Me Time

Bab 7

Aku pejamkan mata. Aku tarik nafas panjang-panjang. Aku fikirkan apa yang suami aku cakap tadi. Hantu tak wujud. Yang aku nampak sekarang ni ialah jin. Dia juga makhluk Allah, dia pun ada kelemahan, dia tak boleh buat apa-apa sebab darjat aku lagi tinggi dari dia kerana aku manusia. Dia cuma jadi kuat kalau aku lemah.

Jadi, aku kena kuat. Aku memang kuat. Allah yang paling berkuasa, bukan jin, bukan syaitan. Selagi dia tak sentuh aku, tak kacau aku, biarlah dia. Dia tak boleh buat apapun, dapat tengok je.

Aku buka mata. Aku tak pandang keliling. Aku jalan terus ke paip air, pasang air dan ambil wudhu’. Lepas tu aku keluar dari bilik air, tapi sempat gak aku menjeling ke arah makhluk yang bertenggek kat atas mangkuk tandas tadi. Dia masih di sana, memerhati segala gerak geri aku. Ahhh… Biarlah dia. Mungkin dia tak pernah tengok orang.

Aku tutup pintu bilik air. Aku lihat ke katil, kosong. Aku tak tahu di mana Fika dan Hana. Aku ambil kain telekung lalu sarungkan ke tubuh aku. Aku dirikan solat sunat 2 rakaat. Aku mohon perlindungan Allah di sujud terakhir aku.

Selesai solat aku lihat jam pukul 4 pagi. Aku buka aplikasi Al Quran dalam handphone aku. Aku baca surah-surah pendek. Sesekali aku dengar bunyi merengus, aku dengar bunyi sesuatu mengesot kat belakang aku dan aku dengar bunyi ketawa halus seakan mengejek aku. Aku diam. Aku tak pandang keliling, sebab aku taknak nampak benda yang tak sepatutnya aku nampak.

Aku masih dengar bunyi anjing melolong di luar chalet aku. Aku dengar bunyi seperti ada suara ramai sedang menyebut perkataan-perkataan yang aku tak faham. Makin kuat suara-suara itu mengganggu aku, makin kuat aku baca surah-surah Al Quran. Bila aku perasan ada benda seakan bergerak kat depan mata aku, aku pejamkan mata. Aku nekad takkan ada apa pun yang akan mengalih perhatian aku.

Tiba-tiba pintu bilik aku diketuk kuat dan bertalu-talu. Dan diikuti dengan suara seseorang yang aku kenali, sedang menjerit-jerit memanggil nama aku dan meminta aku membuka pintu.

Kali ni naluri aku mengatakan itu adalah Amira. Aku berhenti membaca surah. Aku pandang keliling, tiada sesiapa, dan tiada lagi benda-benda pelik tu.

Aku bangun, melangkah ke tingkap. Aku selak langsir. Tiada lagi susuk-susuk tubuh yang kulihat semalam. Aku lihat keliling, aku tak nampak sesiapa tapi bunyi ketukan tu masih kuat dan suara memanggil aku juga masih kedengaran.

Aku tolak cermin tingkap. Belum sempat aku buka luas, tiba-tiba seseorang menerpa ke tingkap dan menarik tangan aku. Terpekik terlolong sekejap aku, rasa nak jatuh jantung aku.

“Lina, buka pintu cepat!” Kata Amira yang masih memegang tangan aku. Tangannya menggeletar dan sejuk.

Aku pandang wajah Amira, aku tenung matanya. Aku nak pastikan dia tu memang kawan aku atau salah satu dari makhluk pelik tadi.

“Kau dah kenapa pulak tengok aku macam ni Lina? Cepatlah bukak pintu ni. Aku takut sangat ni,” kata Amira.

Aku menarik tangan aku. Aku terus ke pintu dan membuka pintu. Amira meluru masuk ke dalam bilik aku. Dia duduk di kerusi sambil termengah-mengah macam baru lepas buat larian 4 x 100m.

“Kau dari mana Mira?” Tanyaku bila nafasnya mula reda, sambil menanggalkan telekung aku.

“Aku dari chalet aku. Aku nampak ada satu makhluk dalam bilik aku. Mula-mula aku ingat itu Nisa atau Fika. Aku panggil banyak kali tapi dia tak menyahut. Aku tarik tangan dia, tangan dia tercabut! Lepas tu dia menoleh tengok aku. Mukanya Ya Allah, matanya besar, telinganya panjang, lidahnya juga panjang, asyik terkeluar dan macam nak jilat aku. Tangannya menggapai-gapai aku. Rupanya macam monyet besar pun ada. Aku tak boleh tahan dah, aku terus lari ke sini. Masa aku keluar chalet, aku berlanggar dengan beberapa susuk tubuh, dah macam zombi. Banyak sangat kat luar sana. Mereka statik kat tempat mereka berpijak pijak mereka boleh pusingkan kepala 180° melihat aku dengan tangan mereka menggapai-gapai seperti nak mencengkam aku,” Amira berhenti bercerita, dia menangis.

Aku menghampiri Amira dan memeluknya.

“Aku berlari nak ke sini pun, rasa macam jauh sangat. Kaki aku terasa berat sangat, macam ditarik-tarik oleh sesuatu dari dalam tanah. Tapi aku lari juga. Sampai pintu kau pulak lambat buka,” cerita Amira sambil menangis teresak-esak.

“Sudah Amira, sekarang kau dah berada dengan aku. Aku pun takut jugak. Entah apa benda dok tercongok kat dalam bilik air tu. Tapi aku gagahkan juga pergi ambil wudhu dan solat.” Kata aku.

“Hah! Ada hantu jugak ke kat bilik kau ni?” Tanya Amiran sambil membuka matanya luas-luas memandang aku. Aku menganggukkan kepala.

“Kau tenangkan hati kau sekejap. Cuba kau fikir dan ingatkan balik, makhluk-makhluk yang kau tengok kat bilik kau dan yang kat luar sana, semua pun tak berganjak dari tempat mereka berdiri kan? Mereka cuma menggerakkan tangan dan memerhati kita saja. Betul tak?” Kata aku. Dan Amira menganggukkan kepala bersetuju dengan apa yang aku cakap.

“Maknanya mereka tak boleh kejar kita. Mereka adalah penghuni tetap di sini. Mereka tak boleh bergerak ke mana-mana. Cuma kita yang dah masuk kawasan mereka.” Sahutku tenang. Aku dah rasa berani sikit sebab dah ada kawan yang memang kawan aku. Kalau takde kawan pun, aku rasa aku dah tenang sikit. Sebab aku rasa makhluk-makhluk tu tak berani sentuh aku pun.

“Kita masuk kawasan mereka? Ini bukan chalet ke? Memang la tempat orang ramai datang dan bermalam,” kata Amira masih tak faham. Macamlah aku ni faham sangat.

“Aku pun masih keliru Mira. Kita sekarang kat mana, siapa mereka, semua tu,” sahutku sambil mengusap wajahku.

“Sekarang ni kita nak buat apa? Macammana nak cari kawan-kawan kita yang lain? Apa sebenarnya yang dah terjadi?” Tanya Amira bertalu-talu.

Aku gapai handphone aku. Aku buka whatsapp group. Tiada siapa yang menghantar sebarang message. Aku buka whatsapp dari Nisa.

“Lina, aku dah call chalet Seri Idaman yang aku tempah yang dekat dengan jeti Tanjung Gemok tu, dia kata aku tak daftarkan diri pun semalam. Jadi kita daftar diri kat mana?” Message Lina kepada aku pada jam 3 pagi tadi. Aku tak sempat baca.

Aku taip message kepada Nisa, “Nisa, kau kat mana?”. Tiada sahutan.

Aku hantar message yang sama kepada Hana, Fika dan Aisyah, semua pun tak jawab. Hanya double tick. Aku lihat jam, dah pukul 5 pagi. Perasaan takut makin hilang, tapi perasaan risaukan kawan-kawan aku semakin menebal. Aku tak tahu mereka semua dah ke mana, dan apa dah jadi kat mereka semua.

Aku menoleh mencari Amira. Aku nampak dia dah terlena di atas katil. Aku melangkah ke tingkap, menyelak langsir dan melihat ke luar rumah. Tiada lagi susuk-susuk tubuh yang berdiri di sana, tiada lagi lolongan anjing mendayu-dayu.

Aku melihat ke pintu bilik air. Aku tak tahu pontianak semalam masih ada kat dalam bilik air lagi tak. Aku berbaring di sebelah Amira. Aku mengantuk sangat. Dan aku lena.

Aku tersedar bila Amira kejutkan aku. Dia kata ada orang ketuk pintu. Aku terus bangun. Aku tengok jam dah pukul 6, maknanya dah masuk waktu solat subuh. Jadi, siapapun yang berada di luar chalet dan mengetuk pintu bilik aku tu, aku yakin dia adalah manusia.

Aku bangun dan melangkah ke pintu. Amira menghalang aku membuka pintu tapi aku memujuknya. “Mana tahu itu kawan-kawan kita kan,” kataku membuatkan Amira melepaskan pautan tangannya.

Aku buka pintu, tiada sesiapa di luar. Hanya angin sejuk masuk ke dalam bilik. Aku tutup pintu semula. Memeluk tubuh yang kesejukan.

“Mira, jom kita solat subuh dulu. Lepas tu kita keluar cari kawan-kawan kita. In Shaa Allah, mereka ok,” kataku. Amira akur. Dia bangun dan melangkah ke bilik air. Sampai di pintu bilik air, dia berhenti melangkah. Dan dia menoleh memandang aku.

“Kenapa?” Tanyaku.

“Benda kau cakap semalam, yang bertenggek kat mangkuk tandas tu, masih ada kat bilik air ke?” Amira tanya.

“Kau masuk je, jangan pandang keliling. Kalau dia ada pun, dia tengok je. Dia tak boleh buat apa-apa,” kataku aku meyakinkan Amira walaupun sebenarnya aku sendiri pun masih tak kuat.

Amira menolak pintu bilik air. Dia melangkah masuk perlahan-lahan. Terdengar bunyi paip air dipasang. Seketika kemudian Amira keluar dari bilik air dan aku pula mengambil giliran.

Aku memberanikan diri memandang sekeliling. Tiada lagi makhluk tu. Aku ambil wudhu’ dan solat jemaah bersama Amira.

Setelah selesai solat, kami berpakat nak keluar dari chalet tu dan mencari kawan-kawan kami yang lain.

Ketika aku dan Amira keluar dari chalet, cahaya matahari dah mula berbayang di kaki langit. Aku mekndangm keliling di luar chalet. Aku dan Amira terperanjat. Keadaan chalet berkenaan tak sama seperti keadaan masa kami sampai semalam.

Chalet-chalet di situ seolah bangunan yang dah lama ditinggalkan. Tidak kelihatan pantai di mana-mana. Kawasan itu dipenuhi daun kering yang bertaburan dari pokok besar di tepi pagar kawasan chalet tu. Ternyata situ adalah sebuah kawasan yang telah lama ditinggalkan.

Aku tak nampak seorang manusia pun di situ. Aku dan Amira berjalan berpegangan tangan, kami masih menggeletar ketakutan. Tapi kami perlu cari jalan keluar dari tempat itu. Kami perlu cari kawan-kawan kami yang lain.

Aku dan Amira melangkah ke pintu pagar. Semasa lalu kat kawasan yang semalamnya kami lihat adalah kawasan cafe, Amira tanya aku, ” Semalam siapa hantar nasi ayam kat kita? Kalau bukan manusia, apa benda yang kita makan semalam? Patutlah takde siapa yang tahu siapa yang order,” kata Amira. Aku diam je. Teruskan melangkah.

Sampai kat pintu pagar, aku nampak van Nisa kat luar pagar. Aku berlari melihat kalau-kalau kawan-kawan aku ada kat dalam tu, tapi ternyata tiada siapa di situ.

Amira mencuit bahu aku. Aku memandangnya. Amira menunjukkan ke arah sebelah kawasan chalet. Aku pun memandang ke arah yang Amira tunjukkan kepada aku. Bulat mata aku, dada aku kembali berdegup kencang.

Tanah sebelah kawasan chalet itu adalah tanah perkuburan!

-Bersambung-

6 thoughts on “Me Time

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s