BLOGGER ITU ADIK AKU

Bab 7

Selesai solat, aku dan Hadi bergerak ke rumah mak Aqil. Betullah, rumah mak dia kat belakang kawasan perkuburan tu. Tapi yang semalam aku nampak lelaki kat belakang masjid tu siapa pulak? Aqil? Dia ajak aku ke kubur ke apa?

Hadi memberi salam bila kami sampai ke sebuah rumah kecil. Terdengar suara seorang wanita menyahut salam dari dalam rumah. Dan tak lama kemudian, pintu terkuak dan muncul seorang wanita dalam usia baya mak aku atau mungkin tua sikit.

“Eh Hadi. Lama tak datang,” kata wanita tua itu sebaik sahaja ternampak Hadi. Hadi tersenyum mesra memandang wanita tua itu.

“Makcik apa khabar?” tanya Hadi ramah.

“Alhamdulillah, sakit pening sikit-sikit tu biasalah, orang dah tua,” kata wanita itu.

“Ni kawan saya dengan arwah Aqil, nama dia Rashid.” Kata Hadi memperkenalkan aku kepada wanita itu.

“Rashid, inilah mak Aqil,” kata Hadi kepada aku pula.

“Meh la masuk rumah. Sesekali datang, takkan nak duduk di luar,” kata mak Aqil.

Aku dan Hadi mengangguk dan terus masuk ke dalam rumah. Masa kat dalam rumah, kami nampak seorang remaja lelaki kurang upaya dalam usia 18 tahun, duduk di atas kerusi roda.

“Duduklah dulu, makcik tengah masak bubur tadi. Petang nanti nak hantar ke kedai depan tu. Nanti makcik buatkan air ye,” kata mak Aqil.

“Eh, tak payah susah-susah makcik. Kami datang nak menziarah je sebab lama tak datang tanya khabar. Sejak hari arwah meninggal haritu. Maaflah saya tak berkesempatan menjenguk,” kata Hadi.

“Takpe, makcik faham. Tak lupakan makcik pun, makcik dah berterima kasih sangat,” kata mak Aqil sambil berlalu ke dapur.

“Ikhwan, apa khabar?” kata Hadi menegur remaja lelaki berkenaan. Remaja lelaki tersebut kelihatan tersenyum seperti dia mengenali Hadi.

“Rashid, inilah adik Aqil, namanya Ikhwan,” Kata Hadi memperkenalkan aku kepada adik Aqil.

“Aqil ada adik lain ke?” tanya aku.

“Takde, mereka memang dua beradik je,” kata Hadi sambil menolak kerusi roda Ikhwan keluar rumah. Aku ikut je tapi mata aku melilau mencari peralatan komputer, tak nampak.

“Hadi, yang Aqil kata adik dia blogger tu, adik yang mana? Takkan yang ni?” tanya aku tak puas hati.

“Manalah aku tahu. Yang aku tahu, adik Aqil, Ikhwan ni seorang je. Tu yang aku pelik bila kau kata ‘Aqil’ kau tu beritahu adik dia tulis blog. Blog hantu pulak tu. Merepek je,” kata Hadi terus menolak kerusi roda Ikhwan sampai ke bawah pokok. Di situ ada satu pangkin untuk aku dan Hadi duduk. Sedap rasanya bila angin meniup perlahan.

“Hadi, aku yakin dengan apa yang aku lihat. Dan aku tak tipu kau pasal blog tu.” Kata aku masih gigih nak Hadi percaya apa yang aku sedang lalui.

“Rashid, kau dah tengok keadaan adik Aqil ni ha. Dan kau dah jumpa mak Aqil juga. Memang Aqil dah meninggal dunia dan adik Aqil macam ni, syndrome down sejak lahir. Sekarang dah 18 tahun umurnya. Apa lagi yang kau nak tegakkan? Dah terbukti kat depan mata,” kata Hadi.

Aku diam sambil mengerutkan dahi. Adakah aku yang sedang berimaginasi?

“Laa… kat sini rupanya. Kenapa duduk kat luar, panas ni,” kata mak Aqil sambil membawa sedulang air sirap bersama tiga mangkuk bubur kacang yang masih panas. Mak Aqil melangkah ke arah kami dan meletakkan dulang di atas pangkin tempat kami sedang duduk.

“Kat sini berangin makcik. Sejuk je bila angin bertiup,” kata Hadi.

“Kawasan ni banyak pokok. Itu yang masih redup dan sejuk bila angin bertiup,” kata mak Aqil sambil duduk di sebelah kerusi roda Ikhwan.

“Ikhwan nak bubur?” tanyanya lagi. Dan Ikhwan mengangguk.

“Rashid ni makcik, dia yang nak sangat datang sini. Nak tanya pasal Aqil katanya. Dia ni dengan Aqil tak berapa rapat masa sekolah tapi bukanlah musuh pula. Nanti saya sembang, dia tak percaya. Makcik ceritalah kat dia apa dah jadi dengan Aqil,” kata Hadi sambil mengambil semangkuk bubur dan pergi kepada Ikhwan. Dia seperti nak menyuap Ikhwan bagi memberi ruang kepada mak Aqil bersembang dengan aku.

Mak Aqil tersenyum sambil memandang aku. Aku pula yang gugup macam sedang berhadapan dengan puteri raja.

“Apa yang kamu nak tahu pasal Aqil?” tanya mak Aqil.

“Betul ke Aqil dah meninggal dunia makcik?” aku bertanya soalan yang membuatkan Hadi tertawa kecil sambil menggelengkan kepalanya.

“Iye, Aqil dah meninggal dua bulan yang lepas,” sahut mak Aqil ringkas.

“Aqil tu kerja apa? Dia meninggal kemalangan apa? Bujang lagi ke?” tiba-tiba aku dapat kekuatan untuk bertanya.

“Dia baru je kerja setahun sebagai arkitek. Meninggal dunia masa kemalangan motor. Masa tu ada orang sampaikan cerita mengatakan ada orang korek kubur isteri dia. Dia dalam perjalanan ke rumah Tok Imam. Tapi kena langgar dengan lori kat depan rumah Tok Imam tu,” cerita mak Aqil.

“Ya Allah. Kubur isteri dia? Dia dah kahwen ke?” tanya aku lagi.

“Dia dah kahwin, isterinya pula sarat mengandung anak sulung,” sahut Hadi.

“Isterinya dah meninggal dunia? Anak dia?” tanyaku penuh perasaan ingin tahu.

“Kedua-duanya meninggal dunia masa kandungan isterinya dah lapan bulan. Masa tu isterinya terkena demam denggi kritikal. Tak lama. Dia demam seminggu, lepas tu satu pagi dia bangun muntah teruk. Kami bawa ke hospital. Doktor pakar semua periksa, sampai akhir mereka tak dapat pastikan apa penyakit sebenarnya. Lalu mereka diagnosis dia sebagai denggi kritikal.” Sahut mak Aqil dengan wajah agak sedih.

“Maafkan saya makcik, sebab terlalu banyak bertanya,” kataku lagi, tiba-tiba rasa serba salah bila lihat mak Aqil sebak.

“Takpe Rashid. Kalau tak ceritakan pun, adakala masa solat, makcik menangis juga sebab rindukan mereka,” sahut mak Aqil.

“Iyelah makcik, apa cerita lanjut pasal kubur isteri dia digali orang tu?” tanya Hadi.

“Panjang ceritanya Hadi. Sampai sekarang tak selesai lagi. Kuburnya masih kosong. Orang kampung masih diganggu,” kata mak Aqil.

“Ya Allah. Takde ke pihak yang boleh bantu?” tanya Hadi.

“Ada la dua tiga orang datang, cuba nak selesaikan perkara ni. Ada yang betul, ada yang cuma nak duit je,” kata mak Aqil.

“Makcik tau ke kot Haryati tu ada apa-apa yang terhutang ke masa kat dunia ni? Kot ada urusan yang belum selesai?” tanya Hadi lagi.

“Jap. Haryati tu siapa?” tanya aku. Seperti ada sesuatu yang menarik dengan nama Haryati tu.

“Haryati tu isteri Aqil,” kata Hadi.

“Tadi makcik kata kuburnya dikorek orang? Maknanya ada orang ambil jasadnya?” aku tanya lagi.

“Makcik pun tak tahu. Tapi kata mereka, kuburnya kosong. Dan ada beberapa orang kampung yang nampak Haryati merayau-rayau kat kampung ni pada sebelah malam. Tapi makcik tak pernah jumpa pun,” kata mak Aqil.

“Makcik, minta maaf saya bertanya. Bagaimana Aqil meninggal dunia?” tanya aku.

“Kan dah kata tadi, meninggal dunia masa kemalangan,” sahut Hadi.

“Bukan, maksud saya, bagaimana keadaan jasad dia masa meninggal dunia?” tanya aku.

“Jasadnya tak teruk sangat. Doktor kata organ dalamannya yang banyak berlaku pendarahan. Jasadnya yang makcik nampak, cuma pipi kanannya terkoyak hingga nampak daging dan tulang. Tapi pihak hospital dah jahit elok masa kami bawa jenazahnya balik.” Cerita mak Aqil tanpa jemu, walaupun ada nada sebak dalam suaranya.

Aku cuba bayangkan wajah Aqil yang aku temui semalam dan hari ini. Iye, memang ada kesan jahitan kat pipi kanannya. Dan dalam blog ‘Makhluk Tak Terlihat’ yang aku baca tu pun ada mengatakan bahawa jenazah Aqil cuma terkoyak di bahagian pipi kanannya namun telah dijahit oleh pihak hospital. Kebetulan atau kenyataan?

“Kenapa Rashid? Kau tanya dah mengalahkan penyiasat pulak dah,” kata Hadi.

“Aqil ada abang kan?” tanyaku. Mak Aqil memandang aku dengan wajah yang agak terkejut. Begitu juga Hadi.

“Macammana kamu tahu?” tanya mak Aqil.

“Abang Aqil namanya Osman?” tanyaku lagi.

Mak Aqil diam.

“Aqil meninggal dunia pada pukul 6 petang hari Khamis? Jasadnya dibawa balik sampai rumah pukul 12 malam. Dan pada jam 3 pagi, ada kucing hitam melangkah jasad Aqil?” tiba-tiba semua memori aku dengan cerita dalam blog tu terkait.

Mulut Hadi terbuka luas memandang aku. Mak Aqil pun sama. Aku tak tahu samada apa yang aku cakap itu benar atau aku dah menyinggung perasaan mak Aqil. Tapi aku mesti selesaikan segalanya pertanyaan dalam kepala aku.

“Saya minta maaf kalau apa yang saya cakap ni salah. Tapi kalau betul, saya rasa saya tahu sesuatu,” kataku.

“Iye, Aqil ada seorang abang,” kata mak Aqil membuatkan Hadi pun memandang mak Aqil.

“Sebelum berkahwin dengan arwah ayah Aqil, makcik berkahwin dengan ayah Osman. Lepas Osman lahir, ada sedikit masalah membuatkan makcik dan ayah Osman berpisah. Osman diambil oleh keluarga ayah Osman. Osman hanya datang kepada makcik lepas ayahnya meninggal dunia. Masa tu dia pun dah besar, dah 24 tahun. Masa tu Aqil pun dah habis SPM. Sekarang dia kerja di Singapura. Memang dia ada bersama kami pada malam jasad Aqil dibawa pulang ke rumah,” cerita mak Aqil satu persatu.

Hadi masih melopong melihat aku dan mak Aqil. Ternyata dia terkejut. Dia sendiri tak tahu bahawa Aqil ada abang.

Tu la, masa aku cerita, dia taknak percaya. Sekarang baru nak terlopong? Huh!

“Masa Haryati meninggal dunia, dia sedang sarat mengandung. Dan dia dikebumikan bersama kandungannya kan?” tanya aku lagi.

“Iye” sahut mak Aqil.

“Masa orang kampung terjumpa jelmaan Haryati merayau di waktu malam, ada bayi bersamanya ke?” tanyaku lagi.

“Takde pula sesiapa cakap pasal ni. Siapa nak perhatikan lagi kalau dah terang nyata nampak orang dah mati berjalan balik?” kata mak Aqil.

“Jelmaan tu ada cakap apa-apa ke? Atau bagi isyarat apa-apa pasal bayinya?” tanya aku. Hadi dah pandang aku semacam. Dia macam nak suruh aku berhenti bertanya pulak.

“Ada la dua tiga orang yang terjumpa tu kata, dia ada seperti berbisik-bisik. Dia pernah ketuk pintu rumah orang. Bila orang buka pintu, dia terus tanya mana anak dia? Makcik pun tak tahu betul atau tak cerita ni,” kata mak Aqil, kali ni air mata mak Aqil mula bergenang.

Hadi tepuk belakang aku, bagi isyarat berhenti bertanya. Aku diam. Banyak lagi sebenarnya aku nak tanya. Tapi betul juga kata Hadi, mungkin mak Aqil tak berdaya lagi.

“Saya minta maaf makcik. Saya keterlaluan. Takpe makcik, saya takkan tanya lagi,” kataku memujuk mak Aqil. Mak Aqil diam je. Aku tahu dia sedih. Sebak pula aku tengok.

Lepas menjamah bubur kacang mak Aqil, aku dan Hadi minta diri untuk pulang.

“Nanti datanglah lagi. Nak tanya lagi pun makcik tak kisah. Makcik pun nak sangat masalah ni selesai,” kata mak Aqil.

Aku menganggukkan kepala. Hadi tarik tangan aku. Kami berlalu meninggalkan rumah mak Aqil pada masa azan Asar sedang berkumandang di masjid.

– Bersambung –

3 thoughts on “BLOGGER ITU ADIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s