BLOGGER ITU ADIK AKU

Bab 4

Ketika Osman baru nak mulakan bacaan, tiba-tiba ada seketul batu kecil yang jatuh tak tahu dari mana datangnya. Osman bangun dan melangkah ke arah batu kecil itu. Dia mengambil batu kecil itu dan meneliti batu itu. Batu itu seperti batu sungai tapi rumahnya jauh dari sungai. Kalau betul pun, dari mana batu itu datang? Osman mendongak ke bumbung rumah, manalah tau ada lubang. Tapi ternyata tiada lubang di bumbung rumahnya.

Sedang Osman asyik dengan batu kecil itu, tiba-tiba di terdengar bunyi dengusan nafas yang sangat kuat, seperti di tepinya saja. Osman memandang keliling dan alangkah terkejutnya dia bila melihat jenazah adiknya sedang duduk dan memandang tepat ke arahnya!

Dammmmm! Aku dan kakak aku melompat terkejut. Tengah kami tekun membaca tu, tiba-tiba pintu bilik aku tertutup sendiri dengan kuatnya. Aku dan kakak aku berpandangan sesama sendiri.

“Angin kot,” kata aku menyedapkan hati sendiri. Kakak aku diam je, tapi jelas cuak di mukanya.

Aku dan kakak aku kembali menghadap komputer. Masa tu dah pukul 2 pagi. Belum sempat aku pegang mouse nak skrol down skrin komputer, tiba-tiba pintu bilik aku terbuka dengan lajunya sampai terhempas kat dinding. Masa ni kakak aku dan pegang tangan aku. Sejuk tangan dia.

Belum sempat aku bangun untuk melihat keluar bilik, tiba-tiba ada bunyi benda jatuh kat bahagian ruang tamu. Bunyinya macam sesuatu yang besar.

“Apa benda tu?” kakak aku bertanya.

“Selalunya benda yang kita sedang baca ni la yang akan muncul.” Sahutku.

“Hish… Takkanlah jenazah adik Osman tu yang datang ke rumah kita?” kata kakak aku, ada getaran dalam nada suaranya. Aku tahu kakak aku dah mula cuak.

Aku bangun. “Kau nak ke mana?” tanya kakak aku.

“Nak pergi tengoklah, apa benda yang jatuh tadi,” sahutku.

“Kalau jenazah dalam cerita tu yang ada kat ruang tamu tu?” kakak aku tanya lagi membuatkan aku pula yang meremang bulu roma.

“Habis tu, kalau kita tak pergi tengok dia, dia akan datang tengok kita. Nak?” tanyaku, acah-acah berani padahal sebenarnya aku pun tengah menggigil.

Aku melangkah perlahan-lahan ke arah pintu bilik. Kakak aku masih pegang tangan aku, mengikut dari arah belakang aku.

Ketika kami hampir sampai ke muka pintu, tiba-tiba “meowwww!”. Seekor kucing hitam berlari laju melintasi pintu bilik aku. Ah, sudah! Aku berhenti melangkah. Seram weh!

“Mana datang kucing tu?” tanya kakak aku. Aku angkat bahu.

“Tak pernah pula aku nampak kucing hitam kat kawasan kejiranan kita ni. Lagipun dia masuk ikut mana? Tingkap pintu semua dah tutup,” kata kakak aku. Aku masih tak dapat bersuara.

Melihatkan aku teragak-agak nak melangkah keluar, kakak aku pantas melangkah keluar dan terus memasang lampu di ruang tamu. Berani pula dia. Kakak aku ni memang tak suka kucing. Dia pantang betul kalau nampak kucing masuk ke kawasan rumah kami. Memang dihalaunya. Tapi takdelah sampai nak mendera kucing tu. Dia cuma tak suka kucing, bukan tak suka apa, dia ada resdung. Jadi, bila ada kucing berdekatan dengannya, dia akan bersin tak berhenti diikuti dengan gatal kulit mukanya sampai adakala dia perlu ke klinik ambil suntikan.

Aku melangkah keluar bila ruang tamu dah terang benderang. Aku pandang keliling. Tiada siapa kecuali aku dan kakak aku.

“Mana ada sesiapa pun,” kata kakak aku. Aku masih diam, mataku melilau mencari kucing hitam tadi.

“Kak, kau perasan tak kucing hitam tu tadi matanya merah. Selalu kucing mata dia biru atau kuning atau warna lain la, tak pernah lagi aku tengok kucing hitam berwarna merah?” kataku masih rasa tak sedap hati.

“Haah, matanya merah. Mungkin ada kucing bermata merah, kita je yang tak tahu,” kata kakak aku.

“Kucing tu masuk ikut mana? Tingkap pintu semua tutup rapat,” sahutku.

“Mana tahu kot kucing tu memang dah ada menyorok kat dalam rumah ni sejak petang tadi. Sekarang baru dia keluar sebab dia tengok takde orang,” jawab kakak aku.

Ada je jawapannya. Maklumlah, dia kan cikgu. Aku diam. Tapi hati aku tetap kata ada sesuatu yang tak kena.

“Kalau macam tu, kucing tu kat mana sekarang ni?” tanya aku pula.

“Menyorok kat mana-mana pulak la kot. Nak keluar pun takde ruang,” sahut kakak aku.

“Jom kita cari. Mana tau masuk bilik kau, kak. Nanti kau yang bersin sampai nak tercabut hidung,” kataku mengumpan kakak aku untuk mencari kucing hitam tadi. Sebab aku tengok kakak aku dah menguap beberapa kali, aku rasa dia dah mengantuk.

Tanpa sebarang jawapan, kakak aku terus menyelak langsir, sofa, kerusi, dari depan ke dapur, masuk ke bilik cari kat bawah katil, dia cari semua, tapi tak jumpa kucing hitam tu.

Sedang kami terbongkok-bongkok mencari kucing tu, tiba-tiba ternampak sesuatu yang berwarna putih dan bergerak di depan pintu bilik mak dan ayah. Dari jelingan mata kami, kami nampak benda tu memandang kami tanpa berkelip. Aku takut nak angkat muka. Begitu juga kakak aku. Kami terdiam kaku di situ.

“Kamu berdua buat apa tengah malam buta ni ha? Tak reti nak tidur ke? Kalau Rashid tu buat perangai macam ni, memang dah biasa tapi kau pun Hana ikut sekali ni dah kenapa? Dah besar panjang kot, dah jadi cikgu. Dah boleh jadi mak orang dah. Korang ni buang tebiat ke apa?” terdengar suara mak aku suaranya yang agak tinggi.

Masa ni barulah kami berani angkat muka. Nasib baik mak yang berdiri kat pintu bilik tu. Kalaulah benda lain, rasanya langkah seribu kami ni.

“Korang cari apa?” tanya mak aku lagi.

“Tadi ada kucing hitam masuk rumah ni mak. Matanya merah,” kata kakak aku.

“Korang jangan nak buat cerita pula malam-malam buta ni. Kang ayah korang bangun nanti, habis semua kena marah nanti. Dengan mak sekali kena. Dah, pergilah tidur,” kata mak aku.

“Betul mak, ada kucing hitam masuk rumah tadi, Hana takut dia menyorok kat bilik Hana. Nanti Hana bersin tak henti, gatal hidung bagai,” sahut kakak aku kembali membongkok dan melilau ke sana sini mencari kucing hitam tadi.

“Mana ada kucing mata merah. Korang mengigau agaknya ni,” kata mak aku, turut sama melilau matanya mencari kucing tersebut. Tapi muka mak aku dah macam lain sikit, macam takut.

“Kenapa mak nampak takut?” tanyaku.

“Kucing hitam bermata merah, menurut orang tua-tua dulu, kucing tu bukan kucing biasa. Kucing tu kalau dia lompat mayat tiga kali, mayat tu boleh hidup balik tau,” kata mak aku membuatkan aku dan kakak aku berpandangan sesama sendiri. Dan yang pasti, kami masing-masing dah meremang bulu roma.

“Hish mak ni, itu kepercayaan karut la mak. Kurafat semua tu. Mana ada mayat boleh hidup balik. Melainkan doktor dah salah check,” kata kakak aku.

“Lagipun, kalau betul kucing tu langkah mayat, sekarang ni mana ada orang mati kat dalam rumah ni. Rasanya kawasan kita ni pun tak dengar berita ada orang mati kan,” kata aku lagi bagi menguatkan perasaan yang mula gundah gulana.

“Itu mak tak tahu. Tapi kalau jumpa kucing hitam bermata merah, berhati-hatilah. Mana tahu ada mayat yang dah bangun semula,” kata mak aku lagi.

“Ni dah kenapa anak beranak bermesyuarat kat ruang tamu malam buta ni ha? Dah tak cukup siang nak bersembang?” kami bertiga melompat bila tiba-tiba ayah aku tercegat kat tepi kami dengan nada suara yang agak tinggi dan wajah yang agak marah.

“Takde apa, budak-budak ni kata tadi nampak kucing masuk rumah ni. Hana ni kan alahan dengan kucing. Nanti jatuh sakit pula dia. Tu yang kami cuba juga cari kucing tu,” sahut mak. Aku dan kakak dah takde suara dah. Bila nampak ayah macam tu, aku rasa rupa ayah lebih menyeramkan dari mayat hidup.

“Dah dah.. Mana ada kucing hitam kawasan ni. Awak tu percaya je apa budak-budak tu cakap. Dah pergi masuk bilik. Hana, Rashid, tutup lampu tu. Tidur. Dah pukul berapa masih lagi nak bersembang,” kata ayah aku sambil melangkah ke bilik air.

“Dahlah, pergi masuk bilik masing-masing. Kucing tu dah lari keluar dah agaknya. Atau perasaan korang je. Maklumlah gelap, kucing pun hitam. Entah apa benda gamaknya,” kata mak aku sambil bangun dan melangkah ke biliknya.

“Kak, macammana?” aku tanya kakak aku. Kakak aku angkat bahu.

“Aku takut la kak. Mak pula cakap macam tu,” kata aku.

“Habis tu, kau nak aku buat apa?” tanya kakak aku balik.

“Ni apa lagi masih kat sini ni?” sergah ayah aku lagi buatkan kami melompat dah entah berapa kali dah malam ni.

Kakak aku terus bangun dan melangkah ke biliknya diikuti dengan lirikan tajam ayah aku. Sebaik sahaja kakak aku tutup pintu bilik, ayah aku pandang aku pula. Aku pun, takde pilihan bila dah ditenung begitu. Aku bangun perlahan, tutup suis lampu ruang tamu dan melangkah masuk bilik. Dah la pintu bilik aku dengan pintu bilik ayah aku sebelah menyebelah je. Masa lalu kat pintu bilik, ayah aku pandang aku semacam je. Meremang juga bulu roma aku. Hish, ayah aku ni, garang betul! Aku dah besar kot. Kalau garang kat Haziq tu ok la lagi.

Aku terus masuk bilik dan tutup pintu. Aku cepat-cepat pergi ke komputer dan gerakkan mouse sebab komputer aku dah jadi mode sleep. Ada satu notification email. Aku terus buka.

“Tahniah! Anda telah membebaskan TIGA “Makhluk Tak Terlihat”. Sila klik ‘Ya’ untuk teruskan membaca blog ini.”

Aku dah bebaskan tiga makhluk? Aku garu kepala. Aku tengok jam, dah pukul 3.30 pagi. Patutlah mak ayah aku bising.

Tanpa fikir panjang, aku terus klik ‘ Tidak’. Siapa yang nak baca lagi cerita macam tu? Cukuplah tiga malam aku dihantui oleh benda-benda pelik ni. Mujurlah malam ni takde hantu yang muncul macam malam sebelumnya. Kalau tak, tak tahulah. Gila agaknya aku.

Aku tutup lampu dan terus tidur. Tak sempat berfikir aku dah lelap. Penat dan mengantuk sangat agaknya.

Aku sedar bila aku dengar bunyi suara ayah aku bising-bising kat luar bilik. Jam pukul 6 pagi. Aku bangun dan terus keluar. Aku tengok ayah aku sedang pegang dompet dan menyelak-nyelak pelapik meja semua.

“Kenapa ayah? Cari apa?” tanyaku.

“Duit ayah hilang. Kamu ada nampak?” tanya ayah aku.

“Berapa banyak?” tanyaku yang masih mamai baru bangun tidur.

“Pagi semalam hilang RM60. Tapi ayah ingat mungkin ayah salah letak. Ni pagi ni hilang lagi RM50.  Kamu tak ambil kan?” tanya ayah aku.

Laju aku gelengkan kepala. Memang tak la aku nak usik barang ayah aku. Nak mati ke?

“Ayah letak semua sekali satu tempat. Tapi hilangnya separuh je. Itu yang ayah pelik. Kalau pencuri, kenapa dia tak ambil semua je.” Kata ayah aku masih melilau mencari duitnya.

Aku melangkah ke bilik air, mengambil wudhu dan solat subuh. Aku bagi isyarat soalan kat mak, mak balas dengan angkat bahu je.

Lepas solat dan bersiap, aku ke dapur nak bersarapan. Ayah aku dah pergi kerja. Haziq pun dah pergi sekolah, hari ni ayah keluar awal sebab nak hantar Haziq ke sekolah. Kakak aku pergi sekolah sebelah petang hari ini. Ada projek apa entah.

Kat dapur, mak aku sedang bersarapan dengan kakak aku. Aku pun duduk sekali.

“Banyaknya duit ayah hilang mak? Ayah silap letak kot,” kataku sambil menuang air kopi ke dalam cawan.

“Manalah mak tahu. Mak tak berani pun nak usik barang ayah kamu. Berapa duit dia ada pun mak tak tahu,” sahut mak aku sambil menguyah pisang goreng.

“Pelik juga. Selama ni tak pernah pun hilang duit dalam rumah ni. Dah tanya Haziq? Mana tahu, dia nak guna duit tapi takut nak minta,” kataku lagi.

“Ayah kamu dah tanya dia dah. Katanya takde ambil,” kata mak aku.

“Yang suka ambil separuh ni, kalau bukan orang yang ambil, biasanya toyol la. Dia memang takkan ambil semua. Sebab itu pantangnya,” sahut mak aku.

“Hish mak ni. Dari semalam lagi. Kucing hitam hidupkan mayat la, sekarang toyol la.” Sahut kakak aku.

Aku berhenti mengunyah. Tiba-tiba aku teringat budak yang aku nampak semalam, yang memaut kaki aku dan memanjat sampai bahu aku. Aku cuak.

“Kau dah kenapa Rashid? Tercekik?” tanya kakak aku.

“Takde apalah kak. Mak, Rashid pergi kerja dulu ye.” Kata aku sambil bangun.

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s