HANTAR AKU BALIK

Bab 4

Aku memandang keliling. Aku jenguk bawah katil. “Faris, kau dah tidur ke?” aku panggil perlahan tapi tiada sahutan.

Aku baring semula. Cuba untuk tidur, pejamkan mata rapat. Cuba kosongkan fikiran aku. Tapi bayangan perempuan tu tak dapat aku lupakan, berlegar-legar dalam kotak fikiran aku.

Tiba-tiba aku dengar bunyi katil Izzat berkeriut. Katil Izzat adalah di tingkat atas katil aku. Katil dua tingkat kan. Aku lihat dari bawah, katil Izzat bergegar membuatkan aku turut sama bergegar. Sedangkan selama hari ini tak pernah pun aku dengar katil Izzat berkeriut kuat  kalau dia beralih. Lagipun Izzat tu bukannya gemuk sangat.

Dalam cahaya suram, aku nampak sesuatu yang bergerak ke tepi katil Izzat dari atas katilnya. Seperti ada wajah yang menjenguk aku dari atas katil Izzat. Aku terasa seperti ada yang memerhati aku dari atas sana.

“Izzat?” aku panggil perlahan. Tiada sahutan. Tapi aku dengar bunyi nafas turun naik dan aku terasa ada angin menghembus ke telinga kiri aku. Aku buka mata luas sikit. Kali ini aku nampak sesuatu seperti rambut yang panjang, menjenguk dari atas katil Izzat.

“Bagi barang aku,” aku dengar suara perempuan tadi. Aku cuak dah. Lembaga yang menjenguk aku dari atas katil Izzat masih tergantung kat sana. Aku cuba angkat kaki, tapi kaki aku berat. Tangan aku tiada rasa. Aku nak jerit tapi tekak aku seperti dicekik, tak boleh bersuara. Aku cuba meronta, tapi seluruh tubuh aku terasa kebas, tak boleh bergerak. Yang aku mampu cuma membuka dan menutup mata aku. Melihat lembaga perempuan dengan rambut panjang kat atas katil Izzat sedang memandang aku dengan mata hitamnya. Aku tak mampu menggerakkan kepala aku pun.

Sedang aku berusaha melepaskan diri dari kubu imaginasi aku tu, tiba-tiba pintu dorm terbuka. Aku nampak Izzat masuk. Masa ni aku mampu menggerakkan badan aku. Aku terus bangun dan berdiri di tepi katil lalu menjenguk ke katil Izzat.

“Kau cari apa kat katil aku tu?” tanya Izzat.

“Kau ke mana?” aku tanya Izzat tanpa menjawab soalannya.

“Aku ke tandas,” sahut Izzat.

“Bila kau keluar?” tanyaku lagi.

“Tadi. Eh, yang kau tanya banyak ni dah kenapa? Kau beriya memanjat jenguk katil aku tu pulak kenapa?” tanya Izzat, tak suka bila aku banyak tanya.

“Aku tak perasan bila kau keluar. Sebab aku baru je datang dari luar dan belum tidur. Tak nampak pula kau turun dari katil dan keluar dorm,” sahutku tapi mata aku masih melilau melihat katil Izzat dan bawah katil juga.

“Kau cari apa kat katil aku?” tanya Izzat lagi.

“Tadi ada benda lain kat katil kau ni,” kataku.

“Benda lain apa pula kau ni Aiman? Dahlah, ke tepi. Aku nak tidur. Dah pukul 4.30 pagi kot.” Kata Izzat sambil memanjat katilnya di tingkat atas membiarkan aku yang masih termangu-mangu berdiri kat tengah dorm tu.

“Tidurlah Aiman. Kau berdiri kat tengah dorm ni, ada yang terkejut beruk kang.” Kata Izzat lagi.

Aku pun terus kembali ke katil aku dan baring. Mujur aku boleh lena, penat sangat kot.

Tapi tak lama aku dapat lena. Lebih kurang pukul 5.30 pagi terdengar bunyi siren  dari pejabat warden dibunyikan. Pejabat warden tu pula kat tingkat bawah blok kami. Kami semua bangun sambil menggosok mata. “Kenapa pulak ni?” aku dengar suara Adli merungut.

Aku bangun dan membuka pintu dorm. Beberapa kawan aku dari dorm sebelah menyebelah pun dah keluar dari dorm dengan muka baru bangun tidur.

“Kenapa?” aku tanya Zarul yang keluar dari dorm 3B. Zarul hanya angkat bahu. Aku jenguk ke tingkat bawah. Aku nampak beberapa guru perempuan dan lelaki sedang berlari-lari menuju ke arah Blok Teratai iaitu blok asrama murid perempuan.

“Kenapa Aiman?” tanya Zam dan Adli yang keluar serentak dari dalam dorm. Aku angkat bahu. Kami sama-sama menjenguk ke bawah dengan suasana subuh yang diterangi dengan lampu spotlight di tepi blok bangunan.

Aku nampak Ahmad sedang berjalan di tingkat bawah. Aku jerit dari atas. “Ahmad, kenapa?”

“Ada budak perempuan menjerit-jerit kena rasuk kot,” jerit Ahmad dari tingkat bawah.

Aku diam. Aku berjalan semula masuk ke dorm. Semua orang yang berada di dalam dorm tu dah bangun. Lampu dorm pun tak terpasang.

“Kenapa Aiman?” tanya Azizi.

“Entah, Ahmad kata ada budak perempuan kena rasuk,” sahut aku sambil berbaring semula di katil aku. Kepala aku pening, mungkin sebab tak lena tidur semalam.

“Habis tu, kita nak buat apa ni?” tanya Izzat.

“Mana aku tahu. Selagi warden atau cikgu tak panggil, kita buat macam biasa je la kot. Mandi, solat Jemaah kat surau, ambil sarapan dan masuk kelas,” sahutku masih pejamkan mata. Berpusing-pusing rasanya dalam kepala aku ni.

Tak lama kemudian, Zikri menjerit dari tingkat bawah, memanggil kami semua keluar dari dorm masing-masing dan cikgu minta bantuan segera kat Blok Teratai. Kelam kabut je bunyinya. Aduhai, aku baru je nak rehat sekejap.

Faris tarik tangan aku. “Jom Aiman. Lambat kang kena denda lari satu padang pula. Aku dah la pening tak cukup tidur ni,” katanya. Nak taknak, aku terpaksa bangun. Aku dan Faris yang terakhir keluar dari dorm kami. Murid lain semua dah berlari turun dari tingkat atas.

Aku dan Faris melangkah ke Blok Teratai sebab Zikri kata Ustaz Ismail dan Ustaz Khairi tunggu kami semua kat sana. Ahmad cakap, ada budak perempuan kena rasuk kat Blok Teratai. Panggil kami ni nak buat apa. Kami ni bukannya pandai mengubat orang kena rasuk pun. Hati aku merungut-rungut.

Sampai kat tangga tingkat bawah Blok Teratai, kelihatan Ustaz Ismail dan Pakcik Musa sedang berbincang. Wajah masing-masing serius. “Naik ke tingkat atas, tolong Ustaz Salleh, dan beberapa cikgu lain pegang murid perempuan yang hysteria. Tenaga mereka kuat. Tolong jaga aib kawan-kawan perempuan kamu” kata Ustaz Ismail.

“Aiman dan Faris, tunggu sini. Ustaz nak tanya sikit,” kata Ustaz Ismail sambil memandang kami macam kami dah buat salah. Masa ni pening aku hilang bila teringatkan Pakcik Musa terlihat aku dan Faris berdiri kat kaki lima dorm tengah malam semalam. Aduh, takkanlah masa gawat macam ni pun Ustaz Ismail masih nak denda kami sebab berada di luar dorm pada waktu yang tak dibenarkan.

“Pakcik Musa kata semalam kamu berdua berdiri kat kaki lima dorm kat tingkat 3 pukul 3 pagi, betul ke?” tanya Ustaz Ismail. Faris dan aku berpandangan sesama sendiri. Nak tipu pun tak boleh sebab Pakcik Musa ada kat tepi Ustaz Ismail.

“Ustaz tanya ni, jawablah,” tanya Ustaz Ismail lagi.

“Iye Ustaz,” aku jawab.

“Kamu buat apa kat luar sana waktu tu?” tanya Ustaz Ismail lagi. Sekali lagi aku dan Faris berpandangan sesama sendiri.

“Ustaz tanya ni. Jangan selindung apa-apa. Beritahu saja,” kata Ustaz Ismail dan kali ni suaranya lebih tegas.

“Kami nampak hantu, Ustaz,” laju je Faris jawab.

“Hantu apa?” tanya Ustaz Ismail.

“Perempuan, mula-mula dia berjalan mundar mandir kat kaki lima dorm kami. Lepas tu dia panjat pagar batu tu dan terjun ke bawah. Bila kami keluar dan lihat ke bawah, takde siapa dan tiba-tiba je perempuan tu berdiri kat tepi kami. Kakinya tiada, dia terapung sampai ke siling,” cerita Faris terus terang. Dia memang takut dengan Ustaz Ismail sebab dah selalu kena rotan sebab ponteng solat Jemaah dan tidur dalam surau masa orang baca yasin.

“Macammana rupanya?” tanya Ustaz Ismail lagi.

“Dia pakai baju kurung, rambut panjang sampai pinggang. Matanya hitam, takde mata putih. Jarinya hitam macam terbakar,” kata Faris. Wah, dalam terketar-ketar dia semalam, sempat dia meneliti perempuan pelik tu.

“Dia ada cakap apa-apa?” tanya Ustaz Ismail lagi.

“Dia minta barang dia. Dia cakap cincin kalau tak silap saya,” sahut Faris lagi membuatkan wajah Ustaz Ismail berubah.

Seketika kemudian, terdengar suara Ustazah Aini dari tangga memanggil Ustaz Ismail.

“Ustaz, makin ramai pula ni. Macam kena pisahkan dengan yang lain,” kata Ustazah Aini.

“Kamu pergi panggil beberapa orang kawan kamu lagi datang sini cepat,” kata Ustaz Ismail sebelum dia berlari menaiki tangga ke tingkat atas Blok Teratai.

Aku dan Faris pun cepat-cepat berlari ke blok kami semula dan memanggil beberapa orang murid lelaki yang masih berada di dalam dorm mereka. Selepas itu kami turut sama ke Blok Teratai. Jelas kedengaran suara beberapa murid perempuan yang menjerit. Dari tepi bangunan, kami dapat lihat beberapa murid yang memanjat pagar batu dan seolah nak melompat dari sana. Aku pula yang gayat dan seriau melihat mereka. Cepat-cepat kami berlari menaiki tangga ke tingkat 3. Nampaknya murid di tingkat 2 masih belum terkena tapi tanda-tanda tu macam dah ada kerana dah ada yang mula bercakap dan ketawa seorang diri, yang menangis pun ada, Cuma mereka masih duduk diam di posisi masing-masing dan tidak bertindak ganas.

Aku dan Faris terus naik ke tingkat 3. Aku nampak beberapa kawan perempuan aku menjerit-jerit dan menarik rambut mereka sendiri. “Faris, Aiman, tarik mereka semua masuk ke dorm. Kita kunci mereka di dalam dorm. Cepat!” kata Ustaz Salleh.

Aku dan Faris pun terus menarik tangan beberapa murid perempuan yang berada di luar dorm. Betul kata Ustaz Ismail, tenaga mereka amat kuat. Aku dan Faris berdua pun mampu ditolak oleh Aliah masa kami menarik dia untuk masuk ke dalam dorm. Terpelanting aku dan Faris. Sakitnya pinggang aku terhentak kat dinding.

Kemudian datang beberapa orang kawan kami lagi untuk membantu. Empat orang lelaki pun belum mampu menarik seorang murid perempuan yang terkena hysteria. Sepanjang hidup aku, aku tak pernah lihat orang yang terkena hysteria. Selalunya aku dengar je orang bercerita. Mereka kata histeria ni gangguan jin tapi aku tak percaya. Pada aku, histeria ni kesan gangguan emosi yang tak stabil akibat dari masalah peribadi yang berat.

Tapi itu kalau seorang. Sekarang ni dah ramai yang terkena histeria, takkan semua pun ada gangguan emosi yang sama? Lebih kurang 18 orang kot. Atau mungkinkah kerana mereka amat tertekan dengan pelajaran dan peperiksaan SPM yang bakal kami hadapi hujung tahun nanti? Aku pun dah gagal mencari teori bila melihat keadaan kat Blok Teratai sekarang ni.

Dengan bersusah payah, akhirnya kami dapat mengumpulkan kesemua murid perempuan yang histeria di dalam dorm dan mengunci mereka. Masa tu dah pukul 6.30 pagi, semua pun belum sempat solat subuh. Murid-murid yang histeri masih menjerit dan menangis di dalam dorm, mencuba sedaya upaya untuk lari keluar dorm. Mata mereka melilau ketakutan seolah melihat sesuatu yang berterbangan di dalam dorm tersebut. Aku pula naik cuak dan sama-sama melihat ke siling dorm, nak juga tahu apa yang mereka lihat. Tapi Ustaz Khairi tolak kepala aku dari arah belakang. “Jangan tengok sana sini. Tengok ke depan je, berdiri diam kat situ.” katanya separuh berbisik. Dalam kekalutan itu, aku dengar Ustaz Ismail melaungkan azan.

Setelah habis azan, kesemua murid yang histeria tadi seperti sedang bangun tidur, masing-masing menggosok mata dan wajah mereka seolah mereka tak tahu apa yang dah terjadi. Mereka terkejut bila melihat beberapa guru dan murid lelaki dalam dorm mereka dengan keadaan mereka tak berpakaian sempurna. Cepat-cepat aku mengajak kawan-kawan lelaki lain untuk keluar dari dorm tersebut.

“Kita solat subuh bergilir-gilir, sementara itu, bawa kesemua murid perempuan dari dorm ni ke padang kecil belakang blok ni. Mereka perlu dimandikan.” Terdengar suara Ustaz Salleh bersuara. Aku pun mengajak kawan-kawan aku balik ke dorm kami, solat subuh dan bersiap untuk ke kelas macam biasa.

Masa aku kat surau, aku nampak Ustaz Khairi dan Ustaz Ismail kat tempat ambil wudhu. Sengaja aku lalu di tepi mereka. Serius mereka berbincang. Mereka tak hiraukan murid yang lalu lalang.

“Dah tujuh tahun kan? Rasanya ada orang dah lepaskan dia,” aku terdengar Ustaz Ismail bercakap seakan berbisik kepada Ustaz Khairi.

“Kita dah ikat dia, takkan terlepas? Mungkin benda lain,” kata Ustaz Khairi.

“Kita selesaikan murid yang histeria tu dulu. Moga tak berlarutan. Lepas tu kena buat sesuatu. Kena cari dalangnya. Samada benda lama atau benda baru.” Kata Ustaz Ismail sambil melangkah masuk ke surau.

‘Lepaskan dia? Dah ikat? Dalang? Benda lama? Benda baru?’ kepala aku laju memproses kata-kata Ustaz Ismail dan Ustaz Khairi sebentar tadi. Tapi aku tak dapat jawapannya. Nak tanya, nanti kena sound pulak sebab curi dengar mereka berbincang.

– Bersambung –

One thought on “HANTAR AKU BALIK

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s