HANTAR AKU BALIK

Bab 3

“Kau pergi mana Aiman?” tanya Izzat sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dorm.

“Aku jumpa pelajar perempuan yang aku beritahu kau semalam. Kat pondok tu juga. Katanya dia cari barang yang jatuh kat situ. Sebab tu dia selalu ke pondok tu,” kataku sambil menukar baju. Izzat memang dah terbaring di atas katil. Kawan lain semuanya dah tidur.

“Siapa dia? Kelas mana?” tanya Izzat.

“Itulah masalahnya, aku dah jalan separuh baru aku teringat nak tanya nama dia. Tapi bila aku toleh semula, dia dah takde. Laju sungguh dia lari,” sahutku.

“Kau yakin ke dia pelajar sekolah ni?” tanya Izzat lagi.

“Entahlah. Aku rasa macam aku tak pernah nampak dia. Tapi dia kata dia pelajar sekolah ni.” Sahutku.

“Apa barang yang dia cari tu?” tanya Izzat lagi.

“Cincin perak pemberian ayahnya. Dia terjatuhkan kat situ. Cuma aku pelik, kenapa dia kena cari cincin tu waktu malam? Memanglah susah nak cari,” kataku sambil menutup pintu loker aku dan baring di atas katil aku yang bersebelahan dengan katil Izzat.

“Habis tu, kau kata apa kat dia?” tanya Izzat lagi.

“Aku kata esok siang aku tolong dia carikan. Kalau jumpa nanti aku beri kat dia,” sahutku.

“Kau nak beri kat dia macammana?” tanya Izzat.

“Katanya malam esok kat pondok tu juga, dia akan tunggu aku,” sahutku.

“Kenapa kena jumpa sebelah malam? Kenapa mesti kat pondok tu. Jumpa je kat dewan makan tak boleh?” tanya Izzat.

“Entahlah Izzat. Aku pun taknak banyak tanya. Nanti kalau Ustaz Khairi atau Ustaz Ismail lalu kat situ, nampak aku dengan pelajar perempuan kat situ pada waktu macam ni, masaklah aku nanti.” Sahutku. Mataku makin tertutup. Aku mengantuk.

“Nanti ajaklah kawan lain. Jangan jumpa berduaan je, takut salah faham,” antara dengar dengan tak dengar je suara Izzat. Aku dah hilang ke mana dah. Penat sangat aku hari ni.

Keesokan harinya, lepas kelas dan solat zohor, aku teringatkan janji aku untuk cari cincin perak pelajar perempuan tu. Aku ajak Wan teman aku. Siang buta pun nak berteman, rungut Wan. Aku bukan ajak teman sebenarnya, aku minta tolong carikan cincin perak tu sama-sama. Mana tahu boleh jumpa. Bolehlah aku bagi kat pelajar perempuan tu, takdelah dia berkeliaran lagi kat pondok tu setiap malam.

Sedang kami mencari-cari tu, Ustaz Salleh menegur kami. “Kamu cari apa tu?” tanyanya.

“Nak cari cincin perak cikgu. Ada kawan kami yang tercicirkannya kat sini.” Sahutku.

“Kenapa bawa cincin ke sekolah?” tanya Ustaz Salleh pula, sambil matanya sama-sama melilau melihat sekeliling.

“Kawan kami kata, cincin tu pemberian ayahnya. Memang dia bawa ke mana-mana,” sahutku.

“Yang ini ke?” tiba-tiba terdengar suara Wan. Aku dan Cikgu Salleh menoleh ke arahnya. Ditangannya ada sebentuk cincin berwarna perak.

“Iyelah agaknya. Kau jumpa kat mana,” Sahutku sambil mengambil cincin perak tu dari tangan Wan.

“Kat bawah bata tu, macam tertanam sikit kat akar pokok bunga tu,” sahut Wan

“Cincin lama tu. Macam dah berkarat je. Mungkin betullah itu kenangan ayahnya kot,” kata Cikgu Salleh.

“Entahlah cikgu. Kami tolong cari je. Apa sejarah cincin ni kami tak tahu,” sahutku.

“Kawan kamu yang mana?” tanya Cikgu Salleh.

“Entahlah cikgu. Aiman ni yang jumpa dia dua tiga malam dah kat pondok ni. Katanya dia tak perasan pelajar tu kat sekolah ni.” Kata Wan.

“Hai, kawan sekolah kamu pun kamu tak kenal?” tanya Ustaz Salleh.

“Tak berapa cam cikgu. Takpelah, nanti saya bagi balik cincin perak ni kat dia.” Kata aku sambil meminta diri untuk kembali ke dorm bersama Wan.

Malam tu lepas prep, aku terus pergi ke pondok sebelah kelas aku. Tapi pelajar perempuan tu takde kat situ. Aku tunggu sekejap, tetap tiada. Aku melangkah ke dewan makan yang tak jauh dari pondok tu. Lepas makan, aku kembali ke pondok tersebut. Pelajar perempuan masih tiada di situ. Aku tengok jam, dah pukul 11.30 malam.

“Aiman, jom balik dorm. Nanti Pakcik Musa nampak kau kat situ, dia report kat Ustaz Ismail. Esok je lah kau pulangkan barang tu. Mungkin dia tak datang malam ni, kerja sekolah banyak. Tak cukup rehat,” kata Luqman dari tingkat 1 blok.

Aku mendongak melihatnya. Betul juga katanya. Aku terus melangkah ke tangga dan naik ke dorm aku di tingkat 3 bersama dengan Luqman.

“Luqman, haritu kau kata, kau nampak perempuan kat blok kita ni kan?” tanyaku semasa kami memanjat anak tangga ke dorm.

“Haah. Sekali tu je la, lepas tu aku tak jumpa dah,” sahut Luqman.

“Entah kenapa aku syak, dia adalah pelajar perempuan yang sama yang aku jumpa kat pondok tu,” kataku.

“Hish, takkanlah. Sebab perempuan yang aku nampak tu lain macam sikit. Macam hantu,” kata Luqman separuh berbisik sambil memandang sekeliling.

“Mana ada hantu la,” sahutku masih dengan pendirianku.

“Mata dia besar, lepas tu warna hitam je. Takde mata putih. Kau rasa ada ke orang macam tu?” tanya Luqman semula.

“Masa kau tengok dia tu, hari malam kan? Mungkin silau cahaya atau mata kau dah tinggal separuh sebab mengantuk.” Kataku lagi.

“Aku tahulah apa yang aku nampak. Memang aku mengantuk. Tapi aku tahu dia seorang perempuan. Dan macammana seorang perempuan boleh naik ke blok kita pada waktu malam? Tak pakai tudung, lepas tu dia gamit aku suruh aku ikut dia. Kau rasa siapa pelajar perempuan kat sekolah ni yang berani buat macam tu?” kata Luqman dengan suara yang agak tinggi, mungkin bengang sebab aku tak percaya akan kata-katanya.

Aku diam. Taknak berbalas kata lagi. Kami sama-sama masuk ke dorm kami dan menukar baju untuk tidur.

Sedang aku tidur, tiba-tiba aku rasa ada seseorang tepuk bahu aku. Aku buka mata. Aku nampak Faris kat tepi aku. Mukanya agak pucat.

“Kenapa Faris?” tanyaku.

“Ada perempuan berdiri kat luar dorm ni. Dia menyanyi-nyanyi perlahan. Seram weh,” kata Faris berbisik.

Aku bangun. “Kat mana?” tanyaku. Faris menuding jari ke arah tingkap dorm kami. Aku nampak bayangan seseorang kat luar. Sama macam apa yang aku nampak malam kelmarin. Dan aku dapat menangkap bunyi suara perempuan menyanyi perlahan-lahan sambil ketawa. Aku pandang Faris. Faris berpeluh-peluh.

Aku pegang cermin tingkap, nak buka luas sikit. Tapi Faris menahan. “Kau nak buat apa?” tanya Faris. “Aku nak buka sikit, nak tengok jelas. Macam ni, kita tak nampak siapa dia,” kataku.

“Janganlah. Aku yakin itu bukan pelajar sekolah ni. Entah-entah langsuir ke Pontianak ke,” kata Faris.

“Merepeklah kamu ni Faris,” kataku sambil meneruskan tindakan aku membuka sikit cermin tingkap tersebut. Lepas tu aku dan Faris sama-sama melihat keluar.

Kami nampak kelibat seorang perempuan. Aku terkejut, walaupun perempuan itu membelakangkan kami, aku yakin itulah pelajar perempuan yang aku jumpa dia pondok dua tiga malam lepas. Aku melangkah ke pintu, tapi ditahan oleh Faris.

“Kau nak ke mana pula ni Aiman?” tanyanya.

“Aku rasa aku kenal perempuan tu. Dia cari aku nak ambil cincin perak pemberian ayahnya kot. Sebab dia janji nak jumpa aku kat pondok malam tadi, tapi dia tak datang.” Kataku.

“Aiman, kang aku kata kau bodoh, kau marah aku. Cubalah fikir logik akal sikit. Kau tengok tak jam pukul berapa? Pelajar perempuan mana yang berani merayau-rayau kat blok pelajar lelaki pada waktu-waktu macam ni?” tanya Faris dengan nada agak marah tapi suaranya masih dikawal perlahan supaya tidak mengganggu kawan lain yang sedang tidur, dan risau didengari oleh perempuan yang berdiri kat luar dorm kami.

Aku tengok jam, pukul 3 pagi. Betul juga kata Faris. Takkanlah pelajar perempuan tu berani merayau di blok pelajar lelaki dalam waktu ni. Dan takkanlah Pakcik Musa atau warden asrama tak nampak dia. Aku kembali ke tingkap dan memerhati gelagat perempuan itu.

Dia berlegar-legar mundar mandir di depan dorm kami sambil menundukkan wajahnya. Sesekali dia mengangkat wajahnya memandang ke arah kami tapi kami cepat-cepat tunduk ke bawah supaya dia tak nampak kami.

Lama juga kami dalam keadaan itu. Tak tahu nak buat apa.

Setelah hampir setengah jam, kami lihat perempuan itu berdiri di atas pagar batu. Cuak gak aku dengan Faris. Dia nak terjun ke? Dia nak bunuh diri ke? Apa dia nak buat tu? Kami dah mula rasa kalut.

“Aiman, dia nak terjun ke tu?” tanya Faris.

“Manalah aku tahu. Nak pergi tolong ke?” tanyaku.

“Hish, aku tak berani,” sahut Faris.

Dalam kami terfikir-fikir apa yang perlu dilakukan, kami lihat perempuan itu terjun dari tingkat 3. Aku dan Faris tergamam. Sebaik sahaja peremuan tu terjun, aku dan Faris terus berlari keluar dari dorm dan menjenguk ke bawah blok. Tak nampak apa-apa. Aku dan Faris terus meneliti kat bawah blok sana, tapi ternyata tiada apa-apa.

Dan tiba-tiba kami terdengar bunyi nyanyian perempuan tu tadi di sebelah kami je. Faris pegang tangan aku. Kami tak berani nak tengok keliling. Dengan pintu dorm kami yang terbuka luas, kawan-kawan kami sedang tidur di dalam.

Suara nyanyian tu seperti makin rapat ke telinga aku. Aku beranikan diri mengangkat muka aku dan memandang ke arah suara nanyian tu. Aku nampak pelajar perempuan yang sama yang aku jumpa kat pondok sebelah kelas aku. Tapi kali ni rupanya agak menyeramkan. Matanya hitam seperti yang Luqman beritahu aku. Dia memakai baju kurung, jari tangannya hitam seakan rentung terbakar, aku tak nampak kakinya.

“Beri aku cincin itu,” katanya dengan suara garau. Aku tak menyahut. Aku tundukkan muka aku, tak berani memandangnya. Faris masih berdiri kat belakang aku, tangannya masih memegang tangan aku, sambil menggeletar.

“Aku mahu barang aku,” kata perempuan itu sambil memandang tepat wajah aku. Bila aku tunduk, dia menurunkan badannya agar wajahku bertentangan dengan wajahnya. Masa ni aku pendirian aku tentang hantu mula goyah.

Aku mengundur setapak. Faris masih kat belakang aku, aku rasa dia dah menangis ketakutan.

Perempuan itu berdiri tegak di depan aku. Dia seakan terangkat ke udara. Aku dapat lihat dengan jelas, dia tiada kaki. Dan dia terawang di udara, kepalanya mencecah siling. Aku mendongakkan muka memandang ke arahnya dan masa ni tiba-tiba aku dengar Pakcik Musa sergah kami dari tingkat bawah.

“Woi! Korang buat apa kat luar dorm? Masuk!” aku pandang Pakcik Musa. Aku nak pastikan Pakcik Musa pun nampak perempuan tu. Tapi belum sempat aku berkata-kata, perempuan itu dah tiada di situ.

“Faris, dia dah takde,” kataku.

“Aiman, Faris, masuk semula ke dorm kamu sebelum saya naik ke atas sana,” jerit Pakcik Musa lagi dari tingkat bawah.

Aku dan Faris tak menyahut, terus melangkah masuk ke dalam dorm, dan kunci pintu dorm. Kami terus ke katil masing-masing.

“Apa benda tadi tu Aiman?” tanya Faris dari katilnya.

“Aku tak tahu,” sahutku pendek.

“Kita nampak dia terjun kan? Tapi macammana dia ada kat atas ni semula dengan cepat?” tanya Faris lagi.

“Jangan tanya aku lagi, aku tak tahu,” kataku.

“Dia minta cincin tu dari kau kan?” tanya Faris lagi.

“Tidurlah Faris. Esok kita jumpa Ustaz Salleh atau Ustaz Ismail untuk tanyakan pasal hal ni,” kataku lagi, aku taknak dia tanya lagi sebab aku pun buntu.

Faris diam. Aku tak tahu samada dia dah lena ataupun masih memikirkan apa yang kami lihat tadi. Yang pasti, mataku segar bugar tak boleh lena. Beberapa kali mata aku melihat ke luar tingkat dorm kami. Mana tahu kalau perempuan tu datang lagi. Sesekali aku terasa seperti perempuan tu dah masuk ke dalam dorm kami sebab masa perempuan tu berdiri kat tepi kami tadi, pintu dorm terbuka luas. Bila-bila masa saja dia boleh masuk dan menyorok kat dorm kami.

– Bersambung –

One thought on “HANTAR AKU BALIK

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s