BLOGGER ITU ADIK AKU

Bab 9

Aku pandang ayah aku, dia tak kata apapun. Ada seorang lelaki berserban kat tepi aku. Dia senyum je pandang aku.

“Rashid, ni Ustaz Hashim. Ayah kau bawa dia dari masjid. Dia yang tolong tengokkan kamu sampai kamu sedar ni.” Mak aku beritahu. Aku angkat tangan bersalaman dengan Ustaz Hashim walaupun otak aku masih tak dapat berfikir dengan baik.

‘Dua malam aku tak sedar?’ bisik hati kecilku.

“Macammana pula kau boleh berada kat rumah aku ni Hadi?” aku tanya Hadi pula.

“Malam lepas kita pergi rumah mak Aqil tu, aku ada whatsapp kau. Nak tanya samada kau dapat lagi tak email ke, atau ada nampak apa-apa ke. Tapi kau tak balas. Aku anggap takde apa jadi la. Sampai pagi ahad tu, kau masih tak baca whatsapp aku. Masa tu aku pelik dah. Pukul 10 pagi aku telefon kau tapi kakak kau yang jawab. Dia beritahu kau tak sedar sejak subuh. Dan kau meracau cakap benda entah apa-apa. Aku pun dah rasa tak sedap hati. Hari ini aku call lagi, mak kau kata kau masih macam tu. Ni yang aku datang ni.” Hadi beritahu aku.

“Apa yang dah jadi kat aku sebenarnya?” aku tanya Hadi. Hadi pula memandang Ustaz Hashim.

“Aku dah ceritakan semuanya kepada mak dan ayah kau serta Ustaz Hashim ni pasal Aqil, pasal blog yang kau baca tu. Kakak kau pun kata dia pernah baca bersama dengan kau pada malam korang jumpa kucing hitam bermata merah tu. Mula-mula aku taknak beritahu sebab takut kau marah. Tapi aku pun risau tengok keadaan kau, meracau dah macam orang tak betul. Asyik ulang cakap ayat yang sama. Tambahan pula kakak kau pun mengaku pernah baca blog tu,”kata Hadi.

Aku pandang ayah aku. Masih di kedudukan tadi. Marah agaknya. Habislah aku kali ini.

“Jadi, macammana ni Ustaz? Dah selesai ke atau ada lagi urusan tak selesai dengan anak saya ni?” tiba-tiba mak aku bersuara.

“Saya pun tak pasti nak cakap macammana. Nak kata selesai, tak selesai. Nak kata tak selesai, macam dah selesai. Ada masa, jin dan syaitan pun pandai ikut peredaran zaman. Sebab dia dah bersumpah akan hidup sampai hari kiamat. Maka dia lebih tahu teknologi hingga kiamat menjelang. Syaitan tu dah hafal Al Quran. Dia tahu maknanya sekali.” Sahut Ustaz Hashim.

“Tapi untuk kes Rashid ni, macam ada sesuatu yang perlu dihantar pulang ke tempat asalnya. Kalau tak, ‘benda’ tu akan merayau di alam ni, mengganggu orang ramai, dan boleh memesongkan akidah juga,” kata Ustaz Hashim.

“Maknanya belum selesai la. Kenalah hantar balik. Dah mulakan, kenalah selesaikan. Takkan nak biar orang lain dapat susah kerana kesilapan kita,” sahut ayah yang diam dari tadi. Lain macam je nada suaranya. Hadi pandang aku. Aku pandang mak. Mak pandang kakak aku. Kakak aku pandang ayah. Ustaz Hashim pula bangun dan duduk di tepi ayah.

“Ada asbab di setiap kejadian yang diizinkan oleh Allah untuk terjadi. Kun fayakun. Kalau Allah mahukan ia terjadi, maka terjadilah ia. Tak kira siapapun yang mulakan, tak kira ianya sengaja atau tak sengaja,” kata Ustaz Hashim perlahan. Ayah diam.

“Masa kamu meracau, kamu ada sebut pasal anak. Anak siapa?” Ustaz Hashim tanya aku. Aku kebingungan sekejap. Semua mata memandang aku termasuk ayah.

“Kamu ada minta kami carikan anak kamu.” Kata Ustaz Hashim lagi.

Ayah pandang tajam kat aku. “Anak?” aku tanya balik.

“Kau ada buat perkara tak elok dengan anak dara orang ke?” tiba-tiba je mak tanya aku macam tu. Sekarang aku rasa aku faham kenapa ayah pandang aku macam singa tak makan seminggu.

“Atau mungkin ada seseorang atau sesuatu yang meminta kamu mencarikan anaknya?” tanya Ustaz Hashim bila mak aku tanya soalan begitu. Dan bila Ustaz Hashim berkata begitu, barulah memori aku dapat berfungsi semula. Kalau tak, dari tadi aku asyik fikirkan macammana mak aku kata aku dah tak sedar dua malam sedangkan baru semalam je aku masuk tidur macam biasa.

“Rashid, anak Aqil ke?” Hadi pula bertanya. Aku anggukkan kepala.

“Maksud kamu, Aqil yang dalam cerita blog tu?” tanya Ustaz Hashim lagi.

“Aqil minta saya carikan anaknya yang diambil dari rahim ibunya yang dah meninggal dunia,” aku beritahu.

“Kamu tahu ke kat mana anak dia?” tanya Ustaz Hashim lagi. Aku gelengkan kepala.

“Takpe, kita cari.” Kata Ustaz Hashim.

“Nak cari kat mana? Dalam blog tu?” tiba-tiba ayah aku tanya. Tak tahu la dia perli ke atau memang betul-betul bertanya. Ustaz Hashim tersenyum.

“Blog tu mungkin hanya perantara untuk ‘dia’ beritahu kita sebab dia tak boleh beritahu kita secara terus. Kita perlu cari di alam kita ini. Kerana itulah dia minta tolong dari manusia di alam ini,” kata Ustaz Hashim.

Aku kagum dengan Ustaz Hashim ni. Dia bukan saja seorang ustaz, tapi dari kata-katanya yang lemah lembut juga mampu membuatkan hati kita terasa tenang. Rasa macam segalanya boleh selesai. Dia sporting, walaupun dia orang masjid, tapi dia tahu juga pasal media sosial semua ni. Kalaulah ayah aku juga macam ni.

“Saya ada anak sebaya kamu. Saya tahu sangat perangai anak-anak di usia kamu. Semuanya nak dicuba, nak cari pengalaman perkara baru. Tanpa fikir akibatnya. Tapi kalau tak dapat akibat, kita tak belajar. Sebab tu orang selalu kata, kita perlu jatuh untuk bangun. Saya muda dulu pun macam kamu juga, semua nak cuba. Cuma cara saya dan cara anak sekarang tak sama sebab kita di lain zaman,” kata Ustaz Hashim seolah dapat membaca detik hati aku sekejap tadi.

“Kita dulu pun macam ni juga kan Abang Radhi? Mandi lombong sampai lemas. Curi buah rambutan kat kebun orang, sampai kena kejar satu kampung.” Kata Ustaz tu lagi sambil pandang ayah. Ayah diam je. Ustaz tu macam cuba nak mengingatkan ayah je bahawa ayah pun pernah muda, pernah nakal macam aku sekarang.

“Jadi, apa kita perlu buat sekarang ustaz?” mak aku tanya bila ayah tak jawab soalan Ustaz Hashim. Mak aku ni macam biasalah, dialah yang akan cover sesiapa sahaja.

“Rashid, kamu kena bagitahu saya, apa yang kamu lihat, apa yang kamu dengar. Sebab apa yang Hadi beritahu saya, baru 60% je, selebihnya kamu yang tahu sebab kamu yang lihat dan dengar,” kata Ustaz Hashim.

Aku pun ceritakanlah semua yang aku baca, dengar dan lihat. Dari malam pertama, Pontianak itu muncul. Malam kedua, budak kecil dan malam ketiga, tentang kucing hitam bermata merah yang melangkah mayat di malam jumaat. Pada hari keempat aku jumpa Aqil yang sebenarnya dah meninggal dunia kat tempat kerja aku. Dan pada malam keempat, ketiga-tiga makhluk tu berkumpul di depan rumah aku. Aku nampak Aqil beberapa kali. Pada malam aku dikatakan pengsan tu, Aqil meminta aku cari anaknya.

“Tapi mak Aqil ada kata, kawasan taman tempat mereka tinggal, kerap ternampak jelmaan pontianak mirip wajah Haryati, iaitu isteri Aqil, merayau-rayau di sebelah malam hari dan turut mengetuk pintu rumah mereka untuk bertanyakan di mana anaknya,” kata Hadi menyambung cerita aku. Dan aku mengangguk mengiyakan.

Semua yang ada di situ mendengar dengar teliti. Termasuk ayah aku.

“Maknanya ketiga-tiga hantu tu pernah datang ke rumah ni?” tanya kakak aku. Aku mengangguk.

“Duit ayah yang hilang tu ada kena mengena ke?” tanya kakak aku lagi, dan aku angkat bahu.

“Dari apa yang saya faham, mereka sedang mencari anak mereka yang telah dicuri oleh seseorang untuk tujuan yang salah,” kata Ustaz Hashim.

“Maksud ustaz?” tanya mak aku.

“Pengamal ilmu salah ni, takkan lepaskan peluang bila anak bayi yang meninggal semasa baru dilahirkan atau masih dalam alam rahim. Nak pula bayi itu anak sulung lelaki, maknya dan datuknya adalah anak sulung juga. Senang kata, tiga keturunan adalah anak sulung. Meninggal pada hari jumaat ketika bulan penuh,” Ustaz Hashim mulakan ceritanya.

“Maknanya kemungkinan besar, bayi dalam kandungan Haryati telah dicuri?” tanya kakak aku.

“Mungkin,” sahut Ustaz Hashim.

“Tapi nak ambil mayat bayi untuk apa?” tanya mak aku lagi.

“Dijadikan alat untuk mendapatkan kekayaan secara mudah. Memuja jasad anak kecil ini menjadi makhluk bernama toyol. Menyatukan jasad kecil ini dengan roh tuannya melalui titisan darah. Toyol ini diajar untuk mencuri wang dari rumah orang.Tuan toyol ni akan menjaga toyol ni seperti menjaga anak sendiri. Disayangi. Setiap Selasa, toyol ini akan diberi makan tujuh biji telur ayam kampung. Setiap khamis, toyol ini diberi setitis darah tuannya. Ini bagi jasadnya kuat dan mengikat tali agar toyol ini tiada pilihan lain selain mengikut kehendak tuannya,” kata Ustaz Hashim.

“Maknanya toyol ni masuk ke rumah orang dan ambil duit?” tanya Hadi.

“Iye.” Jawan Ustaz Hashim.

“Kalau macam tu, kita umpan dia masuk ke rumah kita dan tangkap dia masa dia curi duit,” kata kakak aku. Ceh, macam le berani sangat nak tangkap hantu.

“Setiap kali toyol ni keluar, tuannya akan menjaganya dari rumah. Dia akan pasangkan pelita dari bekas berwarna kuning. Andai api dari pelita berwarna biru, bermakna toyolnya masih selamat. Tapi bila api pelita bertukar menjadi kuning, bermakna toyolnya dalam bahaya. Mungkin sedang dikejar orang. Maka tuannya akan meniup api pelita tersebut dengan segera. Bila api pelita tersebut terpadam, toyol tersebut akan hilang dari penglihatan orang ramai.” Cerita Ustaz Hashim membuatkan kami semua di situ ternganga melopong. Termasuk ayah.

“Jadi, toyol tu la yang curi duit ayah hari tu,” tiba-tiba Haziq yang datang dari biliknya bersuara membuatkan kami kat situ melompat terkejut kecuali Ustaz Hashim.

“Bukan Haziq ambil ye ayah,” kata Haziq lagi sambil memandang ayah aku.

“Dah berapa lama kamu berdiri kat situ Haziq?” tanya mak aku.

“Lama dah. Takde siapa perasan. Kalau pencuri masuk pun takde orang tahu kot,” kata Haziq selamba. Mak aku jeling Haziq, bagi isyarat jangan cakap macam tu sebab ada orang lain kat rumah tu. Ustaz Hashim dan Hadi tersenyum je.

“Dalam cerita blog yang kau baca tu, kau dapat agak tak di mana bayi tu dibawa? Pernah tengok tempat tu?” tanya Ustaz Hashim.

“Sebuah pondok kecil di pinggir hutan. Rumah tu takde lampu, cuma ada pelita minyak tanah je. Ada seorang lelaki je kat rumah tu. Tapi rumah tu macam bukan di kawasan kita je. Macam kat kawasan kampung,” aku beritahu.

“Bermakna ia bukan dari tempat kita. Memang kebiasaannya tuan toyol ni takkan suruh toyolnya mencuri di kawasan tempat tinggal dia. Sebab bimbang ada pihak yang mengesyakinya.” Kata Ustaz Hashim. “Oooooo……” Kami kat situ menyahut serentak.

“Takpe, macam ni. Kita tak tahu tuan toyol ni tinggal ni tinggal di mana. Tapi kita boleh umpan toyolnya untuk datang kepada kita,” kata Ustaz Hashim.

“Umpan toyol?” tanya aku.

“Iye, malam nanti kita umpan toyol tu datang ke rumah ni. Dan kita tangkap,” kata Ustaz Hashim membuatkan mak dan kakak aku membeliakkan mata.

“Nak panggil toyol datang ke rumah ni?” tanya kakak aku. Ustaz Hashim menganggukkan kepala. Aku sekalipun dah rasa cuak bila Ustaz Hashim cakap macam tu.

“Takpe ke?” tanya mak aku.

“Kalau itu je pilihan yang ada, ustaz buat je la,” ayahku bersuara. Dan kami semua diam, tak berani membantah.

“Malam nanti lepas Isya’ saya datang. Sediakan kacang hijau, garam kasar dan tahi besi,” kata Ustaz Hashim. Kami semua mengangguk tanda faham.

Lepas Ustaz Hashim balik, Hadi pun minta diri untuk balik. Katanya dia kerja shif petang. Hadi bekerja di makmal hospital.

Ayah aku pun bangun, keluar dari rumah. Tak cakap apapun dengan aku. Aku pun bangun pergi mandi. Kalau betul dah dua malam aku tak sedar, maknanya dah dua hari juga la aku tak mandi. Dan tiba-tiba aku teringat kat tempat kerja aku. Ah, sudah. Aku tak beritahu mereka aku cuti.

Cepat-cepat aku call office, cakap dengan Kak Rosmah. Aku beritahu dia aku ambil cuti kecemasan hari ini dan esok. Kak Rosmah bising gak sebab tak beritahu awal pagi. Dia tanya kenapa aku nak cuti kecemasan pula. Aku katalah ada saudara sakit tenat kat kampung. Takkan aku nak beritahu malam ni aku nak tangkap toyol pulak.

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s