Me Time

Bab 8 (AKHIR)

Aku dan Amira berpandangan sesama sendiri. Meremang bulu roma. Rasa seram semalam tak seseram sekarang bila aku lihat suasana chalet yang kami duduk semalaman yang bersebelahan dengan kawasan perkuburan lama. Semalam, ada orang bagi kami makan nasi ayam. Patutlah suami aku tanya gambar apa yang aku pos? Dan bila aku tengok balik gambar tu, aku tak nampak gambar nasi ayam, cuma gambar tanah merah dan daun kering je. Itu ke yang aku makan semalam? Uwekkk… Tekak aku meloya, aku muntah kat situ. Amira menggosok belakang aku.

“Kau ok ke Lina?” tanyanya.

“Perut aku masuk angin agaknya. Tu yang loya tu,” sahutku menyembunyikan apa yang berada di dalam pemikiran aku.

“Sekarang kita nak buat apa? Kat mana nak cari kawan kita yang lain?” tanya Amira. Tangannya memaut kuat tangan seperti dah terlekat dengan gam. Aku dapat rasa dia menggeletar.

“Sekarang keadaan masih samar-samar. Tunggu cerah sikit, baru kita cari kawan-kawan kita yang lain,” sahutku, masih pening akibat muntah sekejap tadi.

Dan dalam samar-samar itulah, aku nampak kelibat seseorang di dalam kawasan perkuburan itu. Aku cuba mengecam jika itu ialah salah seorang kawan aku tapi aku tak dapat tengok jelas. Aku cuit tangan Amira dan menunjukkan kepadanya apa yang aku nampak. Amira melihat dan dia juga turut cuba mengecam orang itu.

“Siapa tu? Kenapa dia berdiri kat situ dan pandang kita?” kata Amira. Aku angkat bahu. Aku pandang keliling, tak ada orang lain.

“Assalamualaikum. Siapa tu?” Aku bagi salam dan melangkah merapati kawasan perkuburan tu. Amira menarik tangan aku.

“Kau ni, jangan berani sangat. Dah sah-sah la bukan orang tu kalau berdiri kat kawasan perkuburan lama macam ni,” kata Amira.

Aku tak pedulikan Amira. Aku terus melangkah ke arah kelibat orang tu tadi. Semakin hampir, semakin aku dapat mengingati siapa dia.

“Mira, itu kan perempuan yang tumpang van kita semalam. Tapi semalam dia dengan anaknya. Kan?” tanyaku.

“Iyelah. Maknanya dia bukan hantu?” tanya Amira.

“Mana aku tahu.” Sahutku.

“Tapi semalam kan dia kata rumah dia kat sebelah chalet ni. Dan dah terang-terang sebelah chalet ni tanah kubur, kau rasa?” tanya Amira yang masih memaut tangan aku. Dia sebenarnya taknak ikut aku tapi dia takde pilihan. Takkan dia nak tinggal seorang diri kat van Nisa kan.

Ketika kami semakin hampir dengan kelibat wanita itu, tiba-tiba wanita itu melangkah ke hutan di tepi kawasan perkuburan dan terus hilang.

“Tunggu!” jeritku. Tapi dia terus pergi dan hilang. Aku melangkah pantas dengan harapan dapat mengejar wanita itu tapi Amira menahan aku. Aku tarik tangan aku dan terlepas dari pautan Amira.

Ketika hampir sampai ke hutan tersebut, aku terseradung dengan sesuatu yang keras menyebabkan aku terjatuh. Dan masa ini baru aku perasan bahawa aku dan Amira sedang berada di tengah-tengah kawasan perkuburan lama itu. Aku lihat beberapa batu nisan yang tercampak di sana sini dengan keadaan tanah yang dah lama ditinggalkan dengan semak samun.

Amira menghampiri aku yang masih terduduk memerhati sekeliling. Matahari semakin menunjukkan diri, keadaan di situ semakin cerah namun masih redup kerana banyak pokok besar di situ.

“Kenapa kubur-kubur di sini tak tersusun dan batu-batu nisan macam dah dicabut dan dicampak ke sana sini?” kata aku penuh tandatanya. Lupa dah aku pada kelibat wanita yang aku kejar tadi.

Amira tak jawab. Dia membantu aku berdiri dan memapah aku keluar dari kawasan perkuburan. Namun belum sempat aku dan Amira melangkah keluar dari kawasan perkuburan itu, kami nampak sekujur tubuh berbaring di bahagian tepi kawasan perkuburan, yang hampir dengan pagar chalet using yang kami duduki semalam.

Dengan terjengkot-jengkot, aku melangkah ke arah tubuh yang berbaring itu walaupun dihalang oleh Amira.

“Lina, jom kita keluar dulu. Kita cuba pusing-pusing kat area sini, mana tahu ada orang yang boleh kita minta tolong,” kata Amira.

Aku tak peduli, tak tahulah kenapa aku betul-betul nak tahu kenapa kawasan kubur tu macam tu. Aku terus pergi ke arah seseorang yang berbaring di situ. Semakin aku hampir, semakin aku kenal orang itu. “Nisa!” Aku terkejut bila nampak Nisa kat situ. Begitu juga Amira.

“Kau yakin ke itu Nisa?” tanya Amira.

“Aku tak tahu la Mira. Dah siang ni, takkan hantu kot,” sahutku.

Amira meletakkan aku di tepi pagar. Dia menepuk-nepuk pipi Nisa. “Nisa, Nisa. Bangun Nisa,” panggilnya. Nisa bergerak perlahan, seperti seorang yang baru bangun dari tidur.

“Kenapa kau kat sini Nisa?” tanya Amira.

Nisa melihat sekeliling. Dia pun terkejut bila tersedar di berada di antara dua kubur.

“Macammana aku sampai sini? Semalam aku tidur dalam bilik kot,” kata Nisa agak menggigil.

“Takpe, takpe. Kita cuba bertenang ok. Bukan kau seorang. Semua pun tak tahu apa yang terjadi. Jom kita cari kawan kita yang lain. Mungkin mereka semua ada kat sini juga,” kata aku.

Nisa bangun. Melihat sekeliling. Dengan keadaan yang sama macam Nisa tadi, kami jumpa Fika dan Hana. Mereka pun menggeletar bila sedar diri mereka tidur di dalam kawasan perkuburan lama. Siapa tak takut weh, kawasan kubur tu satu hal, kubur lama pulak tu. Kononnya pagi ni nak tengok matahari terbit, betul sungguh kami tunggu matahari terbit pagi ni. Walaupun bukan kat tepi laut. Nak sangat tengok matahari terbit kan? Me Time la sangat.

Walaupun masih dalam keadaan takut, tapi kami tetap rasa lega sebab kami dah jumpa kawan-kawan kami yang betul, bukan khayalan lagi.

“Aisyah mana?” tanya Hana. Kami terus mencari di segenap kawasan kubur tapi tak berjumpa. Kami mula risau balik. Kenapa kami tak jumpa Aisyah?

“Mungkin dia ada kat dalam chalet kot? Jom tengok. Lagipun kita kena gak masuk chalet tu sebab nak ambil barang-barang kita,” kata Nisa. Kami bergerak bersama-sama. Amira memapah aku, sakit betul kaki aku tersadung batu nisan tadi, bengkak dah agaknya.

Nisa melangkah ke van, melihat-lihat keadaan vannya. Takde apa yang rosak. Dia bukak van, fuh! Ada bau busuk yang amat busuk, bau macam bangkai yang dah lama dan berulat. Kami semua tutup hidung dan mulut. Hana muntah dah.

Nisa biarkan semua pintu vannya terbuka. Kami melangkah masuk ke dalam kawasan chalet. Belum sempat kami masuk, kami dengar bunyi kereta datang dari arah luar kawasan chalet usang tu. Kami berhenti melangkah dan berpusing ke arah bunyi kereta tadi.

Kereta suami aku! Aku macam nak melompat gembira. Rasa macam dah bertahun tak jumpa suami aku padahal baru petang semalam je aku tinggalkan dia.

Kereta suami aku berhenti kat tepi kereta Nisa. Suami aku keluar dan diikuti dengan seorang lelaki yang keluar dari tempat duduk sebelah pemandu. Berkerut dahi kami masing-masing melihat lelaki itu. Itulah lelaki yang menolong kami di kawasan tanah tinggi masa van Nisa mati enjin semalam. Macammana dia boleh naik kereta dengan suami aku? Suami aku kenal dia ke? Atau suami aku dengan lelaki tu sedang buat prank kenakan kami ke? Manalah tahu, dia tak suka aku join kawan-kawan aku tanpa dia kan. Dia taknak aku ada Me Time kot. Mulalah aku fikir yang bukan-bukan.

Suami aku berlarian mendapatkan aku. Wajahnya memang nampak risau bila melihat aku tak boleh berdiri elok, terpaksa dipapah oleh Amira.

“Awak jatuh ke?” tanyanya sambil menyambut tangan aku yang dihulurkan oleh Amira.

“Terlanggar batu nisan,” sahutku perlahan, masih sangsi dengan suami aku dan lelaki itu.

“Ya Allah. Takpe, awak duduk kat sini dulu,” katanya sambil membantu aku duduk di atas batu kecil di tepi pintu pagar yang hampir roboh. Kawan-kawan aku yang lain pun masih berdiri di situ memandang ke arah lelaki yang datang bersama suami aku.

“Siapa lelaki tu? Kenapa dia ikut dengan abang?” tanyaku separuh berbisik.

“Ni Abang Musa, abang jumpa dengan dia di surau kat kampung dekat-dekat sini masa abang berhenti solat subuh tadi,” kata suami aku.

Aku dan kawan-kawan aku yang lain berpandangan sesama sendiri. Macam-macam perkara yang bergolak dalam hati dan fikiran kami. Nak percaya dengan lelaki itu ataupun tidak.

“Saya Musa, dan saya jugalah yang membantu hidupkan enjin van kamu petang semalam kat atas tanah tinggi semalam,” kata Abang Musa. Giliran suami aku pula mengerutkan dahinya.

“Van Nisa rosak? Awak semua ni dah jumpalah dengan Abang Musa ni semalam ye?” tanya suami aku.

“Haah, semalam van Nisa mati enjin. Abang ni yang tolong. Macammana abang boleh bawa dia bersama abang?” tanyaku balik.

“Lepas solat subuh tadi, dia tegur abang sebab katanya tak pernah tengok muka abang. Dia tanya dari mana nak ke mana. Abang pun ceritalah yang abang nak cari awak semua ni. Dan dia tawarkan diri untuk ikut bersama abang sebab abang beritahu dia bahawa abang tak biasa dengan kawasan ni,” sahut suami aku. Aku diam.

“Sebenarnya, bukan kamu saja yang tersesat sampai sini. Ramai lagi yang dah kena. Kalau kamu nak tahu, kawasan di mana enjin van kamu mati semalam adalah kawasan ‘keras’, memang takde orang lalu lalang kat situ. Banyak kes kemalangan maut kat situ. Saya memang selalu lalu di situ, saya adalah salah seorang RELA kat kampung bawah kawasan tinggi tu. Kebetulan masa saya lalu situ, saya nampak van kamu berhenti di situ dan masa tu ada sejenis langsuir sedang bertenggek kat atas van kamu, seperti sedang mencari lubang untuk masuk ke dalam van kamu. Sebab tu saya berhenti. Van korang tak rosak pun, semua elok. Tak tahulah macammana boleh mati enjin di situ. Dan langsuir tu masih berada di atas bumbung van kamu, memerhati setiap gelagat kamu dan saya juga. Sebab tu, saya ajak kamu datang ke kampung saya dulu untuk minta pertolongan halaukan benda tu. Tapi kamu semua jalan terus pulak, dan masa tu langsuir tu masih kat atas van kamu,” cerita Abang Musa panjang lebar membuatkan kami kembali meremang bulu roma membayangkan ada langsuir yang bersama kami sepanjang perjalanan kami.

“Dan kawasan ini memang banyak jin yang menganggu. Ia seolah lubuk jin. Ramai yang dah tersesat sampai sini,” kata Abang Musa lagi sambil memandang sekeliling. Dan kami semua terdiam dan termenung panjang.

“Aisyah mana?” tanya suami aku tiba-tiba. Mungkin dia baru perasan Aisyah takde dalam kumpulan kami. Dan kami pula seolah-olah baru tersedar dari lamunan.

“Hana dan Nisa kami jumpa kat kawasan perkuburan. Tapi Aisyah takde. Kami ingat nak cari dia kat dalam chalet,” sahut Amira.

“Mungkin dia masih berada dalam chalet. Jom cari dia,” sahut Abang Musa.

“Kamu semua tunggu kat sini. Biar kami je pergi cari kawan kamu yang seorang lagi tu,” kata Abang Musa lagi. Dan kami akur.

“Barang-barang kami pun masih kat dalam chalet yang kat hujung sekali, nombor 601 dan 603.” Kata Nisa.

“Ok, nanti kami ambilkan,” kata Abang Musa lagi.

Suami aku dan Abang Musa masuk ke kawasan chalet usang tu. Aku, Hana, Nisa, Fika dan Amira berpandangan sesama sendiri. Masing-masing buat muka bersalah sebab salah faham dengan Abang Musa semalam. Kalaulah kami ikut dia sampai ke kampungnya, takdelah kami perlu melalui semua perkara ni semalaman. Tapi itu kalaulah kan. Sebab kami pun tak tahu dia siapa, dia pun tak beritahu bahawa ada langsuir kat atas bumbung van Nisa. Tapi kalau dia beritahu, rasanya aku tak naik dah van tu. Aku sanggup jalan kaki kot.

Lebih kurang dua puluh minit kemudian, kami nampak Aisyah melangkah lemah menuju ke arah kami dan diikuti oleh suami aku dan Abang Musa yang sedang mengangkat beg-beg kami semua. Sampai je kat depan kami, Aisyah terus terduduk dan menangis.

“Kenapa korang tinggalkan aku? Aku ingat aku akan mati dah.” Katanya sambil menangis.

“Takde siapa tinggalkan sesiapa. Kita semua diperdaya hingga terpisah. Dari semalam sampai pagi ni. Fika, Hana dan Nisa lagi la, kami jumpa mereka tak sedarkan diri kat kawasan perkuburan sebelah ni.” Sahut Amira cuba memujuk Aisyah sambil mengusap bahu kawannya itu untuk menenangkannya.

“Korang tahu tak, semalam aku lari ke sana sini cari korang. Yang aku nampak semuanya mayat. Mayat tu semuanya berdiri dan pandang aku. Aku pula terpaksa lalu kat celah-celah mayat yang berdiri kat situ untuk pergi cari korang dari satu chalet ke chalet lain. Dan lagi malang bila setiap chalet yang aku masuk, pasti ada mayat kat dalamnya,” cerita Aisyah lagi, masih dengan sedunya.

“Bertenang Aisyah. Kita semua melalui malam yang sama. Takpe, sekarang kita semua dah selamat. Kita balik ye. Nanti dah sampai rumah, kita ceritakan segalanya. Sekarang ni, kita balik dulu,” kata Nisa memujuk. Aisyah diam, tangisnya reda sedikit.

“Dua lot ni dulu adalah tanah perkuburan. Tanah ini dah diwakafkan oleh seorang penduduk di sini untuk dijadikan tanah perkuburan. Tapi orang dulu kala manalah tahu nak buat perjanjian ke apa. Semuanya pun pakai lisan. Tak tahulah dah generasi ke berapa tanah ni dijadikan tanah perkuburan, tapi nama dalam geran masih nama pemilik asal yang mewakafkan tanah ni. Dan takde siapa pun tahu siapa pemilik asal sebab dah lama sangat. Sampailah satu hari tu, datang seorang lelaki mengatakan dia adalah waris yang sah ke atas tanah pusaka milik keturunannya yang terdahulu. Dia juga membawa bersama surat kuasa dari mahkamah yang membuktikan tanah ini adalah miliknya sebagai waris sah. Dan dia meminta semula tanah ini kononnya nak buat kawasan peranginan. Orang kampung membantah tapi apa nak kata, dia ada hak dari segi undang-undang. Kami pun biarkan dia. Mana tahu dia terus panggil kontraktor untuk menolak kawasan perkuburan ni macam tu saja. Ada jenazah yang dipindahkan dan masih ada jenazah yang dibiarkan. Segalanya jadi kelam kabut. Kami dah buat laporan polis tapi kami pula yang dilihat bersalah kerana mengambil tanah orang lain tanah. Maka kami biarkan. Dan inilah yang terjadi. Chalet ni tak berjaya diteruskan. Dan dibiarkan terbengkalai begini saja. Kami mohon pihak kerajaan untuk membetulkan keadaan kubur dan jenazah, mereka kata tak boleh atas alasan itu adalah tanah persendirian sedangkan waris yang dulunya berlagak kata tanah ini miliknya, dah hilang entah ke mana. Dan kami juga perlu dapatkan persetujuan waris-waris jenazah di sini untuk dapatkan kebenaran mengorek kubur tapi kebanyakannya dah tak tahu siapa waris-waris pemilik kubur di sini sebab mereka yang ditanam sejak sekian lama. Dan sekarang inilah yang terjadi.” Cerita Abang Musa. Kami semua melopong mendengar ceritanya.

“Habis tu, takkan nak dibiarkan terus perkara ni? Takkan takde pihak yang nak ambil tanggungjawab untuk uruskan jenazah-jenazah di sini. Mungkin roh-roh mereka tak aman, mereka meminta bantuan kita untuk membetulkan keadaan mereka,” kata Nisa.

“Saya tak pandai bab-bab ni, Saya rasa ada kertas kerja dan laporan perlu disediakan untuk diserahkan kepada bahagian Hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk tindakan mereka selanjutnya.” kata Abang Musa.

“Kenapa Abang tak minta tolong terus ke pejabat agama?” tanya Fika.

“Kawasan ni dah lama orang tak datang. Orang kampung dah letak papan tanda kat luar sana supaya tiada siapa yang masuk ke kawasan ni. Saya pun tak tahu macammana kamu semua dapat masuk ke sini,” sahut Abang Musa.

“Kenapa tak cakap terus terang ada langsuir kat atas van kami? Takdelah kami pergi macam tu je,” kata Amira.

“Dan kalau dah tahu kat sini ada kes macam ni, kenapa tak beritahu kami awal-awal?” tanya Hana pula, dah macam tak puas hati pula.

Abang Musa diam. Memandang jauh je kawasan chalet.

“Dahlah tu, syukurlah kamu semua dah selamat. Jom kita balik. Atau kamu masih nak terus ke jeti dan pergi Pulau Tioman?” tanya suamiku menduga.

“Takkkkk!” sahut kami serentak membuatkan suami aku tersenyum.

“Ok geng, kita balik dululah.” Kata Nisa. Dan yang lain menganggukkan kepala tanda setuju.

“Lina, kau balik dengan kami atau ikut suami kau?” tanya Hana.

“Aku balik dengan suami akulah. Kaki aku ni makin sakit, kena pergi klinik gayanya ni. Dah bengkak,” jawabku.

Maka, Nisa, Fika, Hana. Amira dan Aisyah mengangkat semua barang dan memasukkan ke dalam van Nisa. Suami aku pula mengangkat barang-barang aku dan kami mula bergerak meninggalkan kawasan chalet usang tu. Suami aku suruh Nisa jalan dulu, kami pula ikut kat belakang. Tiba-tiba aku teringat kat Abang Musa sebab tadi kami sibuk mengemaskan barang.

“Eh, mana Abang Musa tadi?” aku bertanya suami aku.

“Haah, mana dia?” sahut suamiku sambil memandang keliling. Begitu juga aku.

Dan dari cermin sisi kereta, aku perasan sesuatu. Aku nampak Abang Musa sedang berdiri di dalam kawasan perkuburan dan memandang ke arah kami. Aku menoleh melihatnya dan dia masih berdiri di sana. Tak lama lepas tu, dia melangkah ke arah hutan di tepi kawasan perkuburan, sama seperti kelibat wanita yang aku ekori subuh tadi. Dan bulu roma aku meremang semula. Abang Musa salah seorang dari mereka?

“Abang, jom kita jalan. Tak perlu cari dia lagi,” kataku.

“Nanti dia nak balik naik apa?” tanya suamiku.

“Takpe, ini kampung dia. Dia tahu jalan balik,” jawabku.

“Oh, iye tak ye jugak. Cuma tak sempat nak berterima kasih sebab tolong abang cari awak semua kat sini,” sahut suami aku sambil memasukkan gear dan menekal pedal minyak.

“Sebagai terima kasih kita, nanti kita uruskan dengan pejabat agama, untuk selesaikan hal kawasan perkuburan ni. Dia kan tak tahu. Kita tolong dia,” kataku. Dan suami aku anggukkan kepalanya sambil terus memandu keluar dari kawasan chalet usang dan perkuburan lama itu.

“Terima kasih sebab ingatkan saya untuk tenang dan solat serta baca Al Quran semalam. Lain kali abang beritahulah, surah mana untuk lindungi kita dari hantu,” kata aku sebaik sahaja kami keluar dari kawasan chalet tu.

“Abang pun mana tahu surah mana nak halau hantu,” sahut suamiku.

“Habis tu, pandai je abang suruh saya baca Quran?” kataku lagi.

“Abang suruh je, nak suruh awak fokus ke lain. Takkan nak suruh awak basuh kain ke, kemas rumah ke, untuk hilangkan fokus awak kat hantu tu. Tu yang abang suruh awak baca je apa-apapun, untuk alih perhatian awak je,” sahut suami aku sambil terus memandu. Aku diam. Taktik suami aku berjaya.

Lepas sebulan dari kejadian itu, ada seorang kawan Nisa yang bekerja di pejabat agama islam memberikan berita gembira bila pihak terlibat bersetuju untuk membetulkan keadaan di kawasan perkuburan itu. Kami semua rasa lega. Moga segalanya akan ok dan roh-roh di situ tenang.

Lepas tiga bulan…

Aisyah message kat group…

“Weh korang, ada satu tempat ni cantik. Jom kita pergi bercuti nak? Ganti ballik yang tak jadi hari tu.”

Dan dengan serentak kami menyahut, “KAMI TAKNAK ME TIME LAGI!”

– T A M A T –

One thought on “Me Time

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s