Me Time

Bab 2

Kami semua diam. Aku lihat keluar, matahari makin turun. Aku tengok jam, dah pukul 5.45 petang. Tak lama lagi maghrib dah. Kami ni solat asar pun belum lagi. Nak jamak dengan zohor tadi tak boleh lagi sebab kami zohor di rumah masing-masing.

Aku whatsapp suami aku. Katanya dia takde kawan area situ. Dan dia pesan, jangan ke mana-mana, tunggu berkumpulan sampai bantuan sampai. Dan masa ni aku dapat rasakan apa yang suami aku rasa, apa yang dia bimbangkan dah mula berlaku. Sebab tu dia agak berat hati melepaskan aku pergi bila aku kata tiada lelaki bersama kami.

“Dum!” tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi sesuatu terjatuh di atas bumbung van. Kami masing-masing diam, masing-masing cuak.

“Apa benda tu korang?” tanya aku.

“Entah, dahan pokok jatuh kot,” sahut Fika sambil matanya melihat ke arah bumbung van dari dalam.

Nisa membuka pintu van. “Kau nak ke mana Nisa? Tunggu je kat dalam ni,” kata Aisyah dengan nada risau.

“Aku nak tengok apa bendanya yang jatuh atas van aku ni,” sahut Nisa.

Tapi belum sempat Nisa melangkah turun dari van, terdengar benda yang jatuh di atas bumbung van itu seakan bergerak.

“Nisa, masuk. Jangan keluar,” kata Amira seakan berbisik sambil memanggil Nisa yang dah separuh kakinya keluar dari van. Dan Nisa akur. Dia tarik balik kakinya masuk ke dalam van, tutup pintu van dan menguncinya.

Benda di atas bumbung tu seakan melangkah ke depan dan ke belakang. Kami kat dalam van berpegangan tangan sambil membisu seribu bahasa memerhati ke arah bumbung van. Memang kami nak tahu sangat apa benda hidup yang sedang mundar mandir di atas bumbung van Nisa tu.

“Apa benda tu?” Hana berbisik. Masing-masing mengangkat bahu. Dah la kami kepanasan kat dalam van tu. Tadi ada jugak kami buka tingkap, lepas benda tu jatuh dan melangkah kat atas bumbung van, kami tutup tingkap. Kami tutup langsir, dah la takde udara, gelap pulak tu. Takut weh..

Aku tengok jam tangan, dah pukul 6.15 petang. Tiba-tiba terdengar bunyi seseorang mengetuk pintu van. Masing-masing terkejut. Nisa menyelak langsir di tingkapnya. Ada seorang lelaki dalam usia 40an masih memakai topi keledar sedang berdiri di luar pintu pemandu.

“Nisa, jangan buka pintu dulu. Tanya dia siapa, jangan terus keluar,” pesan Aisyah.

“Aku rasa ini kawan pomen tu kot.” Sahut Nisa.

“Jangan rasa-rasa, pastikan dulu betul-betul,” kata Amira dalam ketakutan.

Nisa menurunkan sedikit cermin tingkapnya.

“Rosak?” tanya lelaki itu. Nisa angguk.

“Buka bonet depan,” kata lelaki itu lagi sambil matanya melilau melihat kami semua di dalam van. Itu membuatkan kami lebih cuak.

Nisa menarik pedal membuka bonet depan van. Dan lepas tu dia buka pintu van.

“Nisa, hati-hati,” kata Hana. Aisyah turut keluar dari van mengikut Nisa. Aku tengok dari dalam je. Aku nampak lelaki tadi membelek-belek kat bahagian bonet depan van Nisa. Sesekali dia memandang ke arah kami semua yang masih berada di dalam van dengan pandangan yang agak kurang menyenangkan. Lebih kurang 15 minit, Nisa masuk dalam van, dan hidupkan enjin. Enjin van hidup. Kami semua menarik nafas lega.

“Kita ikut abang pomen ni ke bengkel dia. Sebab katanya dia nak tengok apa masalah enjin van aku ni. Dia tolong hidupkan enjin je sekarang ni. Katanya perjalanan kita masih jauh, takut nanti enjin mati lagi kat tengah jalan. Hari dah nak malam, lagi bahaya,” kata Nisa.

Kami semua menganggukkan kepala, ikut saja yang mana terbaik. Betul jugak, nanti kalau tak periksa betul-betul, rosak lagi kat mana-mana, susah gak. Kami dah la semua perempuan, hari dah malam, jauh pulak dan keluarga masing-masing. Jadi, lebih baik periksa betul-betul.

Nisa menghidupkan enjin van, dan mulakan memandu mengikut motorsikal lelaki tadi yang berada di hadapan.

“Nisa, siapa tu? Itu ke kawan pomen kau?” tanya Fika.

“Iyelah kot. Aku pun tak sempat nak menelefon pomen aku tadi. Dah kalut, dengan panik dan entah apa yang jatuh kat atas bumbung van aku lagi,” sahut Nisa.

“Eh, kau dah tengok ke apa yang jatuh kat atas bumbung tadi?” tanya Amira.

“Aku lupa nak tengok. Aku risaukan van tak boleh hidup je,” sahut Nisa sambil memandu perlahan mengikut motorsikal lelaki tadi.

“Nisa, kau yakin ke dengan lelaki ni? Aku macam tak sedap hati je,” kata Hana.

“Iyelah, aku pun sama. Sebab dia asyik pandang kita semacam je. Macam ada yang tak kena,” kata aku pula menyatakan perasaan aku yang aku pendam sejak mula-mula lelaki itu tadi datang.

Tiada siapa yang menyahut.

Nisa terus mengekori motorsikal lelaki itu. Dan mereka telah menuruni kawasan tinggi dan masih tak nampak sebarang kawasan perumahan atau industri. Aku lihat keliling, hutan kiri kanan. Matahari dah semakin turun. Aku lihat jam dah menghampiri pukul 7 malam. Tak tahu kenapa aku masih rasa berdebar, makin kuat dan makin kuat.

Tiba-tiba telefon Nisa berbunyi.

“Nisa, kau kat mana? Kawan aku lalu kat jalan yang kau cakap tu, takde  pun van kau kat sana?” terdengar suara Azlan, pomen dari bengkel yang Nisa selalu repair atau servis vannya.

“Aik, ni yang tolong aku kejap tadi, bukan kawan kau ke Lan?” tanya Nisa balik. Muka dah mula cuak.

“Kawan aku ada lagi kat jalan yang kau cakap tadi. Dia kata takde kereta kau kat sana.” Kata Azlan.

Nisa memandang kami semua.

“Korang, cemana ni? Lelaki tu bukan kawan pomen aku. Kawan pomen aku baru je sampai kat tempat van kita tersadai tadi,” kata Nisa.

“Habis tu, lelaki ni siapa? Ke mana dia nak bawa kita ni? Tempat ni macam takde orang je,” kata Fika sambil memandang ke sekeliling kami yang hampir gelap.

“Sekarang nak buat apa ni?” tanya Amira lagi.

“Lan, kau yakin van aku ni ok? Takde masalah?” Nisa hubungi Azlan semula dan bertanya.

“Kalau ikut apa yang aku periksa van kau pagi tadi, memang takde masalah. Van kau tu elok je. Mungkin tadi ada apa fius longgar sebab kau drive atas kawasan tinggi ke, aku pun tak pasti. Tapi aku yakin kereta kau ok. Kau tak tengok ke orang tu tadi buat apa kat enjin sampai boleh hidup semula?” tanya Azlan.

“Aku tengok dia gerakkan beberapa wayar je, lepas tu suruh aku start enjin dan boleh pulak start,” sahut Nisa.

“Kalau macam tu, wayar longgar je la kot,” sahut Azlan.

“Lan, kami ni sebenarnya dah panik. Kami tak tahu lelaki ni nak bawa kami ke mana. Hari dah nak gelap. Kiri kanan kami hutan. Kalau kau boleh jamin van ni ok, aku nak pecut jalan terus ke hotel kami je. Kau rasa ok tak?” tanya Nisa.

“Aku rasa boleh Nisa. Ataupun kau bawa je terus kereta tu, cari kawasan pekan yang ada orang ramai. Tak perlu ikut lelaki tu lagi kalau tak yakin,” kata Azlan.

“Weh korang, aku nak drive terus ke hotel atau ke tempat yang ada orang ramai. Aku nak tinggalkan lelaki ni. Korang rasa macammana?” tanya Nisa.

“Jalan terus la Nisa. Kita tak tahu siapa lelaki ni. Cara dia pun menakutkan,” kata Amira.

“So, kita jalan terus ye.” Kata Nisa.

“Iye, jalan terus. Kau potong dia, dan hon sekali. Takdelah nampak macam tak berterima kasih pulak.” Kata Aisyah.

Nisa menekan pedal minyak dan memotong motorsikal lelaki tadi.

Aisyah membuka sedikit cermin tingkapnya.

“Bang, kawan kami ada menunggu kami kat satu tempat ni. Kami pergi dulu ye. Terima kasih banyak-banyak sebab tolong hidupkan enjin van ni tadi,” kata Aisyah kepada lelaki yang berada di atas motor tadi.

Lelaki itu buat muka tak senang. Dia mengangkat tangan seperti nak memberi isyarat berhenti di depan. Tapi Nisa terus je menekan pedal minyak dan terus memandu tanpa menoleh ke arah lelaki tu lagi.

Aku pula yang menoleh ke arah lelaki tu. Lelaki tu memberhentikan motorsikalnya di tepi jalan dan mengangkat tangannya ke atas seperti menunjukkan sesuatu ke arah van kami. Aku pandang ke depan semula, aku mengaku aku takut masa tu. Aku pegang tangan Hana, Hana juga menggigil.

Sekeliling kami dah gelap. Aku tengok jam lagi, dah pukul 8 malam.

“Korang, carilah tempat untuk kita rehat dan solat. Asar dah lepas, takkan maghrib pun nak lepas jugak,” kata aku memberi pendapat.

“Aku bukan taknak berhenti, aku kena cari tempat yang ramai orang dulu. Aku takut nanti aku main berhenti je, enjin van ni tak hidup balik macam tadi. Kita jalan dulu, aku pun tak tahu dah kita kat mana ni. Cuba tengok waze jap,” kata Nisa sambil fokus memandu.

Betul juga kata Nisa. Hari dah malam, takut nanti enjin mati lagi, kami tak tahu kat mana bengkel.

“Kalau ikut waze ni, hotel kita tu lebih kurang 40 minit je lagi nak sampai. Apa kata kita terus je ke hotel dulu. Apa-apa nak jadi pun, at least kita dah sampai hotel,” kata Aisyah yang membelek waze di telefonnya.

“Setuju!” kami yang lain menjawab serentak. Dan ada sedikit perasaan lega bila Aisyah kata hotel kami tak jauh lagi. Kami ni dengan tak rehatnya, dengan laparnya, panik, risau, semua perasaan dah bercampur baur. Jadi kalau dapat sampai ke hotel, dah lega sangat dah.

Maka, Nisa terus menekan pedal minyak, memandu dalam kegelapan malam di mana kiri kanan kami hutan belukar tanpa lampu jalan. Entah kampung mana lelaki tadi bawa kami.

Lebih kurang 20 minit perjalanan, kami masih tak jumpa jalan yang terang. Kami seperti berpusing-pusing di tempat yang sama sedangkan waze menunjukkan kami dah makin hampir dengan hotel kami. Tapi takkanlah hotel bertaraf 4 bintang tu berada di dalam kawasan yang pedalaman begitu, sampai takde orang langsung.

“Betul ke tempat kita nak pergi ni Nisa, Aisyah?” tanyaku inginkan kepastian.

“Tempat tu betul, memang aku booking dalam trivago. Aku bukan kali pertama back pack macam ni, aku tahulah hotel mana ok dengan tak ok.” Sahut Nisa, cuba meyakinkan kawan lain.

“Takpelah kalau kau yakin. Sebab macam aku ni, memang jarang bercuti macam ni. Semuanya ikut je suami aku.” Kata Amira pula.

“Sepatutnya takde masalah. Cuma bila kita ikut lelaki tadi yang buat aku tak berapa nak cam tempat ni. Takpelah, kita ikut je waze tu, selalunya tak salah,” kata Nisa lagi.

Kami semua diam. Tak lama lepas tu kami sampai ke jalan yang cerah dengan lampu jalan dan nampak ada beberapa rumah di kiri kanan. Fuh! Lega tak terkata bila kami sampai ke tempat tu. Sekurang-kurangnya kalau kami salah jalan sekalipun, kami dah sampai ke suatu tempat yang ada rumah orang dan lampu jalan, bukanlah hutan macam tadi.

Dan yang paling kami syukuri ialah, van Nisa tak buat hal lagi.

Tiba-tiba kami nampak kelibat sepasang lelaki dan perempuan berjalan di hadapan.

“Itu ada orang, cuba tanya kot dia tahu,” kata Hana.

– Bersambung –

One thought on “Me Time

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s