Me Time

Bab 4

“Mungkin ada pakej dinner untuk malam ni kot. Mana tahu memang juadah pertama memang dihidangkan percuma untuk pelanggan. Sudahlah, jangan fikir lagi. Makin fikir, makin serabut. Kita masing-masing dah penat, jom kita tidur. Hari ni dah terlepas nak tengok matahari terbenam. Esok kita akan ke Jeti Tanjong Gemok. Naik feri kat sana untuk ke Pulau Tioman. Harap-harap kat sana nanti sempatlah kita tengok matahari terbenam.” kata Nisa.

“Ok,” sahut yang lainnya.

Aku, Hana dan Fika letak telefon masing-masing. Walaupun dari riak wajah masing-masing masih tak puas hati kerana tak dapat jawapan yang tepat tentang nasi ayam tadi. Makanan tu weh, jadi darah daging. Jam dah menunjukkan pukul 11 malam.

Aku dan Hana berbaring di atas katil. Fika menutup lampu besar dan meninggalkan lampu tidur sahaja. Dan dia kemudiannya terus berbaring di katil single.

“Kenapa Fika tak terus ke Pulau Tioman je? Kenapa nak singgah kat chalet ni?” tanya Hana tiba-tiba.

“Sebab dia dah bajet kita sampai kat jeti Tanjung Gemok mungkin dah malam. Tiket feri sampai pukul berapa je kot. Jadi, dia ambil tiket feri petang esok lepas zohor. Takdelah kita terkejar-kejar sangat. Boleh kita jalan-jalan kat sini dulu kononnya. Dia ingat akan sampai sini sebelum maghrib tadi, sempat la kita nak tengok matahari terbenam. Tapi mana tahu banyak sangat hal sampai lepas isya’ baru kita sampai sini. Tapi chalet ni pun kata Fika dah dekat dengan jeti tu. Pagi esok kita boleh sarapan dan jalan-jalan kejap lepas tu terus ke jeti dan naik feri. Tapi mujur juga dia tempah chalet ni, kalau tak, kita tidur kat jeti malam ni,” sahut Fika.

“Ooo…. Dia memang dah tahu timing kita sampai la ye. Pandai jugak dia ye. Maklumlah dah selalu travel. Kalau aku memang takdelah nak fikir sampai mana tidur mana, kalau kata nak pergi Pulau Tioman, memang terus ke Pulau Tioman la,” sahut  Hana.

“Weh korang, aku nak cakap sikit boleh?” tanya aku dalam kesamaran tu.

“Cakap je la,” sahut Fika.

“Korang ada rasa lain macam tak? Macam ada sesuatu yang tak kena,” kataku meluahkan perasaan yang terbuku sejak dari tempat van Nisa rosak tadi lagi.

“Sesuatu yang tak kena macammana tu?” tanya Fika.

“Aku tak tahu apa yang tak kena tapi macam ada something wrong la. Aku pun tak tahu nak cakap macammana. Mula-mula van Nisa mati enjin padahal van dia ok je kata pomen. Lepas tu ada benda jatuh dan berjalan kat atas van. Tiba-tiba ada lelaki tolong kita tapi lepas tu dia pun macam ada yang kena jugak. Then kita jalan lagi, jumpa pasangan tu katanya dekat je lagi, tapi kita tak jumpa pun sampailah kita tumpangkan akak dan anaknya yang katanya tinggal kat sebelah chalet ni. Macam dah diatur-atur je perjalanan kita ni,” kata aku.

“Apa yang lain macamnya pulak? Biasalah van rosak, mungkin panas. Dan kan pomen tu kata tadi mungkin ada wayar yang longgar. Benda jatuh kat bumbung tu mungkin monyet, kan kita dalam kawasan hutan. Lelaki tu mungkin kebetulan lalu situ nampak van kita berhenti kat kawasan tinggi dan bercuram macam tu. Mana ada orang berhenti rehat kat kawasan macam tu. Itu yang dia syak kereta rosak. Lepas tu kita jumpa pasangan tu dan akak tu kebetulanlah tu.” Sahut Fika menjawab semua soalan aku.

“Tapi kan pasangan yang mula-mula kita jumpa tu kata tempat ni tak jauh. Dalam 10 minit dah jumpa tapi kita pusing 20 minit tak jumpa pun sampailah kita jumpa akak tu. Aisyah pun kata waze tunjuk arah lain kan,” kata Hana.

“Kan?” kataku bila Hana pun merasa seperti apa yang aku rasa.

“Semua tu aku tak pelik. Cuma kalau korang perasan, sejak kita masuk chalet ni, takde dengar suara orang langsung. Senyap je. Takkanlah semua orang pun tidur awal? Tengah bercuti kot. Takkan semua pun sesat macam kita, sampai penat lelah,” kata Fika.

“Kita kan datang pada hari bekerja? Maknanya tak penuh la chalet ni. Entah-entah kita je kat chalet ni,” sahut Hana.

“Mungkin jugak,” sahut Fika.

“Akak yang tunjukkan jalan kat kita tu pun nampak pelik. Dah la tunduk je, sampai tak nampak mukanya. Anaknya pun sama. Lepas tu masa dia ada kat dalam kereta, ada macam bau kemenyan, korang tak perasan ke? Lepas tu masa bersalaman dengan dia, tangannya rasa sejuk semacam. Ke aku je yang rasa macam ni?” tanya aku lagi.

“Oooo…. Haah, itu bau kemenyan. Memang aku ada satu bau masa akak tu masuk van tapi aku tak tahu itu bau apa. Sekarang bila kau cakap, baru aku ingat,” kata Hana.

“Yang ni aku mengaku. Tangannya memang rasa sejuk masa aku salam dia. Sejuk tu sampai meremang bulu roma kan,” kata Fika yang akhirnya mempunyai perasaan yang sama dengan kami.

Tiba-tiba whatsapp masuk kat telefon aku. Aku buka whatsapp. Suami aku hantar message. Aku senyum sendiri. ‘Dah rindu kat akulah tu,” desis hati kecilku.

“Dah sampai chalet ke?” tanyanya.

“Haah, dah sampai pukul 9 lebih tadi. Penat sangat, tu yang tak ingat nak beritahu abang,” jawabku.

“Lambatnya sampai,” kata suami aku lagi.

“Panjang ceritanya. Nantilah balik saya ceritakan. Abang dan anak-anak ok?” tanyaku lagi.

“Semua ok. Anak-anak dah tidur,” kata suami aku.

“Awak pos gambar kat status whatsapp tadi?” tiba-tiba suami aku tanya.

“Gambar nasi ayam, makan tu je malam ni,” sahutku.

“Nasi ayam?” tanya suami aku buatkan aku rasa hairan.

“Haah, nasi ayam. Kenapa?” tanya aku lagi.

“Kenapa gambar tu nampak lain je. Bukan nasi ayam,” sahut suami aku.

“Abang nampak macam gambar apa?” tanya aku pulak.

“Beli kat mana?” tanya suami aku.

“Orang chalet hantar tadi. Kenapa abang tanya?,” sahutku, tak tahu nak kata siapa belikan.

“Takde apa, hati-hati ye kat sana. Jaga diri,” kata suami aku mengakhiri perbualan kami.

Aku cepat-cepat buka semula status whatsapp aku tadi. Memang itu gambar lain, bukan gambar nasi ayam seperti yang aku pos tadi. Gambar daun kering dan tanah hitam. Aku kerutkan dahi, tadi rasanya aku ambil gambar lain. Nisa pun tengok status whatsapp aku, dia pun nampak gambar nasi ayam. Aku tutup telefon.

Aku tengok Hana dan Fika, dah lena. Aku je masih terkebil-kebil tak mahu lena. Badan aku ni, kalau penat sangat pun tak boleh nak lena. Ambil masa untuk aku lena. Kalau di rumah aku tu, kadang-kadang dekat sejam aku bergolek ke sana sini baru lena.

Lebih kurang lima belas minit, pintu bilik aku diketuk dari luar. Aku angkat kepala cuba mendengar dengan jelas. Aku tengok masa di telefon aku, dah pukul 12 tengah malam. Siapa pula yang ketuk pintu chalet kami tengah malam buta ni?

Aku bangun dan melangkah ke pintu. Aku buka pintu perlahan-lahan. Aku nampak Amira berdiri di luar pintu sambil berpeluk tubuh. Aku buka pintu luas.

“Kenapa Mira?” tanyaku.

“Aku tak boleh lena. Mereka semua dah tidur,” kata Amira yang masih berdiri di luar pintu.

“Masuklah. Aku pun tak boleh lena,” sahutku. Amira masuk ke dalam chalet aku. Matanya melilau melihat keliling.

“Bilik korang pun sama macam ni ke?” tanyaku rasa pelik sikit bila Amira melihat bilik aku seperti lain dari biliknya.

“Haah, sama je.” Sahut Amira ringkas namun matanya masih memerhati Hana dan Fika yang sedang lena dengan renungan tajam.

“Kau tak mengantuk ke?” tanyaku. Amira gelengkan kepala sambil memandang aku dalam samar lampu tidur tu.

“Nanti aku masak air, kita bancuh kopi nak?” tanyaku dan Amira anggukkan kepala.

Aku mengambil cerek elektrik yang berada di atas meja dan mengisi air ke dalamnya lalu terus menghidupkan suis. Tapi cerek tu tak menyala atau berfungsi. Aku goyang-goyangkan wayarnya tapi tetap tak berfungsi.

“Cerek ni dah rosak agaknya. Takde rezki kita minum kopi malam ni Mira,” kataku sambil menoleh ke arah tempat Amira berdiri tadi. Amira tiada di situ. Aku menoleh ke sekeliling tapi tak nampak Amira pun. Takkan dia keluar macam tu je tak cakap kat aku. Lagipun aku tak dengar bunyi pintu dibuka dan ditutup pun.

“Mira?” aku panggil perlahan. Tiada sahutan.

Aku ambil handphone aku. Aku hantar message ke group. “Mira, kau kat mana?”

Aisyah jawab, “Dia orang pertama yang masuk ke alam mimpi.”

“Mira dah tidur?” tanyaku lagi.

“Iye, Sampai je tadi, dia mandi, solat, makan dan terus tidur. Berdengkur kuat sampai sekarang, sampai aku pun tak boleh tidur,” sahut Aisyah.

“Tapi kejap tadi dia datang ke bilik kami ni,” sahut aku.

“Kau mengigau ke Lina? Dia ada je kat sini dari kita sampai tadi,” kata Aisyah. Dan Aisyah mengambil gambar Amira yang sedang tidur dan menghantarnya ke group.

“Betul, dia memang ada datang sini tadi. Katanya tak boleh lena. Aku pusing kejap nak masak air, tengok balik dia dah takde,” kata aku, sambil mataku melilau ke sekeliling. Tiba-tiba je meremang bulu roma.

“Hish kau ni. Takkanlah si Mira tu bawa saka dia kot. Kan dah kata tak boleh bawak sesiapa. Hahaha…” sahut Aisyah bergurau. Tapi aku tak pula terasa lucu dengan gurauannya. Aku rasa takut. Aku tak jawab message Aisyah.

“Lina, kau tidurlah. Kau dah penat sangat tu,” kata Aisyah bila aku tak menyahut.

Aku tak jawab tapi telingaku menangkap satu bunyi datang dari arah bilik air. Bunyi seperti seseorang sedang mandi. Aku letak handphone. Aku pandang Fika dan Hana yang sedang lena. Lampu bilik air pun terpasang tapi pintu tak tutup rapat.

-Bersambung-

One thought on “Me Time

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s