BLOGGER ITU ADIK AKU

Bab 10

Malam tu tepat jam 10, Ustaz Hashim datang ke rumah aku. Dia membawa bersama seorang anak lelakinya yang lebih kurang dalam usia aku juga. Masuk je dalam rumah, dia terus minta barangan yang dia minta siang tadi. Kacang hijau, garam kasar dan tahi besi. Ustaz Hashim sendiri ada membawa sehelai kain kuning dan sehelai kain hitam, sebiji botol kecil lengkap dengan penutup dan sehelai daun, aku pun tak tahu daun apa.

“Tepat jam 12 nanti, saya akan ikhtiarkan untuk mengumpan toyol tu datang ke rumah ni. In Shaa Allah. Kalau berjaya, kita tangkap. Kalau dapat tangkap, baru dapat cari tuannya. Kalau tak berjaya, kita kena usaha lain atau tunggu juga kalau ada orang mengadu duit hilang,” kata Ustaz Hashim. Kami semua menganggukkan kepala tanda faham.

Kenapa aku rasa Ustaz ni nak tangkap toyol macam nak tangkap anak kucing je. Tenang semacam. Macam takde apa yang perlu dirisaukan. Aku pula yang menggelabah, panik dan berpeluh-peluh. Makan malam pun takde selera.

Aku ada la buat research sikit pasal toyol ni. Aku baca toyol ni warna hijau, telinganya panjang, matanya besar dan merah, perutnya buncit. Tapi tak tahulah betul ke tak.

“Toyol ni ada macam-macam bentuk. Ada yang berupa angin, ada yang tak boleh dilihat tapi yang paling biasa ialah yang selalu kita lihat dalam tv tu la. Dia macam budak kecil, memang budak kecil pun. Sebab tu orang dulu-dulu, kalau ada perempuan anak sulung meninggal dunia ketika mengandung atau bersalin anak sulung, mereka akan tunggu kubur tu selama 40 hari. Sebab lepas 40 hari, bayi tersebut dah tamat tempoh dah, tak boleh dijadikan toyol. Jasad bayi ni biasanya akan disalai oleh tuannya terlebih dahulu sebelum dijampi serapah untuk dijadikan toyol atau hamba suruhan. Kejam sungguh. Siapapun yang buat kerja ni, memang sah menduakan Allah, dilaknat Allah dan susah untuk dia bertaubat.” Kata Ustaz Hashim sambil menggelengkan kepalanya. Ada riak sedih di wajahnya.

Kami yang ada di situ semua pun diam je. Ada rasa takut, ada rasa nak lari dari rumah tu kejap.

“Selalunya duit di simpan ni mana dalam rumah ni?” Ustaz Hashim bertanya.

“Haritu, duit dari dompet ayah yang hilang.” Sahut kakak aku.

“Tapi masa hari hilang tu, duit saya memang letak di luar dompet.” Sahut ayah.

“Ok, letak dalam keadaan yang sama, tempat yang sama,” kata Ustaz Hashim.

“Haritu saya letak dalam bilik. Adakah nak letak dalam bilik juga?” tanya ayah lagi.

“Iye, letak dalam bilik,” kata Ustaz Hashim.

“Habis tu, kalau dia datang malam ni, dia masuk bilik?” tanya mak aku dengan muka cuak.

“Iye. Sebab dia akan terus pergi tempat yang pernah dia ambil.” Jawab Ustaz Hashim.

“Kami kena kosongkan bilik ke?” tanya mak aku.

“Tak perlu. Buat macam biasa je. Sebab dia dah kenal keadaan rumah ni. Kalau dia tahu dirinya diperhatikan, tuannya akan dapat kesan dari rumahnya. Kalau tuannya dapat kesan, susah kita nak tangkap toyol tu nanti,” kata Ustaz.

“Seram pula saya ustaz,” kata mak terus terang.

“Seram sebab akak dah tahu. Masa tak tahu dulu, dia datang macam tu juga. Tengok orang rumah ni tidur, perhati setiap seorang.” Kata Ustaz Hashim sambil tersenyum. Mak aku pula pula buat muka kelat.

“Takde apa. Dia tak usik tuan rumah. Tuannya dah pesan. Melainkan tuannya tak bagi dia makan. Sebab kalau dia lapar, dia boleh hisap darah dari ibu jari kaki kiri kita. Kadang tu kita rasa kebas bangun pagi, kita ingat aliran darah tak elok. Ada juga yang nampak ada setitis darah di cadar bahagian kaki, kita ingat darah nyamuk. Tapi rupanya benda tu yang hisap darah kita,” kata Ustaz Hashim.

Mak tak tanya dah. Sebab lagi dia tanya, Ustaz Hashim bagi penjelasan. Penjelasan demi penjelasan buat mak makin takut. Muka mak memang cuak. Tapi aku pun cuak sebenarnya. Cuma ayah nampak tenang.

Tepat jam 12 tengah malam, Ustaz Hashim menabur kacang hijau dari pintu masuk rumah terus ke pintu bilik mak aku. Dan ditaburkan juga di beberapa tempat di dalam rumah. Kami semua masuk ke bilik masing-masing. Lampu ditutup. Suasa sunyi dan gelap, hanya bertemankan cahaya dari lampu jalan. Ustaz Hashim dan anaknya duduk di satu sudut di ruang tamu. Aku biarkan pintu bilik aku terbuka sedikit. Nak juga aku tengok rupa toyol tu. Walaupun aku sebenarnya takut.

Kakak aku terus kunci pintu bilik dia. Haziq sama macam aku, dia kata nak tengok juga tapi ayah aku dah pesah suruh dia kunci pintu dan jangan keluar bilik.

Satu jam berlalu, suasana masih sepi. Hanya sesekali kedengaran bunyi motor di atas jalan depan rumah aku. Aku dah mula mengantuk tapi aku tahan mata aku.

Pada jam 1.30 malam, aku dengar bunyi lolongan anjing kat depan rumah aku. Betul-betul depan rumah aku. Sayup mendayu tapi menyeramkan sangat bunyinya. Aku yang tadi excited sangat nak nak tengok toyol, tapi sekarang aku kecut perut. Aku takut nak selak langsir tingkap aku juga.

Seketika suasana sunyi seketika.

Lebih kurang 15 minit lepas tu, aku dengar bunyi ketawa anak kecil di luar bilik aku. Meremang bulu roma aku. Aku baring dalam gelap sambil pejamkan mata aku kuat-kuat. Seluruh tubuh aku memang aku dah selimutkan, dari kepala sampai hujung kaki. Aku rasa lepas ni aku takkan keluarkan kaki aku ketika tidur, takut ada toyol hisap darah dari jari kaki aku.

Tiba-tiba aku dengar bunyi pintu bilik aku ditolak dari luar. Allah. Masa ni aku menyesal pula sebab tak kunci pintu bilik macam yang Ustaz Hashim suruh tadi. Aku dengar bunyi derapan kaki kecil melangkah ke arah tempat aku berbaring. Aku dengar bunyi hembusan nafas. Aku dengar bunyi gigi yang berkeratup. Aku terasa ada sesuatu yang memanjat ke atas katil dan melompat-lompat kat atas aku. Aku dengar bunyi anak kecil ketawa halus. Aku dengar bunyi lolongan anjing macam kat tepi bilik aku je.

Aku keraskan badan aku. Aku tahan nafas aku. Masa ni aku baca doa lintang pukang. Aku pun tak tahu beza Al Fatihah dengan ayat doa qunut. Aku baca semua. Aku combine semua doa. Dan masa ni aku teringat, Ustaz Hashim kata toyol tu akan main kacang hijau yang ditabur tadi. Tapi seingat aku, kacang hijau tu tak ditabur kat bilik aku. Macammana pula dia boleh masuk bilik aku? Adakah sebab aku yang bawa dia ke dunia nyata ni?

Hampir lima belas minit aku dalam keadaan tu, budak kecil tu tadi turun dari badan aku. Dia turun katil. Dalam kesamaran dan ketakutan tadi, aku macam nampak Ustaz Hashim menabur kacang hijau kat pintu bilik aku. Dan dari mata yang aku buka sedikit, aku nampak susuk tubuh anak kecil, tanpa pakaian, berkulit pucat, telinga panjang, berkepala besar, tangannya kecil. Itukah toyol?

Aku besarkan mata aku. Toyol itu melompat-lompat sambil mengutip kacang hijau yang ditaburkan di lantai bilik aku. Masa aku sedang asyik melihat toyol tu mengutip kacang hijau, tiba-tiba je dia pandang aku. Dia macam tahu aku pandang dia. Dia datang perlahan-lahan kat aku.

Aduh… Apasal la benda alah ni datang kat aku balik? Aku yang nak sangat tengok dia kan? Tu dia datang. Dia pandang muka aku. Aku pejam mata kuat-kuat. Badan aku menggeletar. Aku dengar dia ketawa kecil. Hiiiiihiiiiiihiiiiiiiiiii…….!

Tiba-tiba dia menoleh ke pintu. Di situ ada sekeping syiling 10 sen berpusing. Dia melompat ke tempat syiling tu sedang berputar. Dia mengikut syiling tu. Aku nampak Ustaz Hashim dan anaknya menabur garam kasar di sekeliling tempat toyol tu sedang asyik melihat duit syiling tu. Masa ni aku beranikan diri untuk bangun dari katil dan melangkah ke pintu. Aku intai dari luar pintu.

Toyol tu masih asyik dengan duit syiling dan kacang hijau semasa Ustaz Hashim dan anaknya dan siap menaburkan garam kasar di sekelilingnya. Lepas tu aku nampak anak Ustaz Hashim berlari keluar rumah. Aku intai melalui tingkap bilik aku. Aku nampak anak Ustaz Hashim menaburkan tahi besi di sepanjang pagar rumah kami. Dan lepas tu dia masuk rumah semula.

Sebaik sahaja anak Ustaz Hashim masuk ke rumah semula, aku ternampak dua susuk tubuh di luar pagar rumah aku. Aku cuba fokuskan mata aku, nak lihat siapa mereka. Kenapa mereka berdiri di pagar rumah aku? Dan kenapa anak Ustaz Hashim seolah tak nampak mereka? Aku lihat jam, dah pukul 2.15 pagi.

Aku pandang semula ke luar pagar rumah aku. Dua lembaga itu masih di sana. Dari kesamaran malam, aku rasa itulah jelmaan Aqil dan isterinya mungkin. Atau ada jelmaan lain yang dah dikeluarkan dari blog tersebut oleh orang lain. Adoi…

Aku tutup langsir bilik aku. Aku kembali ke pintu bilik aku, mengintai dari sana. Masa ni aku dah tak nampak toyol tadi. Aku dengar suara Ustaz Hashim membacakan surah-surah Al Quran dan aku nampak anak Ustaz Hashim merapati toyol yang sedang asyik dengan kacang hijau tadi. Dia membuka botol kaca yang siap diisi dengan kacang hijau.

Seketika kemudian aku dengar bunyi jeritan anak kecil, seram bunyinya. Lepas tu aku lihat anak Ustaz Hashim menutup botol kaca tersebut dan membalut botol kaca itu menggunakan kain hitam manakala penutupnya dibalut dengan kain kuning. Dan aku tak nampak dah toyol tu. Tapi aku boleh dengar bunyi rengekan anak kecil, seolah menangis dan merayu memanggil seseorang. Sayu je bunyinya.

“Rashid, tolong pasangkan lampu. Kita dah tangkap toyol ni.” Kata Ustaz Hashim setelah ternampak aku berdiri di tepi pintu bilik.

“Dah tangkap?” tanyaku semula.

“Iye, tolong pasang lampu.” Sahut Ustaz Hashim.

Aku yang masih goyah ni, berjalan ke arah suis lampu dan memasangnya. Kacang hijau bertaburan dalam rumah.

“Boleh panggil mak ayah kamu keluar dah,” katanya lagi.

Aku pun ketuk pintu bilik mak ayah aku. Cepat je diorang keluar. Terus duduk mengadap Ustaz Hashim.

“Dengan izin Allah, saya dah tangkap toyol tu, ada dalam botol ni. Jangan buka botol ni. Jangan selak kain hitam ini. Biarkan saja dia di sini. Sebagaimana toyol ni lemas di dalam botol ini, begitulah keadaan tuannya di rumahnya. Bila dia dah tak tahan, dia akan datang menuntut toyol ini. Saya minta diri dulu, esok lepas solat subuh saya datang semula,” kata Ustaz Hashim.

“Takkan ustaz nak tinggalkan benda ni kat sini?” tanya mak aku.

“Jangan risau, tiada apa yang akan terjadi. Dia tak boleh keluar dari botol ni,” kata Ustaz Hashim.

“Tapi ustaz, kami ni takde yang berani,” kata mak lagi.

“Takpe ustaz. Saya akan jaga. Esok lepas subuh ustaz datang semula. Terima kasih banyak ustaz,” kata ayah.

“Nanti dia keluar nanti, abang tahu ke nak buat apa?” tanya mak aku.

“Kan ustaz dah cakap tadi, dia tak boleh keluar,” kata ayah aku, tak begitu suka melihat mak aku yang seakan menghalang Ustaz Hashim balik ke rumahnya.

“Saya ni takut. Mana tahu tuannya datang malam ni,” sahut mak.

“Tuannya takkan datang sebelum matahari terbit. Dia kena kekal dalam rumahnya sehingga matahari terbit. Itu pantangnya. Selepas itu barulah dia datang mencari. Saya tak boleh bawa botol ni sebab ini akan buat tuannya tak dapat cari dia.” Kata Ustaz Hashim.

“Saya faham ustaz. Baliklah rehat dulu. Esok kita selesaikan,” kata ayah.

Ustaz Hashim dan anaknya melangkah keluar pintu. Aku mengikut langkah mereka.

“Ustaz, tadi saya nampak macam ada jelmaan dua orang kat pintu pagar tu. Rasanya itulah mak ayah baby ni,” kata aku berbisik.

“Saya tahu. Saya nampak.” Sahut Ustaz Hashim.

“Saya takut lepas ustaz balik, mereka pula masuk ke dalam nak ambil anak mereka,” kataku lagi menyuarakan ketakutan aku.

“Saya dah pagarkan rumah ni. Mereka tak boleh masuk. Tahi besi untuk menghalang makhluk-makhluk ni masuk dan garam kasar untuk menghalang makhluk-makhluk ni keluar. Jangan risau, tawakkal kepada Allah. Dia lebih mengetahui segalanya. Tanpa izin-Nya, saya pun tak mampu menangkap sesuatu yang bukan dari alam kita. Serahkan segalanya kepada Allah,” kata Ustaz Hashim.

Masa ni aku diam. Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi ketika Ustaz Hashim dan anaknya meninggalkan perkarangan rumah kami. Di kejauhan malam, aku nampak masih ada jelmaan dua susuk tubuh, berdiri di bawah pokok besar di taman permainan depan rumah aku.

Cepat-cepat aku masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu. Aku nampak mak dan ayah aku masih duduk mengadap botol yang masih dalam kedudukan tadi ketika diletakkan oleh Ustaz Hashim. Terdapat garam kasar di keliling botol kaca tersebut.

Sesekali kelihatan botol tersebut bergerak, seperti ada sesuatu yang menggelupur di dalamnya. Cuak aku weh. Botol tu bergerak sikit-sikit, dah menghampiri garam kasar. Ustaz Hashim kata, pastikan botol itu berada dalam bulatan garam kasar. Jangan biarkan ia keluar.

Tapi kalau sekarang ni botol tu terkeluar dari garisan tu, siapa yang berani masukkan balik ke dalam bulatan tu? Aku memang tak la.

“Rashid, kamu jaga benda ni. Awak pergi tidur dalam bilik. Saya tidur kat luar ni.” Kata ayah buatkan mata aku terbuka luas. Aku? Jaga benda tu? Aduhhh…. Tapi nak balas balik arahan ayah, berani ke?

Ayah aku baring kat sofa. Aku duduk kat tepi botol tu. Aku dengar bunyi anak kecil merengek memanggil-manggil ayahnya.

“Ayaaaahhhhhh…. Ayaaaaahhhhhhhh…..” Sayup dan mendayu, seram dan menegakkan bulu roma. Sebab aku tahu suara tu datang dari botol tu.

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s