BLOGGER ITU ADIK AKU

Bab 2

Dalam terketar-ketar tu, aku tarik tali pengikat langsir tingkap bilik aku perlahan-perlahan. Aku rasa lega sikit bila langsir tu bertutup, maka aku tak nampak makhluk kat luar tingkat aku tu. Tapi jantung aku tetap berdegup laju, macam baru lepas lari pass button 4 x 100 meter.

Aku menghampiri komputer aku. Blog cerita tu masih terpapar. Tapi macam dah di muka surat lain. Bukan di muka surat yang aku baca tadi. Aku baca perenggan terakhir cerita tu yang bertulis, “Makhluk Tak Terlihat ini tak boleh dihalang kerana mereka boleh masuk ke kawasan kamu melalui angin. Kamu tak boleh lari,” Aku cuak balik. Aku angkat muka dan pandang keliling aku. Aku tengok siling. Lega kejap sebab bilik aku takde lubang yang membolehkan angin masuk.

Aku tutup komputer. Masa aku nak tutup suis komputer, aku terasa seperti ada tiupan angin kat telinga aku. Aku menoleh ke sekeliling. Masa ni la aku nampak ada lubang di atas tingkap bilik aku, lubang bercorak bunga-bunga. Masa tu aku rasa kejang dah. Aku tarik nafas panjang-panjang. Itu semua cerita khayalan semata-mata ok. Zaman moden ni mana ada hantu. Aku urut dada aku.

Aku susun barangan yang bersepah kat atas meja komputer aku. Masa ni aku dengar macam bunyi anjing mendengus kat belakang aku. Kaki aku menggeletar semula. Dan bunyi tu macam makin kuat dan makin rapat dengan aku. Ah sudah!

Aku menoleh. Dan aku nampak makhluk laksana Pontianak tadi ada kat belakang aku, terawang-awangan tak pijak lantai, memandang aku dengan wajah menggerunkan. Aku tak daya menjerit. Aku tak daya berlari hatta nak angkat tangan pun aku tak mampu. Semua tulang aku rasa dah longgar macam tunggu masa nak tercabut je.

Aku dan Pontianak tu berpandangan mata seketika. Tak lama lepas tu, Pontianak tu terbang laju dan terkam ke arah aku dan aku tak sedar dah apa yang terjadi.

Aku sedar bila hari dah pagi. Elok je aku berbaring kat atas katil aku. Aku dengar mak aku panggil nama aku berulang kali. Macam selalu tu, kejut aku bangun solat subuh. Aku bangun perlahan. Aku lihat keliling bilik aku. Tiada apa yang nampak pelik.

Aku usap muka aku berkali-kali. Aku mimpi ke semalam? Tapi kenapa rasa macam nyata? Atau syaitan sedang mengelirukan aku? Aku istighfar.

Aku bangun dari katilku. Ambil tuala dan masuk ke bilik air. Kakak aku dan Haziq dan bersiap dah nak pergi sekolah. Haziq pergi sekolah dengan kakak aku sebab Haziq bersekolah di tempat sama kakak aku mengajar.

Haziq berusia 17 tahun, tahun ni nak ambil SPM. Kakak aku baru je graduate jadi cikgu lebih kurang setahun lepas. Aku ni pula, ada diploma Jurusan Sains Komputer tapi tak kemana. Dah lima bulan aku ambil diploma aku, minta kerja kat mana pun, tak berjaya sebab mereka nakkan yang berpengalaman. Aku sering pujuk hati, mungkin belum rezeki aku.

Tapi aku tak malas. Aku cari kerja lain. Takkan la aku nak harapkan ayah aku tanggung aku. Ayah aku kerja sebagai pembantu pegawai je kat sebuah agensi kerajaan. Mak aku tak kerja. Buat masa ni, aku kerja kat sebuah syarikat pengiklanan ni, aku jadi runner. Kerja aku setiap hari, fotostat dokumen dan hantar dokumen ke merata tempat. Kiranya aku ni depstach la. Gaji taklah besar sangat, tapi bolehlah nak bagi kat mak aku sikit, dan belanja diri sendiri tak payah minta kat ayah aku. Sementara nak dapat kerja yang setimpal dengan diploma ciput aku tu.

Aku mandi, solat subuh dan bersiap nak pergi kerja. Masa aku bersarapan, tinggal mak aku je kat dapur, sedang terbongkok-bongkok kat peti sejuk, mencari bahan untuk masak tengahari pula.

“Kamu balik makan tengahari nanti ke Rashid?” Mak aku tanya.

“Tak tahu lagi mak. Tengok keadaan, kalau banyak tempat nak hantar dokumen, tak balik kot.” Sahutku sambil menyeduk bihun goreng masuk ke pinggan.

“Mak ni nanti masak banyak, kamu dengan ayah kamu tak balik. Banyak lauk tak habis. Nanti masak sikit, kamu dan ayah kamu balik, dah tak cukup lauk pula. Pening mak,” kata mak aku sambil menarik keluar satu bekas aiskrim dari tempat sejuk beku dan meletakkannya di sinki. Melihatkan bekas ais aiskrim tu, aku senyum sendirian. Sebab dah beberapa kali aku tertipu. Ingatkan aiskrim. Excited la ambil sudu nak makan, bila buka, ada ayam la, ikan la kat dalam tu. Frust betul.

“Kalau Rashid nak balik makan, Rashid message mak nanti ye. Nanti sampai office Rashid tengok dokumen macammana,” kataku sambil menyuap bihun goreng ke mulut. Sedapnya. Mak aku memang pandai masak. Masak apapun sedap. Aku berani kata mak aku masak lagi sedap dari makanan beli kat kedai. Aku pun pelik, kenapa mak aku tak buka kedai makan?

“Tu bihun tu nak bawa office ke? Kot lapar pukul 10 nanti,” tanya mak aku.

“Tak payah la mak. Takut pukul 10 nanti Rashid kat atas motor hantar dokumen. Bila masa nak makannya?” sahutku.

“Berhentilah kat tepi jalan tu kejap. Makan 10 minit. Takkanlah nak makan pun bos marah?” kata mak aku.

“Bolehlah mak, bungkus sikit,” sahutku. Aku tahu mak aku memang risau anak-anak dia lapar. Sejak aku kecil lagi memang mak macam tu. Dan memang selalu pukul 10 aku lapar. Tapi sebab kerja aku kat atas jalan raya, bila masa aku nak makan.

Lepas sarapan, aku ambil topi keledar dan jaket aku. Aku pakai kasut. Aku melangkah ke luar. Masa aku nak naik motor, aku tengok motor aku berganjak sikit dari tempatnya semalam.

“Mak, siapa gerakkan motor Rashid ni?” tanya aku.

“Manalah mak tahu. Ayah kamu la kot,” sahut mak aku dari dalam rumah.

Masa ni aku teringat kat Pontianak semalam. Aku pergi dekat dengan tingkap bilik aku. Aku cuba tengok kalau ada apa-apa tanda yang pelik kat situ. Takde apa pulak.

Aku tarik nafas. Memang sah, aku mimpi semalam.

Aku start enjin motor dan bergerak ke tempat kerja. Hari aku berjalan seperti biasa sampai petang dan malam. Macam selalu, tiada apa yang pelik. Malam, macam biasa, lepas habis lepak kat ruang tamu tengok televisyen, aku sambung lepak depan komputer kat dalam bilik pulak. Aku main game.

Tepat jam 12 malam, aku dapat notification email. Masa ni aku mula cuak. Aku buka email tu. Penghantar yang sama! Untuk blog “Makhluk Tak Terlihat”. Dan tertulis “KISAH KEDUA”, ada link kat situ. Aku rasa serba salah, nak buka ke tak? Aku toleh ke tingkap, nasib baik tingkap dah ditutup dengan langsir.

Aku minimize kotak email. Aku sambung main game.

Beberapa saat je, notification email kedua pula sampai. Penghantar yang sama. Pesanannya berbunyi, “Anda lewat seminit, dia akan datang cari anda!” Seram sejuk weh. Padahal aku tengah main game perang kot.

Aku tengok keliling bilik. Takde apa yang pelik. Aku takut nak buka link tu. Aku tarik nafas panjang. ‘Ahh… Takde apa ni. Kenapa aku nak takut dengan benda macam ni? Komputer je kot,’ bisik hati kecil aku.

Aku tengok jam pukul 12.30 malam. Aku shut down komputer aku. Aku taknak main game dah. Mood dah spoil. Selalunya aku takkan tidur selagi belum pukul 1 pagi.

Lepas tutup komputer, aku bangun nak tutup suis lampu. Masa ni la ada seseorang ketuk pintu bilik aku. Terkejut aku sekejap. Sebab tak pernah lagi sesiapa dalam rumah tu ketuk pintu bilik aku pukul 12. 30 tengah malam. Kalau sesiapa ahli keluarga aku sekalipun, mereka takkan ketuk je. Siap pakej jerit panggil dari luar lagi, macam tak menyempat untuk aku buka pintu.

Aku diam sekejap kat tepi suis lampu. Nak tunggu samada bunyi ketukan tu sekadar perasaan aku je atau memang ada orang ketuk. Hampir seminit gak aku tunggu. Tapi bila takde bunyi ketukan lagi, aku pun anggap bahawa yang tadi tu cuma silap pendengaran aku je.

Elok je tangan aku nak tutup suis, pintu bilik berkeriut sikit seolah ditolak dari luar. Aku tengok kat pintu bilik aku. Rasanya aku kunci pintu tu tadi. Tapi sekarang aku nampak pintu tu macam terbuka sikit. “Siapa tu?” aku tanya dari dalam bilik. Tiada sahutan. Tapi aku dengar bunyi seperti derap kaki budak berlari-lari. Aduh… Kali ni aku mula terbayang Pontianak semalam. Seram beb! Nak buka pintu ke taknak? Nak jenguk ke luar ke tak?

Aku tutup pintu bilik aku semula. Aku tak jenguk keluar pun. Aku kunci tombol pintu. Aku tunggu sekejap kat pintu tu. Lama juga aku tenung pintu bilik aku sendiri. Dah jemu aku tunggu, aku bangun. Baru je aku nak ke katil aku, tiba-tiba pintu bilik aku diketuk lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi, macam nak runtuh pintu bilik aku. Takkanlah mak ayah aku tak dengar? Aku pula tiba-tiba rasa nak naik angin. Pantang betul aku orang ketuk pintu kuat-kuat ni.

Aku melangkah ke pintu, pulas tombol pintu dan buka pintu cepat-cepat, nak tengok siapa kat luar. Dalam kegelapan di ruang tamu, aku ternampak sekilas seperti seorang budak kecil berlari ke arah dapur. Disertai dengan bunyi ketawa kecil budak kecil. Meremang bulu roma aku. Nak kejar atau tak? Fuh!

Cepat-cepat aku tutup pintu bilik aku. Termenung aku kat situ. Apa benda tu? Kat rumah aku mana ada budak kecil?

Aku kuatkan semangat. Aku on balik suis komputer aku. Aku buka email tadi. Aku buka link yang diberi. Ada satu cerita baru. Nak atau tak, aku kuatkan diri aku untuk baca cerita tu.

Cerita itu mengenai bayi Haryati yang meninggal dunia bersama ibunya dan dikebumikan di dalam satu liang. Pontianak semalam berjaya mengambil jasad Haryati. Haryati kini berkeliaran sebagai Pontianak.  Satu kampung dah kecoh pasal hal ini. Beberapa bomoh telah dipanggil untuk membetulkan keadaan.

Namun, ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mencari kesenangan hidup melalui penderitaan orang lain. Pada satu tengah malam jumaat dengan cahaya bulan penuh, kelihatan seorang lelaki dalam usia 50an membawa sebatang cangkul bersamanya. Dengan hanya bertemankan cahaya bulan, dia mengorek kubur Haryati. Hampir dua jam berlalu, dia berjaya menarik keluar jasad kecil dari liang lahat. Lelaki itu tersenyum puas.

Lalu dibawanya jasad kecil yang masih berkain kafan itu pulang ke rumahnya yang terletak jauh dari rumah orang kampung. Rumahnya hanya sebuah pondok kecil, berdindingkan papan usang, tiada lampu sekadar cahaya pelita yang meliuk lentuk di tiup angin.

Lelaki itu duduk di satu sudut, meletakkan jasad bayi Haryati di hadapannya. Dia mula memperasapkan bekas tembaga yang terisi kemenyan di dalamnya. Bila di dalam rumah penuh dengan asap kemenyan dan bau kemenyan dibakar turut memenuhi ruang rumah kecil itu, lelaki tersebut membuka kain kafan yang menyelimuti jasad kecil itu.

Setelah dibuka kain kafan itu, kelihatanlah satu jasad kecil yang masih merah dan sempurna. Lelaki itu mengangkat jasad tersebut dan menatangnya di atas tempat perasapan kemenyan sambil memejamkan mata dan terkumat kamit membacakan jampi serapah yang tak difahami. Tapi maksud agak jelas.

“Alam kau berbeza, tapi kita tetap bersama,

Aku hidupkan kau dengan darahku,

Kau roh terpisah dari jasad, tapi aku satukan dengan rohku,

Kau dan aku kini satu, aku bapamu dan kau anakku,

Kau terikat dengan sumpahku,

Selagi hayat dikandung badan, kau milik aku dan aku milik kau.”

Kemudiannya kelihatan lelaki itu meletakkan jasad kecil itu di atas kain kuning yang dibentang di depan lelaki itu tadi. Lelaki itu mengambil sebilah keris yang dari sebelah sisinya, lalu memperasapkan keris tersebut. Lebih kurang 15 minit, lelaki itu menghiris tapak tangan kirinya. Lalu darah yang menitis, di titiskan ke mulut jasad bayi kecil tadi sebanyak tiga titis.

Bergema di dalam rumah itu, suara tangisan dan ketawa anak kecil bersilih ganti. Namun tidak dipedulikan oleh lelaki tadi. Masa ini, dikejauhan malam, terdengar sayup-sayup lolongan anjing, sayu tapi menyeramkan.

Lebih kurang setengah jam kemudian, kelihatan jasad kecil tadi mula menggerakkan jari kecilnya, menggerakkan kepala dan mengangkat kakinya.

Lelaki tadi masih duduk bersila sambil berpeluk tubuh dan memejamkan matanya. Jasad kecil tadi kelihatan bergerak dan berdiri tegak seolah terapung di hadapan lelaki itu.

Masa ni, sekali lagi pintu bilik aku berkeriut seperti ditolak dari luar. Aku melompat terkejut. Betul-betul terkejut. Dan aku takut!

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s