Me Time

Bab 5

Aku bangun dan melangkah perlahan menuju ke bilik air. Aku jenguk dari celahan pintu yang terbuka. Aku nampak seseorang. Perempuan berambut panjang hingga ke lutut kot, memakai baju kurung berwarna putih yang agak lusuh. Dia berdiri membelakangkan aku di bawah pancuran air yang berpasang.

Aku pandang dia betul-betul. Dia bukan kawan aku. Kalau ikutkan kata Aisyah tadi, Amira sedang tidur di biliknya. Kalau betul pun itu Amira, dah kenapa dia nak mandi kat bilik aku sedangkan dia sendiri ada bilik. Setahu aku, kawan-kawan aku yang lima orang tu, takde siapa yang berambut panjang macam tu. Yang paling aku tahu, mereka takkan pakai baju kurung macam tu.

Aku menoleh melihat ke arah Fika dan Hana, mana tahu kot mereka bangun kejap tadi. Ternyata Fika dan Hana masih lena di katil mereka. Aku menoleh ke arah bilik air semula dan wanita tadi tiada di situ. Air dari pancuran pun dah tak berpasang lagi tapi lampu masih menyala.

Aku tolak perlahan pintu bilik air perlahan-lahan dan menjenguk ke dalam bilik air. Sebaik aku tolak pintu tu, disebalik pintu tu, aku nampak perempuan tadi berdiri menghadap aku. Rambutnya kusut masai, wajahnya pucat lesi, mulutnya terbuka dengan gigi taring terkeluar di kiri kanan mulutnya. Kulit mukanya cengkung seolah tiada berdaging lagi. Matanya mengalirkan darah. Kukunya panjang. Memandang tajam ke arah aku yang terpacak kat situ. Kepala aku teringatkan cerita Pontianak.

Setahu aku Pontianak cuma sebuah cerita, tapi apa benda yang sedang berdiri kat depan aku ni? Adakah Pontianak boleh menunjukkan rupanya kepada sesiapa macam tu? Dan hidung aku terhidu bau bangkai yang busuk sangat, hingga aku hampir muntah.

Agak seketika juga keadaan itu, aku terdiam keras kejung kat situ, dan lembaga itu pun berdiri kaku di situ memandang aku. Punyalah takut sampai nak pengsan pun aku tak mampu. Doa aku memang tak ingat dah. Macam dah dipukau untuk tak bergerak macam tu. Kami berpandangan mata.

Aku terkejut bila seseorang menepuk bahu aku. Masa tu baru aku terduduk.

“Kau dah kenapa ni Lina? Macam nampak hantu,” kata Hana yang bangun tidur untuk buang air kecil.

Aku tak jawab. Tapi mataku tercari-cari lembaga tadi.

“Kau cari apa Lina? Kenapa kau tak tidur lagi?” tanya Hana lagi sambil menolak aku ke luar dan dia masuk ke dalam bilik air dan mengunci pintu.

Seketika kemudian, Hana keluar dari bilik air dan dia terkejut bila melihat aku masih berdiri di situ, di pintu bilik air.

“Kenapa dengan kau ni Lina?” tanya Hana lagi bila aku tak menyahut.

Dia goncang bahu aku. Dia pegang tangan aku lalu menarik aku ke katil.

“Kau duduk sini Lina. Lain macam dah aku tengok kau ni,” kata Hana sambil menuangkan air minuman ke dalam gelas dan menyerahkannya kepada aku.

Aku minum. Lepas tu baru aku rasa lega sikit. Aku pandang Hana.

“Kenapa Lina?” tanya Hana lagi. Kali ni wajahnya berkerut seribu kerana risaukan aku yang tak bersuara dari tadi.

“Kau ada nampak apa-apa tak masa kat dalam bilik air tadi?” tanyaku.

“Takde apa. Macam biasalah, bilik air. Bukan ada yang istimewa kat dalam tu,” sahut Hana.

“Tadi aku nampak Pontianak,” aku beritahu Hana.

“Hish kau ni Lina. Agak-agaklah nak cakap benda macam tu kat sini. Dah la malam buta, bukan kat tempat kita pulak tu,” kata Hana menggosok lengannya sambil memandang keliling.

“Betul, aku nampak jelas berdiri depan mata aku,” jawab aku.

“Kau nampak kat mana?” tanya Hana.

“Kat dalam bilik air,” sahutku.

“Kat dalam bilik air?! Dan kau tak beritahu aku awal-awal? Dan kau biar aku masuk bilik air tu tadi?!” tanya Hana dengan suara agak tinggi. Mungkin dia mula rasa takut.

“Korang ni dah kenapa? Terkejut aku. Ingatkan dah gempa bumi ke apa,” kata Fika dari katilnya. Dia terjaga bila mendengar aku dan Hana berbual kuat.

“Fika, Lina kata dia nampak Pontianak. Mereka berpandangan mata,” kata Hana. Aku pun tak tahu dia bercerita betul atau dia nak gelakkan aku.

“Mengarutlah korang ni. Mana ada hantu yang tunjukkan diri dia jelas macam tu. Kan aku dah kata, korang tu penat sangat. Tu yang nampak macam-macam. Korang tahu tak, badan penat boleh buatkan fikiran tak dapat fikir yang mana betul dengan tak betul. Macam handphone dah habis bateri, kena cas baru ok. Kita ni manusia, bila dah habis tenaga, kita tidur untuk cas balik tenaga kita.” Bebel Fika sambil bangun dan melangkah ke bilik air.

Aku dan Hana hanya memandang dengan wajah cuak. Nak tahan dia dari masuk ke bilik air tu nanti, banyak lagi hujahan yang keluar. Tapi nak biarkan, takut nanti dia pulak nampak entah apa benda kat dalam bilik air tu.

Seketika kemudian Fika keluar dari bilik air. Aku dan Hana sekadar memandang dia.

“Adoi korang ni. Tidurlah. Tengok aku macam tu dah kenapa? Aku bukan hantu lah,” kata Fika sambil baring semula di katilnya dan menarik selimut menutup tubuhnya lalu berpusing ke arah dinding. Aku dan Hana masih duduk di katil memandang Fika.

“Lina, jom lah kita tidur. Dah pukul 1.30 pagi ni.” Ajak Hana. Aku akur lalu membaringkan diri di sebelah Hana. Tapi mataku tak boleh lena. Aku terbayang-bayangkan lembaga kat bilik air tu tadi. Aku masih tertanya-tanya apa tu.

“Hana, cuba kat baca group whatsapp kita. Tadi Mira datang bilik ni tau. Tapi tiba-tiba hilang. Bila aku tanya kat group, Aisyah kata Mira ada je tidur kat dalam bilik diorang. Habis tu yang datang ke sini tu siapa pulak?” tanyaku kepada Hana yang sedang memejamkan matanya.

“Tidur dulu Lina. Esok kita cakap pasal ni. Aku mengantuk ni,” kata Hana. Aku terus diam.

Baru je aku nak pejamkan mata, handphone berbunyi. Ada message masuk. Aku buka.

Amira message kat group. “Nisa, Aisyah, korang kat mana?”

“Kenapa Mira? Nisa dengan Aisyah takde kat bilik korang ke?” tanyaku.

“Haah, mereka takde kat bilik ni. Handphone pun tak bawak, ni aku message bunyi kat sini je handphone diorang,” sahut Amira.

“Mereka takde pergi ke bilik sana ke?” tanya Amira lagi.

“Takde pun,” aku jawab.

“Takkanlah diorang pergi ke laut kot malam buta macam ni,” kata Amira.

“Entahlah. Kau tunggu je la kot kejap lagi mereka balik ke bilik,” kata aku menenangkan hati Amira sedangkan sebenarnya hati aku sendiri dah tak tenang. Aku yakin ada sesuatu yang mengekori kami ataupun ada sesuatu yang tak kena dengan chalet ni.

“Weh korang, aku dengar bunyi tapak kaki orang berjalan mengeliling chalet ni. Aku takut la, dah la aku tinggal sorang ni,” tiba-tiba Amira message.

“Itu Nisa atau Aisyah kot,” jawabku cuak balik.

“Lina, marilah sini. Aku takut ni. Tambah dengan bunyi anjing melolong panjang tu.” Kata Amira. Memang sejak tadi aku dengar bunyi anjing melolong panjang tu. Kata orang, anjing melolong panjang sebab dia nampak sesuatu yang ghaib. Dan lolongan tu macam dekat luar pintu chalet kami je. Aduhai, meremang bulu roma.

“Aku pun takut gak.” Sahutku.

Aku goyangkan tubuh Hana kat sebelah aku. Hana tak bergerak. Aku bangun dan goyangkan kaki Fika, pun tak bergerak juga.

“Hana, Fika, bangunlah. Nisa dengan Aisyah hilang tu,” kataku sambil mengejutkan mereka berdua. Tapi mereka masih tak bergerak. Setahu aku mereka ni bukan jenis tidur mati. Panggil sekali dua, pasti mereka terjaga dah.

Aku bangun dan memetik suis lampu. Tak menyala pulak. Kenapalah banyak barang rosak kat chalet ni. Dengan kesamaran lampu yang masih menyala tu, aku bergerak ke tingkap. Aku selak langsir tebal yang menutupi tingkap kaca tu. Aku pandang keluar. Keadaan gelap gelita. Takde lampu langsung sedangkan masa kami sampai semalam, ada sikit lampu warna warni di bahagian kiri kanan chalet.

Aku cuba juga melihat keluar dengan bantuan bulan dan bintang. Aku nampak kelibat orang. Tapi aku tak nampak jelas. Mula-mula macam seorang, lepas tu dua orang. Masa ni aku rasa nak buka pintu sebab aku ingat itu ialah Nisa dan Aisyah tapi tiba-tiba aku nampak macam kelibat orang tu makin ramai. Semua pun tunduk di tempat mereka berdiri. Tak bergerak.

Aku gosok mata aku berkali-kali. Nak pastikan apa yang aku nampak itu adalah mimpi atau betul. Aku pandang semula keluar tingkap dan terkejut aku bila aku nampak Hana berdiri betul-betul kat luar tingkap sedang memandang aku tanpa berkelip. Aku menoleh ke katil Hana, ada je Hana berbaring kat sana. Ya Allah, dugaan apa pulak kali ni.

Aku tutup langsir tingkap. Aku tengok Hana dan Fika yang berbaring kat katil mereka. Aku pun dah tak tahu itu betul mereka atau bukan. Keyakinan diri aku makin goyah. Aku tak tahu nak minta tolong kat siapa.

Aku ambil handphone. Aku buka message dari group.

“Lina, Nisa dan Aisyah dah balik. Mereka kata tadi keluar tengok air pantai,”  kata Amira.

Aku kerutkan dahi. ‘Tengok pantai apa tengah malam buta ni, dah la gelap gelita,’

“Betul ke itu mereka?” tak tahu kenapa aku tanya soalan tu.

Amira pos gambar dia berselfie, nak tunjuk bukti Nisa dan Aisyah ada di biliknya. Aku buka gambar tu. Aku nampak Amira dan dibelakangnya memang ada dua orang tapi itu bukan Nisa atau Aisyah. Aku nampak dua orang dan orang tu seperti aku pernah lihat. Yang pasti itu bukan Nisa atau Aisyah.

“Siapa kat belakang kau tu Mira?” tanyaku.

“Nisa dengan Aisyah la tu. Kau dah tak kenal?” tanya Amira balik.

Aku kerutkan dahi semula. Cuba berfikir siapa mereka dan dimana aku melihat mereka.

Dan aku dapat ingat akhirnya. Dua orang itu ialah wanita dan anaknya yang menumpang van kami untuk tunjukkan jalan ke chalet ini malam tadi!

-Bersambung-

One thought on “Me Time

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s