BLOGGER ITU ADIK AKU

Bab 11 (AKHIR)

Ayah aku dah baring kat sofa, mak aku dah masuk bilik. Sekarang ni tinggal aku seorang tengah duduk bersila mengadap botol yang bergerak-gerak nak keluar dari garisan bulatan garam kasar tu.

Aku terfikir, kalau aku tolak botol tu, tiba-tiba botol tu terbalik lalu terbuka penutupnya, ahhh sudah! Toyol tu keluar, gigit kaki aku. Nanti tak ke toyol tu jadi anak aku pulak? Aku dah terbayang-bayang toyol tu, dengan gigi taring kat kiri kanan, kepala besar, botak pulak tu. Kalau tiba-tiba dia keluar dan gigit aku, aku memang tak boleh lawan kot.

Tengah aku berangan-angan tu, tiba-tiba ayah aku datang dari arah belakang, angkat botol tu dan letak kat tengah bulatan semula. Opocot abah kau! Melatah aku kejap. Takde isyarat tetiba je ayah aku angkat botol tu. Tak terkejut beruk ke aku. Aku gosok dada aku, terasa jantung aku berdegup laju macam baru lepas dikejar buaya dalam sungai.

“Kau menung tu dah kenapa? Botol hantu depan mata pun kau masih berangan lagi? Kan Ustaz Hashim dah pesan, kalau botol tu dah nak terkeluar dari garisan tu, angkat dan letak semula kat tengah,” kata ayah aku yang tak peduli melihat aku melompat terkejut macam apa tadi.

“Rashid takut ayah. Nanti botol tu terbuka, toyol tu keluar, macammana?” aku bagi soalan yang terngiang kat dalam kepala aku sejak tadi.

“Rashid, itu semua kiasan je. Mana ada jasad toyol kat dalam botol tu. Kau ingat toyol tu macam kau main game ke? Kejap boleh besar, kejap jadi kecik. Toyol tu cuma diperangkap kat dalam botol tu, bermakna dia dah dipenjarakan, dah dikurung, faham? Bukannya dia duduk kat dalam tu,” kata ayah.

“Habis tu, yang dia bergerak-gerak tu, bukan maknanya dia ada kat dalam tu ke?” aku tanya lagi.

Ayah aku tak jawab dah. Dia baring semula.

Aku bangun, mengintai keluar tingkap. Dua jelmaan yang tadi berada di bawah pokok besar dekat taman depan rumah aku, kini berada betul-betul di depan pintu pagar rumah aku. Aku cuak dah. Kalau mereka masuk? Dan ambil toyol ni macammana? Aku kena lawan dengan mereka ke? Blog tu kata, mahkluk ni boleh masuk ke dalam rumah melalui angin, tapi Ustaz Hashim kata mereka tak boleh melepasi tahi besi yang dah ditabur kat keliling rumah. Tapi, Ustaz Hashim cuma tabur tahi besi tu kat depan rumah aku. Sebab rumah aku ni kan rumah teres, dia tak boleh nak tabur sebelah kiri kanan rumah aku. Haa…. Maknanya makhluk tu boleh masuk melalui sebelah kiri kanan rumah aku kan.

Aku dah berpeluh-peluh. Aku duduk semula di depan botol yang bergerak-gerak tu. Aku betul-betul takut. Aku tengok ayah aku dah lena. Aku bangun, ketuk pintu bilik Haziq.

“Haziq, jom la teman aku. Aku takut,” kata aku bila Haziq keluar dari biliknya sambil menggosok-gosok matanya. Haziq tak jawab, terus je melangkah ikut aku. Itupun sebab aku dah pegang dan tarik tangan dia. Dia tiada pilihan.

Aku pun duduk semula kat bulatan garisan yang ada botol tu. Kali ni ada teman, aku berani sikit. Sikit la.

“Mana botolnya bang?” tanya Haziq tiba-tiba.

Aku terus pandang ke tengah bulatan garam kasar tu. Aku terkejut. Aku panik. Botol tu tiada di situ! Aduhhhh!

“Tadi ada kat sini. Aku pergi bilik kau kejap je kot. Takkan dah hilang. Kalau bergerak pun, takkan cepat sangat,” kataku sambil melilau mencari botol tersebut, manalah tah kot dah tergolek kat mana-mana. Haziq pun sama, tertonggeng-tonggeng turut sama mencari botol tersebut.

“Cari apa tu?” Melompat aku dan Haziq bila tiba-tiba ayah bersuara.

“Botol tu dah hilang ayah,” cepat je Haziq menyahut. Tak sempat aku bagi isyarat suruh diam.

“Hilang?! Macammana boleh hilang?” tanya ayah dengan suara yang agak tinggi.

Aku diam. Haziq pandang aku. Sekarang aku rasa aku lebih takutkan ayah aku daripada toyol dalam botol tu.

Ayah aku terus telefon Ustaz Hashim. Masa tu aku tengok jam dinding pukul 5.00 pagi.

“Ustaz Hashim kata biarkan dulu. Sebab dia tak boleh pergi mana-mana lepas jam 3 pagi. Cari je botol tu, sebab nak tahu samada dia dah keluar atau masih terkurung,” kata ayah.

“Maknanya benda tu ada lagi la kat dalam rumah ni?” Haziq pula bertanya.

“Iyelah agaknya,” sahut ayah.

Dah aku terbayang lak toyol tu naik kat siling rumah aku. Mana tau dia menyorok kat sana.

“Ayaaaahhhhhhh………… Ayaaaahhhhhhhhhhh…….. hik…. Hik….hik…” bergema satu rumah aku dengan bunyi rengekan anak kecil. Tangisannya betul-betul menyeramkan. Ayah aku pun nampak cuak gak. Melilau matanya melihat sekeliling. Pucat gak mukanya. Aku ni lagi la, rasa macam dah takde darah dalam badan aku.

“Ayah, itu bunyi dia ke?” tanya Haziq.

“Ayah pun tak tahu. Mungkin la kot. Maknanya dia masih berada dalam rumah ni. Samada dia masih dalam botol atau tak je yang kita tak tahu. Perhatikan sekeliling, dia mungkin berada di kalangan kita,” kata-kata ayah buat aku dan Haziq tiba-tiba rasa sejuk sampai ke tulang. Masa ni pulak la anjing nak melolong kat depan rumah aku.

Aku cepat-cepat mengintai ke luar rumah. Aku dah tak nampak jelmaan dua makhluk yang dari semalam berdiri kat luar rumah aku, memerhatikan rumah seperti nak mengambil sesuatu. Mungkin tak mereka dah ambil toyol tu dan terus pergi dari situ?

Tiba-tiba mak aku keluar dari bilik. Kami bertiga pandang mak, cuba kontrol muka macam takde apa terjadi. Tapi mak aku pun pandang kami semacam, dari riak wajahnya macam dia tahu ada sesuatu terjadi tapi dia taknak tanya. Mak aku berjalan ke dapur. Mak aku memang biasanya bangun masa ni, bersiap untuk solat subuh dan lepas tu nak masak sarapan. Ayah dah bagi isyarat supaya mak tak tahu bahawa botol yang berisi toyol tu dah hilang. Kami taknak mak takut.

Tak lama mak aku ke dapur, dia datang semula membawa botol yang kami cari. “Kenapa botol ni ada kat dapur?” tanyanya sambil memegang botol tersebut. Aku, ayah aku dan Haziq pandang mak aku tanpa berkedip mata. Kami ingat mak takut, tapi mak lagi berani, pegang botol tu, bawa dari dapur sampai ke ruang tamu kot.

“Botol tu tergolek tadi. Takpe, letakkan semula kat dalam bulatan garam tu,” kata ayah.

Mak pun letakkan botol tu semula kat dalam bulatan garam tu, mujur penutupnya tak terbuka. Fuh! Aku rasa lega semacam. Tak pernah lagi dalam hidup aku, jantung aku laju macam malam tadi sampai pagi ni.

Pukul 7 pagi, terdengar suara Ustaz Hashim memberi salam. Cepat-cepat ayah aku buka pintu dan sambut kedatangan Ustaz Hashim.

Ustaz Hashim masuk ke dalam rumah dan berdiri kat tepi botol tu. Tapi lepas mak aku jumpa botol tu kat dapur, takde dengar bunyi benda menggelupur kat dalam tu. Dan botol tu pun tak bergerak dah.

“Toyol tu dah mati ke ustaz?” Haziq bertanya. Masa ni dia dah bersiap nak pergi sekolah dengan kakak aku.

“Toyol tu memang dah mati. Tu cuma jasadnya yang digerakkan oleh syaitan, iblis yang bersekongkol dengan manusia syirik,” kata Ustaz Hashim.

“Sekarang kita nak buat apa?” ayah pula bertanya.

“Kita tunggu.” Sahut Ustaz Hashim.

“Tunggu siapa? Tunggu apa?” tanya aku pula.

Ustaz Hashim tak jawab. Dia bangun dari duduknya dan memerhati ke luar rumah aku.

“Ada orang nak datang ke ustaz?” ayah aku tanya. Ustaz Hashim masih diam. Dan disebabkan Ustaz Hashim terus berdiam diri, kami pun tak berani nak tanya lagi. Kami bersarapan bersama.

Masa kami bersarapan itulah, tiba-tiba terdengar seseorang memanggil dari luar rumah. Ayah aku terus ke pintu.

“Iye encik. Nak cari siapa ye?” terdengar ayah aku bertanya.

“Aku cari anak aku. Dia tak balik dari semalam.” Sahut seorang lelaki dalam usia 50an yang berdiri di luar pagar rumah aku.

“Encik dari mana? Saya tak pernah nampak pun encik kat kawasan ni?” kata ayah aku lagi. Lelaki itu tak memandang ke arah ayah aku, dia tunduk je sambil tangannya menggeletar.

“Anak encik dalam usia berapa? Lelaki ke perempuan?” ayah aku tanya lagi. Pada masa ini Ustaz Hashim dah berdiri di belakang ayah. Dia memberi isyarat agar ayah ke tepi.

Ustaz Hashim melangkah keluar dari rumah aku. Dia menghampiri lelaki itu.

“Anak yang mana?” tanya Ustaz Hashim. Lelaki tu tak menjawab. Dia tunduk dan berjalan mundar mandir di depan pagar rumah aku. Tangannya masih menggeletar macam tadi. Macam orang sakit pun ada.

“Kalau encik tak cakap, macammana kami nak tahu?” kata Ustaz Hashim lagi.

“Kau tahu anak mana aku maksudkan,” tiba-tiba lelaki itu memandang Ustaz Hashim dan menengking dengan kuat, seolah dalam keadaan yang marah sangat. Matanya merah menahan marah.

“Boleh minta cara baik kan?” kata Ustaz Hashim lagi.

“Kau kurung anak aku. Dia lemas.” Kata lelaki itu lagi.

“Kau lepaskan dia ke rumah orang lain tu takpe pulak?” tanya Ustaz Hashim seperti sengaja membangkitkan kemarahan lelaki itu.

“Lepaskan anak aku! Aku tak boleh bernafas,” kata lelaki itu lagi. Aku dan ayah aku yang masih di muka pintu memerhatikan setiap gelagat Ustaz Hashim dan lelaki tu. Haziq dan kakak aku dah pergi sekolah masa ni.

“Kalau aku lepaskan, apa kau nak bagi aku?” tanya Ustaz Hashim dengan agak tegas.

“Aku akan pastikan dia takkan ganggu kawasan ni lagi,” kata lelaki itu dengan nada yang agak rendah dari tadi.

“Dan pergi kacau kawasan lain pula?” tanya Ustaz Hashim.

“Itu bukan urusan kau,” kata lelaki itu.

“Urusan aku ialah untuk menghantar balik anak itu ke tempat asalnya,” kata Ustaz Hashim.

“Dia milik aku,” kata lelaki itu.

“Dia milik Allah,” sahut Ustaz Hashim.

“Aku tak kacau kau, kau tak perlu ganggu aku,” kata lelaki itu lagi.

“Tapi anak kau ganggu saudara aku,” kata Ustaz Hashim.

“Aku janji, perkara ini takkan jadi lagi,” kata lelaki itu.

“Setahu aku, syaitan hanya berjanji dengan Allah, bukan dengan manusia,” kata Ustaz Hashim.

“Kau nak aku buat apa? Aku nak anak aku semula,” kata lelaki itu lagi. Suaranya kadang meninggi kadang merendah.

“Aku nak kau hantar semula anak ini ke tempat asalnya. Kalau kau tak hantar, aku yang akan hantar,” kata Ustaz Hashim.

“Kau jangan sibuk hal aku,” kata lelaki tadi masih mundar mandir di luar pagar sambil diperhatikan oleh Ustaz Hashim.

“Dah jadi hal aku bila anak kau datang kepadaku,” sahut Ustaz Hashim.

Lelaki itu seperti dah tak dapat menahan marahnya. Dia cuba menumbuk muka Ustaz Hashim tapi dapat dielak oleh Ustaz Hashim.

Aku dan ayah merapati Ustaz Hashim. Bimbang lelaki itu bertindak kasar. Tapi Ustaz Hashim memberi isyarat agar kami tak berbuat apa-apa.

Beberapa orang jiran terdekat turut keluar dari rumah untuk melihat apa yang terjadi setelah terdengar suara lelaki tadi menjerit-jerit marah. Mereka bertanya apa telah terjadi. Dan lelaki itu terus melangkah pergi meninggalkan rumah aku.

“Siapa tu Ustaz?” tanya jiran aku.

“Tiada siapa. Dia salah rumah,” kata Ustaz Hashim. Dan mereka terus masuk semula ke dalam rumah masing-masing.

Ustaz Hashim kembali masuk ke rumah aku. “Siapa lelaki tu tadi ustaz?” tanya ayah aku.

“Itulah tuan toyol tu. Dia minta semula ‘anak’nya,” kata Ustaz Hashim.

“Jadi, sekarang ni kita nak buat apa?” tanya ayah aku lagi.

“Kita kembalikan dia ke tempat asalnya,” kata Ustaz Hashim.

“Macammana?” tanya ayah aku lagi.

“Kita bawa ke kuburnya semula. ‘Bersih’kan dia dan tanam semula,” kata Ustaz Hashim.

“Bersihkan?” aku tanya.

“Mengikut cara yang betul,” kata Ustaz Hashim.

“Rashid, bawa saya ke tempat bayi ini dikebumikan bersama ibunya,” kata Ustaz Hashim.

Aku akur. Lepas zohor, kami menuju ke kawasan perkuburan di mana Haryati dan Aqil dikebumikan. Di sana, aku lihat Ustaz Hashim duduk di hadapan kubur Haryati dan bertafakur seketika. Mulutnya terkumat kamit membaca. Aku yang tak berapa pandai mengaji ni, dapat jugalah dengar dia baca Al-Fatihah dan beberapa surah lain yang aku tak tahu tapi aku tahu ianya ayat Quran.

Hampir sejam Ustaz Hashim duduk di situ. Lepas tu dia bangun, menggulung tikar tempat duduknya.

“Nak ke mana ustaz?” aku tanya.

“Balik,” Ustaz Hashim jawab.

Aku dan ayah berpandangan.

“Dah selesai?” tanya ayah.

“Dah,” sahut Ustaz Hashim.

Aku pun tak tanya dah. Kalau Ustaz Hashim kata dah selesai tu, dah selesai la. Aku pun cuma nak perkara ni selesai.

Ustaz Hashim terus balik ke rumahnya. Aku dan ayah balik ke rumah kami.

“Ayah, macam tu je ke?” aku tanya.

“Iyelah agaknya. Manalah ayah tahu.” Sahut ayah aku.

“Tapi selalu kita tengok cerita kat tv tu, macam susah je nak halau hantu,” aku kata lagi.

“Sebab itu cerita tv. Nak tarik penonton, nak dapat untung. Kita ni dah banyak kena tipu dengan cerita tv. Hantu syaitan ni kelemahannya ayat Quran je. Mereka berani dengan kita kerana kita kita lebih lalai dari mereka. Ayat quran pun tak hafal. Bila takut, doa makan pun dah tak ingat. Orang kejar solat tengah malam, tapi kita sibuk dengan komputer sampai tengah malam,” kata ayah lagi. Sinis je bunyinya. Dan aku tak berani nak tanya lagi. Asalkan segalanya selesai sudahlah.

Malam tu, tepat jam 12 tengah malam aku dapat notification email. Dari blog ‘Makhluk Tak Terlihat’. Ahh sudah. Tak habis lagi ke?

Nak taknak aku kena buka juga email tu. Kalau tak buka aku tahu apa yang akan jadi. Kalau buka pun, aku tak tahu apa yang akan keluar.

KISAH KEEMPAT

Ketika lelaki itu duduk di hadapan mangkuk perasapannya, dengan harapan ‘anak’nya kembali. Dia menangis merayu memohon agar ‘anak’nya kembali. Tapi anaknya tak kembali. Namun, sesuatu sedang menanti, untuk pastikan dia mati.

Pontianak itu berdiri di tepi tingkap yang terbuka. Melihat lelaki itu dengan penuh marah. Mengambil anaknya tanpa izin, mengambil anaknya untuk disalahgunakan.

Lalu ia menerkam lelaki itu, menggigit lehernya dan menyedut darahnya. Lelaki itu menggelupur seperti ayam yang disembelih. Terdengar raungan mengerikan dari dalam pondok di pinggir sebuah kampung.

Klik! Suasana jadi gelap gelita. Elektrik tiada. Aku selak langsir. Rumah aku je yang takde elektrik, rumah lain elok je ada lampu. Litar pintas. Suis jatuh. Tapi selalunya suis jatuh kalau ada guruh atau kilat atau ada suis lain yang rosak sedang dipasang. Aku kecut perut semula.

Aku tak berani buat apa-apa. Aku meraba-raba ke katil aku. Aku baring, aku selimutkan badan aku dari hujung rambut hingga hujung kepala. Dah la kat luar tu cuaca panas, kipas pulak berhenti berpusing sebab takde elektrik. Aku panas, aku berpeluh-peluh. Tapi aku sanggup. Asalkan aku tak perlu keluar dari bilik dalam gelap selepas baca apa yang blog tu dah tulis. Dan tanpa aku sedar pukul berapa, aku berjaya lelap.

Aku sedar bila hari dah subuh, mak aku kejutkan aku solat subuh macam biasa. Lepas aku dah bersiap, aku lihat ayah aku masih di rumah. Ayah aku tak kerja kot. Aku duduk sekali dengan mak dan ayah aku untuk bersarapan.

“Ayah tak kerja ke hari ini?” tanyaku ramah.

“Ada orang meninggal dunia kat kampung seberang. Ayah nak lawat sebab Ustaz Hashim ajak,” kata ayah aku. Aku menganggukkan kepala.

Seketika kemudian, terdengar bunyi kereta kat depan rumah aku. Aku jenguk, nampak Ustaz Hashim. Ayah aku bergegas keluar rumah dan terus naik kereta Ustaz Hashim sebelum mereka berlalu pergi.

“Siapa meninggal dunia mak?” tanyaku sambil menghirup air teh susu.

“Entah, mak pun tak kenal. Rasanya ayah kamu pun tak kenal. Tapi beriya Ustaz Hashim mengajak. Tu yang ayah kamu ikut juga,” kata mak aku.

“Orang kampung sebelah? Ada kena mengena dengan Ustaz Hashim kot,” kataku.

“Ayah kamu cakap, jenazah tu lain macam sikit. Orang kampung jumpa dia kat dalam pondok dalam hutan. Matanya terbeliak. Badannya dah kehilangan darah. Lehernya ada dua lubang. Macam cerita Pontianak kat tv tu. Tapi takkanlah Pontianak boleh gigit manusia kan? Tak pernah lagi mak dengar Pontianak boleh bunuh orang. Semua tu kat dalam tv je,” kata mak aku membebel-bebel.

Tapi aku pula yang terhenti makan. Apa yang mak aku cerita, sama macam apa yang aku baca kat blog semalam sebelum elektri putus. Aku tak jadi makan. Aku terus ambil kunci motor dan keluar dari rumah. Aku telefon Kak Rosmah, aku masuk lambat.

Aku terus menuju ke rumah mak Aqil. Mak Aqil kata, semalam dia mimpikan arwah Haryati dan Aqil. Mereka hanya tersenyum memandangnya. Dan melambai tangannya seolah mereka akan pergi terus. Sedih je suara mak Aqil.

“Saya rasa segalanya dah selesai makcik. Mereka dah dapat apa yang mereka cari. In Shaa Allah,” kata aku lagi.

“Mudah-mudahan. Alhamdulillah,” kata mak Aqil dengan suara terharu.

“Makcik, boleh saya tanya sesuatu?” tanyaku.

“Apa dia?” tanya mak Aqil semula.

“Ikhwan tu memang tak boleh membaca atau menulis atau buat apa-apa ke?” tanyaku sambil memandang Ikhwan, adik Aqil.

“Tak boleh Rashid. Dia mula jadi begini selepas diserang sawan pada usianya tiga tahun. Masa tu dia demam panas. Sampai sekarang dia masih begini. Dia tak pernah pergi sekolah pun, apatah lagi nak membaca atau menulis. Kenapa?” tanya mak Aqil.

“Takde apa makcik. Saya balik dulu. Nanti saya datang lagi dengan Hadi masa makcik buat tahlil untuk Aqil dan Haryati. In Shaa Allah,” kataku meminta diri. Memang mak Aqil ada menjemput untuk datang pada hari minggu nanti, kerana dia nak buat kenduri tahlil untuk arwah anak dan menantunya.

“Nanti datang tau.” Pesan mak Aqil lagi. Aku anggukkan kepala.

Masa ni aku pandang Ikhwan. Ikhwan pandang aku dengan satu wajah yang lain. Dia pandang aku seperti dia bukanlah cacat. Mata hitamnya yang selama ni aku lihat hanya ke atas, tapi hari ini matanya melihat aku secara normal. Dia senyum kat aku. Dan aku pula, meremang bulu roma. Cepat-cepat aku beredar. Sepanjang perjalanan, aku asyik memikirkan pasal Ikhwan dan ayat Aqil bahawa blogger tu adik dia. Tapi aku tak nampak pun adiknya mampu tulis blog.

Aku whatsapp Hadi, beritahu pasal jemputan mak Aqil. Dan aku beritahu segalanya dah selesai. Dan aku beritahu juga pasal perasaanku pada Ikhwan. Hadi kata dia nak cuba masuk blog tu. Dan aku larang. Aku kata, kalau dia masuk blog tu, kami putus kawan. Hadi gelakkan aku.

Dan malam tu, Hadi whatsapp aku.

“Rashid, aku dah join blog yang kau cakap tu. Macam best je, dapat tengok hantu. Malam ni cerita pertama keluar.”

Dalam tak sedar, aku dah block dia. Moga dia tak cari aku lepas ni. Aku serik! Aku takkan baca apa-apa blog lagi. Aku taubat!

– T A M A T –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s