BLOGGER ITU ADIK AKU

Bab 3

Aku bangun dari kerusi. Aku melangkah ke pintu bilik aku. Aku buka pintu bilik aku luas-luas. Aku beranikan diri melangkah ke ruang tamu. Aku cari suis lampu. Masa ni aku dengar bunyi tapak kaki budak kecil berlari-larian kat belakang aku sambil ketawa halus.

Aku berhenti melangkah bila terasa seperti ada sesuatu berpaut di kaki aku. Allahu Akbar. Nak luruh jantung aku weh. Keluar peluh jantan aku. Aku goyangkan kaki aku kuat-kuat, cuba jatuhkan benda yang berpaut kat kaki aku. Tapi benda tu bukannya makin jatuh, malah makin tinggi pula dia memanjat kat belakang aku sampai akhirnya naik ke bahu aku.

Dari samar-samar cahaya lampu jalan yang masuk ke dalam ruang tamu, dan dari cermin yang mak aku letak di ruang tamu, aku nampak seorang budak kecil sedang bertenggek kat bahu aku. Tiada pakaian, matanya putih, bergigi taring  Menggeletar lutut aku. Aku tak tahu bila suara aku keluar dan menjerit kuat.

Yang aku sedar, ruang tamu dah terang benderang. Ayah aku berdiri kat suis lampu ruang ramu. Mak dan kakak aku berdiri di luar pintu bilik masing-masing. Masing-masing memandang aku dengan wajah pelik.

“Kau dah kenapa Rashid? Menjerit terpekik terlolong tengah malam buta ni? Kau nampak hantu ke apa?” tanya mak aku sambil mengawal suaranya agar tidak mengganggu jiran tetangga. Maklumlah, keluarga aku ni duduk kat rumah teres je. Kalau bising sikit, jiran sebelah menyebelah mesti boleh dengar.

“Tadi ada budak kecil berlari-lari dalam rumah ni. Dia paut kaki Rashid, panjat sampai ke bahu,” kataku sambil mengibas-ngibas bahu. Seperti masih terasa budak tu ada kat bahu aku.

Tiba-tiba terasa orang menolak kepala aku dari belakang. Aku toleh belakang dan nampak ayah aku dengan muka yang agak marah.

“Kau ni Rashid, ayah tak tahulah apa nak jadi. Kau tengok komputer macam dah tak ingat dunia. Main game semua tu. Dan sekarang dah ada hantu pula? Kau mabuk ke? Atau kau ambil dadah? Baik kau beritahu ayah sekarang,” kata ayah aku, serius mukanya.

“Mana ada ayah. Rashid masih waras, takkan nak ambil benda-benda tu semua. Percayalah,” sahutku, mula takut dengan wajah ayah aku. Ayah aku memang tegas bab macam ni. Aku pernah kena belasah separuh nyawa dengan ayah aku sebab dia nampak aku cuba hisap rokok masa sekolah menengah dulu. Itupun sebab nak sahut cabaran kawan-kawan je pun. Kalau takde jiran sebelah yang tahan ayah, mungkin aku dah sampai alam barzakh kot sekarang ni.

“Habis tu, kau mengigau? Mimpi?” kata mak aku.

“Mana ada mimpi mak, Rashid belum tidur pun lagi. Sebab budak tu kacau,” sahutku masih gigih nak mereka percayakan aku.

“Tengok tu, dah dekat pukul 2 pagi, belum tidur lagi? Kau buat apa? Kau tengok video lucah ke? Kau jangan main-main Rashid. Kau ingat kau dah besar, ayah tak boleh pukul kamu?” kata ayah lagi. Aku tak jawab. Aku sekadar pandang mak dan kakak aku. Takut nanti kalau aku jawab, keadaan jadi makin kusut.

“Dah dah tu. Pergi tidur. Basuh kaki, baca doa. Esok susah pulak nak bangun solat subuh. Takut mengantuk pula masa kerja. Kamu tu dah la kerja bawa motor atas jalan,” kata mak dengan nada lembut.

Mak aku berjalan ke arah ayah aku. Memaut tangan ayah dan mengajak ayah masuk ke bilik. Kakak aku pun masuk semula ke bilik dia.

Aku tak masuk bilik aku. Aku tidur di ruang tamu dengan lampu terpasang. Bilik aku pun aku tak berani nak masuk, aku biarkan je dengan lampu terbuka, komputer pun aku tak tutup. Mungkin kerana keletihan dan mengantuk, aku terlena. Tiada gangguan. Sampailah aku tersedar bila mak aku tepuk pipi aku.

“Rashid, kenapa kamu tidur kat sini. Dengan lampu terpasang, lampu bilik tak tutup.”

Aku bangun perlahan sambil menggosok mata. Aku tengok jam dinding dah pukul 5.30 pagi.

“Dah, pergi masuk bilik. Mujur mak yang bangun dulu. Kalau ayah kamu yang bangun dulu dan tengok kamu macam ni kat sini, tak ke marah lagi dia?” kata mak aku lembut.

Aku tak jawab, aku melangkah perlahan masuk ke bilik aku dan sambung tidur kat bilik. Aku dah lupa pasal budak kecil semalam. Aku mengantuk, kepala aku berat.

Sejam lepas tu, mak aku kejutkan aku suruh aku bangun solat subuh. “Bangun solat dulu. Betulkan badan tu, nanti nak bawa motor, kalau mengantuk susah nanti,” kata mak aku sambil usap kepala aku. Mak aku ni, memang baik sangat.

Aku terus bangun, dan lakukan segala yang perlu aku lakukan. Mak aku siap bekalkan air kopi kat aku. Dia takut aku mengantuk. Mujurlah kat office hari ini tak banyak dokumen nak dihantar. Dapatlah aku rehat kat office. Mata aku memang mengantuk. Beberapa kali Kak Rosmah datang kat meja aku nak minta aku fotostat dokumen, tapi aku tidur kat meja. Membebel jugalah dia. Last-last dia fotostat sendiri, dah malas dia nak kejutkan aku.

Aku balik awal haritu. Takde mood nak lepak dengan kawan-kawan aku. Selalunya dekat maghrib baru aku sampai rumah, tapi haritu aku sampai rumah pukul 5.30 petang. Ayah aku pun belum sampai rumah lagi.

“Kamu tak sihat ke Rashid?” Mak aku tanya sambil pegang dahi aku. Risau dia tengok aku. Malam tadi meracau, siang ni balik awal pula.

“Rashid ok mak. Penat sikit ke,” sahutku sambil berbaring kat sofa di ruang tamu.

Mak aku melangkah ke dapur, nak siapkan makan malam pula agaknya. Aku tak nampak Haziq. Selalunya aku balik, dia memang dah ada bilik, bersiap nak pergi masjid dengan ayah aku.

Ketika aku hampit terlelap di sofa, tiba-tiba seseorang tepuk tangan aku. Terkejut aku. Terus buka mata tengok siapa dia. Kalau Haziq, memang aku nak seligi kepala dia. Tapi mujurlah bukan Haziq, tapi kakak aku.

“Dah lepas asar ni, jangan tidur,” katanya sambil mengambil remote tv dan menukar channel tv ke siaran lain.

“Sibuklah kau ni kak. Aku penat ni, nak baring kejap je,” kata aku sambil memejamkan mata aku semula.

“Semalam kau nampak apa?” tiba-tiba kakak aku bertanya membuatkan aku buka mata dan pandang dia. Nak tahu samada dia serius bertanya atau main-main.

“Kenapa kau tanya?” tanya aku semula.

“Hai… Nak tanya pun tak boleh dah?” kata kakak aku tanpa memandang aku.

“Kalau aku ceritakan pun, takde orang nak percaya. Baik diam,” kataku lagi, kembali pejamkan mata.

“Cuba cerita kat aku. Mana tahu aku boleh tolong,” kata kakak aku lagi, kali ni dia pandang aku.

Aku pun duduk. “Betul kau nak tahu?” tanyaku. Dan kakak aku mengangguk. Dia memang serius.

Aku pun apa lagi, aku ceritakan semua bermula dari kisah aku baca cerita blog “Makhluk Tak Terlihat” tu. Kakak aku mendengar dengan teliti. Dia tak gelakkan aku macam selalu pun dah cukup baik. Sebab aku memang nak meluahkan tapi tak tahu kepada siapa. Mana ada orang nak percaya cerita aku.

“Kau yakin ke kau tak mimpi atau mengigau?” kakak aku tanya lagi.

“Aku tahu la. Takkanlah mimpi dengan realiti pun aku tak tahu,” rungutku.

“Kau ni macam dah kena game je. Dah macam cerita Jumanji. Selagi kau tak habiskan game tu, kau terpaksa hadapi semua hantu tu. Kalau tak, hantu-hantu tu akan berkeliaran.” Kata-kata kakak aku buatkan aku rasa nak marah.

“Tadi kata nak tolong. Ni bukan tolong namanya, ni ejek. Sudahlah kak. Baik aku tidur,” kata aku kembali baring.

“Kau ni Rashid, serius sangat. Sebab tu hantu pun suka usik kau,” kaka aku usik aku lagi.

Aku malas nak jawab dah.

“Ok ok. Esok aku pergi sekolah sesi petang. Jadi aku tak payah pergi sekolah pagi. Malam ni aku teman kau tengok blog tu boleh?” tanya kakak aku.

“Kau serius ke kak?” tanyaku terus bangun dari baring.

“Iyelah, aku nak tengok juga, mana rupa blog tu. Macammana ceritanya sampai hantu boleh keluar jadi nyata,” kata kakak aku lagi.

“Tapi malam ni malam Jumaat kak.” Kata aku lagi.

“Dah kenapa kalau malam Jumaat?” tanya kakak aku.

“Malam Jumaat lagi banyak hantu,” kata aku.

“Haaa… kau cakap, kau cakap. Kang hantu tu bukan cari aku. Dia cari kau. Aku peneman je,” kata kakak aku sambil bangun dan melangkah menuju ke dapur bila terdengar bunyi mak aku dah start goreng ikan.

Aku rasa macam ada semangat semula bila kakak aku percayakan kata-kata aku. Dia mungkin tak percaya tapi dia nak buktikan bahawa aku tak tipu. Takpe, sekurang-kurangnya malam nanti aku tak keseorangan.

Tepat jam 12 malam, kakak aku masuk bilik aku. Mak dan ayah aku dah tidur. Haziq pula, lepas isya’, memang memerap dalam bilik, buat kerja sekolah. Maklumlah, tahun ni nak ambil SPM.

“Dah dapat ke email?” tanya kakak aku . Dia pula yang tak sabar. Aku ni dah start berdebar-debar dah.

“Belum. Selalunya masa ni dah ada,” sahutku.

“Dia tahu aku ada kot,” kata kakak aku. Aku diam je. Entah berapa kali aku refresh email aku.

Pukul 12.15 tengah malam, kakak aku bangun, nak pergi ke bilik dia. “Kak, tunggulah kejap,” kataku memujuk.

“Dia tak online kot malam ni,” kata kakak aku.

Baru je kakak aku nak melangkah ke pintu, tiba-tiba email masuk. “Kak, tunggu. Ni email dah masuk,” kataku memandang kakak aku. Kakak aku berhenti melangkah, dia datang berdiri sebelah aku.

Aku pun buka email tu. “KISAH KETIGA”. Kakak aku tarik kerusi lalu duduk kat tepi aku.

Cerita kali ini pasal kucing hitam langkah mayat di malam Jumaat. Menurut orang tua dulu-dulu, jika kucing hitam melangkah mayat sebanyak tiga kali, mayat itu akan bangun dan mengganggu orang ramai.

Ada seorang lelaki yang meninggal dunia kerana kemalangan. Lelaki itu menghembuskan nafasnya pada jam 6 petang. Setelah post moterm dilakukan, ibu dan ayah lelaki berkenaan menyatakan hasrat mereka untuk membawa balik jenazah anak mereka dan akan menguruskan sendiri segala proses mandikan dan mengkembumikan jenazah. Setelah menandatangi beberapa dokumen, mereka pun membawa pulang jenazah anak lelaki mereka.

Jenazah anak lelaki mereka meninggal kerana kecederaan dalaman yang teruk. Jasad luarannya tak nampak teruk. Cuma bahagian pipi kanannya terkoyak hingga ternampak daging dan tulang. Namun pihak hospital telah menjahitnya agar kelihatan lebih baik.

Kereta jenazah menghantar jenazah lelaki ini sampai ke rumah ibu ayahnya tepat jam 12 malam. Jenazah tersebut dibaringkan di ruang tamu rumah berkenaan. Beberapa orang kelihatan duduk berhampiran jenazah dan membaca surah Yassin.

Pada jam 3 pagi, beberapa orang yang menemani jenazah tadi kelihatan terlena. Tinggallah mak jenazah yang masih setia duduk di sisi jenazah anak lelakinya. Sedang si emak leka membaca Al Quran, tiba-tiba muncul seekor kucing hitam entah dari mana. Si emak tak perasan kerana tunduk melihat bacaannya.

Kucing tersebut melangkah jenazah. Sekali, dua kali dan masa nak masuk kali ketiga barulah si emak perasan. Dia cuba menghalau kucing tersebut tapi malangnya ketika kucing hitam tu nak melarikan diri, ia melangkah jenazah sekali lagi.

Si emak kembali duduk membaca Al Quran. Dan masa ini terdengar lolongan anjing sayup di kejauhan malam. Si emak mengejutkan seorang lagi anak lelakinya, Osman.

“Osman, mak nak ke tandas sekejap. Kau temankan jenazah adik kau,” kata si emak. Dan Osman akur.

Osman mengambil alih tempat emaknya membaca Al Quran di tepi jenazah adiknya. Semasa membaca, Osman perasan seperti kaki adiknya bergerak-gerak sampai terselak kain batik lepas yang menyelimuti jenazah.

Osman bangun lalu menutup kembali bahagian kaki yang terdedah. Setelah itu, dia duduk kembali.

Seketika kemudian, Osman perasan bahagian tangan jenazah adiknya pula terbuka. Osman memandang keliling, nak kata angin, takde pula angin bertiup masa tu. Osman bangun lalu menutup tangan jenazah.

Osman duduk semula tapi hatinya dah tak setenang tadi. Jantungnya berdebar kencang, mula terasa ada yang tak kena bila lolongan anjing seolah-olah makin rapat dengan kawasan rumahnya.

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s