HANTAR AKU BALIK

Bab 6

“Kamu jangan macam-macam Aiman.” Kata Cikgu Rohiman seakan memberi amaran. Aku diam.

“Dah, kamu duduk kat sofa tu, jangan ke mana-mana,” kata Ustaz Ismail. Aku akur. Selesa gak duduk kat sofa empuk kat bilik kaunseling ni. Rasa macam boleh lena ni. Dah la kuasa mata aku tinggal 20% je dalam paras sedar ni.

Aku bersandar. Aku tutup mata tapi aku pasang telinga.

“Maksud ustaz, benda tu memang berada kat dalam sekolah ni sejak tujuh tahun lepas?” kata Pengetua, Hajjah Noraini. Pengetua tu mula berkhidmat di sekolah aku masa aku di tingkatan 2.

“Saya dan Ustaz Khairi dah ‘ikat’ dan ‘kurung’ dia. Sepatutnya ‘benda’ tu bangun semula lepas lima tahun tapi kami dah ‘kurung’ dia elok-elok. Lepas lima tahun, bila ‘benda’ tu tak muncul, kami ingat dia takkan muncul terus. Di atas kecuaian ini, kami dah lupakan dia.” Kata Ustaz Khairi.

“Tapi biasanya benda macam ni takkan muncul kalau dah di’kurung’,” sahut Ustaz Salleh. Ustaz Salleh juga mula berpindah ke sekolah aku pada masa aku di tingkatan dua. Maknanya dalam kumpulan lima orang tu, hanya Ustaz Ismail dan Ustaz Khairi saja orang lama di sekolah tu.

“Saya syak ada orang dah lepaskan dia,” kata Ustaz Khairi.

“Siapa? Macammana?” tanya pengetua.

“Itu yang kita perlu siasat ni.” Kata Ustaz Khairi.

“Ok, kita mulakan dari akar. Apa punca sebenar benda tu wujud kat dalam sekolah ni?” kata Cikgu Rohiman yang diam sejak dari tadi memandangkan dia adalah guru paling muda dan paling baru di sekolah tu, baru setahun berpindah ke sekolah tu, mengajar subjek Bahasa Melayu. Hensem cikgu ni, baik pula tu. Mungkin sebab dia masih muda, jadi dia boleh bergaul dengan kami macam abang adik.

“Asalnya dari pelajar kita jugalah. Adalah yang nakal sikit tu. Naluri anak remaja, semua nak dicuba. Tak fikir akibat. Mereka bermain permainan ‘Spirit of the Coin’ tu. Tahu tak permainan tu?” kata Ustaz Ismail.

“Permainan yang letak syiling kat atas kertas, lepas tu letak jari telunjuk dan seru semangat syiling tu?” tanya Cokgu Rohiman.

“Iyelah, masa tu permainan ni sangat terkenal kat merata-rata terutama sekolah,” kata Ustaz Ismail.

“Tapi betul-betul ada semangat ‘benda’ tu ke permainan tu? Saya rasa macam takde apa je, macam mainan minda je,” kata Cikgu Rohiman. Dia pun lebih kurang aku, tak percaya benda-benda karut ni selagi tak nampak depan mata. Kami bukan menolak alam ghaib, cuma kami yakin setiap sesuatu yang ganjil berlaku, pasti ada penyebabnya.

 “Saya pun tak pasti. Kita nampak macam takde apa. Tapi itulah yang terjadi,” kata Ustaz Ismail.

“Lepas tu, apa yang terjadi?” tanya pengetua.

“Mereka bermain dalam kelas. Ada lima orang pelajar perempuan dalam kelas 2 Miu. Seru punya seru, syiling tu bergerak. Mereka tanya dia siapa. Katanya murid sekolah ni juga. Meninggal kenapa? Katanya bunuh diri sebab result PMR tak sampai target dia. Macammana bunuh diri? Terjun dari blok Kemboja.” Kata Ustaz Khairi mengimbau kembali kisah tujuh tahun lepas.

“Blok Kemboja? Mana ada Blok Kemboja kat sekolah ni,” kata pengetua.

“Blok Wira tu dulu adalah blok asrama murid perempuan. Disebabkan kes inilah, pengetua masa tu tukarkan Blok Kemboja tu jadi Blok Wira, blok murid lelaki. Tapi kisah ni memang tak dihebahkan sebab takut nanti murid atau ibubapa tak berani masuk ke sekolah ni.” Kata Ustaz Ismail.

“Apa jadi kat murid yang bermain semangat syiling tu?” tanya Cikgu Rohiman.

“Mereka tu asalnya main untuk suka-suka. Tapi bila dah bermain lebih kurang lima belas minit, cikgu yang mengajar pun dah nak masuk kelas. Mereka mintalah semangat tu balik. Tapi semangat syiling tu taknak balik. Katanya dia taknak balik. Dah paniklah budak-budak tu. Kena pula cikgu yang akan masuk tu adalah cikgu paling garang kat sini dulu. Cikgu Ehsan. Dia pun mohon tukar sekolah sebab kejadian ni.”  Kata Ustaz Khairi.

“Bila ketua kelas jerit, Cikgu sampai, murid yang sedang bermain ni panik. Mereka terus angkat jari masing-masing dan lipat kertas permainan tu, simpan kat bawah meja.” Sambung Ustaz Ismail.

“Habis tu?” tanya pengetua.

“Mula-mula takde apa, lepas lima belas minit, salah seorang dari mereka mula berkelakuan pelik. Dia bangun dan berdiri kat atas meja. Cikgu Ehsan pun terkejut. Dia ketawa dan menangis. Lepas tu lari keluar dari kelas. Kalut jugaklah sekolah masa tu. Cikgu Ehsan cepat-cepat suruh budak lelaki pergi kejar dan tangkap murid perempuan tu. Emelda namanya. Bila dapat ditangkap, lima orang memegang tapi terpelanting semuanya. Kuat betul tenaganya. Akhirnya mereka terpaksa ikat dia di tiang lampu sebab itu je yang paling dekat yang mereka mampu tarik dia. Masa ni tiada siapa sangka ianya adalah berpunca dari permainan tu.” Kata Ustaz Khairi.

“Sampailah Cikgu Ehsan menelefon saya untuk datang ke tempat mereka ikat Emelda. Kebetulan masa tu saya baru je balik dari mesyuarat dengan PPD, memang lalu kat tempat mereka ikat dia. Masa tu tiada siapa berani buka mulut beritahu bahawa mereka ada bermain permainan semangat syiling tu, sampailah saya sergah semua murid yang berkerumun kat situ. Ada seorang murid beritahu mereka ada bermain permainan tu sebelum Cikgu Ehsan masuk.” Kata Ustaz Ismail.

“Saya memang marah sangat masa tu. Mujur Ustaz Khairi sampai. Dialah yang menenangkan suasana.” Kata Ustaz Ismail.

“Roh yang merasuk tu kata, dia mahukan korban. Setiap lima tahun seorang murid. Syaitan, memang mahu kita berada di bawah telunjuknya. Dia memang mahu kita turutkan kehendaknya. Jadi, kita bagi apa yang dia nak dengan syarat dia perlu tunggu sehingga ada sebentuk cincin perak keluar dari dalam tanah di kawasan dia sedang diikat. Dan dia setuju. Syaitan ni berpegang pada janji, bukan macam kita manusia. Dan dia berusaha juga untuk dapatkan apa yang dia nak, walaupun seribu tahun, dia tak pernah putus asa.” Kata Ustaz Khairi.

“Memang ada tanam cincin perak ke masa tu?” Cikgu Rohiman bertanya.

“Takde, kami cuma tipu dia dengan menanam sebiji batu kecil kat situ,” sahut Ustaz Khairi.

“Tapi dengan cara itulah, roh tu meninggalkan tubuh Emelda,” kata Ustaz Ismail.

“Dan selepas kejadian tu, kami bina pondok riadah kat atas tempat roh tu keluar dari badan Emelda. Dengan harapan dia takkan dapat cari cincin perak kat situ,” sambung Ustaz Ismail lagi.

“Lepas lima tahun, tiada apa yang terjadi. Jadi, kami ingat dia dah tiada atau memang dia akan terikat terus kat situ menanti cincin perak tu. Mana tahu hari ini dia keluar.” Kata Ustaz Khairi.

“Tapi ustaz yakin memang ‘benda’ itulah yang mengganggu sekarang ni? Bukan benda lain?” tanya pengetua inginkan kepastian.

“Saya yakin sebab masa murid perempuan kat blok Teratai meracau, mereka asyik menyebut bahawa dia mahu kita tunaikan janji kita kerana dia dah tunaikan janji dia. Dia mahu seorang murid sebagai korbannya,” kata Ustaz Ismail.

“Macammana dia nak korbankan murid?” tanya pengetua.

“Mungkin ada murid lain yang bunuh diri lagi, kita tak tahu,” kata Ustaz Ismail.

“Jadi, apa kita patut buat sekarang?” tanya pengetua lagi.

“Perkara pertama, kita kena cari macammana dia boleh keluar dari ikatan perjanjiannya?” kata Ustaz Khairi.

“Mungkin dia dah jumpa cincin perak tu?” kata Cikgu Rohiman.

“Itulah yang saya maksudkan bahawa ada orang dah lepaskan dia,” kata Ustaz Khairi.

“Tapi tadi ustaz kata takde pun tanam cincin perak kat situ. Macammana pula boleh ada cincin perak kat situ?” tanya pengetua lagi.

“Cincin perak tu hanya kiasan. Takde pun. Tapi dia pegang pada janji, dia cari cincin perak. Dan kebetulan, mungkin entah dari mana, ada cincin perak sesiapa tercicir kat situ, tu yang dia usaha cari tu. Untuk dapatkan apa yang dia nak dari kita,” kata Ustaz Khairi.

“Ini peringatan untuk kita bersama, jangan sesekali buat perjanjian dengan syaitan, tak kiralah apapun tujuannya,” kata Ustaz Ismail dengan wajah kesal kerana terlalu ambil remeh lalu terlepas pandang akan hal ini.

“Cincin perak?” tiba-tiba je Ustaz Salleh bersuara setelah lama berdiam diri.

“Iye, cincin perak. Ustaz ada terdengar apa-apa cerita ke pasal cincin perak dua tiga hari ni?” tanya Ustaz Ismail.

Ustaz Salleh memandang ke arah aku yang sedang buat-buat tidur kat sofa. Sebenarnya memang aku nak penat dan boleh lena bila-bila je tapi cerita cikgu-cikgu tu menarik minat aku sampai aku tak boleh lena. Dan berani ke aku nak lena betul-betul dengan berdengkur dan air liur meleleh kat situ, di masa ramai ramai guru garang ada kat situ? Sekali pengetua pun ada kat situ.

“Aiman, saya tahu kamu tak lena. Kamu dengar semuanya kan?” kata Ustaz Salleh. Nak taknak aku buka mata.

“Kamu kan yang sibuk sangat cari cincin perak tu semalam. Ustaz dengan Wan siap tolong carikan.” Kata Ustaz Salleh membuatkan semua mata tertumpu ke arah aku. Sekarang aku rasa aku terlepas dari mulut buaya tapi dah masuk ke mulut naga.

“Kamu cari cincin perak untuk apa Aiman?” tanya Ustaz Ismail. Terkebil-kebil mata aku melihat lima pasang mata kat depan aku. Seramnya lebih dari aku tengok lembaga hitam besar kat belakang tempat duduk pengetua tadi. Sekarang aku faham maksud seram yang sebenarnya.

“Kenapa aku terkebil-kebil kat situ Aiman? Jawablah Ustaz tanya tu,” kaa Cikgu Rohiman.

“Katanya ada seorang murid perempuan yang minta dia tolong carikan cincin perak kat situ. Dia kata cincin perak itu adalah pemberian ayahnya. Terjatuh kat situ masa dia sedang study.” Kata Ustaz Salleh tolong menjawab bagi pihak aku yang masih terkebil-kebil kat sofa tu.

“Murid perempuan mana Aiman? Kamu senior kat sini, takkan kamu tak kenal junior kamu,” kata pengetua pula.

“Saya tak cam. Memang rasanya macam tak pernah tengok tapi dia tak pakai tudung masa tu. Saya ingat mungkin mukanya nampak lain bila tak pakai tudung. Lagipun saya bukannya perhati sangat semua murid perempuan kat sekolah ni, cikgu,” kataku menjawab perlahan.

“Macammana rupanya?” tanya Ustaz Khairi.

“Dia pakai baju kurung. Rambutnya panjang sampai pinggang ikat ekor kuda tu. Kulitnya putih, nampak macam tingkatan 3, kecil je orangnya,” kataku lagi membuatkan Ustaz Khairi dan Ustaz Ismail berpandangan sesama sendiri.

“Kamu tahu peraturan sekolah kan? Lepas prep tak boleh berkeliaran kat luar dorm. Dan murid perempuan wajib bertudung, melainkan murid orang asli. Kalau murid orang asli sekalipun, mereka tak boleh melepaskan rambut sesuka hati macam yang kamu cakap tu. Kena kemas,” kata pengetua. Aku diam.

“Dua malam lepas, Ustaz tegur kamu kat pondok sebelah kelas, kamu kata ada murid perempuan kat situ tapi ustaz tak nampak pun murid perempuan tu. Yang itu ke?” tanya Ustaz Khairi lagi.

“Iye. Murid perempuan tu la,” jawabku.

“Saya rasa memang dia. Dia kena cari jalan untuk hantar dia balik ke tempat dia. Tak boleh dah main janji, kurung atau ikat dia. Kena hantar dia balik. Kalau tak, dia akan menyusahkan sekolah kat sekolah ni,” kata Ustaz Ismail.

“Hantar dia balik ke mana?” tanya pengetua, seperti masih kurang jelas dengan suasana itu, atau mungkin dia dah panik bila tahu cerita sebenar.

“Kita hantar dia balik ke alam dia. Dia terkurung di alam kita sejak murid-murid tu seru semangatnya melalui permainan tu.” Kata Ustaz Salleh yang semakin tahu punca kejadian di sekolah pada hari ini.

“Sementara itu, arahkan semua murid perempuan balik ke rumah masing-masing dulu, hingga semua masalah ni selesai,” kata pengetua.

“Murid perempuan je? Murid lelaki?” entah dari mana keberanian aku datang untuk bertanya begitu kepada pengetua.

“Murid perempuan semangatnya tak kuat. Murid lelaki mungkin boleh membantu apa yang patut,” kata Cikgu Rohiman sambil menepuk belakang aku.

– Bersambung –

 

One thought on “HANTAR AKU BALIK

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s