lapar.

“Pergi selongkar loker kau sekarang!” kata Ustaz Ismail sambil menjegilkan matanya kepada aku.

Dan dengan kelam kabut, aku cepat-cepat masuk ke dorm 3A yang berselerak dan mencari cincin perak tu. Aku cari dalam loker entah berapa kali tapi tak jumpa. Faris, Izzat, Izam, Wan, Azizi, Zikri dan yang lain pun turut membantu tapi tak jumpa.

“Takpelah, esok cari. Sekarang ni kamu semua turun pergi ke surau. Berehatlah di sana sementara masuk waktu solat subuh,” kata Ustaz Salleh yang memang terkenal dengan wataknya yang lembut hati terhadap murid-muridnya.

“Kami boleh tidur kat surau ke Ustaz? Mengantuk ni,” kata Azizi.,

“Tidurlah sekejap. Ingat, itu surau, bukan dorm,” kata Ustaz Salleh.

Kami pun apa lagi, cepat-cepat turun dari tingkat 3, berjalan laju terus ke surau. Masa tu jam pukul 4.30 pagi. Kami ada sejam je untuk tidur.

Tak lama lepas kami ke surau, Adli pun muncul. “Korang tak tunggu aku pun? Terketar-ketar aku masuk ke bilik tu ambil pakaian aku tau.” Rungutnya sambil menarik muka.

“Maaf Adli, kami terlupakan kamu,” kataku sambil ketawa kecil. Masih teringat keadaan dia yang terpaksa menahan memulasnya perut.

“Kau jangan gelakkan aku. Nanti aku tak bagi barang kau,” kata Adli mengugut.

“Kau dah kenapa pula nak main ugut barang pulak ni. Cukup-cukuplah perempuan tu dok kacau aku minta barang dia.” Katanya pula.

Adli keluarkan sesuatu dari dalam poket seluarnya. Cincin perak tu!

“Mana kau jumpa?” tanyaku dengan perasaan lega.

“Kat lantai tandas. Bawah sinki. Terjatuh agaknya,” kata Adli.

“Mungkinlah. Sebab aku letak dalam poket baju. Pagi tu aku nak mandi, terjatuh kot masa aku nak tanggal baju kat tandas,” kataku sambil membelek cincin perak tu. Lepas tu aku pandang keliling. Terasa-rasa macam perempuan tu berdiri kat siling memerhati aku dan bersedia nak rampas cincin tu dari aku.

“Kau pandang aku Aiman?” tanya Adli.

“Aku takut perempuan tu ada kat sini, dan nampak cincin ni,” kataku.

“Ini surau, dia takkan berani masuk sini,” kata Adli lagi.

Eh, iye tak iye jugak. Aku terlupa. Aku pun merebahkan diri berbaring di sebelah Adli. Tak sampai seminit kot, aku dah tak sedar dah.

– Bersambung –

One thought on “HANTAR AKU BALIK

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s