JANGAN IKUT AKU

Bab 4

Aku selamat melahirkan pada jam 4 pagi. Aku tak tahu apa dah jadi kat Adila sebab masa dia ditenangkan kerana ketakutan tadi, aku dah dibawa ke labour room. Alhamdulillah aku selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Ketika aku dibawa keluar, suami aku dan mak aku pun dah sampai, mereka menunggu di tempat menunggu.

Aku tanya mana Adila, mak beritahu abah dah bawa Adila balik sebab dia nampaknya amat tertekan sepanjang berada di hospital. Matanya melilau sana-sini, wajahnya pucat berpeluh-peluh dan dia asyik bercakap seorang diri seolah sedang memarahi seseorang. Hinggakan doktor meminta dia dibawa balik kerana mengganggu pesakit lain.

Aku yakin, Adila nampak benda yang orang lain tak nampak. Kesian dia. Dia pun bukannya matang sangat lagi masa tu, baru tingkatan 4. Aku tak sabar nak balik, nak tanya dia apa yang terjadi. Sejak kejadian di sekolah dulu, Adila tak bercerita dengan sesiapa pun walaupun mak dan abah aku sebab dia taknak orang susah hati. Tapi dengan aku, kalau aku tanya, laju je dia cerita.

Aku bertanya pun bukannya sebab aku berani sangat, tapi aku kesian kat Adila. Dia tiada tempat untuk meluahkan segala rasa kerana rasa dia tak sama macam orang lain. Walau macammana orang kata dia istimewa, dia tetap rasa dirinya terlalu kerdil berbanding orang lain.

Pada keesokan harinya aku dibenarkan pulang ke rumah oleh pihak hospital. Sampai je kat rumah, aku terus tanya Adila, apa yang terjadi semasa dia di hospital semalam. Dia pun mulalah bersila depan aku dan bercerita apa yang dia nampak.

Ketika sampai hospital, dia nampak ada satu perempuan berdiri di tepi pintu masuk wad bersalin. Mula-mula Adila ingat dia perempuan biasa tapi bila lalu di tepinya, baru Adila perasan perempuan itu terapung, kakinya tak mencecah lantai. Matanya terbeliak, lidahnya terjelir separas dada. Rupanya seperti orang yang mati tergantung. Tapi yang menyeramkan ialah matanya berkelip-kelip walaupun dengan biji mata yang hampir terkeluar. Setiap wanita bersalin yang lalu di situ, dia akan jilat dengan lidahnya yang panjang.

Masa nak melintasi perempuan itu, Adila lalu ikut jalan palinh jauh tapi perempuan itu seperti tahu bahawa Adila boleh melihat dirinya. Dia terapung-apung mendekatkan diri kepada Adila, bertentangan mata dengan Adila walaupun Adila mencuba sedaya upaya untuk tak memandangnya.

Sampai saja tempat pendaftaran, Adila kata dia nampak satu lagi makhluk bertenggek kat tepi rak yang menyimpan fail-fail pesakit. Kepalanya besar, bergigi taring di kiri kanan mulutnya, matanya putih, kukunya panjang. Dia duduk diam di sana tapi matanya melilau melihat orang yang lalu lalang. Sesekali dia merangkak di atas lantai dan berpaut pada kaki orang yang lalu lalang.

Ketika di ruang menunggu, Adila duduk di satu kerusi. Dia perasan ada perempuan berambut panjang juga duduk di kerusi yang sebaris dengannya. Adila beranikan diri memandang. Rupanya tak ubah seperti Pontianak yang sering digambarkan di dalam televisyen. Perempuan itu memandang Adila dan tersenyum. Adila pandang ke lain.

Yang membuatkan Adila menjerit hingga perlu ditenangkan oleh pihak hospital ialah bila dia melihat satu mahkluk yang kelihatan seperti orang hutan, merangkak secara terbalik di atas siling. Lepas tu dia menuruni dinding dan terus merangkak ke arah Adila. Adila betul-betul takut masa tu. Dia cuba menghalau benda tu daripada mendekatinya tapi benda tu tetap berpaut di kakinya.

Dan masa itulah dia cuba ditenangkan oleh pihak hospital dan aku pula telah dibawa masuk ke bilik bersalin.

Banyak lagi rupa makhluk yang dia kata dia nampak, tapi aku kata cukuplah yang itu saja. Aku beritahu dia bahawa dalam keadaan aku sekarang, aku tak boleh takut. Aku kena jaga baby. Mujurlah Adila bercerita dengan aku setelah aku dah balik ke rumah. Kalaulah dia cerita kat aku masa aku kat hospital, mungkin aku akan minta balik juga kot. Tak dapat aku bayangkan makhluk-makhluk pelik tu berlegar-legar di lantai dan siling hospital. Itu baru tengok kat wad bersalin, macammana kalau dia pergi tengok kat wad lain, atau bilik mayat. Fuh! Tak dapat aku bayangkan suasananya.

Aku balik ke rumah mak mertua aku. Sebab dia dah pesan suruh berpantang kat rumah dia. Mak aku pula, lepas hantar aku, dia duduk sekejap dan lepas tu balik dengan Adila dan abah, sebab mak pun risau nanti Adila nampak apa-apa yang pelik pulak kat rumah mak mertua aku. Tambahan pula ada baby dan aku pula baru bersalin. Itupun sebelum balik, Adila sempat beritahu aku katanya ada satu nenek tua ikut aku balik dari hospital. Patutlah baby aku asyik menangis je. Akhirnya bapa mertua aku bawa seorang ustaz untuk ‘pagar’kan sikit rumah mak mertua aku, sekurang-kurangnya menjaga aku dan baby.

Tapi sekejap je baby diam. Lepas 2-3 hari, dia mula menangis semula. Sampai termuntah-muntah dan taknak minum susu. Bapa mertua saya bawa seorang bidan datang ke rumah untuk tengok-tengokkan baby. Bidan tu kata, ada ‘benda’ mengacau uri anak saya yang ditanam oleh suami saya. Katanya sebaiknya uri janganlah ditanam diwaktu senja sebab itu adalah waktu syaitan berkeliaran. Boleh je uri tu disimpan dulu. Nanti ditanam kemudian. Cuma kalau boleh jangan dilengahkan dengan sengaja.

Bidan tu bagi beras kunyit dan air penawar. Dia suruh taburkan beras kunyit dan air penawar ke atas tempat ditanam uri. Suami aku kata tak nampak pun kawasan yang dia tanam uri tu kena kacau. Suami aku tak faham, itu hanyalah kiasan kata dari bidan tadi. Memang kita tak boleh nampak hasil kerja di alam ghaib.

Dan baki air penawar disapu ke muka anak aku dengan usapan dari kepala ke dagu. Pesannya jangan biarkan baby melihat ke arah atas kerana jin dan syaitan biasanya mendatangi anak kecil dari atas kepalanya.

Lepas kami ikut segala pesanan bidan tu, keadaan kembali baik. Hari ketiga, Adila ikut mak aku datang melawat aku. Kali ini dia nampak Penanggal pula. Katanya Penanggal tu terbang dengan organ dalamannya berjuntaian, berlegar-legar di kawasan rumah mak mertua aku.

Nasib baiklah bidan yang mengubati anak aku haritu dah pesan, suruh letakkan apa-apa objek berduri di keliling rumah. Kebetulan mak mertua aku memang ada tanam pelbagai jenis pokok limau. Jadi, penanggal tak berani lalu. Konon kata bidan tu, penanggal tu takut dengan pohon berduri kerana risau organ dalamannya yang berjuntaian mengikut kepala penanggal itu akan tersangkut pada duri dan membuatkan dirinya tersangkut.

Bidan kata, Penanggal bukan hantu kerana ia adalah berasal dari manusia yang masih hidup tetapi mengamalkan ilmu hitam untuk kepentingan dirinya sendiri. Ada juga yang mewarisinya dari keturunan yang terdahulu dan tak tahu macammana nak membuangnya.

Jin ini licik. Mula-mula memang waris akan mengambil ilmu hitam keturunan ini demi untuk melepaskannya dari keturunan terdahulu tapi bila ia telah pergi kepada tuan baru, ia akan membuatkan tuan baru merasa selesa dan tidak akan membuangnya. Begitulah yang terjadi selalunya. Tapi bila dah terlalu lama berada dalam kalangan manusia, jin ini susah nak dileraikan dari kalangan manusia.

Ketika hampir maghrib, Adila keluar ke bilik air. Kat rumah mak mertua aku, bilik air ada di dalam dan di luar rumah juga. Adila segan nak guna bilik air dalam rumah, jadi dia keluar ke bilik air di luar rumah. Bukannya jauh sangat, lebih kurang lima langkah je dari pintu dapur, sampai le ke bilik air. Kat belakang rumah mak mertua aku, ada dusun besar.

Masa Adila berjalan ke bilik air tu, dia perasan ada sesuatu yang bergerak di pinggir dusun. Dia cuba melihat apa benda tu. Dia nampak mak mertua aku sedang berdiri di sana memandang ke arahnya.

Dia pun menegur mak mertua saya, “Makcik buat apa kat situ?”

Tapi mak mertua saya tak jawab, terus je memandang Adila dengan pandangan seperti marah. Adila mula rasa lain macam. Dia tak jadi meneruskan langkah ke bilik air. Dia berpatah balik dan masa nak sampai ke pintu dapur, Adila nampak mak mertua aku sedang menanak nasi.

Adila menoleh semula ke arah perempuan di pinggir dusun tadi, dan dia masih di sana. Masa ni baru Adila sedar, perempuan yang berada di pinggir dusun tu bukan mak mertua aku. Cepat-cepat Adila masuk ke rumah dan menutup pintu dapur dengan tergesa-gesa sampai mak mertua aku pun pelik melihatnya.

Adila terus duduk kat tepi aku dengan wajah pucat. Bila ditanya kenapa, dia hanya gelengkan kepala. Tapi dia ajak mak aku balik malam tu juga. Mak aku pulak ajak tidur je kat rumah mak mertua aku sebab itulah hajat mereka sebelum datang tadi.

Tapi Adila beriya-iya mengajak mak aku balik. Nak taknak mak aku terpaksa akur. Sebenarnya rumah mertua aku dan rumah mak aku tak jauh. Dalam 1 kilometer je. Tapi sebab malam, dan Adila pula takde lesen, jadi mak aku takut jadi apa-apa kat tengah jalan.

Sampai kat rumah, Adila telefon aku. Dia tanya anak aku menangis lagi tak? Aku kata anak aku dah tidur. Masa ni la Adila beritahu aku apa yang dia nampak kat rumah mak mertua aku selain dari ‘jelmaan’ mak mertua aku yang dia nampak kat pinggir dusun tu.

-Bersambung-

One thought on “JANGAN IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s