JANGAN IKUT AKU

Bab 3

Macam dah kena pukau, Adila keluar dari kelas dan memanjat benteng batu kat luar kelas nak terjun ke bawah. Adila kata dia tak rasa macam terpukau pun. Dia kata dia tanya pakcik tu, pakcik buat apa kat situ? Dan pakcik tu kata dia sedang cari cucu dia. Dia panggil Adila minta tolong carikan cucu dia. Dia suruh Adila terjun dari tingkat 3 tu, nanti pakcik tu sambut Adila.

Kalau ikut pemahaman aku, memang Adila kena pukau. Tapi Adila bersungguh-sungguh kata dia tak kena pukau pun. Tapi kalau fikir balik, kenapa pula pakcik tu nak pukau Adila?

Adila memang dah siap panjat benteng batu tu, tinggal nak terjun je lagi. Adila kata, masa dia berdiri kat atas benteng tu, dia nampak pakcik tu macam ada sayap besar di kiri kanan badan dia. Dan pakcik tu macam terapung sikit.

Nasib baik masa Adila dah bersiap sedia nak terjun, ada seorang kawan dia, Azwan naik ke kelas sebab dia dah selesai makan. Dia nak ambil buku katanya tapi bila nampak Adila berdiri kat benteng batu tu, dia terus jerit panggil cikgu. Mujur kebetulan masa tu, Cikgu Khairi ada kat Pusat Sumber yang letaknya berhadapan dengan kelas Adila.

Apabila terdengar jeritan Azwan, Cikgu Khairi terus keluar dari Pusat Sumber dan terus nampak Adila yang sedang berdiri di atas benteng batu tu. Dah macam superman Cikgu Khairi berlari dan terus pegang Adila. Masa tu, sebelah kaki Adila dah terlepas ke udara dah, tinggal nak lepas sebelah kaki je lagi.

Adila kata, dia nampak pakcik tu terbang dengan sayapnya yang besar tu. Dan masa Cikgu Khairi pegang Adila, Adila kata dia tak nampak orang yang pegang dia adalah Cikgu Khairi tapi dia nampak macam satu lembaga hitam yang besar berbulu lebat yang sedang memegangnya. Sebab itu Adila meronta.

Adila kata dia dapat dengar suara Cikgu Khairi menjerit kepada Azwan menyuruh Azwan memanggil beberapa cikgu lain dengan cepat. Cikgu Khairi pegang Adila yang meronta. Dan pada Adila pula, dia sedang dipeluk oleh lembaga hitam berbulu lebat tu. Manakala pakcik tua tadi pula sedang terapung kat depan Adila, yang mana orang lain tak nampak.

Adila kata, lepas tu beberapa cikgu datang dan tarik dia masuk ke kelas. Mereka dudukkan Adila di satu kerusi di bahagian belakang kelas. Masa ni Adila nampak pakcik tua tadi berdiri kat tepi dia. Pakcik tua tu buat isyarat suruh diam. Adila pun tunduk dan diam di atas kerusi tu.

Pada cikgu-cikgu lain pula, mereka menganggap Adila dah ok sebab Adila dah tak meronta-ronta lagi. Adila cuma duduk diam dan tundukkan wajahnya seperti kepenatan. Tudung putih yang Adila pakai tadi dan entah ke mana dah. Rambut Adila berserabut sampai tutup muka. Cikgu Zaleha membetulkan rambut Adila. Sambil tu dia tanya kenapa Adila nak terjun? Adila jawab nak test kalau-kalau dia boleh terbang sambil tersengih-sengih melihat tajam ke arah Cikgu Zaleha dan murid lain dalam kelas. Pandangannya seperti seekor haiwan ganas sedang memerhati mangsa untuk dibaham.

Berkerut dahi Cikgu Zaleha masa tu. Adila bukan budak yang biadap atau suka berjenaka di sekolah tu. Dia cuba bertanya beberapa cikgu lain, tapi cikgu semua kata Adila dah ok. Sebab Adila dah diam dan tak meronta-ronta macam tadi. Maka, masing-masing teruskan urusan mereka.

Murid lain dalam kelas Adila tak berani duduk dekat Adila. Adila memandang setiap seorang dengan wajah yang menyeramkan. Semuanya ambil kerusi dan duduk di bahagian hadapan. Tinggallah Adila yang duduk di bahagian paling belakang.

Cikgu Mariani dimaklumkan tentang Adila sebab dia adalah guru kelas Adila. Kebetulan subjek lepas rehat ialah Matematik, subjek Cikgu Mariani. Masa Cikgu Mariani masuk ke kelas, Adila seolah bercakap dengan seseorang. Dan pada Adila pula, dia memang sedang berbual dengan pakcik tua yang bersayap tu. Pakcik tu masih mengajak Adila mencari cucunya.

Sedang kelas berjalan, tiba-tiba dummm! Terdengar bunyi benda jatuh. Semua kat dalam kelas terkejut. Rupa-rupanya Adila menolak semua meja di barisan belakang hingga jatuh. Cikgu Mariani pun terkejut, bagaimana kudrat seorang anak kecil berusia 11 tahun boleh menolak semua meja tu sekaligus sendirian. Lepas tu Adila memanjat almari di belakang kelas dan terus bertenggek di atas almari tersebut, lagaknya tak ubah seperti seekor monyet.

Cikgu Mariani menyuruh Azwan memanggilkan Ustaz Marzuki. Dan dalam masa yang sama, Cikgu Mariani mengarahkan murid kelas tu menutup semua tingkap dan pintu. Kerana bimbang kalau-kalau Adila cuba untuk terjun lagi. Keadaan masa tu memang gamat. Dengan murid-murid perempuan menjerit, yang berlari ketakutan, yang menangis. Beberapa guru masuk ke dalam kelas Adila dan membawa murid lain dalam kelas tersebut keluar.

Guru-guru yang berada di dalam kelas itu pun tak berani nak mendekati Adila kerana kata mereka keadaan Adila pada masa itu amat menakutkan. Matanyanya merah, dan dia merangkak di atas almari itu seperti nak menerkam sesiapa sahaja yang berada di situ.

Aku ni mendengar cerita dari kedua-dua pihak. Kalau ikut kata Adila, dia yang melihat banyak hantu di hadapannya, seperti cuba nak menerkamnya, sebab itulah dia bertindak ganas untuk melindungi dirinya. Tapi bagi Cikgu Mariani yang menceritakan detik cemas tu mengatakan Adila sedang dirasuk.

Tinggallah Adila yang masih bertenggek di atas almari dan beberapa guru di dalam kelas itu. Seketika kemudian, Ustaz Marzuki datang. Masa Ustaz Marzuki masuk ke kelas, Ustaz Marzuki beristighfar panjang. Dia melangkah tenang ke arah Adila yang masih bertenggek di atas almari.

“Dila, kamu turun. Cikgu tahu pakcik tu yang ajak kamu terjun kan?” kata Ustaz Marzuki.

“Dan kamu nampak ada banyak hantu kat sini kan?” kata Ustaz Marzuki lagi memujuk Adila.

Masa ni Adila rasa lega kerana ada orang lain yang nampak dia dan pakcik tua tu. Dan dia yakin Ustaz Marzuki nampak semua hantu yang dia nampak. Perlahan-lahan Ustaz Marzuki menyambut Adila yang turun dari almari tu. Adila kata pakcik tua tu melarang Adila turun dari almari tu. Pakcik tua tu kata, kalau Adila turun dari almari tu, nanti semua hantu kat bawah tu akan makan Adila. Tapi tak tahulah kenapa Adila tetap patuh dengan pujukan Ustaz Marzuki.

Ketika Adila turun dah turun ke lantai, masa itulah Adila kata dia rasa pening dan terus pengsan. Dia kata dia tak ingat apa-apa lepas tu. Yang terakhir dia ingat, Ustaz Marzuki pegang ibu jari kirinya.

Dan dari apa yang aku dengar cerita dari Cikgu Mariani, lepas Adila turun dari almari, Ustaz Marzuki terus meminta beberapa orang guru lelaki memegang Adila. Adila meronta dengan tenaga yang amat kuat sampaikan empat orang guru lelaki tak mampu bertahan memegangnya. Beberapa kali terpelanting kerana ditolak oleh Adila.

Ustaz Marzuki memegang ibu jari kaki kiri Adila. Adila menjerit kesakitan.

Ustaz tu tanya, “Siapa kamu? Kenapa ganggu anak ini?”

Adila menjawab tapi dengan suara lain, suara yang agak garau, “Aku suka anak ini. Aku nak ambil dia dan bawa ke tempat aku. Dia istimewa,” jawab jin yang merasuk Adila.

Ustaz Marzuki membacakan beberapa potongan ayat Al-Quran.

“Pergi, jangan ganggu dia. Alam dia dan alam kamu berbeza. Kamu tak boleh bersatu dengan manusia dan manusia juga tak boleh bersatu dengan kamu. Tinggalkan anak ini dengan baik, sebelum aku halau kamu dengan kasar,” Ustaz Marzuki seperti memberi arahan.

“Tidak! Aku akan bawa anak ini bersama aku. Dah lama aku mahukan dia. Dan hari ini aku akan bawa dia balik,” Jerit suara garau dari dalam diri Adila.

Ustaz Marzuki kelihatan marah. Dia mula memejamkan mata dan terkumat kamit membaca surah-surah Al Quran, menghalau jin yang merasuk Adila. Adila terus meronta dan menjerit. Jeritannya amat menyeramkan. Seluruh sekolah memang tak belajar lah hari tu, semua pun terkejut dengan apa yang terjadi.

Akhirnya kedengaran Ustaz Marzuki melaungkan azan. Dan masa ini Adila menjerit katanya “Sakit! Sakit! Baiklah aku pergi,”

Tak lama lepas tu Adila pengsan. Ustaz Marzuki membacakan Al Fatihah dan meniupkan ke telapak tangannya lalu mengusapkan ke muka Adila. Dan masa tu Adila sedar. Adila kata dia terkejut bila nampak semua cikgu berkerumun mengelilinginya. Dia tanya kenapa semua cikgu mengerumuninya, semua cikgu tak jawab. Mereka cuma kata Adila pengsan tadi.

Atas nasihat Ustaz Marzuki, Adila dihantar pulang oleh Cikgu Mariani. Sebab itulah haritu Adila balik awal. Mak memang terkejut, ingat kot Adila jatuh ke apa ke kat sekolah sampai cikgu hantar balik. Cikgu Mariani minta abah aku bawa Adila berubat dengan mana-mana ustaz sebab bimbangkan keadaan Adila semakin teruk.

Memanglah Adila ada ‘anugerah’ istimewa, tapi untuk usia Adila, dia masih belum mengerti yang mana betul alamnya dan mana bukan alamnya. Dia belum tahu membezakan antara alam ghaib dengan alam nyata.

Lepas tu abah dan mak bawa Adila berubat dengan ustaz mana entah. Tapi memang lepas tu Adila nampak ok. Dia pun jarang dah mengadu nampak hantu atau apa-apa makhluk pelik. Kami semua pun lega, mungkin betul kata ustaz yang merawat Adila masa dia kecil dulu, katanya kebolehan Adila akan beransur hilang dia dia semakin membesar.

Tapi Adila dah tak seceria dulu. Dia suka bersendirian, dah tak banyak cakap dan kurang bergaul dengan kawan-kawan sebayanya. Bila aku tanya kenapa, dia kata takde apa. Mak dan abah bawa Adila ke klinik untuk periksa jika Adila sakit, tapi ternyata Adila takde sakit apa-apa.

Aku tahu, Adila masih nampak benda-benda pelik tu. Cuma bila dia makin dewasa, dia makin malu nak menceritakan apa yang dia nampak kepada orang lain. Dan pada masa inilah dia mula merasakan bahawa ‘anugerah’ itu adalah kecacatan buatnya. Kesian Adila.

Segalanya berjalan seperti biasa hinggalah aku berkahwin dan mengandung. Suami aku jarang berada di rumah. Jadi ketika aku dah tunggu hari nak bersalin, aku ajak Adila duduk dengan aku. Boleh dia temankan aku, mana tahu aku nak bersalin masa suami aku takde kat rumah.

Dan sangkaan aku memang betul. Satu malam tu, air ketuban aku pecah, dan masa tu suami aku takde kat rumah. Aku ajak Adila ke hospital. Masa kat hospital tu la, Adila dah macam orang gila, menjerit-jerit ketakutan. Dah la aku sakit nak bersalin. Suami dan mak aku dalam perjalanan ke hospital. Sampaikan kakitangan hospital tu sibuk jaga adik aku lebih dari jaga aku yang nak bersalin ni pulak.

-Bersambung-

One thought on “JANGAN IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s