BLOGGER ITU ADIK AKU

Bab 1

Aku Rashid. Aku suka baca blog. Tak kisahlah blog apa. Blog memasak, blog travel, blog keluarga, blog kisah cinta dan macam-macam blog lagi la. Nampak pelik bila lelaki suka baca blog maca-macam ni kan? Percayalah, aku suka baca semua blog. Tapi aku ni jenis mudah jemu dengan kisah yang sama berulang kali. Mungkin kisah yang berlainan tapi  jalan cerita yang sama.

Satu hari tu kawan aku kenalkan aku dengan satu blog ni. Blog ni biasa-biasa je, tapi aku suka baca. Nak kata seram, tak seram. Nak kata tragis, tak juga. Tapi aku suka baca. Susunan ayatnya membuatkan aku terasa seperti kisah yang dituliskan adalah kisah benar. Membuatkan aku terasa seperti akulah yang berada di dalam kisah tersebut. Plotnya yang menarik, membuatkan aku nak baca dan nak baca lagi.

Ada satu masa tu, masa aku baca blog dia ni, aku terasa seperti hantu yang diceritakan kat dalam kisah tu, ada kat sebelah aku, sedang memerhati aku. Meremang bulu roma weh. Walaupun sekadar cerita. Pernah aku melompat terkejut dan lari lintang pukang bila kucing hitam milik adik aku melintas kat kaki aku. Kebetulan masa tu aku sedang baca pasal kucing hitam melangkah mayat.

Malunya aku masa tu. Kebetulan masa tu ada saudara belah mak aku datang melawat mak aku yang sakit. Semua mata tengok aku. Ayah aku pun dah pandang lain macam. Mula-mula tadi ayah aku dah jeling sebab aku sibuk dengan telefon walaupun ada saudara datang rumah. Tapi aku buat tak tahu je. Tapi bila aku dah melompat macam kena kejar dek hantu ni, nampaknya kenalah aku berhenti baca blog lagi sebab ayah dan mak aku dah jegil mata kat aku sampai aku rasa seramnya lebih dari cerita yang aku baca kat blog tu.

Tapi kata je nak berhenti. Bila boring aku mula balik. Tambahan pulak aku dah jumpa blog baru di page facebook. Blog cerita seram. “Makhluk Tak Terlihat” nama blog tu. Wah! Nama pun dah menarik perhatian aku. Blog baru ni. Aku cari admin siapa, tapi tak jumpa. Pandai orang ni rahsiakan semua identitinya. Tapi, yang buat aku pelik, aku tak boleh tengok followernya berapa ramai. Dia hanya memberi satu tajuk dan mengatakan kepada siapa yang nak baca, sila pm dan dia akan bagi link ke cerita berkenaan. Dan disertai dengan satu amaran, “Barangsiapa dah mula baca, dia akan terus terima email link cerita berikutnya tanpa sebarang notis dan tiada siapa boleh berhenti dari membaca ceritanya,”

Tiada sebarang like atau komen di posnya. Ini yang membuatkan sifat ingin tahu aku lebih mendalam. Takkan takde langsung orang yang baca pos dia ni. Dan untuk insan seusia aku ni, segalanya ingin dicuba. Blog aje pun, sampai mana sangat dia nak menakutkan aku kan. Kalau dah taknak baca nanti, aku blok la.

Maka, aku pm page berkenaan. Tiada jawapan. Sejam dua jam. Aku dah tidur, bangun balik pun takde respon. Ahhh…. Ni fake page ke apa ni. Malas dah aku nak tunggu. Aku pun lupa dah pasal blog tu.

Lepas tiga hari, aku dapat email. Aku buka email tu. Dari satu alamat email yang aku tak kenal. Email itu mengatakan bahawa mulai malam ini tepat jam 12 malam, aku akan menerima link ke cerita seram dari blog “Makhluk Tak Terlihat” tu. Terkejut gak aku, sebab aku ingat dah takde dah blog tu, aku email pun tak berbalas. Takpe, malam nanti aku tunggu link tu. Excited aku ni, walaupun aku ada sedikit rasa tak sedap hati dengan cara penyampaian blog tu.

Malam tu, dari pukul 11 aku dah tunggu email dari penghantar siang tadi. Sampai tertidur aku. Tapi tepat jam 12, memang aku tersedar bila telefon aku berbunyi. Aku bangun, terus buka telefon aku. Aku buka email yang tertulis “KISAH PERTAMA”

Aku baca. Ceritanya mengenai Pontianak yang mengganggu penduduk kampung. Pontianak itu itu dikatakan berasal dari Haryati, anak kepada Pak Osman, yang meninggal dunia ketika melahirkan anak sulungnya. Bayi yang dilahirkan turut meninggal dunia.

Pada malam pertama dia dikebumikan, ada sesuatu di kawasan perkuburan yang dilihat oleh beberapa orang kampung yang baru balik dari masjid yang letaknya bersebelahan dengan kawasan perkuburan. Tiga sekawan, Yazid, Omar dan Zaidi. Pada mulanya mereka hanya nampak seperti ada sehelai kain putih yang seolah tersangkut di sebatang pokok besar di dalam kawasan perkuburan tu. Mereka tak ambil peduli dengan kain tu. Tapi mereka mula takut bila kain putih tersebut terbang melayang dari sepohon pokok besar ke pokok yang lain.

Mereka berhenti melangkah seketika dan menyorok di sebalik pokok besar di tepi kawasan perkuburan untuk melihat apa benda tu. Mereka nampak kain putih tu bukan sekadar kain putih biasa. Rupanya ada sesuatu di sebalik kain putih itu. Ada seseorang dengan rambut yang mengurai panjang, tangannya yang hitam dengan kuku yang panjang juga dan mereka tak nampak kaki.

Walaupun terketar-ketar menahan takut, mereka masih menunggu di situ untuk melihat apa yang terjadi seterusnya. Mereka nampak makhluk berkain putih itu terbang sambil mengilai dengan suara yang menyeramkan. Bergema kawasan perkuburan itu.

Setelah hampir 10 minit makhluk tu berterbangan ke sana sini, kelihatan makhluk itu turun ke tanah, di kubur Haryati yang masih merah tanahnya. Makhluk itu kelihatan melompat-lompat di atas tanah kubur Haryati. Lepas tu, makhluk tersebut menarik kayu yang dijadikan tanda di atas kubur Haryati sementara batu nisan siap.

Yazid, Omar dan Zaidi yang menyorok di tepi pokok tu dah berpeluh menahan ketakutan. Nak lari, takut makhluk tu nampak dan kejar mereka. Tapi kalau tak lari, dah rasa nak demam, terkencing dah mereka kat situ. Maka, nak atau tak, mereka terus menjadi penonton, melihat segala kejadian di kawasan perkuburan tu.

Tak lama lepas tu, kelihatan makhluk tu seperti memasukkan tangannya yang hitam itu ke dalam tanah kubur Haryati. Lama juga dia dalam kedudukan itu. Masa tu la pulak ada benda merayap kat kaki Omar. Apalagi, menjerit la dia. Puas Yazid dan Zaidi menutup mulutnya suruh diam tapi dia tetap menjerit. Mana tak jerit, dah la perut tengah kecut melihat kejadian depan mata, hari malam pulak tu, dah tu tiba-tiba benda merayap pulak kat kaki. Mau tak melompat member.

Masa keadaan kalut tu, makhluk yang sedang menyeluk tangannya di dalam tanah kubur Haryati tu menoleh ke arah mereka bertiga. Dengan bantuan cahaya bulan dan cahaya lampu tepi jalan, mereka dapat lihat wajah makhluk itu yang agak menakutkan. Dengan gigi taring separas dada, matanya yang merah, rambutnya yang berselirat, hidungnya yang panjang dan bengkok di hujung.

Terketar-ketar tiga sekawan tu. Mereka cuba nak lari, tapi kaki masing-masing seolah terlekat ke bumi. Tak boleh nak angkat. Seluruh anggota badan yang lain terasa kebas.

Makhluk menyeramkan tu menarik tangannya keluar dari kubur Haryati. Dia terbang perlahan-lahan ke arah tiga sekawan tadi. Yazid, Omar dan Zaidi dah pasrah. Mereka tak mampu nak buat apa. Nak baca doa pun tak tahu dah. Jantung tu Tuhan je tahu lajunya kemain. Masa tu macam nak tunggu mati je.

Makhluk tu terbang menghampiri mereka bertiga. Ketika hampir kepada mereka, dia membelek-belek tiga sekawan tu. Merapatkan wajahnya dengan mereka bertiga. Ketika ini bau hamis darah terlalu kuat sampai Omar termuntah.

Melihatkan Omar muntah, makhluk tu terus mencekik Omar. Omar menjerit kuat. Makhluk itu mengangkat Omar hingga kaki Omar tak mencecah tanah. Terkapai-kapailah Omar mencari nafas. Yazid dan Zaidi tak mampu buat apa-apa. Nak menjerit pun suara dah takde.

“Hoi!” Tiba-tiba terdengar bunyi suara lelaki menjerit dari jauh. Makhluk itu menoleh dan terus melepaskan cengkaman tangannya di leher Omar. Omar jatuh ke tanah sambil memegang lehernya yang sakit. Kelihatan Tok Bilal dan Haji Zaki sedang berlari ke arah mereka. Dan makhluk tadi terus terbang hilang entah ke mana.

Aku berhenti membaca blog tersebut bila aku terasa dahaga. Aku melihat jam dinding. Dah pukul 1 pagi. Aku bangun dan melangkah keluar dari bilik aku. Ruang tamu dah gelap. Mak dan abah aku dah tidur. Kakak dan adik aku pun mestilah dah tidur. Mereka memang tidur awal. Kak Hana nak pergi mengajar, Haziq pula nak sekolah awal pagi esok.

Aku melangkah terus ke dapur. Pasang lampu, buka peti sejuk, tuang air ke dalam cawan dan meneguk air kosong sejuk tu macam sedap sangat, walhal air kosong je pun.

Lepas dah minum, aku nak melangkah ke bilik aku. Masa aku tutup lampu, dalam keadaan gelap tu, aku dengar bunyi orang ketuk pintu dapur. Mula-mula aku ingat aku salah dengar, tapi bila aku mula melangkah, ketukan tu makin kuat. Aku jerit, “Siapa tu?” bunyi ketukan tu berhenti.

Hati aku dah mula cuak dah. Aduh, siapa pulak yang main ketuk pintu pukul 1 pagi ni?

Aku taknak ambil pusing dengan bunyi tu. Aku melangkah laju ke bilik aku. Masa nak masuk ke bilik aku, tiba-tiba bunyi ketukan tu ada lagi kat pintu depan rumah pulak. Sama kuat dengan ketukan kat dapur tadi.

“Hoi! Siapa yang nak main malam-malam buta ni?” Aku jerit. Dan bunyi ketukan tu berhenti. Aku mula panas, aku syak ada orang nak main-main. Aku melangkah ke pintu, cadangnya nak buka pintu, nak tengok siapa kat luar.

Tapi baru je aku tolak engsel pintu, masa aku nak pulas tombol pintu, aku dengar bunyi ketukan kat cermin tingkap bilik aku. Sebab bilik aku memang kat depan sekali, kat sebelah ruang tamu je. Maknanya, pintu depan dengan tingkap bilik aku memang bersebelahan je.

Aku berdiri seketika dalam gelap tu, cuba mendengar betul-betul, dari arah mana datangnya bunyi tu. Sah! Memang dari tingkap bilik aku. Aku melangkah perlahan ke bilik aku yang masih cerah sebab lampu terpasang. Komputer aku pun masih terpasang, masih memaparkan kisah dari blog “Makhluk Tak Terlihat” tadi.

Aku pandang kat tingkap. Bunyi ketukan dah berhenti, tapi aku nampak seseorang berdiri di sana. Fuh! Masa ni memang aku seram weh. Tegak berdiri bulu roma aku. Aku masih berdiri kat pintu bilik aku, aku takut nak masuk. Aku pandang orang yang berdiri kat tingkat cermin tu.

Mak aku selalu pesan, bila malam, turunkan kain langsir. Tapi aku pulak rimas kalau bilik aku bertutup litup. Aku memang biarkan langsir berikat dan aku dapat lihat keluar dari cermin tingkap aku. Tapi kali ni aku memang menyesal sebab tak tutup cermin tingkap aku dengan langsir. Taubat aku, lain kali aku akan turunkan langsir tu.

Aku melangkah perlahan ke tingkap. Aku membelek orang yang berdiri kat luar tingkap aku. Tiba-tiba aku rasa sejuk seluruh badan. Itu bukan orang biasa. Dia memakai pakaian serba putih yang lusuh, rambutnya mengurai panjang. Bergigi taring separas dada, tangannya hitam dengan kuku yang panjang. Gambarannya laksana Pontianak. Dan Pontianak itu sebiji sama macam yang sedang aku baca dalam blog!

– Bersambung –

One thought on “BLOGGER ITU ADIK AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s