BLOGGER ITU ADIK AKU

Bab 5

Hari ini aku pergi kerja dengan perasaan tak keruan. Tak tahulah kenapa hati aku rasa tak tenang, rasa macam ada yang tak kena. Terbayang-bayang pula aku pada skrin monitor aku semalam, “Tahniah! Anda telah membebaskan tiga “Makhluk Tak Terlihat”. Apa maksudnya tu?

Kerja aku pun macam tak sempurna hari ni. Kak Rosmah asyik marah aku sebab kerja aku tak betul je hari ini. Suruh fotostat lain, aku fotostat lain. Suruh buat 3 salinan, aku buat 1 salinan.

“Kau ni dah kenapa hari ini Rashid? Demam ke?” tegurnya.

“Takde apalah kak. Cuma hati rasa tak berapa sedap hari ini,” sahutku.

“Apa kata kamu keluar rehat sekejap. Pergi lepak kat kedai mamak sebelah ni ke. Mana tahu, boleh lega sikit. Nanti takdelah asyik salah je kerja kamu. Dengan akak takpelah, kalau dengan bos, tak ke dapat surat warning nanti?” kata Kak Rosmah sambil mengambil dokumen dari tangan aku.

“Iyelah kak. Saya keluar ambil angin sekejap. Dua puluh minit lagi saya masuk balik,” kata aku sambil mengambil telefon dari atas meja dan terus melangkah keluar.

Pejabat aku di tingkat 2. Bahagian bawah pejabat aku ialah kedai mamak. Sebaik turun tangga ke tingkat paling bawah, aku terus masuk kedai mamak tu. Aku duduk di satu meja yang terletak di bahagian tepi dinding, agak terasing dari tempat duduk lain.

Aku order kopi ais. Sambil menunggu tu, aku buka telefon aku. Aku nampak ada email notification. Aku nak baca tapi aku takut. Aku pandang keliling, ada beberapa orang lain kat dalam kedai tu. Suasana kedai tu pun agak bising. Jadi aku rasa boleh kot kalau aku nak buka email tu. Takkan hantu nak keluar di siang hari kan?

Aku buka email tu. “Anda perlu menghantar tiga “Makhluk Tak Terlihat” pulang ke tempat asalnya. Jika tidak, jumlahnya akan bertambah.”

Itu je? Aku garu kepala yang tak gatal. Nak hantar siapa? Hantar ke mana?

Tiba-tiba aku perasan ada seseorang berdiri di tepi aku. Dan di siang buta macam ni pun aku boleh meremang bulu roma. Sekarang baru aku tahu apa maksud penakut.

Aku menoleh ke arah orang yang berdiri di sebelah aku. Seorang lelaki dalam usia aku. Rupanya seperti biasa aku tengok.

“Aku la, Aqil. Tak ingat aku ke?” tanyanya. Dan aku terus bangun.

“Aqil, sorry sorry. Aku tak perasan. Sorry sangat. Sebab aku tak sangka akan jumpa kau kat sini. Tu yang aku blur sikit. Marilah duduk sini,” pelawa aku. Disebabkan terlalu leka dengan email yang buat kepala aku bercelaru, sampai tak cam kawan sendiri. Aduh, malu rasanya.

Aqil duduk di hadapan aku. “Uncle, kopi ais lagi satu!” laungku kepada pakcik mamak yang bancuh air tu.

“Kau dari mana? Lama tak dengar khabar? Kau dah kerja ke?” tanyaku bertalu.

Belum sempat dia menjawab, mamak tadi datang membawa dua gelas kopi ais dan meletakkan di atas meja.

“Kau kerja kat mana sekarang ni?” tanyaku lagi bila Aqil masih belum jawab soalan aku yang bertalu-talu tadi.

“Aku tak kerja sekarang ni. Duduk kat rumah mak aku je,” jawabnya ringkas.

“Kau sihat ke? Nampak macam kau sakit je. Muka pun pucat.” Kataku sambil memandang wajah Aqil.

Aqil ni kawan aku masa kat sekolah menengah. Kami terpisah lepas SPM. Dia budak pandai. SPM dia straight A. Lepas tu aku dengar khabar dia dapat tawaran Ijazah Sarjana Muda kat USM, siap dapat biasiswa. Lepas tu la aku tak dengar khabar dia. Dia pun bukan jenis yang ramah macam aku. Dia lebih banyak menyendiri tapi taklah sampai tak berkawan. Dia tetap berkawan dengan kami semua, cuma slow sikit la. Dia lebih suka membaca.

“Eh, kau takde whatsapp ke? Kita ada group whatsapp, semua kawan sekolah menengah kita ada kat sana. Bagilah nombor kau, nanti aku add kau kat dalam tu. Seronok juga sesekali berborak dengan kawan-kawan. Ramai yang dah berjaya,” ceritaku kepada Aqil.

Tapi si Aqil ni masih sama macam dulu. Tak banyak cakap dan tak banyak respon. Cuma kali ni aku nampak dia macam sakit. Dia pun seperti tak berani bertentang mata dengan aku. Tunduk je.

“Aqil, kau baru habis belajar ke? Sebab tu kau belum dapat kerja?” tanyaku tak beralah.

Aqil mengangguk je sambil menyedut air kopi ais di hadapannya.

“Kau buat apa kat sini? Kamu masih tinggal dengan mak kau? Maknanya kat rumah lama dulu la ye?” tanyaku lagi masih berusaha nak dia bercakap.

“Mak aku dah pindah. Ni alamat baru mak aku,” kata Aqil sambil menyerahkan sekeping kertas kat aku. Aku ambil kertas tu.

“Ooo…. Tak jauh sangat dari sini. Kau datang sini naik apa?” tanya aku lagi.

“Aku jalan kaki je, ingat nak cari kerja. Kau kerja kat mana sekarang?” kali panjang sikit Aqil bersuara. Aku senyum je.

“Aku kerja kat pejabat kat tingkat 2 atas ni. Tadi aku stress sangat, tu yang aku turun minum sekejap. Aku pun tak boleh lama kat sini,” kataku lagi.

“Ooo… Kau masih macam dulu ke? Kurang bersenam, aktif di media sosial? Suka baca blog?” tanya Aqil. Dia baru teringat aku siapa kot. Hahaha…

“Aku macam dulu juga. Masih cari kerja yang sesuai dengan diploma aku. Tapi belum rezeki lagi. Aku sekarang suka baca blog. Ada satu blog aku baru baca, blog cerita seram. Seram beb,” kataku.

Tadi aku dah hampir lupa pasal blog tu. Tapi bila Aqil buka cerita ni, aku teringat semula. Kawan-kawan aku semua memang tahu sangat perangai aku yang suka baca blog.

“Blog apa?” tanya Aqil lagi.

“Blog ni lain macam sikit cara penyampaiannya. Kadang-kadang aku rasa macam aku dalam game pula,” sahutku sambil tergelak-gelak.

“Apa nama blog tu? Mana tahu nanti aku boleh tengok,” kata Aqil sambil tunduk menyedut air kopinya yang dah tinggah suku gelas.

“Baik kau jangan terjebak. Dah terjebak nanti, kau susah. Nama blog tu “Makhluk Tak Terlihat”. Entah apa maksudnya pun aku tak tahu,” kataku sambil menghabiskan kopi ais.

“Ooo… Blogger tu adik aku. Dia yang tulis semua cerita kat dalam tu,” kata Aqil membuatkan aku buka mata seluas-luasnya.

“Adik kau? Betul ke?” tanyaku lagi.

“Iye, adik aku. Nanti aku boleh kenalkan kau dengan dia,” kata Aqil.

“Boleh. Aku nak sangat jumpa blogger tu,” sahutku.

Aku tengok jam. Tadi aku janji dengan Kak Rosmah, setengah jam je. Sekarang dah terlebih lima minit. Mengamuk Kak Rosmah nanti.

“Oklah Aqil. Aku dah lewat ni. Aku kena naik ke pejabat. Kau bagilah nombor telefon kau. Nanti kita boleh lepak lagi.” Kataku sambil mengeluarkan duit dari dompet aku dan pergi ke kaunter buat bayaran.

“Apasal order 2 tapi minum satu saja? Mau bungkus ka?” tanya mamak tu.

“Eh, satu lagi kawan saya punya la uncle,” sahutku.

“Mana kawan you?” tanya mamak tu lagi.

Aku menoleh nak tunjuk kawan aku tapi Aqil dah takde kat situ. Bertambah pelik bila aku tengok kopi ais yang aku order untuk Aqil tak berusik sama sekali.

“Takpelah uncle. Saya naik atas dulu,” kataku setelah mengambil duit baki daripada mamak tu. Mamak tu pula geleng kepala sebab segelas lagi air kopi ais yang aku order tak berusik.

Aku melangkah perlahan naik tangga ke tingkat 2. Kepala aku makin bercelaru. Fikiran aku makin serabut. Sampai je ke pejabat, Kak Rosmah dah pandang aku semacam.

“Kata setengah jam je, ni dah dekat 45 minit. Nasib baik bos tak balik lagi. Kalau dia dah balik, mesti dia cari kamu.” Rungut Kak Rosmah.

“Sorry kak, saya terserempak dengan kawan kat kedai mamak bawah tadi,” sahutku.

Aku terus melangkah ke meja aku, tarik kerusi dan duduk. Aku masih terfikir-fikir, kenapa mamak tu kata takde sesiapa dengan aku tadi? Sedangkan aku sedang bersembang dengan Aqil. Siap mamak tu perli aku, “Gila ka cakap sorang-sorang?”

Tiba-tiba aku teringat bahawa Aqil ada bagi aku sekeping kertas yang dia tulis alamat rumah mak dia. Aku cepat-cepat buka dompet aku dan tengok samada kertas tu masih ada tak.

Ya! Kertas tu masih ada kat dalam dompet aku. Maknanya betullah aku ada jumpa Aqil tadi. Kalau tak, siapa yang bagi aku kertas tu kan.

Tapi, kalau nak kata mamak tu tak nampak Aqil, aku pun tak boleh nak sangkal juga. Sebab aku sendiri tengok Aqil minum kopi ais tu sampai tinggal suku gelas je. Tapi kenapa bila aku tengok balik tadi, kopi ais tu macam tak berusik je. Aku garu kepala lagi.

Aku tekad, balik kerja hari ini, aku nak pergi ke alamat yang Aqil bagi tu. Aku nak cari jawapan.

Petang tu, tepat jam 5.00 petang, aku terus punch card. Orang lain masih sibuk kerja, aku dah tunggu kat papan punch card tu. Diorang pun pelik tengok aku. Biarlah diorang. Urusan aku lebih penting. Aku kena selesaikan sebelum aku balik rumah. Malam ni pukul 12, aku tak tahu apa email yang aku dapat lagi nanti.

Sampai di alamat yang Aqil bagi kat aku tu, aku jumpa masjid. Kat sebelah masjid tu ada kawasan perkuburan. Masa ni aku dah rasa tak sedap hati dah. Aku jumpa seorang tua yang baru keluar dari masjid tu.

“Assalamualaikum pakcik. Saya nak tumpan tanya, alamat ni kat mana ye?” tanyaku sopan.

“Waalaikumussalam,” jawab pakcik tu sambil membelek kertas di tangan aku.

“Ooo.. ini kat sebelah sana,” kata pakcik tu sambil menunjukkan ke arah kawasan perkuburan.

Aku terus terdiam.

“Kenapa nak?” tanya pakcik tu lagi.

“Kawan saya kata dia tinggal di alamat ni,” kataku.

“Dah solat asar?” tanya pakcik tu tiba-tiba, membuatkan aku tersentap.

“Belum pakcik,” sahutku.

“Solatlah dulu. Moga dapat petunjuk,” kata pakcik tu sambil beredar dari situ.

Aku macam baru tersedar dari lena yang panjang. Aku istighfar berkali-kali. Sebab terlalu taksub nak mencari sesuatu yang tak pasti, sampai aku lupa pada sesuatu yang pasti.

Aku masuk ke kawasan masjid dan menunaikan solat asar. Setelah habis solat, aku terasa seperti ada seseorang memerhatikan aku. Aku menoleh dan ternampak kelibat seseorang. Aku cuba ikut kelibat tu, tapi aku nampak dia berjalan ke arah kawasan perkuburan.

Walaupun aku berada dalam masjid, bulu roma aku tetap meremang. Tak kuasa aku nak ikut dia. Aku terus pakai kasut dan terus menunggang motosikal aku balik ke rumah.

Malam tu, aku buka group whatsapp geng sekolah menengah aku yang dah lama sunyi sepi. Masing-masing sibuk kot. Sebab ada yang masih belajar, ada yang dah bekerja, ada yang dah berkahwin dan berkeluarga juga. Umur aku dah 24 kot, dah boleh jadi ayah orang dah.

“Weh korang, aku nak tanya sikit ni. Siapa yang ingat Aqil, kawan sekolah menengah kita yang terlajak pandai tu,” tanyaku memulakan perbualan.

“Aqil budak nerd tu ke?” tanya Azman.

“Haah. Kau tahu ke dia kat mana sekarang?” tanyaku.

“Manalah aku tahu. Dia kan budak pandai. Entah-entah duduk kat oversea nun,” kata Azman.

“Kenapa kau tiba-tiba tanya pasal dia?” tanya Zikri pula.

“Siang tadi aku jumpa dia,” sahutku.

“Kau jumpa Aqil? Kau jumpa kat mana?” tanya Hadi pula.

“Kat kedai mamak bawah pejabat aku tu la,” sahutku.

“Sumpah kau jumpa dia?” tanya Hadi lagi.

“Iyelah aku jumpa dia, duduk kat kedai mamak tu sama-sama. Tapi dia nampak tak sihat. Pucat je muka dia,” kataku.

“Kau pun pernah jumpa dia ke Hadi?” Azman pula tanya.

“Setahu aku, Aqil dah meninggal dunia akibat kemalangan dua bulan lepas,” sahut Hadi.

Aku terkesima. Lidahku kelu, jemariku krem tak dapat meneruskan taipan.

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s