Me Time

Bab 3

Nisa memperlahankan van.

Ketika berselisih dengan pasangan itu, Aisyah menurunkan cermin van.

“Assalamualaikum cik. Kami nak tumpang tanya, ni dekat mana ye?” tanya Aisyah. Kami semua turut sama melihat ke arah pasangan lelaki dan perempuan yang dalam lingkungan usia 30an.

“Sekarang ni kat Kampung Seladang, dekat dengan Pulau Tioman. Sesat ke?” tanya lelaki itu sambil dipandang oleh perempuan di sebelahnya, mungkin isterinya kerana mereka dilihat berpegangan tangan.

“Kami ikut jalan lain, tu yang tak begitu pasti jalannya. Dulu datang siang, sekarang malam tak berapa nak cam,” sahut Aisyah.

“Nak pergi hotel mana?” tanya lelaki itu lagi.

“Chalet Seri Idaman,” sahut Aisyah.

“Oooo….. tak jauh dah. Sepuluh minit lagi sampai.” Kata lelaki itu sambil memberi panduan jalan kepada Nisa. Selepas mengucapkan terima kasih, Nisa terus memandu mengikut arah panduan lelaki itu tadi.

“Alhamdulillah, dah nak sampai,” sahut ku lega.

“Tapi kenapa waze ni tunjukkan arah lain?” tanya Aisyah yang sejak tadi mengerutkan dahinya.

“Waze pun kadang salah juga Aisyah. Haritu ingat tak orang viralkan kat fb, sebab ikut waze sangat sampai kereta masuk sungai,” kata Amira sambil tergelak kecil.

“Kadang masalah talian dan kawasan pun buat waze tu terkonfius,” sahut Fika pula.

Aku diam je, memang tak tahu apa-apa. Aku cuma nak cepat sampai je. Telefon aku pun line tak berapa elok. Kejap ada kejap takde. Mungkin suami aku dah message atau cuba call aku ni. Sebab sepatutnya kami dah sampai pukul 7 tadi.

Lebih kurang 20 minit perjalanan kami mengikut laluan yang diberi oleh lelaki tadi, kami masih tak jumpa chalet yang kami tempah. Keliling kami kembali berhutan. Kami panik semula, jam dah tunjuk pukul 8.30 malam. Aduh! Kenapa tak jumpa lagi ni?

“Nisa, tu nampak macam ada perempuan dengan anak dia berjalan. Kau berhenti sekejap, aku nak tanya,” kata Aisyah ketika dia ternampak kelibat  seorang wanita dan anak kecilnya berjalan di tepi hutan tanpa lampu jalan tu. Mereka nampaknya menggunakan lampu suluh.

Nisa akur. Dia memberhentikan van ketika berselisih dengan wanita tersebut.

“Assalamualaikum kak. Kami ni dah sesat. Kami cari Chalet Seri Idaman. Akak tahu tak tempat tu?” tanya Aisyah. Wanita itu menganggukkan kepala tanpa memandang ke arah kami.

“Tempat tu tak jauh dari sini. Tapi sebab kawasan tu agak tersorok, jadi orang selalu tak jumpa tempat tu. Kalau nak, saya boleh tunjukkan sebab saya pun menghala ke sana,” kata wanita itu, masih tak memandang kami. Begitu juga dengan anaknya. Terus terang aku cakap, aku rasa lain macam tapi sebab kami ramai, rasa berdebar tu berkurangan sedikit.

“Kami minta sangat kalau akak dapat tunjukkan jalannya. Sebab kami pun dah penat cari tak jumpa tempat tu,” sahut Nisa.

“Dah alang-alang akak pun sama haluan, naik je la van ni untuk tunjukkan jalan sebab kat luar tu pun gelap. Kalau akak tak keberatan la,” kata Aisyah pula bila dilihat wanita itu seperti serba salah bagaimana nak tunjukkan jalan sedangkan dia sedang berjalan kaki.

“Boleh.” Sahut wanita itu sepatah. Nisa memberi isyarat kepada Amira untuk membuka pintu van dan memberi ruang kepada wanita dan anaknya duduk sekejap di situ. Amira pun membuka pintu van dan mengesot ke tepi sedikit bagi memberi ruang kepada wanita itu duduk.

“Akak memang orang sini ke?” tanya Fika sebaik sahaja Nisa memulakan pemanduan setelah wanita tadi masuk bersama anaknya.

Wanita itu menganggukkan kepala tanpa suara. Aku dan Hana yang duduk kat belakang memang tak cakap apa-apa, kami ni jenis tak mudah percaya kat orang. Tapi dalam keadaan terdesak begitu, memang kami perlukan bantuan. Kami memang dah tak sabar nak sampai ke hotel kami. Kami penat.

“Jalan terus, di depan tu ada simpang masuk ke kiri. Lepas tu masuk ke kanan, kat hujung jalan akan jumpa chalet tu,” kata wanita itu. Nisa memandu mengikut arahan wanita itu.

“Rumah akak kat mana?” tanya Fika pula.

“Kat sebelah chalet tu,” sahut wanita itu.

“Oooo….” Sahut kami yang berada di dalam van.

Dan seperti yang ditunjukkan oleh wanita tadi, tak lama lepas tu kami berjumpa dengan bangunan chalet yang kami cari. Barulah kami boleh tersenyum lega. Mujurlah van Nisa tak buat hal sampailah kami tiba di chalet tersebut.

“Terima kasih banyak kak. Kalau tak jumpa akak tadi, entah-entah kami masih sesat,” kata Fika kepada wanita tersebut setelah turun dari van. Wanita tersebut menganggukkan kepala sambil memegang tangan anaknya dan melangkah pergi meninggalkan kami. Kawasan itu memang gelap, kami perlu masuk ke kawasan chalet baru boleh jumpa cahaya lampu. Mungkin tempat tu memang sengaja dibina dengan suasana hutan yang samar-samar untuk menghidupkan suasana. Sebab itulah ramai penduduk kota yang hidup dalam hiruk pikuk kotaraya ramai datang ke situ untuk merasai hidup di suasana hutan dan pantai.

Kami masuk ke dalam perkarangan chalet. Lepas parking kereta, kami masuk ke bahagian pejabat. Di situ ada seorang gadis menjaga kaunter pertanyaan dan pendaftaran.

“Selamat malam. Dah ada buat tempahan ke?” tanyanya ramah.

“Iye, tempahan dua chalet atas nama Khairunnisa bt Yaakob,” sahut Nisa sambil mengeluarkan handphone untuk menunjukkan butir tempahan.

“Takpe, kami ada rekod dalam sistem. Tempahan cik telah didaftarkan. Kedua-dua chalet cik bernombor 601 dan 603 di bahagian tepi pantai seperti yang cik minta.” Kata gadis itu lagi sambil menyerahkan dua kunci chalet kepada Nisa.

“Terima kasih,” sahut Nisa sambil menyambut kunci tersebut.

“Café chalet masih buka ke sekarang?” tanya Fika tiba-tiba. Masa ni baru kami terasa lapar sangat. Kami cuma makan makanan ringan je masa berhenti kat R&R lebih kurang pukul 4 petang tadi dan sekarang dah pukul 9 malam.

“Café sampai pukul 10. Cik boleh terus ke café yang terletak di sebelah pejabat pendaftaran ni. Tapi pada waktu macam ni, makan dah tak banyak,”  kata gadis itu lagi sambil tersenyum.

“Dah, jom kita masuk chalet. Aku penat, nak rehat. Korang nak makan ke? Aku lapar tapi aku penat sangat, mengantuk.” Kata Nisa sambil mengangkat begnya.

“Aku pun mengantuk. Kita masak megi je la kat chalet.” Kata Hana pula.

“Aku ikut je mana-mana,” aku pula menyahut. Memang dah tak sabar nak merebahkan diri. Mata pun macam dah nak melekat dah, tak boleh nak angkat lagi kelopak mata rasanya.

“Kalau macam tu, kita terus ke chalet la. Aku, Aisyah dan Amira kongsi satu chalet. Fika, Hana dan Lina, kongsi satu chalet lagi. Boleh?” tanya Nisa.

“Boleh je.” Sahut Fika.

“Jom kita rehat dulu. Esok baru kita enjoy,” kata Aisyah.

Kami pun melangkah melalui laluan berpasir yang agak suram. Cuma ditemani lampu yang berpasang dari setiap chalet lain yang kami lalui. Dan seperti yang dikatakan oleh gadis tadi, chalet kami terletak di hujung sekali dan kedua-dua chalet kami letaknya berhadapan. Kami dapat dengar dengan jelas bunyian ombak dari pantai. Sebab chalet kami kat hujung, betul-betul di tepi pantai.

Seronok sungguh kami dengar bunyi ombak memukul pantai. Rasa tak sabar nak tunggu esok untuk enjoy ‘Me Time’ kami. Kalaulah kami tak sesat tadi, kami mungkin sampai lebih awal, mungkin kami sempat melihat matahari turun. Tapi dah takde rezeki kami. Takpe, esok masih ada. Tiga hari kami di sini.

Kami masuk ke chalet masing-masing. Dalam chalet tu ada satu katil queen dan satu katil single, disusun dengan kemas dan cantik. Aku jenguk ke bilik air, juga cantik, siap dengan semua alat sanitari. Aku rebahkan diri di atas katil. Hana dan Fika sibuk mengemaskan beg mereka.

“Aku mandi dulu la ye, nak qasar je isya’ dan maghrib. Nak qada Asar lagi.” kata Hana sambil mengambil sehelai tuala dari dalam almari.

“Kau pergi dulu, lepas Hana aku.” Kata aku pula.

“Haah, orang mandilah dulu. Aku uzur, tak boleh solat,” sahut Fika membelek-belek televisyen yang terlekat di dinding chalet. Cuba untuk memasangnya.

Hana terus masuk ke bilik air.

“Kau tak lapar ke Lina? Aku laparlah, macammana nak tidur kalau lapar macam ni?” kata Fika sambil menonton tv yang baru dipasangnya.

“Lapar la jugak tapi aku penat sangat. Kau masaklah air panas, rendam megi sementara nak tunggu pagi esok. Esok je la kita cari makanan,” kata aku memberi pendapat.

Belum sempat Fika bangun nak masak air, tiba-tiba pintu chalet diketuk. Fika terus membuka pintu chalet. Kelihatan seorang gadis berdiri di luar pintu sambil memegang dulang dengan tiga bekas polisterin.

“Ada orang order dan minta hantarkan makanan ke bilik 603.” Kata gadis itu.

“Terima kasih,” kata Fika sambil menyambut dulang dari gadis tersebut.

Fika duduk dan membuka salah satu bekas polisterin. Ada nasi ayam.

“Nisa order kot. Dia tahu kita lapar. Baiknya dia,” kata aku setelah melihat makanan itu.

Fika terus je makan. Dia memang lapar. Aku pun lapar tapi aku ingat nak mandi dan solat dulu. Lepas tu baru aku makan.

Tak lama kemudian, Hana keluar dari bilik air sambil mengesat rambutnya yang basah.

“Eh, mana dapat nasi ayam ni?” tanyanya bila ternampak Fika sedang makan.

“Nisa order kot, dia suruh orang café hantar ke sini terus,” sahutku sambil mengambil tuala dan melangkah ke bilik air.

Lepas mandi dan solat, aku pulak makan nasi ayam. Masa tu jam dah pukul 10.30 malam. Aku ambil gambar nasi ayam yang dah separuh aku makan dan letak kat status whatsapp. Aku taip caption, “Dinner simple tapi amat bermakna, terima kasih sahabat”.

Sedang aku makan, Amira message kat group whatsapp kami. “Siapa yang order nasi ayam ni? Terima kasih tau. Ingatkan malam ni tidur dalam kelaparan la,”

“Tu Lina pun ada letak status whatsapp gambar nasi ayam. Dah separuh makan baru ingat nak ambil gambar ke? Hahaha….” Nisa pula masukkan conversation.

“Nisa ke yang order nasi ayam ni? Terima kasih Nisa. Nanti tolaklah dari duit yang kita kumpul untuk percutian ni nanti ye,” sahut Hana pula.

“Kenapa pula terima kasih kat aku? Bukan korang ke yang order?” tanya Nisa.

“Eh, kami kat bilik sini takde order. Kami ingat korang dari bilik sana yang order,”  sahut Fika pula.

“Kami kat sini pun takde order,” kata Aisyah pula.

“Habis tu siapa order?” aku tanya.

“Janganlah main-main weh, aku dah makan habis licin dah nasi ayam tu. Jangan kata mereka salah bilik pulak,” kata Amira.

“Seriuslah ni, dari bilik kami memang takde order apa-apa,” kata Hana.

Suasana sunyi seketika.

-Bersambung-

One thought on “Me Time

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s