JANGAN IKUT AKU

Bab 2

Ketika Adila masuk ke alam sekolah rendah, aku dan Adila pergi ke sekolah dengan menunggang basikal. Jarak dari rumah ke sekolah lebih kurang 1 km, tapi zaman dulu memang semua murid pun kayuh basikal. Masa Adila di Tahun Dua, aku masuk sekolah menengah tapi sekolah menengah kat sebelah sekolah rendah je. Jadi, kami masih boleh pergi ke sekolah bersama.

Ada satu pagi tu, masa kami kayuh basikal nak ke sekolah, masa tu masih gelap lagi, lebih kurang pukul 6.30 pagi. Perjalanan kami ke sekolah memerlukan kami melintasi satu kilang pemprosesan makanan.

Masa aku dan Adila sedang kayuh basikal tu la, tiba-tiba Adila berhenti kayuh basikal. Matanya tertumpu kepada bangunan yang gelap tu. Cuma lampu pagar dan spotlight saja yang menerangi kawasan kilang tersebut. Kat belakang kawasan kilang tu adalah hutan.

Aku tanya Adila, kenapa dia berhenti. Dia tunjukkan aku ke arah salah satu tingkap di tingkat atas kilang tersebut. Aku pun tengok la, takde nampak apa pun.

“Kau nampak apa Dila? Jom la cepat, nanti lambat sampai sekolah,” kata aku.

“Tu ada orang tergantung kat luar tingkap.” Kata Adila sambil menunjukkan ke arah tingkap kilang tersebut. Aku mula meremang bulu roma. Aduh, dah la takde orang lain yang lalu kat situ masa tu.

“Dah la Dila, biarkan je. Jom kita pergi sekolah,” kata aku lagi, tak berani pandang kat kilang tu lama-lama. Memang aku ada banyak terdengar cerita bahawa tapak kilang tu agak ‘keras’. Ramai orang nampak ‘makhluk’ pelik kat kawasan kilang tu.

Sebelum tu, anak Pak Deraman, si Ajmal jatuh kat depan kilang tu. Katanya dia terlanggar satu benda yang bergolek keluar dari pagar kilang. Rupa benda tu macam mayat yang dah dikafankan. Dari jauh tak berapa jelas tapi bila dah dekat baru dia nampak. Dan masa dia makin hampir dengan benda tergolek tu, tiba-tiba je benda tu berdiri kat depan dia. Mana sempat nak brek dah, terus dia langgar. Tapi itulah, katanya dia tak langgar pun benda tu, rasa macam dia tembus benda tu, namun sebab takut dan terkejut, dia terlanggar batu kat tepi pagar kilang tu. Tu yang dia jatuh  sampai berdarah kepala dan retak tempurung lutut.

Banyak kali dah orang kampung minta pihak pengurusan kilang siasat perkara ni tapi pengurus kilang tu kata semua tu tahyul, mana ada hantu jaga kilang dia. Nak buat laporan polis, pasti kena gelak je dengan pegawai polis nanti. Mana tak kena gelak, kalau dah buat laporan pasal hantu kan. Kita yang dengar pun gelak.

Berbalik kepada aku dan Adila pagi tu, puas aku pujuk Adila supaya teruskan perjalanan tapi Adila masih berdiri tegak kat basikal dia memandang ke arah tingkap kilang tu.

“Kakak, orang yang tergantung tu macam lambaikan tangan suruh kita datang dekat dia la,” kata Adila.

“Dah la Dila, jangan peduli semua tu. Ingat tak mak abah pesan apa? Jangan peduli kalau nampak benda yang akak tak nampak. Sekarang ni, akak tak nampak apapun kat tingkap tu. Dah kilang ni belum buka lagi waktu macam ni. Memang takde orang kat situ. Jom cepat, kalau tak akak tinggalkan kamu,” kata aku separuh marah dah. Aku takut sebenarnya.

Aku terus kayuh basikal aku, acah-acah nak tinggalkan dia. Mujurlah dia mengikut kata. Bila aku kayuh ke depan sikit macam nak tinggalkan dia, dia pun naik basikal dia dan kayuh basikal ikut aku. Aku pun jalan terus, taknak aku tengok dah kilang tu walaupun memang aku ada perasaan seperti ada sesuatu yang memerhati kami dari sana.

Masa kat sekolah jangan cakaplah. Macam-macam yang dia nampak, lepas tu cerita kat kawan-kawan dia sampai kawan-kawan dia takut nak datang sekolah. Banyak kali juga mak abah aku dipanggil ke sekolah atas sebab Adila menakut-nakutkan murid lain sampai mereka taknak pergi sekolah. Bila cikgu panggil dia, dia kata memang dia nampak semua tu. Mayat tergantung kat bilik guru, hantu bertenggek kat atas almari belakang kelas, budak kecil dengan taring duduk kat sinki kat tandas, sampaikan satu hari masa perhimpunan, dia menjerit katanya kat belakang cikgu yang sedang beri ucapan tu ada seorang budak sedang memanjat!

Dalam kelas, sebelah Adila memang takde orang duduk sebab kata Adila ada budak lain duduk kat situ. Bila ada murid nak duduk, ditolaknya sebab katanya jangan duduk kat atas kawan dia. Cikgu pun pesan kat murid lain, jangan duduk kat sebelah dia.

Cikgu bagi amaran, samada Adila dibawa berjumpa pakar psikologi atau dibuang sekolah. Sebenarnya pihak sekolah pun sayang nak buang Adila sebab dia salah seorang pelajar pintar kat sekolah tu. Adila bukan cacat, dia normal seperti kawan sebayanya. Dia bukan orang kelainan upaya, bahkan dia adalah orang kelebihan upaya. Dia bergaul baik dengan semua orang, dan ramai murid suka berkawan dengannya, cuma sikapnya tu yang buat kalangan guru dan murid tak senang duduk.

Akhirnya, mak dan abah terpaksa berkeras dengan Adila. Mak berterus terang dengan Adila walaupun pada usianya yang amat muda. Mak beritahu Adila bahawa Adila ada kelebihan yang orang lain takde. Adila boleh nampak alam ghaib. Mak ajar Adila, alam ghaib adalah salah satu ciptaan Allah, sebab tu setiap hamba Allah wajib mempercayai alam ghaib. Mak terpaksa susun ayat yang sangat cantik supaya Adila tak rasa dirinya lain dari orang lain, bahkan nak tunjuk bahawa Adila adalah insan istimewa yang Allah pilih untuk dianugerahkan darjat tersebut.

Jadi, mak pesan kat Adila, kalau dia nampak ‘makhluk’ yang lain dari rupa manusia biasa, jangan tegur atau lihat atau ikut. Selagi ‘makhluk’ tu tak usik Adila, selagi itu Adila jangan pedulikan dia.

Nampaknya ajaran mak berjaya. Adila memang takde bercerita atau mengadu pasal benda-benda pelik lagi. Adakala aku nampak dia seperti ternampak sesuatu tapi bila aku tanya dia kata takde apa. Ada masa Adila kelihatan seperti sedang menghalau seseorang, tapi memang kami tak nampak sesiapapun. Bila aku tanya dia halau siapa, dia kata dia halau hantu. Aku sendiri pun tak berani nak tanya banyak dah, sebab aku tahu aku tak mampu. Nanti aku juga yang takut. Aku sebenarnya kesian dengan Adila, kecil-kecil lagi dia dah terpaksa mengawal diri dari memberitahu apa yang dilihatnya sedangkan orang lain sebayanya bebas berkongsi cerita tentang apa yang mereka lihat.

Mak abah juga jarang bawa kami berkelah di laut atau sungai. Sebab di tempat-tempat macam tu, lagi la banyak benda pelik yang Adila nampak. Pernah sekali tu, masa kami berkelah di satu kawasan perkelahan yang penuh dengan batu besar dan air terjun, Adila beberapa kali meminta kami menukar tempat. Katanya tempat tu tak selamat la, tempat tu ada beruk la, tempat tu ada toyol la. Rasanya kami bertukar tempat 5 kali kot.

Akhirnya kami tak jadi berkelah. Abah suruh bungkus semua makanan, dan ajak aku yang dah berendam separuh badan kat dalam air sungai tu. Bestnya, airnya turun dari gunung, sejuk je. Tapi apakan daya, abah ajak balik.

Masa kat rumah aku tanya la, kenapa dia asyik suruh tukar tempat. Katanya kat atas batu besar kat dalam sungai tu ada makhluk berbulu lebat hitam sedang duduk. Lepas tu dia nampak ada nenek tua sedang berdiri di seberang sungai sedang memerhati kami. Tempat ketiga dia kata dia nampak seseorang seperti lelaki dengan kepala botak berbaring di dalam air. Lelaki tu tak keluar dari air langsung. Lama juga Adila tengok, dan lelaki itu pula boleh kelipkan mata dalam air dan memandang ke arah orang ramai yang sedang mandi di situ. Sampailah ada seorang budak terjun di tempat lelaki tu berada dan lelaki itu seperti menarik tangan budak itu untuk masuk ke air bersamanya.

Masa tu aku teringat, memang ada seorang budak yang hampir lemas kat situ tadi. Mujurlah ayahnya sempat menarik tangannya sebab budak tu kelihatan seperti disedut ke dalam air. Ayahnya kata mungkin di situ tanah jerlus.

Tempat terakhir kami duduk tu, dia kata nampak perempuan rambut mengerbang dengan baju putih, mata merah sedang berdiri di atas air di sebelah aku yang sedang merendamkan diri dalam air. Katanya perempuan tu melihat aku dengan wajah marah. Mungkin sebab aku sedang mandi di tempat dia. Perempuan tu macam nak benamkan aku kat dalam air. Tu yang Adila jerit panggil aku masa tu. Dan abah pun dah hilang sabar, terus ajak kami semua balik. Akhirnya kami berkelah kat rumah kami sendiri.

Sehinggalah Adila masuk ke Tahun 5. Pada satu hari tu, aku tak sekolah sebab aku dapat cuti khas dari pihak sekolah kerana sehari sebelum tu aku mengikuti program sekolah. Maka, Adila kayuh basikal seorang diri ke sekolah. Selalunya kalau aku tak pergi sekolah sekalipun, abah aku akan teman Adila ke sekolah. Tapi pada hari tu memang abah aku pun tak sempat nak temankan dia sebab perlu pergi ke tempat kerjanya awal dari selalu. Aku pula kepenatan, masa dia pergi sekolah, aku masih tidur.

Mak pula kata Adila dah besar, dia dah boleh jaga diri. Dan sampai bila Adila perlu ditemani. Dia perlu untuk belajar menjalani kehidupannya sendiri.

Maka Adila pun pergilah ke sekolah dengan mengayuh basikal sendirian. Tapi dalam pukul 11, guru kelas Adila, Cikgu Mariani menghantar Adila balik ke rumah. Mak terkejut juga, dan aku pun mula merasakan ada perkara yang dah berlaku. Aku tak tahu apa yang Cikgu Mariani beritahu kepada mak aku.

Lepas makan tengahari, aku duduk sebelah Adila yang sedang tengok tv. Aku tanyalah dia kenapa dia balik awal.  Dia pun mulalah bercerita. Adila memang suka bercerita dengan aku. Mungkin aku je yang nak dengar cerita dia dan percaya. Walaupun ada masa aku tak mampu nak dengar sebab lepas dengar cerita Adila, aku akan terbayangkan semua benda tu. Seksa weh…

Katanya masa dia lalu kat depan kilang proses makanan yang kami kena lalu untuk ke sekolah, dia nampak kepala manusia terpacak kat atas pagar. Kepala manusia tu berterbangan di dalam kawasan sekolah dengan segala usus kat dalam badan manusia pun ikut terbang sekali bersamanya. Pada aku, gambaran Adila nampak macam Penanggal.

Adila kata dia rasa takut masa tu sebab dia tak pernah tengok kepala manusia semata-mata berterbangan macam tu. Dia kayuh basikal laju-laju tapi kepala manusia tu terbang ikut dia. Dia nyaris-nyaris nak terlanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan. Bila kereta tu hon, kepala manusia tu terus hilang.

Adila pun apa lagi, kayuh basikal selaju-lajunya untuk cepat sampai ke sekolah. Sampai kat sekolah, dia letak basikal kat tempat yang selalu kami letak basikal kami, iaitu belakang bangunan sekolah yang baru. Kat situ pihak sekolah ada sediakan tempat letak basikal. Dulu sebelum ada bangunan baru, kami letak basikal ikut suka je, jadi berselerak. Itu yang bila ada bangunan baru, pihak sekolah sediakan tempat letak basikal.

Adila terus masuk ke kelas. Masa rehat pukul 10 pagi, semua murid turun pergi ke kantin sekolah. Tapi Adila masih di kelas sebab haritu adalah hari dia bertugas memadam papan hitam. Lepas Adila selesaikan tugasnya, dia melangkah semula ke mejanya nak ambil botol air. Adila adalah salah seorang murid yang mendapat tajaan RMT kat sekolah kerana kami dari golongan keluarga yang berpendapatan rendah.

Masa Adila nak ambil botol air tu, Adila nampak seorang pakcik di tingkat bawah bangunan sedang melihat ke arah kelasnya. Kelas Adila berada di tingkat atas sekali iaitu tingkat 3. Dan tempat duduk Adila adalah di sebelah tingkap, sebab itulah Adila boleh nampak pakcik tu yang berada di tingkat bawah. Pakcik tu pandang dia. Adila kata dia tak pernah nampak pakcik tu di sekolah tu. Tapi Adila kata Pakcik tu orang, bukan hantu. Pakcik tu pandang Adila dan lambaikan tangan kat Adila. Pakcik tu buat isyarat supaya Adila terjun dari tingkat kelasnya melalui tingkap.

-Bersambung-

One thought on “JANGAN IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s