JANGAN IKUT AKU

Bab 1

Ini kisah adik perempuan aku, namanya Adila. Aku dengan adik aku ni agak rapat, mungkin sebab kami berdua beradik je, dan kami sama-sama perempuan. Aku dengan adik aku ni, beza umur enam tahun, maknanya masa dia lahir, usia aku dah enam tahun. Kiranya aku dah besar la masa dia lahir, sebab tu kami boleh ngam, sebab aku memang nak adik.

Masa adik aku berusia dua tahun, dia pernah kena demam panas yang agak teruk. Tinggal kat wad lama juga. Mujurlah lepas sebulan keadaan dia makin sihat. Mak dan abah lega sangat. Tapi lepas dia sembuh dari demam panas, dia asyik menangis je, menangis yang meraung-raung macam tak cukup nafas tu.doktor pun check la sana sini, kot dia ada penyakit apa-apa, tapi doktor kata adik aku cuma demam. Mak dan abah aku punyalah risau.

Sampai satu masa, opah dan datuk aku usulkan untuk berubat cara kampung. Maka, lepas keluar dari hospital, mak dan abah aku bawa adik aku berubat kat rumah seorang bomoh ni. Bomoh ni kata ada ‘sesuatu’ yang mengikut adik aku.

Abah aku tak percaya. Maka mak dan abah cuba bawa adik aku jumpa seorang ustaz ni. Ustaz tu kata, adik aku ada satu anugerah yang Allah bagi kat dia. Anugerah itu tak bahaya tapi perlu dijaga sebaiknya. Bila mak dan abah aku tanya anugerah apa, ustaz tu kata adik aku boleh nampak alam di dimensi ke empat ke atas. Abah aku memang garu kepala, mak aku lagi la, dia bukan nak tahu dimensi ke apa, dia cuma nak tahu adik aku ada sakit apa-apa tak? Kalau sakit, macammana nak sembuhkan? Itu je.

Ustaz tu kata, bumi ini ada sebelas dimensi tapi mata biasa manusia boleh lihat hanya hingga 4 dimensi. Tapi adik aku boleh nampak lagi baki tujuh dimensi. Berkerut gak dahi mak abah aku nak memahamkan apa yang cuba disampaikan oleh ustaz tu. Abah aku tanya kalau-kalau ‘penyakit’ adik aku tu boleh disembuhkan. Ustaz tu kata, itu bukan ‘penyakit’ tapi anugerah. Mungkin akan hilang sedikit demi sedikit bila adik aku makin membesar. Dan ustaz tu kata tak perlu risau, cuma perlu dipantau supaya adik aku tahu yang mana dari dimensi ke empat atau selebihnya. Ustaz tu kata, ‘anugerah’ adik aku ni takde ubat. Dia cuma berpesan, perbanyakkan bacaan Al Quran di rumah dan solat jangan tinggal. Itu sahaja ‘penyembuh’ adik aku.

Untuk meredakan tangisan adik aku, ustaz tu bagi air penawar. Katanya jangan biarkan adik aku bersendirian. Bila adik aku mula memandang ke atas, ustaz tu kata bacakan Al-Fatihah dan 4 Qul, tiupkan di ubun-ubun kepalanya, usapkan wajahnya perlahan hingga matanya tak lagi melihat ke atas.

Mak dan abah aku bawa adik aku balik. Mak dan abah selalu pesan kat aku, kena jaga adik elok-elok, jangan biar adik bermain seorang diri dan temankan adik aku walau kemana adik aku pergi. Aku pun masa tu mana tahu apa-apa lagi, aku pun iyekan ajelah. Dan sejak itu juga aku dan adik aku makin rapat.

Ada satu hari tu, Adila berusia lima tahun dan aku sebelas tahun. Masa aku sedang buat kerja sekolah kat dalam bilik, adik aku duduk kat atas katil bermain dengan patung mainan dia. Tengah dia main tu, tiba-tiba je dia buat isyarat seperti melambai seseorang. Aku pandang adik aku. Adik aku elok je tersengih-sengih sampai melambai seperti memanggil seseorang kat pintu. Aku tengok pintu bilik yang tak bertutup tu, takde apa, cuma langsir.

“Marilah sini, kita main sama-sama,” kata adik aku. Aku bangun dari kerusi aku dan jenguk ke luar pintu.

“Kau panggil siapa Dila?” tanya aku.

“Tu kawan adik. Dia nak main dengan adik,” sahut Adila masih menggamit ‘kawan’ dia.

“Siapa kawan adik tu? Akak tak nampak sesiapa pun kat situ,” kataku .

“Rambut dia panjang, muka dia sama macam patung ni. Dia senyum je kat situ. Adik rasa dia nak kawan dengan adik,” kata Adila dengan pelat kebudak-budakkannya sambil menunjukkan anak patung Barbie Doll yang dipegangnya.

Masa ni aku cuak dah. Meremang bulu roma. Dan ini adalah kali pertama aku merasa takut kat adik aku sendiri. Dah la masa tu mak dan abah aku takde kat rumah, mereka pergi pasar sekejap beli ikan dan sayur. Sebelum ni memang adik aku pernah berkelakuan pelik, seolah ada orang lain bersamanya tapi aku tak rasa apa-apa, mungkin sebab mak atau abah aku ada masa tu. Tapi bila sekarang aku tinggal berdua je dengan adik aku, terasa pulak ketakutannya tu.

Adila masih menggamit ‘kawan’ dia. “Dah adik, jangan panggil dia lagi. Suruh dia balik, nanti mak dia marah,” kata aku. Tapi adik aku tak peduli. Dia tetap gamit ‘kawan’ dia.

Tak lama lepas tu adik aku gelak-gelak dan bermain dengan anak patung dia. Aku perhati je, dia seperti bermain dengan seseorang. Aku pulak dah takde fokus kat kerja sekolah dah. Hati aku ni memang tak sabar tunggu mak dan abah aku balik.

“Adik, kawan adik dah balik?” tanyaku.

“Belum, tu dia ada kat tepi kakak,” sahut adik aku sambil menuding jari ke arah tepi aku. Aku cepat-cepat menoleh ke kiri kanan aku, mencari-cari kalau ada objek yang asing. Tapi aku tak nampak apa-apa.

“Dia buat apa dekat tepi kakak?” aku tanya.

“Tak tahu, dia cium kakak. Dia kata kakak wangi,” aku terus bangun sampai terbalik kerusi aku. Sejuk je aku rasa. Aku pergi dekat Adila, duduk kat tepi dia sambil melihat sekeliling.

“Kawan adik ikut kakak. Dia duduk kat kaki kakak,” kata Adila sambil ketawa dan menuding jari menunjukka ke arah kaki aku. Memang kaki aku terasa sejuk masa tu. Ya Allah, aku rasa macam nak lari keluar rumah masa tu. Tapi teringat kat pesan mak, jangan tinggalkan adik aku walau apapun jadi. Aku baring atas katil dan selimut badan aku dari hujung kaki sampai hujung rambut. Aku pejamkan mata kuat-kuat. Adik aku gerak-gerakkan badan aku. Aku tak berani nak buka mata. Aku berpeluh-peluh kat bawah selimut.

Lepas tu aku dengar suara mak aku. Aku rasa lega sangat. Aku buka selimut dan masa tu aku nampak sekilas pandang, ada seperti seorang budak perempuan sedang berlari. Tapi aku nampak sekilas je, bila aku berkelip mata, budak tu dah hilang. Tapi dari pakaian dan rambutnya yang panjang sampai ke lantai tu, aku yakin itu bukan adik aku.

Aku berpusing cari Adila. Dia takde kat dalam bilik. Habis tu yang goncang kaki aku tadi siapa? ‘Kawan’ adik aku ke? Aku turun dari katil, aku dengar bunyi pintu dibuka. Aku terus meluru ke pintu. Adila ada kat sana sedang buka pintu untuk mak dan abah aku. Aku berlari ke arah mak aku, terus peluk mak aku dan menangis.

Mak dan abah aku pandang aku sambil mengerutkan dahi. Mereka berpandangan sesama sendiri. Aku beritahu mereka apa yang terjadi tadi. Adila pun nak mengadu sama. Dia kata aku tak suka ‘kawan’ dia.

“Mana kawan adik sekarang ni?” tanya abah.

“Tu, kat atas bahu abah,” sahut Adila. Muka ayah aku terus berubah dan abah aku terus tepis bahu dia. Muka mak aku pun nampak pucat.

“Kawan adik tu datang dari mana? Rumah dia kat mana?” tanya mak aku.

“Dia memang duduk kat rumah ni. Selalu tidur dan makan dengan adik.” Sahut Adila sambil membelek anak patung mainannya.

“Ada berapa orang kawan adik yang duduk kat rumah ni?” tanya mak lagi.

“Ada ramai. Dua tiga empat.. Hmmmm….” Kata Adila sambil mengira dengan jarinya dan melihat keliling seperti sedang mengira ‘kawan’ yang berada di hadapannya.

“Dah dah. Jangan tanya lagi. Akila, pergi tolong mak angkat barang letak kat dapur. Nanti lama-lama busuk pulak ikan dan sayur tu semua. Kat luar tu makin panas,” kata abah mengalihkan perhatian aku dan mak yang masih terpinga-pinga melihat Adila.

Aku dan mak terus bangun dan mengambil barangan yang mak dan abah beli dari pasar tadi dari bakul motorsikal. Aku ikut mak sampai dapur. Masa Adila nak ikut aku, aku suruh dia pergi duduk dekat abah. Takut aku, nanti ‘kawan-kawan’ dia ikut aku, berpaut kat kaki aku. Dah la aku tak nampak mereka semua. Seram weh.

Kejadian itu bukan yang pertama. Macam-macam perkara yang Adila cerita kat aku. Ada ‘kawan’ dia yang berpaut kat pokok mempelam depan rumah, ada yang duduk kat buaian yang selalu aku duduk tu, kalau abah tengah tengok tv, ‘kawan’ dia pun duduk sama. Sampai satu masa, kami pun dah lali.

Abah pernah beberapa kali bawa Adila jumpa doktor pakar kanak-kanak. Doktor kata itu adalah normal bila kanak-kanak mempunyai rakan imaginasi. Dan semua tu akan hilang dengan sendirinya apabila Adila semakin dewasa. Abah pun dah beberapa kali jumpa ustaz. Ustaz tu masih kata bahawa ‘benda-benda’ tu tak merbahaya dan tak mengganggu.

Jadi, mak dan abah macam dah redha. Nak atau taknak, kami terpaksa menghadapinya. Paling seram aku la, sebab tiap malam aku tidur dengan Adila. Kadang-kadang Adila bercakap seorang diri. Suruh ‘kawan’ dia tidur kat sebelah dia. Adoi la dik.

Selalunya kalau aku dah takut sangat, aku minta supaya Adila tidur dengan mak aku. Aku taknak tidur dengan dia. Tapi itulah, aku dan Adila makin besar, takkan nak tidur bawah ketiak mak lagi.

-Bersambung-

One thought on “JANGAN IKUT AKU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s