HANTAR AKU BALIK

Bab 1

Aku Aiman. Aku sekarang sedang belajar di tingkatan 5 aliran sains kat sebuah sekolah berasrama penuh di Ipoh, Perak. Tahun ni aku nak menduduki SPM.

Selama lima tahun aku belajar kat sekolah ni, aku banyak terdengar cerita pasal hantu kat dalam sekolah ni. Tapi aku ni jenis tak ambil peduli pasal benda-benda ni. Aku susah nak percaya perkara yang aku tak nampak dengan mata aku sendiri. Nak pulak aku ambil aliran sains, segalanya perlu ada penjelasan. Pada aku, semuanya hanyalah bagaimana seseorang itu berfikir. Kalau dia asyik fikirkan dunia khayalan, maka khayalan yang akan terjadi. Tapi kalau dia berfikirkan tentang fakta, faktalah yang akan dia nampak.

Dulu masa aku baru nak masuk ke asrama, banyak cerita yang aku dengar. Hantu itulah, hantu inilah. Sampai ada yang tak berani nak masuk ke sekolah berasrama hanya kerana takutkan hantu. Sedangkan kalau tak masuk asrama sekalipun, aku dengar banyak cerita pasal hantu berada di mana-mana. Kilang, sekolah biasa, pejabat, merata aku dengar orang kata ada hantu. Kononnya masa bangunan dibina, akan ada korban manusia dimana akan ada orang mati dalam bangunan itu semasa pembinaan.

Pada aku, itu dah ajal dia. Mungkin faktor keselamatan yang tidak dihiraukan. Atau mungkin kesilapan teknik semasa dia bekerja. Takkanlah pasal dia jadi korban untuk binaan bangunan baru. Masa aku masih kecil, lagi best cerita yang aku dengar. Setiap jambatan yang dibina, pasti ada kepala manusia yang diletakkan di jambatan itu untuk memberi makan kepada penunggu jambatan itu. Mana datang la cerita ni semua. Mengarut semua tu.

Ok, kita kembali kepada kisah sekolah asrama aku. Tahun ni masuk tahun kelima aku belajar kat sekolah ni. Banyak cerita yang aku dengar. Ada murid pernah gantung diri kerana dibuli, penunggu yang memerhati dari arah blok asrama kat atas bukit, ada jelmaan wanita cantik yang tak jejak ke bumi. Tapi aku tak pernah jumpa semua tu.

Kawan-kawan aku rata-rata menegur aku supaya jangan cakap besar. Nanti dah kena baru tahu. Aku tetap dengan pemikiran aku. Selagi aku tak tengok dengan mata aku sendiri, aku takkan percaya.

Sampailah satu malam tu, bulan pertama aku di tingkatan 5 di sekolah tersebut.

Macam biasa, lepas solat isya’ kami akan ada kelas malam atau lebih dikenali dengan nama ‘prep’ di kalangan budak-budak asrama. Masa prep ni la kami selesaikan kerja sekolah, siapkan tugasan berkumpulan, dan paling tidak pun, kami mengulangkaji pelajaran. Biasanya prep ni sampai pukul 10 malam. Lepas pukul 10 malam, kami akan ke dewan makan untuk makan lewat malam, alaa kira macam supper la.

Malam tu kami habis prep lambat sikit, hampir ke pukul 11 malam sebab banyak tugasan yang perlu diselesaikan. Masa tu, perut aku dah masuk angin, tak lalu nak makan dah. Takde rasa nak ambil supper pun. Masa kawan aku semua dah pergi ke dewan makan, aku masih menyusun buku aku kat laci aku dalam kelas. Dah simpan semua, aku berjalan keluar. Sebelum aku tutup lampu, aku nampak dari tingkap kaca yang terbuka, ada seorang perempuan duduk di pondok kat sebelah kelas.

Aku tengok dari dalam kelas, perempuan tu pakai baju kurung tapi tak pakai tudung. Kat sekolah ni, semua murid perempuan muslim pakai tudung. Kalau tak pakai tudung, ada la yang kena hambat tengah malam buta ni. Kalau ada yang tak pakai tudung, itu adalah murid perempuan orang asli.

Aku cuba lihat wajahnya tapi tak jelas sebab dia duduk sambil membelakangkan aku. Yang aku dapat lihat, rambutnya panjang di ikat seakan ekor kuda. Aku tutup lampu dan melangkah keluar dari kelas. Masa tu memang aku seorang diri, jam pun dah pukul 10.30 malam. Kawan-kawan aku yang lain dah pergi dewan makan.

Perlahan-lahan aku melangkah ke pondok kecil sebelah kelas aku. Perempuan tu masih di sana. Ketika aku hampir nak sampai kat pondok tu, tinggal nak bagi salam je, seseorang tepuk belakang aku. Terlompat katak aku sekejap. Terkejut.

Aku nampak Ustaz Khairi. “Tak pergi makan ke?” tanyanya.

“Perut saya kenyang la ustaz. Petang tadi makan banyak. Tak lalu nak makan lagi,” sahutku.

“Kalau dah kenyang, terus balik ke dorm, jangan merayau lagi,” kata Ustaz Khairi.

“Memang saya nak balik ke dorm tapi saya nampak ada seorang murid perempuan ni kat sini. Tapi tak pakai pakaian sekolah.” Kata aku menunjukkan ke arah perempuan yang aku nampak tadi. Tapi ternyata perempuan itu tiada di sana.

“Murid perempuan mana?” tanya Ustaz Khairi.

“Tadi dia ada kat sini ustaz,” jawabku masih melihat-lihat ke sekeliling, mencari murid perempuan tadi.

“Saya ikut kamu dari kamu keluar dari kelas tu. Saya tak nampak pun orang lain kat sini selain kamu,” kata Ustaz Khairi lagi.

“Betul ustaz, tadi dia ada kat sini,” kataku masih dengan jawapanku. Aku yakin apa yang aku lihat. Aku tak berkhayal.

“Sudahlah. Kamu penat tu. Pergi balik dorm. Rehat, tidur. Esok nak bangun awal,” kata Ustaz Khairi menarik tangan aku perlahan dan kami melangkah bersama ke tangga dorm. Dorm aku kat tingkat 3.

Sesekali aku menoleh ke arah pondok tadi, nak pastikan perempuan tu masih ada di sana atau dah tiada. Dan setiap kali aku menoleh itulah, Ustaz Khairi menolak pipi aku suruh tengok ke depan.

“Nampak perempuan, terus laju nak pergi tegur ye,” kata Ustaz Khairi mengusik aku. Aku pun tersengih dalam terpaksa. Sebab aku tahu apa yang aku nampak.

Sampai kat dorm, Azizi dan Faris sedang menukar pakaian. Aku tak nampak Izzat dan Luqman, mungkin mereka ke tandas. Wan dan Adli dah lena diulit mimpi kat katil masing-masing.

“Kau pergi mana Aiman? Tak nampak pun kau kat dewan makan tadi,” tanya Azizi.

“Sedap tau, kami makan mi hailam tadi. Rugi kau tak join,” sambut Faris pula sambil menyangkut baju prep tadi kat dalam lokernya.

“Aku kenyang, tak lalu nak makan,” sahutku sambil duduk kat katil aku.

“Habis tu kau pergi mana? Kat dorm pun kau lambat sampai,” tanya Azizi sambil menepuk-nepuk tilam dan bantalnya lalu terus berbaring.

“Aku susun buku kat laci kelas. Masa aku keluar, aku nampak ada murid perempuan kat pondok tepi kelas kita. Aku baru je nak pergi tegur dia, Ustaz Khairi dah tepuk bahu aku.  Aku toleh balik kat perempuan tu, dia dah takde kat situ. Cepat betul dia lari. Tak sempat nak tengok siapa dia. Dah la tak pakai baju sekolah, duduk seorang diri kat situ,” kataku bercerita. Aku masih lagi duduk di atas katil, tak salin baju pun. Aku masih fikirkan siapa murid perempuan yang aku nampak tadi.

“Fuiyo. Kau nampak murid perempuan? Siapa? Setahu aku, kita tak dibenarkan duduk kat pondok tu dalam waktu prep. Kalau nampak dek Ustazah Aini, teruklah dia kena denda,” sahut Faris, yang dah sedia berbaring kat katilnya.

“Tapi dia tak pakai baju sekolah. Dan dia tak pakai tudung. Setahu aku, murid perempuan yang tak pakai tudung kat sekolah ni adalah murid orang asli. Tapi takde pula murid perempuan orang asli yang berambut panjang sampai ke pinggang kat sekolah kita ni kan?” tanyaku semula.

“Entah, aku tak perasan. Selalu diorang ikat rambut, mana nak tahu rambut mereka panjang sampai mana,” sahut Faris.

“Tapi sekolah tak benarkan lepaskan rambut kan. Kena ikat kemas,” aku masih berfikir.

“Rambut panjang? Siapa?” tiba-tiba Izzat muncul, sambil mengelap rambutnya yang basah.

“Kau mandi malam-malam buta ni Izzat? Azizi tanya.

“Haah, panas la. Melekit-lekit badan aku,” sahut Izzat.

“Korang cerita pasal siapa tadi? Rambut panjang? Siapa? Ada murid baru ke?” tanya Izzat dengan muka menyibuk dia.

“Aiman ni ha, katanya nampak seorang murid perempuan duduk kat pondok sebelah kelas kita. Duduk situ seorang diri tengah malam ni, tak pakai tudung, tak pakai baju sekolah. Tu yang dia tertanya-tanya siapa dia. Sebab perempuan tu hilang bila Ustaz Khairi tegur dia,” kata Azizi.

“Entah-entah itulah dia penunggu sekolah ni yang selalu diorang cakap tu,” kata Izzat menyakat.

“Kau jangan merepeklah Izzat. Mana ada penunggu ke apa ke. Semua tu mengarut je. Aku yakin dia adalah salah seorang murid kat sekolah ni. Mungkin junior kita ke, dia ada masalah kot. Sebab tu dia duduk situ,” kataku lagi. Aku betul-betul nak tahu siapa perempuan tu tadi.

“Woi! jangan bisinglah. Tutup lampu tu. Aku nak tidur,” tiba-tiba Adli bersuara dari bawah selimutnya.

Aku terus bangun dari katil dan tukar baju. Sementara yang lain pun turut berbaring di atas katilnya. Dan masa aku nak berbaring, Luqman masuk dalam dorm kami. Masa tu dah pukul 12 malam.

“Kau ke mana Luqman? Lamanya kat ke tandas.” Tegurku separuh berbisik, risau mengganggu kawan lain yang dah tidur.

“Aku nampak ada murid perempuan kat blok kita ni. Tak pernah lagi murid perempuan naik ke blok lelaki waktu malam macam ni. Kalau siang memang KU kita la yang lalu lalang kat sini. Tu yang aku ikut dia sampai kat tangga tingkat bawah, dia toleh pandang aku. Aku rasa aku tak pernah nampak dia. Mata dia hitam je, takde mata putih. Meremang pula bulu roma aku tengok rupa dia. Dia gamit aku, dia suruh aku ikut dia. Aku macam terpukau weh. Aku ikut dia. Tapi mujurlah Pakcik Musa sergah aku, tanya aku kenapa tak balik dorm lagi. Masa tu aku macam baru tersedar. Aku terus lari naik ke dorm ni. Seram weh. Tak pernah aku rasa seseram ni,” kata Luqman sambil menggosok lengannya sendiri sebagai isyarat dia sedang ketakutan. Pakcik Musa ialah pengawal keselamatan yang bertugas mengawal asrama kami.

“Dia ikat rambut macam ekor kuda kan? Rambutnya sampai paras pinggang? Pakai baju kurung warna merah campur putih?” tanyaku.

Luqman pandang aku semacam. Lepas tu dia anggukkan kepala laju-laju. “Mana kau tahu?” tanyanya semula.

“Aku pun nampak tadi,” sahutku.

“Kenapa lampu dorm 3A tak tutup lagi tu?!” tiba-tiba terdengar suara Pakcik Musa menjerit dari bawah. Aku cepat-cepat bangun dan terus tutup lampu. Dan terus berbaring kat katil aku.

Tapi aku tak boleh lena. Aku asyik terfikirkan murid perempuan yang aku nampak tadi. Dan yang membuatkan aku lebih ingin tahu ialah bila Luqman kata dia pun nampak perempuan yang sama. Siapa dia?

– Bersambung –

One thought on “HANTAR AKU BALIK

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s