JANGAN IKUT AKU

Bab 5 (AKHIR)

Adila beritahu aku, dia nampak mak mertua aku masa nak pergi ke bilik air yang kat luar rumah tu. Mak mertua aku berdiri kat pinggir dusun kat belakang bilik air. Katanya mula-mula memang nampak macam mak mertua aku, tapi bila dia dah patah balik, dia intai la dari tingkap dapur. Katanya dia nampak makhluk yang berupa mak mertua aku tu tubuhnya tinggi dan hitam, bergigi taring sampai ke dada. Kat sebelah ‘jelmaan’ mak mertua aku tu, dia nampak ada perempuan berambut panjang sampai ke kaki sampai tak nampak muka dan memakai kain putih yang dah lusuh. Macam langsuir katanya.

Menggigil lutut aku masa ni. Dah aku terbayang-bayang pulak makhluk tu semua ada mengeliling rumah mak mertua aku. Patutlah anak aku asyik menangis je dan matanya asyik memandang ke atas.

Aku pun beritahu kat suami aku. Suami aku pun meremang bulu roma. Sebab dia kata dia memang selalu guna bilik air yang kat belakang rumah tu. Jarang sekali dia guna bilik air dalam rumah. Katanya yang kat belakang rumah tu lebih privasi. Aku rasa lepas ni mesti dia tak berani guna bilik air tu lagi, terutama di sebelah malam.

Aku tanya suami aku, kalau-kalau mak mertua aku ada mewarisi saka keturunan. Suami aku kata tak pernah dengar pun cerita pasal saka ni. Suami aku kata, pemilik saka keturunan yang tak elok ni, biasanya tak solat dan tak puasa. Kalau baca Al-Quran pun mesti akan panas. Tapi mak mertua aku elok je solat, puasa dan baca Al-Quran.

Aku terfikir, betul juga tu. Beristighfar aku sekejap. Mudah sangat syaitan membisik fitnah di dalam fikiran kita, hingga kita sendiri dengan mudah nak percaya dan rasa sangsi. Tiba-tiba je rasa nak minta ampun maaf dari mak mertua aku. Dah la dia jaga aku dalam pantang macam jaga anak sendiri.

Aku tanya balik suami aku, kalau ada ‘benda’ lain, kenapa ia menyerupai mak mertua aku. Suami aku pun angkat bahu. Jelas rupa penakut dia masa ni. Suami aku memang penakut orangnya, nak pulak cakap bab hantu syaitan ni. Kalau nak banding dengan aku, aku mungkin lebih berani dari dia kot. Mungkin juga sebab aku dah terbiasa dengan kelebihan Adila.

Sepanjang tempoh hampir sebulan berpantang kat rumah mak mertua aku, anak aku asyik menangis setiap kali senja dan subuh. Bila ditanya doktor, katanya itu sawan tangis, normal untuk anak sulung dan akan hilang sendiri bila dia semakin membesar. Bila dirujuk kepada bidan dan bomoh, mereka kata ada ‘benda’ menyakat. Mereka bagi beras kunyit dan air penawar. Diamlah anak aku sehari dua hari, lepas tu dia meragam balik.

Aku mulalah syak memang ada ‘benda’ tak elok kat rumah mak mertua aku. Dah la dengan keadaan aku dalam pantang, memang cepat la nak emosi. Jadi aku cari alternatif untuk balik ke rumah sendiri. Aku pun dah bersalin hampir sebulan, maka aku minta kat suami aku untuk pulang balik ke rumah kami. Aku pun dah sihat masa ni. Suami aku beritahu mak mertua aku. Mak mertua mahupun ayah mertua aku tak pernah menghalang. Mereka nasihatkan aku untuk jaga pantang sampai habis hari.

Keesokan harinya aku dan suami aku balik ke rumah kami. Bukannya jauh sangat dari rumah mak mertua mahupun mak kandung aku. Dah balik rumah sendiri, terasa lega sekejap. Tapi tak sampai 24 jam, anak aku menangis juga lagi. Suami aku dah usap muka dah. Takkan nak bagi nama Ahmad Pintu, lepas tu nak cari gua cari jin dan lepas tu tukar nama anak aku jadi ‘Ahmad Albab’ pulak. Itu semua cerita tv je kot.

Aku panggil Adila datang ke rumah aku. Aku tanya dia ada nampak apa-apa yang pelik tak kat rumah aku. Dia buat juga muka cuak dia tu tapi dia kata takde apa yang bahaya. Semua biasa-biasa je. Aku pun tak tahu apa maksud dia biasa-biasa tu.

Tapi lepas Adila keluar rumah, dia kata dia nampak seseorang kat dalam kereta suami aku. Orang tu duduk diam je kat dalam kereta tu, di bahagian tempat duduk belakang. Adila pergi menghampiri kereta suami aku. Dia pandang kat orang tu. Orang tu pun pandang dia. Adila kata wajah orang tu tak pernah dilihatnya tapi orang itu kelihatan pucat, dan berpakaian seperti hantu pocong. Cuma nampak mukanya sahaja, anggota lain semua dibungkus dalam kain kafan dan kain di bahagian atas kepalanya terikat kuat. Masa Adila beritahu aku, pucat juga muka suami aku sebab memang dengan kereta itulah dia ke hulu hilir. Lepas ni mau dia jual kereta dia tu.

Lepas 3 hari, ayah mertua aku datang ke rumah aku sebab nak lawat cucu. Suami aku beritahu kat ayah mertua aku tentang semua jelmaan yang adik aku nampak. Ayah mertua aku ni bukan bomoh tapi kalau setakat buat air penawar, ‘pagar’kan rumah sikit-sikit tu, pandailah dia.

Maka, ayah mertua aku pun buatlah ‘pagar’ untuk rumah aku. Seharian anak aku tenang je. Aku pun dah rasa lega sikit. Tapi lepas ayah mertua aku balik, waktu tengah malam, anak aku meraung lagi. Sampai terbeliak biji mata, naik kebiruan mukanya. Aku pun nak menangis tengok anak aku macam tu.

Aku telefon mak aku. Mak aku kata mungkin anak aku kembung perut. Dia suruh aku sapu minyak kat perut dan tapak kaki. Lepas tu anak aku terus tidur tapi aku tak rasa dia menangis sebab kembung perut sebab rupa dia seperti sedang melihat sesuatu yang menakutkan.

Keesokan harinya ayah mertua aku datang lagi bila suami aku beritahu pasal anak aku masih menangis. Ayah aku kata, memang dia nampak sesuatu kat kereta suami aku. Ayah mertua aku sendiri meremang bulu roma.

Akhirnya ayah mertua aku panggil ustaz, minta tolong tengokkan di mana silapnya. Anak aku ke, rumah aku ke, suami aku ke atau aku sendiri ke yang bermasalah. Ustaz tu kata, dia dah pusing rumah aku. Memang ada ‘benda’ asing. Dan Ustaz kata dia dah bertanya ‘benda’ tu, kenapa ganggu keluarga kami.

Rupanya ‘benda’ tu atau Ustaz tu kata ialah jin atau saka keturunan, bukan taknak pergi tapi dia disuruh tunggu di situ, di dalam kereta suami aku. Terkejut juga kami. Apa kena mengena dengan kereta suami aku tu pula.

Ustaz kata, ada seseorang meletakkan sesuatu di dalam kereta suami aku. Saka itu mencari tuan. Orang yang meletakkannya itu sepatutnya menjaga saka itu tapi orang itu membuangnya di dalam kereta itu dengan harapan saka tu dah tak kacau keluarga mereka.

Ayah mertua aku tanya, siapa yang letak saka itu di dalam kereta suami aku. Ustaz tu kata, tanya tuan asal kereta itu. Dan muka suami aku berubah, begitu juga muka ayah mertua aku. Aku pula hanya boleh diam je.

Kereta itu adalah pemberian dari abang ipar aku, iaitu abang kandung suami aku. Tapi kenapa pula abang ipar aku ada saka keturunan sedangkan ayah mertua aku tak tahu?

Ayah mertua aku terus telefon abang ipar aku. Abang ipar aku pula kata dia tak tahu apa-apa. Memang dia berikan kereta tu kepada suami aku sebagai hadiah kahwin walaupun itu cuma kereta terpakai.

Habis tu, siapa yang letak? Ayah mertua aku panggil Ustaz tu semula. Kali ini ayah mertua aku macam hilang sabar. Dia minta Ustaz itu memberitahu apa yang Ustaz tu tahu pasal saka tu.

Ustaz tu kata, ini hal keluarga. Dia taknak nanti ada pergaduhan antara keluarga. Ayah mertua aku suruh Ustaz tu buang saka tu tapi Ustaz tu kata, saka tu dah lama berada di dalam kalangan manusia. Memang boleh membuangnya tapi tak semudah yang disangka. Perlu dicari waris sebenarnya, dan perlu dipindahkan ke jasad lain sebagai tuan baru jika jasad sedia ada tak mahukannya. Atau yang empunya saka itu membuat perjanjian dengan saka berkenaan.

Ayah mertua aku paksa Ustaz tu untuk beritahu, siapa empunya saka itu. Dengan berat hati, Ustaz tu memberitahu dia adalah adik kandung ayah mertua saya! Ayah mertua aku pun apa lagi, dia terus hidupkan enjin motor dan pergi ke rumah adik perempuannya yang tak jauh dari situ juga. Memang kami semua tinggal berdekatan.

Berlakulah perang mulut sekejap antara dua beradik tu. Lepas kena marah, barulah adik perempuan ayah mertua aku beritahu, bahawa arwah suaminya ada membela saka keturunan yang diwarisi dari datuknya.

Memandangkan ayah suaminya adalah anak tunggal, dan ayah mereka juga dah meninggal dunia, maka saka tersebut perlu diwarisi oleh cucu. Namun tiada siapa yang nak mewarisi saka tersebut pada saat dan ketika arwah datuknya meninggal dunia. Arwah datuknya ada meminta mereka menjaga satu bungkusan kain kuning yang diikat dengan tujuh warna benang. Arwah datuknya berpesan, bungkusan itu perlu diperasapkan setiap hari selasa selepas jam 12 malam.

Hinggalah pada hari datuknya meninggal dunia, tiada siapa yang sudi mengambil bungkusan itu. Tapi mereka tiga beradik sering diganggu dengan jelmaan datuk mereka sendiri, yang mengikut mereka ke mana sahaja mereka pergi. Setiap malam mereka tak boleh tidur dengan tenang, anak isteri turut diganggu.

Kerana dah tak tahan diganggu, arwah suami adik perempuan ayah mertua aku bersetuju mengambil saka tersebut memandangkan dia anak sulung. Namun dia tetap tidak menjaganya dengan baik. Saka itu terabai hinggalah pada hari kematian suami adik perempuan ayah mertua aku.

Masa itu barulah adik perempuan ayah mertua aku tahu bahawa suaminya ada menyimpan saka. Dan nak atau tak, selepas kematian suaminya, dia terpaksa berhadapan dengan dengan saka yang mencari tuan baru. Kerana tak tahan diganggu, adik perempuan ayah mertua aku  telah mengambil bungkusan kuning tersebut lalu meletakkan di dalam kereta suami aku masa suami aku hantarkan dia balik ke rumah satu masa dulu.

Ayah mertua aku punyalah marah masa tu. Dia bukan marah pasal saka tu tapi dia marah sebab adiknya seperti menganiaya suami aku. Akhirnya dengan bantuan ustaz, saka itu tetap tak dapat dibuang tapi dilengahkan kewujudannya dengan perjanjian di antara adik perempuan ayah mertua aku dengan saka tersebut. Perjanjiannya ialah saka tersebut perlu menunggu pohon jagung tumbuh dari setongkol jagung yang telah dibakar dan di tanam di satu kawasan berbukit.

Aku beritahu Adila pasal semua ni. Patutlah dia kata dia tak pernah nampak rupa lelaki yang dia kata dia nampak kat dalam kereta suami aku haritu.

Yang pasti, keistimewaan Adila masih kekal utuh hingga ke hari ini. Adila masih boleh lihat makhluk di alam ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar orang biasa. Tapi kerana Adila dah makin dewasa, dia semakin pandai mengawal dirinya. Aku selalu doakan agar Adila sentiasa dilindungi Allah dari makhluk-makhluk yang tak elok.

Bahkan semakin dia dewasa, dia bukan saja boleh tengok alam jin, malah dia juga dapat lihat roh orang yang dah meninggal dunia. Akhirnya anugerah yang selama ini membebankannya, kini dinikmatinya dengan penuh syukur.

Namun banyak kali juga aku dengar Adila marahkan seseorang yang aku tak nampak, “JANGAN IKUT AKU LAAA”. Aku pun tak tahu dia cakap kat siapa.

-TAMAT-

3 thoughts on “JANGAN IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s