HANTAR AKU BALIK

Bab 7

“Habis tu, yang si Aiman ni tiba-tiba boleh nampak semua benda-benda pelik tadi dah kenapa pulak?” tiba-tiba je Cikgu Rohiman bertanya. Aku bulatkan mata aku, haah, aku pun nak tahu juga kenapa aku nampak makhluk pelik semua hari ini.

“Perempuan tu ada jumpa kami kan? Dia minta cincin perak tu dari kamu. Selagi kamu tak bagi dia cincin tu, dia akan dera mental kamu. Kamu akan nampak semua makhluk dari alam satu lagi yang berada di sekolah ni,” kata Ustaz Ismail.

“Maknanya, dia bawa geng dia ke sekolah ni untuk ganggu kita semua selagi dia tak dapat korban yang dia nak dan cincin perak yang menajdi tanda perjanjian tu?” tanya Cikgu Rohiman.

“Dia tak perlu bawa geng, makhluk lain tu memang ada kat sekolah ni, cuma kita yang tak nampak. Alam ghaib wujud di mana-mana. Jin dan syaitan ada di mana-mana. Samada kita nak sedar atau tak je. Tapi untuk Aiman ni, mungkin ini cara dia nak beri amaran supaya beri balik barang dia, maka dia bukakan laluan untuk Aiman boleh nampak benda ni semua. Nanti bila Aiman dah tak tahan, Aiman akan beri cincin tu kepadanya.” Kata Ustaz Khairi. Cikgu Rohiman dan pengetua terus memandang keliling, terutama kat belakang kerusi pengetua yang tadinya aku kata ada lembaga hitam. Tapi sekarang lembaga hitam tu dah takde, cuma aku nampak mata seseorang di celah papan putih memandang ke arah kami.

“Kamu tengok apa tu Aiman?” tanya Cikgu Rohiman.

“Kat papan putih tu ada mata orang tengok kita,” sahutku jelas.

“Dah, jangan peduli semua tu. Fokus,” kata Ustaz Ismail sambil menepuk belakang kepala aku.

“Puan pengetua tak perlu takut atau lari darinya. Biarkan dia. Dia tak boleh buat apa-apa, jangan risau. Puan duduklah. Kita habiskan mesyuarat ni,” kata Ustaz Khari.

Pengetua akur walaupun di wajahnya ada tanda cuak.

“Sekarang ni dia nak korban je kan? Bukan cincin tu,” kata pengetua lagi masih kabur.

“Dia nak cincin tu sebagai bukti dia dah penuhi perjanjian tu. Selagi cincin tu tiada di tangannya, perjanjian itu belum dipenuhi,” kata Ustaz Ismail.

“Mana cincin tu Aiman?” tanya Cikgu Rohiman membuatkan aku terkebil-kebil cuba mengingatkan kat mana aku letak cincin tu semalam. Aku cuba mengingatkan kembali. Lepas Faris jumpa cincin tu, dia bagi kat aku. Aku bawa naik ke dorm dan aku simpan kat dalam loker rasanya.

“Nanti saya cari balik kat loker saya. Kalau jumpa nanti, saya nak bagi kat siapa?” aku bertanya.

“Kamu bagi saya tapi dia tetap akan cari kamu sebab dia dah kenal kamu. Dia takkan cari orang lain dah. Apapun jadi, jangan sampai cincin tu jatuh ke tangannya, faham?” kata Ustaz Ismail tegas. Aku anggukkan kepala. Harap-harap aku jumpalah cincin tu nanti. Kalau tak jumpa, habislah aku. Hantu cari aku, Ustaz Ismail cari aku, satu sekolah ni salahkan aku.

“Dah, jom kita pergi ambil cincin tu,” kata Ustaz Ismail. Aku bangun dan melangkah keluar dari bilik bersama Ustaz Ismail. Sebaik je aku dan Ustaz Ismail keluar, yang lain pun ikut keluar, takut kot duduk dalam bilik tu.

Aku berjalan ke blok aku, naik ke tingkat 3 dan masuk ke dorm aku. Beberapa murid sedang tidur kat katil mereka. Mentang-mentanglah takde kelas hari ini. Keadaan sekolah pun agak sunyi sebab kebanyakan murid perempuan dah balik ke rumah masing-masing setelah dimaklumkan kepada ibubapa mereka tentang hal yang menimpa anak mereka di sekolah tersebut.

Sebaik je aku melangkah masuk ke dalam dorm, aku nampak ada benda hitam terjurai dari atas siling. Aku dongakkan kepala, aku nampak perempuan tu sedang berdiri terbalik, kakinya di atas siling dan kepalanya ke bawah. Melompat aku kejap. Terkejut weh, siang buta dia boleh berdiri terbalik kat dorm aku.

“Kenapa?” Ustaz Ismail tanya aku bila nampak aku melompat dan berpatah ke belakang.

“Tu,” aku tunjukkan perempuan yang terbalik tu kat Ustaz Ismail.

“Siapa?” Ustaz Ismail tanya aku. Aku lupa pula dia tak nampak.

“Perempuan tu la, yang nak cincin tu dari saya,” kata aku memberitahu. Aku dah terbayang-bayang, kalau aku ambil cincin tu sekarang, mesti dia rampas dari tangan aku kan.

Ustaz Ismail diam. Dia masuk ke dalam dorm dan melihat ke arah siling dorm. Dia terkumat-kamit membaca sesuatu dan meniup ke arah siling. Aku nampak perempuan tu membetulkan kedudukannya, berdiri tak terbalik lagi tapi dia masih terapung-apung di udara. Dia turun perlahan-lahan dan berdiri di belakang Ustaz Ismail. Dia mengangkat tangannya yang hitam dengan kuku yang panjang lalu meletakkannya ke leher Ustaz Ismail.

“Ustaz, dia nak cekik ustaz,” jeritku.

Belum sempat Ustaz Ismail berpaling ke arah aku, perempuan tu dah cekik Ustaz Ismail. Ustaz Ismail jatuh terduduk tapi masih membaca surah Al Quran dengan nada yang kuat. Beberapa kawan aku yang berbaring di atas katil, terus bangun dan terkejut melihat aku dan Ustaz Ismail.

“Ustaz! Cikgu! Tolong!” aku menjerit dari tingkat 3 Blok Kemboja. Kebetulan Ustaz Salleh berada di pejabat warden yang terletak di tingkat bawah Blok Kemboja.

“Kenapa Aiman?” tanyanya dari tingkat bawah.

“Cepat Ustaz. Ada hantu cekik Ustaz Ismail,” jeritku lagi membuatkan Ustaz Salleh terus memanjat tangga dan naik ke dorm aku.

Masa Ustaz Salleh sampai, Ustaz Ismail terbaring kat lantai dorm tapi hantu perempuan tu dah takde. Izzat, Faris, Wan, Adli dan Izam masih duduk bersama di tepi tingkap, semua dengan muka cuak. Tak pernah aku tengok muka mereka macam tu. Nak lagi si Izzat, dia paling berani di antara kami. Aku ni bukan berani, Cuma aku tak percaya. Tapi sekarang, akibat tak percaya tu, akibat terlalu nak bukti, terlalu percaya pada teori sains, aku dapat lihat lebih dari yang aku patut lihat. Aku dapat tengok hantu weh.

Ustaz Salleh terus mendapatkan Ustaz Ismail yang seperti baru tersedar dari pengsan. Ada kesan cakaran di leher Ustaz Ismail. Tiga garisan panjang.

“Ustaz ok ke?” Ustaz Salleh bertanya. Ustaz Ismail menganggukkan kepala.

“Dia makin berani. Dan saya rasa dia masih mengenali saya,” kata Ustaz Ismail.

“Bahaya untuk budak-budak ni. Tiga garis di leher Ustaz ni, tanda amaran. Tiga garis bermaksud dia sedang marah,” kata Ustaz Salleh. Dan Ustaz Ismail menganggukkan kepala tanda setuju.

“Kamu semua pindah ke dorm sebelah menyebelah dulu. Berhimpitlah buat sementara waktu. Biar dorm ini kosong dulu,” kata Ustaz Salleh.

“Kami tak boleh balik ke Ustaz?” Izam bertanya.

“Belum lagi. Kita masih perlukan bantuan kamu dalam sekolah ni,” kata Ustaz Salleh.

Izam dan kawan lain bangun menuju ke loker masing-masing, mengambil barang keperluan dan melangkah ke dorm sebelah. Wan je yang masih kat lokernya. Katanya lokernya tak boleh buka. Loker Wan kat sebelah loker aku. Kat loker aku la ada cincin tu. Tapi Wan tak tahu.

Aku nampak ada satu makhluk seakan pocong yang selalu aku lihat dalam filem, bersandar kat pintu loker Wan. Mungkin sebab tu loker dia tak boleh buka.

“Ustaz, ada pocong bersandar kat pintu loker Wan tu, sebab tu dia tak boleh buka,” kataku berbisik kepada Ustaz Ismail. Ustaz Ismail melangkah ke arah Wan lalu menepuk pintu loker dan terus pintu loker tu boleh dibuka. Makhluk seakan pocong tadi melompat-lompat ke arah dinding dan terus hilang. Ni kalau aku beritahu Wan ada pocong kat loker dia, mahu dia minta tukar sekolah ni. Wan adalah salah seorang yang paling penakut dan paling percaya pasal hantu. Dia mesti ajak kawan teman setiap kali dia ke tandas. Katanya kat tandas banyak jin dan syaitan.

“Mana cincin tu?” tanya Ustaz Ismail.

“Ada kat dalam loker,” kataku.

“Pergi ambil,” kata Ustaz Ismail.

Baru je aku nak melangkah, Ustaz Salleh tahan aku.

“Saya rasa, jangan ambil dulu. Biar kat sana. Dia akan terus mencari cincin tu. Itu saja cara untuk kita lalaikan dia. Biar dia cari sementara kita dapat jalan untuk hantar dia balik ke alam dia.” Kata Ustaz Salleh kepada Ustaz Ismail.

Ustaz Ismail diam.

“Jangan ambil cincin tu, ambil barangan kamu je dulu. Bawa ke dorm sebelah. Biarkan dorm ini kosong,” kata Ustaz Salleh. Aku akur. Aku buka loker aku dan ambil barangan aku. Sebenarnya aku pun lupa kat mana aku letak cincin tu. Tapi sekarang aku taknak cari sebab aku takut.

Hari tu sekolah lengang dan sunyi. Semua murid di tingkatan satu hingga tiga dibenarkan pulang.Tinggallah murid tingkatan empat dan lima sahaja. Kuarter guru juga banyak yang dah dikosongkan terutama rumah yang ada anak kecil.

Lepas waktu riadah petang, kami semua kembali ke dorm untuk bersiap untuk ke surau solat jemaat maghrib. Selesai solat maghrib, kami masuk kelas untuk prep malam. Selesai prep malam, kami ke dewan makan dan sesudah itu kami kembali ke dorm untuk tidur.

Selalunya satu dorm ada sepuluh orang, tapi sebab kami dari dorm 3A menumpang di dorm lain, dah jadi sempit dorm tu. Kami terpaksa bentang tilam yang diberikan oleh Cikgu Rohiman siang tadi di lantai simen untuk tidur.

Baru nak baring, Izzat kata dia tertinggal MP3 kat dorm 3A. Izzat ni ada satu hobi, nak tidur kena pasang MP3. Kalau tak dia tak boleh tidur.

“Aiman, jomlah teman aku pergi ambil MP3 aku sekejap. Aku dah ajak yang lain, mereka taknak ikut. Mereka semua takut. Kau je Aiman yang berani sikit. Jom la,” Izzat ajak aku.

“Hish, taknaklah aku. Dah pukul berapa ni, kau nak pergi ke dorm tu? Entah apa hantu lagi ada kat dalam tu.” Kataku menolak, kali ini tak malu aku kata aku takut.

“Kau kan percaya pada sains. Mana ada hantu di dunia siber ni. Kalau ada hantu pun, dia tak boleh buat apa. Aku tak pernah dengar lagi ada orang mati dibunuh hantu,” kata Izzat mengapikan aku.

“Kalau kau dah berani sangat, kau pergilah sendiri. Buat apa ajak orang lain. Dah la, pukul 12 tengah malam dah kot. Tidur je. Esok je kita ambil MP3 kau tu.” Kataku sambil berpaling ke arah lain.

“Sampai hati kau taknak teman aku. Takpe, lain kali kalau aku makan McD, aku taknak bagi kat kau lagi,” ugut Izzat. Izzat ni kategori anak orang kaya kat sekolah tu. Ayahnya kontraktor. Duit belanjanya berkali ganda dari duit belanja aku. Handphone pun boleh mampu beli. Makanan memang dia tak kedekut. Kalau beli McD ke, KFC ke, kami semua memang boleh menumpang.

“Aku bukan taknak teman kau, aku takut Izzat. Kau tak tahu apa rasanya bila nampak benda-benda pelik yang kau tahu datang dari dunia lain. Memang dia tak boleh buat apa-apa, tapi rupa mereka tak sama dengan kita kat sini. Lain sangat. Itu yang buat mental kau lemah,” kataku cuba memujuk Izzat. Izzat tak jawab. Marah kot.

“Kalau dia tak boleh buat apa-apa, kenapa dia boleh cekik Ustaz Ismail. Ustaz kot, memang ahli agama pun kena cekik siap tinggal bekas lagi. Inikan kita yang solat pun sebab kena paksa.” Kataku lagi menguatkan fakta untuk memujuk Izzat.

Izzat taknak dengar cakap aku lagi. Dia terus bangun dan melangkah keluar dorm. Aku panggil dia beberapa kali tapi dia tak peduli. Aduh! Nak taknak aku pun bangun. Memang aku takut, tapi aku tak sampai hati biarkan Izzat pergi sendiri. Bukan sebab McD tau!

Masa aku keluar dari dorm, aku dah tak nampak Izzat dah. Lajunya dia jalan. Aku terus pergi ke dorm 3A. Pintu dorm bertutup rapat. Hish, Izzat ni, masuk kejap pun nak tutup beriya. Nak ambil MP3 je kan. Pulak tu, loker dia paling dekat dengan pintu. Tak payah la beriya tutup pintu.

Aku tarik daun pintu dorm. Gelap.

“Izzat,” aku panggil Izzat. Tiada sahutan.

Tiba-tiba aku dengar bunyi pintu loker di tutup kuat.  Izzat kot.

“Izzat, kenapa tak pasang lampu?” tanyaku. Tiada sahutan tapi memang aku dengar bunyi loker diselongkar.

Aku memberanikan diri melangkah masuk ke dalam dorm. Pergi ke arah suis lampu. Sebaik sahaja lampu terpasang, aku nampak Izzat tapi dia bukan kat loker dia, dia sedang geledah loker aku.

“Izzat, kenapa kau cari kat loker aku? Aku tak ambil MP3 kau pun,” kataku pelik.

Izzat tak mempedulikan aku. Dia terus menggeledah loker aku. Beberapa barangan aku yang berada di dalam loker tu pun dicampaknya keluar. Panas pulak hati aku. Kot iye pun marah sebab aku taknak temankan, tak payahlah selongkar loker aku.

– Bersambung –

One thought on “HANTAR AKU BALIK

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s