HANTAR AKU BALIK

Bab 2

Aku tersedar pada jam 3 pagi bila aku terdengar bunyi benda jatuh kat luar dorm kami. Aku angkat kepala memandang ke arah cermin tingkap dorm yang terbuka sedikit. Aku nampak ada pergerakan kat luar dorm kami. Dorm kami kat hujung sekali. Jadi, aku nampak macam seseorang sedang bergerak kat luar dorm. Dia seperti bergerak mundar mandir kat kaki lima dorm di blok kami. Dari hujung sini ke hujung sana, dari hujung sana ke hujung sini, berulang alik.

Aku menoleh ke sekeliling dorm, nak lihat siapa yang tiada di katil tapi aku lihat semuanya sedang tidur di katil masing-masing. Aku bangun, cuba mengecam siapa yang berada di luar dorm kami. Tak nampak macam Pakcik Musa juga. Nampak macam kecil je orangnya. Kat blok kami ni, murid yang agak kecil saiznya ialah Azizi dan Zikri tapi aku lihat Azizi ada je kat katil dia, tidur ternganga lagi. Mungkin Zikri sebab Zikri dari dorm lain, tak sama dengan aku.

Aku bangun. Melangkah merapati tingkap. Ketika susuk tubuh diluar tingkap bergerak ke hujung blok, aku buka sedikit cermin tingkap. Aku nampak seseorang dari arah belakang, sedang berjalan ke arah tandas. Tapi yang pasti itu bukan Zikri sebab dia adalah seorang perempuan! Aku tak nampak jelas tapi pakaiannya sama macam perempuan yang aku tengok kat pondok sebelah kelas aku tadi.

Bila perempuan tu berpatah balik ke arah dorm aku, aku cepat-cepat tutup cermin tingkap. Aku melangkah semula ke katil aku. Masa ni aku ada sedikit rasa seram sejuk. Tak tahulah kenapa. Nak kata aku takut, aku takutkan apa? Aku tak rasa aku nampak hantu. Tapi aku yakin perempuan tu dah sesat.

Aku duduk kat katil aku. Katil dalam dorm tu adalah katil dua tingkat, katil aku kat tingkat bawah.

Aku perhatikan ke arah cermin tingkap. Aku nampak susuk tubuh perempuan tu lalu kat cermin tingkap. Dan dia berhenti di situ. Dia memusingkan badannya mengadap ke dalam dorm aku. Masa ni aku rasa jantung aku berdegup laju. Lama dia dalam kedudukan itu. Aku pun diam membatukan diri, masih duduk di birai katil aku.

Tak lama kemudian, perempuan itu bergerak ke arah blok hujung sana. Tapi tak sampai beberapa ketika dia meninggalkan cermin tingkap tu, aku nampak tombol pintu dorm aku dipulas dari luar. Masa ni aku menggeletar. Dah la pintu tu tak pernah berkunci. Memang tutup macam tu je, dorm lelaki kan, siapa nak kacau pun.

Aku lihat je tombol pintu tu dipulas dari luar. Aku rasa tak sempat dah kot kalau aku nak pergi kunci pintu tu sekarang. Aku terus baring dan selimutkan diri aku. Aku rasa sejuk sampai ke tulang tapi dalam masa yang sama aku berpeluh-peluh. Fuh! Tak pernah aku rasa macam ni. Aku pun tak tahu apa perasaan ni. Aku bukan takut.

Tak lama kemudian pintu dorm kami terbuka. Aku terus tutup muka aku dengan selimut. Aku dengar bunyi derap kaki berjalan-jalan di dalam dorm kami. Aku membatukan diri di bawah selimut.

Aku dengar derap kaki tu berjalan di tepi katil aku. Aku diam dan terus pasang telinga. Aku dengar bunyi nafas seseorang. Macam kat sebelah telinga aku je. Dalam tak sedar aku berdoa dalam hati agar orang tu cepat pergi.

Doa aku dimakbulkan. Aku dengar derap kaki orang tu berjalan meninggalkan katil aku. Aku rasa lega. Tapi lega tu tak lama. Sebab lepas tu aku dengar suara Pakcik Musa menjerit menyuruh kami semua bangun dan berkumpul di padang sekolah. Aku selak selimut, orang yang berjalan tepi aku tadi Pakcik Musa rupanya.

Dan lepas tu terdengar bunyi pengumuman dari arah pejabat warden, meminta kami semua bangun segera dan berkumpul di padang sekolah. Aku sempat tengok jam, pukul 4.30 pagi. Aduh, dah kenapa pula pukul 4.30 pagi suruh berkumpul kat padang?

Kami semua bangun tergesa-gesa. Semua pun dengan wajah mengantuk, rambut berserabut dan mata pun tak boleh buka besar.

Bila semua dah berkumpul di padang, aku nampak Warden Asrama, Ustaz Ismail berdiri kat depan pegang alat pembesar suara tu. Lampu spotlight dipasang dan dihalakan ke arah kami.

“Saya nak orang yang berkenaan tu mengaku, siapa yang fly malam tadi?” tiba-tiba Ustaz Ismail bersuara. Kami semua berpandangan sesama sendiri. Fly tu bahasa asrama kami ialah murid yang keluar dari sekolah tanpa izin warden mahupun pengawal. Mereka keluar mengikut jalan lain, ada yang lompat pagar untuk keluar dari kawasan sekolah. Ada antara mereka yang keluar untuk lepak kat kedai mamak yang tak jauh dari sekolah kami, ada yang merokok, ada yang keluar nak jumpa kawan, dan macam-macam. Maklumlah kami tinggal di asrama, segalanya belajar dan riadah. Tak semua yang masuk asrama sebab mereka nak tapi kebanyakannya kerana mengikut kehendak ibu dan ayah.

“Cepat! Baik mengaku. Kalau takde yang mengaku, kita duduk kat sini sampai subuh,” kata Ustaz Ismail lagi.

“Atau kalau ada sesiapa yang tahu ada kawan mereka yang fly, boleh beritahu saya juga. Jangan subahat. Kalau kamu subahat, denda yang sama akan dikenakan terhadap kamu,” kata Ustaz Ismail lagi. Garang suaranya malam ni. Entahlah malam ke subuh sekarang ni.

Aku pandang sekeliling aku. Seingat aku takde murid dalam dorm aku yang fly malam ni. Sebab mereka semua ada kat dalam dorm masa aku masuk dorm tadi.

“Sebenarnya saya dah tahu siapa orangnya tu. Jadi, kalau kamu rasa kamu boleh terselamat kerana tak mengaku, kamu salah. Dan jika kamu mengaku sekarang, denda kamu mungkin boleh dikurangkan. Tapi kalau kamu tak mengaku, kamu boleh dibuang sekolah,” kata Ustaz Ismail membuatkan terdengar suara keluhan di kalangan kami.

“Baik, kamu taknak mengaku. Takpe. Esok saya akan panggil ibubapa kamu datang ke sekolah.” Kata Ustaz Ismail mengugut membuatkan beberapa orang dari kalangan kami bangun berdiri. Dari silauan lampu spotlight, aku nampak Hafiz, Fawas, Shakirin, Zul dan Akim. Mereka memang di antara murid yang bermasalah di sekolah tu. Tapi mereka juga merupakan di antara murid-murid terpandai dalam sekolah tu. Peperiksaan mereka tak pernah dapat huruf lain selain A.

“Murid lain boleh balik ke dorm masing-masing,” kata Ustaz Ismail.

Aku pun balik ke dorm dengan murid lain. Sampai kat dorm, aku dengar kawan-kawan aku membebel-bebel sebab diganggu tidur mereka. Tapi aku tak peduli dah semua tu, aku mengantuk. Aku nak tidur. Nanti pukul 6 dah nak bangun. Dan yang paling aku lega ialah aku dah tahu bahawa orang yang aku nampak mundar-mandir kat kaki lima blok aku itu adalah Pakcik Musa, bukan hantu atau makhluk lain. Kan aku dah kata, tiada hantu dalam dunia ni. Mungkin keadaan aku yang mengantuk tu yang buatkan aku nampak seperti susuk tubuh seorang perempuan. Atau mungkin aku asyik teringat kat perempuan yang aku nampak kat pondok tepi kelas aku tadi.

Keesokan pagi, aku masuk kelas lambat. Aku terlewat bangun sampai terlepas solat Jemaah di surau. Habislah berbirat punggung aku hari ini kena rotan. Memang undang-undang kat sekolah aku, waktu subuh dan maghrib adalah waktu wajib solat Jemaah. Kalau tak Jemaah, kena rotan la jawabnya. Aku dah selalu kena. Paling selalu kena hari ahad la. Sebab aku tidur sampai subuh gajah, maklumlah takde kelas. Bila aku cerita kat ibu aku bahawa aku kena rotan, ibu aku kata ‘bagus!’ Apalah ibu aku tu, anak kena rotan katanya bagus. Kecil hati aku tau. Tapi sebenarnya jauh di sudut hati aku, aku faham kenapa ibu aku kata begitu. Cuma sekurang-kurangnya aku nak la ibu aku rasa kesian kat aku sebab kena rotan. Huhuhu…

Kat dalam kelas fizik hari ini, aku tertidur. Aduh, malunya aku. Cikgu Ramlah yang mengajar masa tu, dia pun biarkan aku. Dia tahu kot aku tak tidur semalam. Tapi bila aku terjaga, panaslah telinga kena perli. Tabah  je la.

Malam tu, macam biasa, kami prep sampai pukul 10 malam. Lepas prep aku pergi dewan makan sebab dengar cerita malam ni dapat makan sandwich dengan telur hancur. Aku suka sangat tu. Masa lalu kat pondok tepi kelas aku, aku sempat juga menjeling kat pondok tu tapi tiada siapa di situ. Lepas makan, masa kawan-kawan aku semua balik ke dorm, aku meninjau ke pondok tu semula dan aku nampak perempuan tu lagi.

Aku toleh kiri kanan, nak cari kawan-kawan aku, nak suruh mereka lihat, nampak tak perempuan tu atau betul itu cuma khayalan aku. Tapi semua kawan-kawan aku dah naik ke dorm. Tinggal aku seorang masih berdiri di luar dewan makan.

Aku memberanikan diri melangkah ke arah perempuan yang duduk di pondok tu.

“Assalamualaikum,” sapaku bila aku hampir kepada perempuan tu. Tiada sahutan.

“Kamu ni murid sekolah ni ke? Kenapa duduk di sini? Kalau kamu junior, mungkin kamu belum tahu undang-undang sekolah ni. Kita tak dibenarkan duduk di sini selepas waktu prep. Semua kena balik ke dorm. Dan kamu murid perempuan sedangkan kat sini adalah kawasan blok murid lelaki.” Kataku panjang lebar.

Perempuan itu bangun dan berpusing ke arah aku. Aku lihat wajahnya. Dia kecil sahaja, nampak macam dalam tingkat 3. Rupanya macam cina, jadi aku tak pasti dia murid islam atau orang asli. Tapi, aku rasa macam tak pernah nampak dia kat sekolah ni sebelum ni. Tapi mungkin juga waktu lain aku lihat dia bertudung, jadi bila lihat dia tak bertudung, wajahnya kelihatan lain. Lagipun aku bukannya memerhati dengan teliti setiap murid perempuan kat sekolah ni. Tengok gitu gitu je. Nak maut ke tengok anak dara orang beriya-iya? Kang tak pasal-pasal kena panggil ke bilik disiplin, jumpa Ustaz Salleh.

“Kamu tingkatan berapa? Kelas apa? Dorm berapa? Islam ke?” tanyaku bertalu-talu. Dan dia tak menjawab, hanya memandang tepat ke arah aku. Wajahnya seperti sedang sedih.

“Kalau kamu murid baru, undang-undang sekolah ni, yang islam wajib pakai tudung. Tak boleh buka tudung bila keluar dari dorm.” Aku beritahu lagi. Kononnya sebagai abang senior la.

“Saya sesat. Saya tak tahu nak balik ke tempat saya,” sahut perempuan itu dengan suaranya yang halus.

“Sesat? Kamu murid sekolah ni ke?” tanya aku lagi. Perempuan itu mengangguk.

“Kamu murid baru?” tanya aku lagi. Dan dia mengangguk juga.

“Kamu pergi ke pejabat warden. Mereka akan hantar kamu ke dorm kamu,” kata aku sambil menunjukkan ke arah pejabat warden.

“Baiklah, terima kasih.” Katanya sambil bangun berdiri. Dan aku pula melangkah nak balik ke dorm aku.

“Saya nak minta tolong boleh?” tiba-tiba perempuan tu bertanya. Aku menoleh ke arahnya.

“Tolong apa?” tanya aku.

“Sebenarnya saya sedang mencari sesuatu kat kawasan pondok ni. Sebab tu awak selalu nampak saya di sini,” katanya.

“Cari apa?” tanyaku lagi.

“Ada sebentuk cincin perak pemberian ayah saya. Saya membawanya di dalam kotak pensil. Tapi haritu tak tahu macammana, masa saya duduk studi di sini, cincin tu jatuh dan saya cari tak jumpa. Sampai hari ini,” katanya.

“Kamu yakin cincin tu jatuh di kawasan sini?” tanyaku.

“Saya yakin,” jawabnya.

“Macam ni lah, hari pun dah malam. Kalau warden atau Pakcik Musa nampak kita di sini, teruk nanti. Esok saya tolong carikan,” kata aku sambil memandang keliling. Risau dilihat orang kami berduaan di situ.

“Baiklah. Esok saya tunggu di sini, waktu macam ni juga.” Kata perempuan itu.

“Kita jumpa lepas kelas siang la. Tak elok jumpa malam,” kata aku.

“Waktu siang mungkin masa kita tak sama.” Sahutnya. Iya tak iya juga.

“Baiklah, siang esok kalau ada masa saya tolong cari. Kalau jumpa, lepas prep esok kita jumpa di sini,” kataku.

“Ok.” Sahut perempuan itu tersenyum riang.

Aku pun melangkah ke arah dorm aku. Baru beberapa langkah aku menapak, baru aku teringat nak tanya siapa nama dia dan dia dari kelas mana. Aku menoleh nak tanya tapi dia dah tiada di situ. Aku memandang sekeliling, tiada siapa. Hanya kegelapan. Takkan cepat sangat perempuan tu pergi. Dia terbang ke apa?  Masa ni aku terasa ada angin sejuk meniup aku. Aku cepat-cepat naik tangga dan balik ke dorm aku. Semua dah tidur. Aku tengok jam, dah pukul 11 malam.

– Bersambung –

One thought on “HANTAR AKU BALIK

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s