BLOGGER ITU ADIK AKU

Bab 8

“Mana kau tahu pasal semua tu? Pasal abang Aqil, pasal jenazah Aqil, pasal isteri Aqil, pasal baby mereka?” Hadi tanya aku masa kami sama-sama ikat tali kasut kat tangga masjid lepas soalt Asar.

“Dari blog tu la,” aku menjawab.

“Macammana pula blog boleh tulis semua tu?” Hadi tanya lagi.

“Mana la aku tahu,” sahutku pendek. Dah penat rasanya aku cuba buat mereka percayakan cerita aku tapi mereka cuma perli aku, pandang sinis kat aku.

“Ok. Sekarang aku percaya apa yang kau cuba beritahu. Pasal blog, pasal Aqil. Kau boleh cerita semuanya kat aku. Mana tahu aku boleh tolong,” kata Hadi.

Aku bangun setelah mengikat tali kasut. Hadi pun sama.

“Jom kita lepak kedai mamak depan sana. Kau cerita kat aku boleh?” kata Hadi. Aku anggukkan kepala je. Memang aku kena cari seseorang untuk bantu aku.

Masa kami melangkah keluar dari pagar masjid, dari penglihatan tepi mata aku, aku perasan ada seseorang berdiri kat tepi masjid. Aku angkat kepala memandang ke arah orang itu. Aqil!

Dia tunduk di tepi tiang balkoni masjid. Aku pandang je dari jauh.

“Kenapa Rashid?” Hadi tanya aku bila dia lihat aku berhenti.

Aku muncungkan mulut ke arah Aqil. “Siapa tu? Kau kenal dia ke?” Hadi tanya aku. Masa ni aku pula nak pandang Hadi semacam.

“Kau nampak ke?” tanyaku.

“Nampaklah, kau yang tunjuk, kan?” sahut Hadi masih memandang ke arah Aqil.

“Kau nampak apa?” tanyaku.

“Tu, lelaki yang berdiri di tepi tiang balkoni masjid tu. Kenapa dia tunduk je macam tu? Muka pun pucat semacam. Dah macam zombie. Penagih dadah kot. Nak curi tabung masjid le tu,” kata Hadi.

“Hadi, itulah Aqil,” kata aku tanpa selindung lagi. Aku pun pelik sebab Hadi dapat lihat Aqil.

Muka Hadi berubah bila aku beritahu dia bahawa lelaki itu ialah Aqil. Hadi turun dari motorsikalnya dan seakan nak melangkah ke arah Aqil tapi aku menahannya.

“Tak payahlah,” kata aku.

“Aku nak pastikan bahawa itu betul Aqil macam yang kau cakap. Mana tahu orang lain. Mana tahu kau memang berimaginasi, orang lain pun kau kata Aqil,” kata Hadi. Aku tahu sebenarnya dia masih belum mempercayai aku sepenuhnya. Maka, aku lepaskan tangannya.

Aku lihat Hadi melangkah ke arah Aqil. Makin Hadi rapat kepadanya, aku lihat Aqil makin jauh. Tapi Hadi masih melangkah ke arah Aqil.

Aku pula yang rasa cuak. Aku pun turun dari motorsikal aku dan mengekori Hadi. Ketika aku sampai kepada Hadi, Hadi dah berada di tepi kawasan perkuburan manakala Aqil dah berada di tengah kawasan perkuburan. Seolah Aqil sedang mengharap Hadi mengikutnya.

Cepat-cepat aku pegang Hadi. Dia dah macam terpukau. Dia seolah terkejut bila aku tepuk bahunya.

“Kau kenapa? Takkan nak ikut dia sampai kubur kot,” aku bersuara dengan nada yang agak tinggi. Hadi beristighfar lalu menyapu wajahnya dengan tangan.

Kami sama-sama memandang ke arah Aqil tapi dia dah tiada di situ.

“Dah, jom kita tinggalkan tempat ni,” kataku mengajak Hadi. Hadi menurut. Sesekali dia menoleh ke kawasan perkuburan tu tapi aku cuba menghalang. “Jangan tengok lagi,” kataku.

Sampai kat kedai mamak, kami ambil tempat di bahagian paling tepi yang agak berjauhan dari meja lain. Selepas order minuman, aku buka telefon aku. Aku buka email-email lama aku. Aku terus tunjukkan email tiga malam berturut-turut yang aku terima kerana aku dan join blog tersebut.

“Maksud kau, setiap cerita dalam blog ni akan jadi kenyataan?” Hadi bertanya selepas dia habis membaca tiga cerita dalam blog ‘Makhluk Tak Terlihat’ yang masuk ke dalam inbox email aku.

“Aku pun tak pasti. Tapi dari situlah aku tahu semua cerita pasal Aqil. Sebenarnya aku tak tahu pun. Tapi bila dah pergi ke rumah mak Aqil, dan bila dia ceritakan segalanya, tiba-tiba memori aku teringat dengan cerita dalam blog ni. Itu pasal aku tanya dan terus tanya mak dia. Bukan aku nak bagi dia sedih tapi aku nak pastikan semua cerita mak Aqil adalah sama dengan cerita yang aku baca dalam blog ni,” kataku menjelaskan. Senang bercerita bila orang mempercayai dan memahami situasi kita.

Hadi masih diam.

“Masa aku jumpa Aqil kat kedai mamak bawah pejabat aku, aku memang nampak parut kesan jahitan kat pipi kanannya. Aku tanya kenapa pipi dia. Dia jawab dia kemalangan motor. Cerita tu sama macam dalam blog dan sama juga dengan cerita mak Aqil. Itu yang buat aku yakin, cerita dalam blog ni adalah cerita nyata, bukan rekaan semata-mata,” kata aku lagi.

Seketika kemudian, minuman kami sampai.

“Tapi siapa yang tulis cerita dalam blog tu? Orang tu mesti yang tahu sangat pasal cerita Aqil ni. Dan kenapa pula dia kena cerita kat kau?” kata Hadi sambil menyedut minumannya.

“Itu yang aku tak tahu. Sebab tu aku minta korang pula join group ni dan tengok, adakah sama keadaannya macam apa yang aku dah alami? Dapat email, baca cerita dan cerita jadi nyata. Kalau sama prosedurnya, adakah cerita yang sama? Atau ada cerita lain?” aku berkata.

“Tapi nanti kalau aku join, keluar pulak cerita lain yang juga jadi nyata. Haa… Macammana? Berapa banyak ‘Makhluk Tak Terlihat’ tu nak muncul ke alam kita ni. Lebih baik yang mana dah terlepas ni kita hantar balik dulu. Lepas tu baru boleh nak buat test ke, ujian ke, kat blog tu,” kata Hadi.

“Betul jugak tu,” kata aku.

“Kalau ikut cerita kau, pada malam ketiga iaitu di malam Jumaat, kau tak jumpa apa-apa hantu pun kan? Cuma ada kucing hitam dengan mata merah yang muncul kat rumah kau kan? Takde pun mayat yang bangun kan?” tanya Hadi. Dan aku mengangguk.

“Kalau begitu, maknanya, Aqil ni la mayat yang bangun semula setelah dilangkah tiga kali oleh kucing hitam bermata merah di malam jumaat,” kata Hadi.

“Mungkinlah kot. Tapi masalahnya Aqil dan mati dua bulan lepas dan dia dan dikebumikan. Macammana pula kucing hitam tu boleh langkah mayat dia?” tanyaku.

“Entah. Makin fikir, makin berbelit cerita ni.” Kata Hadi.

“Yang pasal Pontianak dan budak kecil tu, masih ganggu kau ke?” tanya Hadi lagi.

“Lepas pukul 12 malam, mereka bertiga ni berada di rumah luar rumah aku, betul-betul kat depan tingkap bilik aku. Dah la tingkap bilik aku tu cermin yang nampak jelas kat luar. Kau bayangkan, dari cermin tingkap aku tu, mereka bertiga ni pandang aku. Dah la duit ayah aku hilang dua hari berturut-turut, mak aku kata toyol ambil. Bila nampak kucing hitam di malam jumaat, mak aku kata kucing tu langkah mayat dan mayat tu hidup balik. Hish, seram sejuk la aku,” kata aku.

“Kau tak cuba berinteraksi dengan mereka ke?” tanya Hadi.

“Kau gila? Nak aku bercakap dengan hantu? Memang tak la,” sahutku dengan nada suara agak tinggi.

“Takdelah, mana tahu, mereka cuba nak beritahu sesuatu,” kata Hadi lagi.

“Kau tak tahu apa perasaan aku setiap kali nampak mereka kat luar tingkap cermin aku. Dalam cerita kat blog tu ada kata, Makhluk Tak Terlihat ni boleh masuk melalui angina walaupun dari lubang yang kecil. Walaupun aku tutup langsir tingkap, aku macam terasa-rasa je mereka dah masuk bilik aku melalui lubang berbunga kat atas tingkap aku tu. Aku tidur pun berkelubung selimut walaupun aku panas sampai berpeluh-peluh. Lagi kau nak suruh aku tanya mereka?” kata aku.

“Kalau mereka bertiga masuk bilik kau, kau nak buat apa?” Hadi tanya soalan.

“Kau ni Hadi. Dah la, jom balik,” kata aku rasa nak marah bila Hadi cakap macam tu. Sebenarnya aku takut.

“Ala kau ni Rashid. Chill la. Kita ni lelaki la. Takyahlah nak merajuk sangat,” kata Hadi memujuk.

“Bukanlah nak merajuk. Tapi kau ni nak gurau pun, agak-agaklah. Aku serius ni. Tapi memang kita kena balik dah ni. Tak lama lagi maghrib. Kalau aku sampai rumah lepas maghrib, ayah aku dah tunggu kat depan pintu. Pandang aku macam apa dah,” kata aku sambil menghabiskan minuman aku.

“Dah besar macam ni pun masih ayah tunggu depan pintu?” tanya Hadi. Aku  malas jawab dah. Aku bangun terus ke kaunter buat bayaran. Hadi mengikut aku dari belakang.

“Jangan marah bro. Aku gurau je. Aku tahu ayah kau sayangkan kau.” Kata Hadi.

“Malam nanti aku whatsapp kau. Kalau makhluk tu masih ada kat depan rumah kau, esok kita cari ustaz nak? Kita tanya ustaz,” kata Hadi.

“Elok juga tu. Mungkin ustaz boleh tolong selesaikan perkara ni. Tapi ustaz tu nak ke percaya kalau aku cakap makhluk tu semua terlepas dari cerita blog yang aku baca?” tanyaku lagi sambil mengikat tali topi keledar.

“Kita cuba je la dulu. Mana tahu dia ada idea lain. Aku nak bantu halau hantu pun aku tak tahu. Tapi aku syak, mereka ni nak minta tolong dari kau sebenarnya,” kata Hadi.

“Entahlah, aku dah buntu. Apa-apa malam nanti aku roger kau,” kata aku lagi. Aku hidupkan enjin motorsikal dan berlalu pergi. Harap-harap ayah aku tak tunggu aku kat pintu rumah lagi.

Jam menunjukkan pukul 6.45 petang ketika aku masuk ke perkarangan rumah aku. Ayah aku masih kat dalam rumah, bersiap nak pergi masjid kot. Aku lega dah.

“Kau ke mana hari ini Rashid? Hari ni Sabtu patutnya kamu balik pukul 1 kan?” tiba-tiba je ayah aku tegur masa aku melangkah masuk ke rumah.

“Rashid keluar dengan Hadi tadi. Pergi menziarah keluarga kawan yang dah arwah,” sahutku dengan yakin. Kalau jawab tergagap-gagap pun nanti, ayah aku kata aku buat cerita.

Aku aku diam. Dia terus capai kunci motornya lalu berlalu keluar nak ke masjid. Aku pula terus masuk ke rumah. Taknak tunggu lama-lama, nanti ada soalan lain pula yang keluar.

Malam tu, pukul 12 aku tunggu kalau ada apa-apa email notification. Tapi tiada. Aku pun penat sangat hari ini. Maka aku tutup lampu dan tidur awal.

Sedang aku tidur tu, aku rasa seperti ada orang lain berada di dalam bilik aku. Mula-mula aku ingatkan pencuri. Aku buka mata aku perlahan-lahan.  Aku nampak tiga makhluk yang aku lihat kat luar rumah semalam, sedang berdiri di kaki aku. Ya Allah! Apa aku nak buat ni? Dah rasa nak menangis dah ni. Kaki aku dah rasa kebas. Masa ni la aku teringat satu cerita yang aku pernah baca, kaki kebas masa tidur sebab ada toyol hidap darah kat ibu jari kaki. Dan sekarang toyol tu ada kat kaki aku! Euwwwwww!

Badan aku menggeletar. Aku tak boleh bergerak. Tapi aku tak dapat tahan mata aku untuk lihat makhluk-makhluk tu.

Makhluk lelaki tu tak berbuat apa-apa, Cuma berdiri, tundukkan mukanya. Makhluk perempuan seolah Pontianak tu kelihatan terawang-awang kat dalam bilik aku. Manakala makhluk budak kecil seakan toyol tu sedang merangkak-rangkak kat atas katil aku.

Aku tutup muka aku dengan selimut bila budak kecil itu sampai ke muka aku. Dia pandang aku dengan mata merahnya yang seolah nak tersembul dari kelopak matanya. Aku dengar bunyi rengekan sayu dari Pontianak tu. Dan ketawa kecil dari budak kecil tu.

Tak lama lepas tu, suasana sunyi seketika. Aku selak kain selimut dan ketika aku, makhluk lelaki tadi betul-betul berada di depan mata aku. Dan aku yakin, itu Aqil.

“Aqil, kau nak apa dari aku? Aku tak kacau kau. Kalau aku ada bersalah dengan kau, aku minta maaf. Jangan kacau aku lagi, tolonglah. Bawa anak isteri kau pergi, jangan kacau aku. Kalau kau nak minta tolong, carilah orang yang layak. Aku tak boleh tolong kau,” kataku memberanikan diri bersuara.

“Tolong cari anak aku,” kata Aqil.

“Nak cari kat mana?” aku bertanya. Tapi Aqil tak jawab.

“Rashid! Rashid!” tiba-tiba aku dengan suara mak aku. Aku buka mata perlahan. Aku nampak mak aku sedang menangis.

Aku bangun duduk. Aku pandang keliling. Aku lebih terkejut bila lihat hari dah siang. Ada beberapa orang yang aku kenali sedang duduk memandang aku. Ayah aku, mak aku, kakak aku, adah seorang lelaki lain memakai dan paling aku terkejut, ada Hadi juga!

“Kenapa ni mak? Hadi, apa kau buat kau rumah aku ni?” tanyaku.

“Rashid, dah dua malam kau tak sedar. Kau meracau-racau tak tentu hala. Mak pun dah tak tahu nak buat apa. Ayah kau panggil Pak Karim ni datang tolong tengokkan,” mak aku beritahu.

“Dua malam? Semalam Rashid masuk tidur elok je macam biasa.” Sahutku sambil mengerutkan dahi.

“Iye Rashid, kau dah tak sedar dua malam sejak malam lepas kita jumpa mak Aqil haritu,” kata Hadi.

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s