BLOGGER ITU ADIK AKU

Bab 6

“Kalau Aqil dah meninggal, yang duduk semeja dengan aku siang tadi siapa?” tanyaku.

“Manalah aku tahu. Kau silap orang tak?” tanya Hadi.

“Aku memang tak silap orang. Dia Aqil. Dia ada bagi aku alamat rumah mak dia. Dia kata dia tinggal kat rumah mak dia,” kata aku.

“Apa alamat dia bagi?” tanya Azman.

Aku pun ambil gambar kertas yang Aqil bagi aku yang tertulis alamat rumah maknya.

“Betullah itu rumah mak dia.” Sahut Hadi.

“Aku dah pergi ke alamat ni petang tadi. Tapi ini kawasan perkuburan sebelah masjid kat sana,” aku beritahu lagi.

“Kau ni Rashid. Tak pasal-pasal aku dah meremang bulu roma. Dah la aku tinggal sorang ni. Mak ayah aku balik kampung,” sahut Zikri yang dia sejak tadi.

“Maksud kau, Aqil bagi alamat tanah perkuburan?” tanya Azman.

“Bukanlah. Rumah mak Aqil tu kat belakang kawasan perkuburan tu. Kalau kau datang dari arah Jalan Melur, memang kau akan lalu masjid dan tanah perkuburan. Tapi kalau kau ikut jalan belakang, Jalan Kemboja kalau tak silap aku, kau memang akan jumpa rumah mak dia.” Terang Hadi panjang lebar. Memang Hadi yang paling rapat dengan Aqil masa sekolah dulu.

“Oooo…. Patutlah orang masjid tu kata kat belakang sana. Tinggi dia angkat tangan dia. Mungkin maksud dia belakang kawasan perkuburan tu la agaknya,” sahutku.

“Apa kau sembang dengan dia Rashid?” tanya Zikri.

“Dia macam dulu, tak banyak cakap. Aku je yang sembang. Eh, korang ada baca satu blog ni tak? Aqil kata blogger tu adik dia,” kataku.

“Blog apa pulak ni Rashid? Kau ni dari dulu sampai sekarang asyik baca blog je.” Kata Azman.

“Blog ‘Makhluk Tak Terlihat’. Seram weh blog ni. Apa je yang kau baca, perkara tu akan jadi kenyataan,” ceritaku lagi.

“Merepeklah kau ni Rashid,” sahut Hadi.

“Betullah. Aku tak tipu. Aqil sendiri mengaku blogger tu adik dia,” kataku.

“Rashid, kan Hadi dah kata, Aqil dah meninggal dunia dua bulan lepas? Kau masih nak percaya apa dia kata ke?” kata Azman.

“Aku pun dah keliru sekarang ni. Esok aku nak pergi rumah mak dia. Aku nak jumpa adik dia.” Kataku.

“Aku ikut kau. Dah lama tak ziarah mak dia,” kata Zikri.

“Elok juga tu. Takdelah aku sesat ke kubur lagi nanti,” sahutku. Lega sikit sebab ada orang nak teman aku. Aku ni nampak je berani, tapi aku penakut juga.

“Abang, mak panggil dah banyak kali tu ajak makan. Ayah dah bising dah,” tiba-tiba Haziq datang tolak pintu bilik aku dengan muka mencuka.

“Eh ye ke? Aku tak dengar pun,” kataku selamba. Iyelah, mana nak dengar, aku fokus sangat pasal Aqil ni.

Aku bangun. Letakkan telefon kat atas meje, lalu melangkah mengikut Haziq ke dapur.

Sampai kat dapur, aku tengok mak, ayah, kakak aku dah duduk menghadap dulang makanan dah. Mak aku dah jeling aku semacam.

“Dah terbalik zaman sekarang ni. Sepatutnya anak tunggu mak ayah. Tapi sekarang ni mak ayah yang kena tunggu anak. Kalau sibuk benda berfaedah takpelah juga. Ni entah apa dibuat kat dalam bilik dari maghrib tadi tak keluar.” Rungut ayah aku. Aku diam je, tarik kerusi sebelah Haziq, duduk kat situ. Masing-masing jeling tengok aku. Aku buat muka sepuluh sen je.

“Dah. Duduk cepat.” Kata mak aku sambil menghulurkan mangkuk basuh tangan kat ayah aku.

Selesai makan, aku cepat-cepat nak masuk bilik balik.

“Kau memang tak tahu nak bercampur dengan adik beradik ke? Asyik terperap dalam bilik. Main game je. Cubalah hidup sihat sikit. Lepas solat isya’ duduk sini dengan adik kakak tu,” ayah aku menyambung leternya. Kadang-kadang aku rasa macam aku ni bukan anak ayah aku. Ayah asyik nak cari salah aku je. Macam dah takde yang betul pada aku di mata dia. Aku dah besar kot.

Mak aku selalu pujuk aku. Mak aku kata ayah aku bukan tak sayang aku. Mana ada ayah bencikan anak sendiri. Cuma ayah aku kena bertegas dengan anak lelaki. Sebab nanti anak lelaki perlu jadi pemimpin. Kalau aku asyik sibuk dengan game, nanti aku tak tahu nak buat kerja lain. Lagipun ayah aku kata, orang suka main game ni cepat mati. Pandai je ayah aku tu. Tak main game pun kalau dah sampai ajal mati juga. Aku baca kajian lain pula, orang yang suka main game ni, otaknya kreatif.

Nak taknak, aku duduk la kat sofa dengan Haziq. Selalunya malam macam ni Haziq buat kerja sekolah tapi sebab esok sabtu kan. Malam ni tv dialah punya. Aku tengok tv macam nampak tak nampak je.

“Malam ni kau nak tengok blog hantu kau lagi Rashid?” tanya kakak aku separuh berbisik bila ayah aku dah pergi ke dapur.

“Bukan aku suka-suka nak tengok blog tu. Kalau dia hantar email tu baru aku tengok. Kalau tak, tak kuasa aku nak buka blog tu. Makin hari makin tak betul rasanya,” sahutku.

“Blog apa? Nak tengok sama?” kata Haziq.

“Blog?” tanya ayah aku dari arah dapur.

Aku pandang Haziq. Kakak aku tolak kepala Haziq kuat.

“Kau cakap perlahan-lahan boleh tak? Kau macam tak kenal ayah tu,” kata kakak aku. Haziq terus diam.

“Semalam macam takde apa yang seram pun. Kucing hitam tu je la. Dah tahu ke dia langkah mayat siapa?” tanya kakak aku.

“Kucing hitam langkah mayat?” tanya Haziq dengan nada terkejut.

Sekali lagi kakak aku tolak kepala Haziq.

“Haziq, kau pergi masuk bilik kau,” kataku.

“Kenapa pula dia kena masuk bilik dia? Tak boleh duduk bersama ke?” tanya ayah aku dari belakang. Aku sapu muka aku dengan tangan, menahan geram kat Haziq. Dah, aku malas nak cakap dah.

Pukul 10 malam, ayah aku masuk bilik. Aku pun bangun masuk bilik aku. Kakak aku dan Haziq masih menghadap televisyen.

Masuk je bilik, aku terus buka komputer. Macam biasalah, main game. Sampai pukul 12, aku tunggu juga email tapi takde pun. Aku tunggu juga sampai pukul 1 pagi, memang takde. Aku tak tahulah nak rasa lega atau cuak. Teringat-ingat pula aku dengan ayatnya semalam bahawa aku dah bebaskan 3 makhluk tak terlihat tu.

Sedang aku menunggu tu, aku dengan bunyi sesuatu kat luar rumah aku. Betul-betul kat luar tingkap bilik aku. Aku bangun, selak langsir dan intai ke luar. Lampu luar memang ayah aku suruh biarkan berpasang. Katanya nanti pencuri tak berani nak pecah rumah sebab cerah.

Dari celahan langsir yang aku buka tu, aku nampak seperti ada seorang lelaki berdiri kat depan rumah aku. Aku perhatikan dia, aku rasa macam aku kenal susuk tubuh tu. Dia seperti berjalan mundar mandir di depan rumah aku.

Ditepinya ada seekor kucing hitam. Aku rasa itu kucing hitam semalam. Aku perhatikan gelagat lelaki itu, dia hanya mundar mandir. Aku pandang kat jam dinding, pukul 1.30 pagi. Dan aku menoleh semula ke luar, terkejutnya aku bila ada makhluk Pontianak yang aku lihat pada malam pertama aku baca blog. Betul-betul depan muka aku, terpisah dengan cermin tingkap je.

Fuh! Rasa nak jatuh jantung aku. Aku terus tutup langsir. Aku tutup komputer. Aku tutup lampu. Aku naik katil aku, aku selimut seluruh badan aku yang sedang berpeluh. Aku dengar bunyi tingkap diketuk. Tidak sama sekali untuk aku buka tingkap tu.

Aku rasa ada hembusan angin perlahan meniup telinga aku. Macammana angin boleh tiup telinga aku sedangkan aku dah berkelubung dalam selimut yang tebal.

Aku buka mata. Ada seorang budak kecil berdiri terbaring di belakang aku. Aku melompat bangun, nyaris jatuh dari katil.

“Siapa kamu semua ni ha? Kenapa kacau aku?” jerit aku tanpa sedar.

“Hantar kami balik,” aku dengar satu suara lelaki.

“Hantar siapa?” kataku lagi.

“Hantar kami balik,” aku dengar lagi suara itu.

Tiba-tiba pintu bilik aku terbuka dan suis lampu aku dipasang. Mak aku berdiri kat pintu bilik aku.

“Kau kenapa ni Rashid, menjerit macam orang nampak hantu?” kata mak aku.

Aku diam. Tak tahu apa yang aku perlu cakap kat mak aku. Memang aku nampak hantu. Tapi dia akan percaya ke?

Mak aku masuk ke bilik aku. Dia duduk kat katil aku. Masa ni takde pula budak kecil tu. Aku berjalan ke tingkap dan selak langsir, tengok keluar. Takde sesiapa. Mak aku perhati je gerak geri aku.

“Dua tiga hari ini mak tengok kamu pelik sangat. Terutama pada waktu malam. Kau tak sihat ke? Ada masalah kat tempat kerja?” tanya mak aku perlahan.

“Takde apalah mak. Penat sikit je,” sahutku.

“Kalau kamu ada masalah, beritahu mak. Mana tahu mak boleh tolong. Mak risau ayah aku tu nanti marah kamu, kamu kecil hati,” kata mak aku.

“Takde apa mak. Mak pergilah tidur. Kalau ada apa-apa masalah Rashid mesti akan beritahu mak ok. Mak jangan risau,” kataku.

“Takpelah kalau kau kata macam tu. Tidurlah, kurangkan main komputer tu.” Kata mak aku sambil bangun dan melangkah keluar dari bilik aku.

Lepas mak aku pergi, aku tidur dengan lampu berpasang. Memang dah empat malam aku tidur dengan lampu berpasang. Dan mujurlah tiada yang mengganggu sampai subuh.

Semuanya seperti biasa, aku bersiap dan pergi kerja. Hari sabtu aku kerja setengah hari. Pukul 1 aku keluar pejabat, terus pergi ke masjid yang aku pergi semalam. Aku janji dengan Hadi jumpa di sana.

Disebelah kiri masjid ada kedai makan. Aku berhenti kat situ. Parking motor dan duduk di satu kerusi. Aku order sirap limau dengan mi bandung. Aku lapar, tak boleh tunggu Hadi. Hadi pun kata dia baru je keluar dari tempat kerjanya.

Masa aku makan tu, tiba-tiba seseorang menarik kerusi di depan aku dan duduk. Aku angkat muka. AQIL! Aku cuak dah.

“Eh Aqil,” kataku cuba buat selamba. Mi bandung tu tadi memang sedap tapi sekarang dah rasa tawar. Tekak aku pun dah sakit, tak boleh nak telan. Tadi aku lapar, sekarang rasanya perut aku dah masuk angin.

Aqil tak menjawab tapi dia memandang tepat ke arahku. Tak macam kat kedai mamak semalam, asyik tunduk je.

Aku cuba menjeling ke arahnya sesekali walaupun bulu roma aku pun sama naik. Aku nampak kat mukanya ada parut berjahit yang panjang. Kulit mukanya pucat macam semalam juga. Dia masih memandang aku dengan pandangan yang menyeramkan.

“Rumah mak kau kat area sini kan?” aku cuba bertanya.

Aqil mengangguk.

“Aku nak jumpa adik kau boleh? Blogger tu,” tanyaku sambil pandang ke lain.

Aqil pun mengangguk juga.

Aku kehabisan kata-kata. Aqil masih memandang aku. Muka pucatnya itu dah nampak kebiruan sikit. Matanya pula macam hampir tersembul keluar sebab kulit pipi terlalu cengkung. Dah macam zombie pula aku tengok.

Tiba-tiba seseorang menepuk belakang aku. Tercampak gelas kat tangan aku. Jatuh ke tanah tumpah semua air sirap limau sekali. Mujurlah gelas plastik, kalau tak, kena la aku ganti gelas pakcik tu.

Aku toleh ke belakang, aku nampak Hadi.

“Sorry, sorry. Aku tepuk perlahan je kot. Tak sangka kau terkejut macam ni sekali. Kau pula pucat semacam ni dah kenapa?” kata Hadi.

“Ni Aqil kat depan aku,” kataku sambil memberi isyarat ke kerusi tempat duduk depan aku.

“Mana ada sesiapa kat situ,” kata Hadi, dan aku menoleh. Memang tiada siapa di situ. Aku berpusing di sekeliling mencari-cari Aqil. Tapi memang takde.

“Dari tadi bercakap sorang kat situ.” Kata pakcik kedai tu kepada Hadi bila Hadi berdiri berpeluk tubuh memerhatikan aku.

“Pakcik, tadi ada seorang lelaki kurus cengkung duduk kat depan saya kan? Pakcik tak nampak?” tanya aku tak puas hati.

“Dari tadi kamu sorang je kat kerusi tu. Dan takde pelanggan lain pun lagi.” Sahut pakcik tu buat aku garu kepala yang tak gatal.

“Dah la tu. Kau dah solat ke? Kalau belum, jom solat dulu kat masjid,” kata Hadi.

Aku tak menyahut. Aku terus membayar duit makanan kepada pakcik tu. “Tak sedap ke mi bandung tu? Makan sikit je,” Kata pakcik tu.

“Eh, sedap pakcik. Cuma saya yang takde selera. Minta maaf pasal gelas jatuh tadi,” kataku kepada pakcik tu.

Lepas tu aku dan Hadi melangkah ke masjid kat sebelah kedai makan tu untuk menunaikan solat zohor. Mata aku masih melilau melihat sekeliling mencari sosok tubuh Aqil tadi. Aku yakin sangat dia yang duduk kat depan aku tadi. Dan setiap kali aku menoleh tu jugalah Hadi menolak muka aku menyuruh aku melihat ke depan. “Jangan cari lagi,” katanya.

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s