HANTAR AKU BALIK

Bab 8

Aku melangkah merapati Izzat. Izzat masih leka menggeledah loker aku. Sampai kat Izzat, aku tarik bahu dia. Dia menoleh dan pandang aku. Tapi rupanya agak lain. Kulitnya agak kehitaman dan matanya putih.

“Mana kau letak barang aku?” tanyanya dengan suara perempuan yang agak garau.

“Kan aku dah cakap, aku tak ambil barang kau,” jawabku berundur setapak ke belakang bila Izzat mara setapak ke arah aku.

“Kau janji nak cari barang aku. Dan kau dah jumpa, sebab itu aku boleh lepas. Tapi aku nak barang itu sebagai bukti perjanjian aku telah tamat,” kata Izzat lagi, sambil mengangkat kedua-dua tangannya dan menghalakan ke leher aku seolah mahu mencekik aku.

Aku pun apa lagi, mengorak langkah seribu ke arah pintu. Tapi pintu tu tiba-tiba tertutup sendiri. Aku jadi gugup. Aku tolak pintu tu, tapi tak boleh. Seperti ada sesuatu yang berat menahannya dari arah luar.

Aku menoleh ke arah Izzat. Dia seakan terapung. Dan bergerak menghala ke arah aku.

“Bagi barang aku, baru aku lepaskan kau.” Katanya.

Aku tak menjawab. Aku nampak ada beberapa objek yang bergerak dalam bilik tu. Dari atas loker, aku nampak makhluk seakan toyol, badannya berwarna hijau, kepala botak, perut buncit dengan gigi taring melepasi dagu.

Dari bawah katil, aku nampak makhluk seakan pocong. Di katil Faris, aku nampak pontianak seperti sedang duduk di situ. Aku pandang keliling, banyak makhluk pelik dengan rupa yang menyeramkan di dalam bilik tu.

“Kau takkan boleh keluar selagi kau tak bagi barang aku.” Kata Izzat sambil meletakkan tangannya dileher aku. Aku tak berdaya lagi. Aku hanya mampu diam dan menyerah diri. Aku pun bukannya pandai sangat nak baca doa bagai. Doa tidur pun aku tak baca, doa makan pun aku tak baca selalu. Aku tak boleh berfikir dah barang apa yang Izzat mahu, sebab dia adalah Izzat. Sejak tadi, Izzat hanya inginkan MP3 dia, tapi memang aku tak ambil MP3 dia.

Tangan Izzat mula menyentuh leher aku. Sejuk sekali tangan dia. Dan ketika ini wajahnya hampir dengan wajahku, aku dapat lihat wajah Izzat pucat kebiruan seperti berada di dalam ais dalam kadar masa yang agak lama.

Aku dapat rasa cengkaman tangan Izzat mencekik leher aku semakin kuat. Hingga aku tak boleh bernafas. Aku rasa seperti nafasku tersekat di leher.

Di masa aku rasa dunia aku makin gelap, seseorang menarik pintu dorm hingga aku jatuh terlentang. Masa ni aku rasa macam aku dapat nafas aku semula. Aku tarik nafas panjang-panjang. Aku terasa seseorang memegang tangan aku dan menggosok belakang aku perlahan-lahan.

“Aiman, Aiman, kamu ok tak? Tarik nafas perlahan-lahan. Buka mata dan lihat keliling. Istighfar,” aku dengan suara Ustaz Salleh.

Bila aku dah ok sikit, barulah aku nampak betul-betul siapa kat depan aku. Ada Ustaz Salleh, Ustaz Khairi, Ustaz Ismail, Faris dan Adli. Mereka memandang tepat ke arah aku. Ustaz Ismail pula dah macam singa nak terkam mangsa.

“Apa kamu buat kat dalam bilik ni? Kan kami dah pesan jangan masuk bilik ni,” jerkah Ustaz Ismail dengan wajah merah menyala. Ustaz Ismail ni memang berkulit cerah, putih sangat. Jadi bila dia marah atau kepanasan, memang merah menyalalah kulit mukanya.

“Saya temankan Izzat, dia kata nak ambil MP3 dia, tadi dia lupa nak ambil masa keluar dari dorm ni.” Sahutku.

“Teman Izzat apanya, Izzat ada je tidur kat dorm sebelah,” kata Ustaz Ismail, masih dengan nada marah. Ustaz Khairi menepuk bahu Ustaz Ismail, sebagai isyarat sabar. Ustaz Ismail terus bangun. Ustaz Khairi menarik aku bangun dan keadaan terduduk tadi.

Dia bawa aku ke dorm sebelah. Dia tunjukkan aku kepada seseorang. Aku nampak Izzat sedang tidur lena di atas toto.

“Tapi tadi dia ada kat sebelah,” kataku lagi.

“Dia buat apa kat sebelah tu?” tanya Ustaz Khairi lagi.

“Dia cari barang dia la,” sahutku.

“Barang dia?” tanya Ustaz Khairi semula dengan pandangan lain macam.

Dan pandangan itu membuatkan aku berfikir sejenak. Aku diam seketika.

“Tapi dia cari barang dia kat loker saya, ustaz. Saya dah beritahu dia bahawa saya tak ambil barang dia. Tapi dia tetap selongkar loker saya. Bila saya marah dia, dia marah saya balik. Dan dia cekik saya,” kataku cuba menerangkan setiap satu situasi yang terjadi walaupun aku sendiri ada rasa pelik dengan cerita aku.

“Ok, Izzat kat bilik sebelah. Habis tu yang kat sini siapa?” tanya Ustaz Khairi. Aku diam.

“Dan kenapa dia cari barang dia kat loker kamu?” tanya Ustaz Khairi lagi.

“Mungkin dia ingat saya ambil barang dia.” Kataku masih lagi nak mempertahankan cerita aku. Aku nak mereka tahu bahawa aku tak menipu.

Ustaz Khairi merapati Izzat, ditepuknya pipi Izzat berulang kali sambil memanggil nama Izzat perlahan, taknak mengganggu murid lain yang sedang tidur.

Izzat bangun sambil menggosok-gosok matanya.

“Izzat, tadi kamu ada ajak Aiman teman kamu ambil barang kat dorm 3A ke?” tanya Ustaz Khairi perlahan.

“Dorm 3A, dorm yang ada hantu tu? Memang tak la,” sahut Izzat dengan mata separuh terbuka.

“Izzat, tadi kau yang ajak aku pergi ambil MP3 kau kat dorm sebelah. Kau siap marah aku sebab aku taknak temankan,” kataku dengan nada tak puas hati, Izzat macam sengaja nak kenakan aku.

“Aiman, MP3 aku ada je kat dalam beg aku ni. Buat apa nak pergi ambil lagi?” tanya Izzat dengan nada bengang sambil menunjukkan MP3 yang berada di dalam begnya. Iyelah, siapa tak marah kalau dikejutkan ketika tidur semata untuk mengaku perkara yang dia tak buat? Aku terdiam dan garu kepala yang tak gatal.

“Aiman, apabila orang dewasa yang menjaga kamu kata JANGAN, adalah sebabnya. Maknanya ada mereka taknak kamu terjebak dalam kesusahan. Kamu sepatutnya tahu itu. Kamu dah besar kot, budak pandai lagi,” kata Ustaz Salleh. Aku diam.

“Yang kamu lihat kat dorm sebelah tu, bukan Izzat. Tapi perempuan yang sedang mencari cincin perak yang berada dalam simpanan kamu. Syaitan boleh perdayakan kita dengan pelbagai cara. Dia boleh muncul sebagai ibu kamu juga, asalkan dia dapat apa yang dia nak. Lain kali, bila terjadi begini, jumpa Ustaz. Kamu masih tak tahu betapa besarnya masalah kat sekolah ni sekarang kan?” tanya Ustaz Salleh, dengan nada lembut.

“Inipun nasib baik Faris dan Adli datang cari Ustaz Ismail sebab mereka cari kamu tak jumpa dan mereka dengar bunyi macam orang bergaduh kat dorm 3A. Kalau tak, tak tahulah apa nasib kamu malam ni. Silap gaya, kamu yang jadi mangsa korban,” kata Ustaz Salleh. Aku diam, tapi masih dalam keadaan blur.

“Sudah, kamu tidur. Jangan ke mana-mana lagi. Tutup pintu dorm ni.” Kata Ustaz Salleh sambil bangun meninggalkan kami. Aku baring semula. Faris dan Adli pun sama.

“Faris, aku nampak ada Pontianak duduk kat katil kau. Dan Adli, ada toyol bertenggek kat atas loker kau,” kataku perlahan.

“Dah la Aiman, tidurlah. Tak payah merepek malam-malam buta ni,” kata Adli dengan nada tak selesa.

“Betul, aku tak merepek. Aku nampak,” sahutku gigih nak mereka percayakan aku.

“Aiman, dulu bila kami cakap pasal hantu, kau ejek kami. Kau kata kami percaya tahyul la, karut la, khurafat bagai. Sekarang kau yang lebih,” kata Faris, juga tak selesa dengan kata-kata aku.

Aku diam. Rupanya beginilah rasanya masa aku memperlekehkan mereka dulu.

Aku berpusing ke arah Izzat. Aku pejamkan mata, cuba untuk lena. Tiba-tiba aku rasa ada sesuatu yang sejuk menyentuh tangan aku. Aku buka mata. Aku tak boleh bangun, seperti ada sesuatu yang berat sedang menghimpit aku.

Aku pandang Izzat yang tadinya sedang lena. Aku nampak Izzat tersenyum dan matanya putih memandang aku.

“Aku mahu barang aku.” Katanya Izzat. Aduh! Kenapa Izzat masih macam ni? Aku betul-betul menggigil masa ni. Aku cuba gerakkan anggota badan aku tapi tak berdaya. Semuanya terasa kebas.

Aku pejamkan mata aku. Aku cuba anggap aku sedang bermimpi. Tapi tak boleh. Aku rasa dadaku sesak, macam tak boleh bernafas. Macam jantung aku sedang ditekan. Aku buka mata, kali ni aku tak nampak Izzat, tapi aku nampak perempuan yang mencari cincinnya tu.

Aku gigihkan diri untuk dapatkan kekuatan. Dan aku berjaya. Aku bangun dan terus melaungkan azan. Sampailah seseorang memasang lampu di dorm tersebut.

“Aiman, kau dah kenapa laung azan pukul 3 pagi ni? Kau mengigau ke?” aku dengar suara Azizi merungut.

“Hantu perempuan tu ada dalam dorm ni. Tadi aku nampak dia. Dia tekan jantung aku sampai aku tak boleh bernafas,” aku memberitahu.

“Teruk sangat dah kau ni Aiman,” sahut Wan pula.

Dalam keadaan tu, tiba-tiba terdengar seseorang mengetuk pintu dorm dari luar sebanyak tiga kali. Kami semua diam kat dalam bilik tu.

“Siapa tu? tanya Izam perlahan. Masing-masing angkat bahu.

“Ustaz ke tu?” tanya Adli dari tepi pintu.

Tiada sahutan. Wan bangun lalu merapati tingkap. Dia menarik besi tingkap untuk membuka tingkap cermin berkenaan. Tapi dihalang oleh Azizi. “Kau nak buat apa tu?” tanya Azizi.

“Aku nak tengok siapa kat luar tu, mengetuk pintu bilik kita pukul 3 pagi ni,” kata Wan.

“Jangan. Biarkan saja dia. Mungkin kita semua salah dengar,” kata Adli.

“Kita ada 15 orang kot, takkan semua pun salah dengar?” tanya Luqman pula yang diam sejak tadi.

“Dahlah. Pintu dorm dah kunci kan? Takde siapa boleh masuk. Tutup lampu tu, kita tidur,” kata Izzat menyumbatkan semula earphone MP3 ke telinganya dan terus baring.

Luqman bangun dan menutup lampu. Kami semua berbaring kat tempat masing-masing. Tak sampai 10 minit, pintu dorm kami diketuk lagi. Kali ni lebih kuat. Masing-masing bangun dan duduk di tempat tidur sendiri.

“Siapa tu?” jerit Adli. Tiada sahutan. Suasana sunyi seketika.

“Siapa tu weh? Aku dah seram sejuk ni. Tak pernah lagi la orang ketuk dorm ni waktu macam ni. Kalau warden nak panggil pun, dia terus tekan siren je. Takdenya ketuk-ketuk pintu macam ni,” kata Faris yang mula menggeletar. Dia paling cepat takut.

Aku diam je. Nanti kalau aku kata mungkin itu hantu perempuan tu, mereka kata aku merepek. Jadi, aku pilih untuk diam walaupun aku dah rasa lain macam. Bulu roma aku dah meremang.

Lima minit suasana sunyi. Tapi masing-masing masih berdiam diri di tempat tidur masing-masing.

Sepuluh minit lagi, tiada bunyi ketukan lagi. Kami semua baring semula dan cuba untuk tidur. Tiba-tiba Adli tepuk tangan aku. “Aiman, perut aku memulas. Jom teman aku ke tandas.” Kata Adli sambil membongkok dan menekan perut.

“Kau tahan la sampai pagi esok. Siapa yang berani keluar dalam keadaan ni?” kataku. Memang aku takkan keluar dari bilik ni sampai aku dengar ayam berkokok.

“Tolonglah Aiman. Aku tak tahan sangat dah ni. Bila-bila boleh terbarai ni,” rayu Adli lagi, buatkan aku tak sampai hati. Susah weh nak tahan perut memulas ni.

Belum sempat aku dan Adli buka pintu, tiba-tiba sekali lagi pintu diketuk kuat dari luar. Kali ni sampai bergoyang la pintu tu, macam nak roboh.

Izzat yang hilang sabar, terus bangun. “Woi! Siapa punya kerja ketuk-ketuk pintu ni. Jangan main-main!” jeritnya membutkan semua kawan lain pun bangun. Adli pula masih berdiri menekan perut, tak tahan nak membuang tapi dalam masa yang sama takut nak buka pintu.

Tak lama lepas Izzat menjerit, pintu dorm terbuka sendiri. Kami semua yang berada kat dalam tu terpinga-pinga, macammana pintu dorm tu boleh terbuka dari luar sedangkan dah terkunci dari dalam?

– Bersambung –

3 thoughts on “HANTAR AKU BALIK

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s