Me Time

Bab 1

Aku ni suri rumah, ada anak dua orang. Kerja aku tak berhenti, 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Celik mata kerja, tutup mata pun ingat kerja lagi. Segalanya kerja, kerja untuk orang lain. Ada masa memang rasa macam nak lari ke satu tempat di mana takde siapa dapat cari aku. Aku seorang diri, tiada gangguan, berkaki ayam di tepi pantai melihat matahari muncul di pagi hari dan terbenam di senjakala. Mujurlah sekarang ada media social semua tu, dapat juga aku tahu kisah kat luar rumah aku, kalau tak, memang aku rasa dalam dunia ni ada aku, suami aku dan anak aku je la. Dan paling best, aku ada ramai kawan lama dan baru yang berhubung kat media sosial.

Kawan-kawan aku memang ramai tapi yang memang betul ngam dan serasi dengan aku tu tak sampai sepuluh orang pun. Mereka ni ada yang suri rumah macam aku, ada yang bekerja, ada yang belum kahwin, ada yang dah kahwin tapi takde anak. Macam-macam status la. Tu yang jadi group kami meriah sebab banyak cerita yang beraneka.

Kalau semua sama je suri rumah macam aku, mesti hidup kami lebih bosan kan?

Kadang tu aku baca cerita kawan-kawan aku yang bekerja. Stress dengan bos, gaduh dengan rakan sekerja, makan hati dengan bos yang pilih kasih, sakit kepala dengan kerja dan kerenah orang ramai, macam-macam lagilah. Bila aku dah penat sangat jadi suri rumah, aku rasa nak kerja, tapi bila dengar cerita kawan-kawan aku yang bekerja, aku rasa lebih baik aku duduk rumah. Sekurang-kurangnya aku penat kerana berbakti dengan suami dan anak-anak aku, aku tak perlu layan kerenah orang luar dari keluarga aku. Dan yang menjadi bonus untuk suri rumah macam aku, aku dapat lihat anak-anak aku membesar, dan aku tahu anak-anak aku membesar dengan makanan yang aku sendiri masak, dengan air tangan aku. Dan yang paling penting, aku tak perlu risau anak aku jadi apa kalau tinggal dengan pengasuh, itu paling berharga buat aku sebagai suri rumah.

Me Time? Memang takde la. Jangan mimpi. Tapi aku boleh manage masa untuk semua kerja aku. Sebab aku takde bos. Akulah bos, dan aku juga kuli. Hahaha….

Pada aku, seorang wanita terutama yang dah jadi mak, samada dia kerja atau suri rumah, memang takde ‘Me Time’. Segalanya terkejar sana sini. Nak penuhi kehendak orang sekeliling. Nak lunaskan amanah yang diberikan walaupun hakikatnya itu bukan tanggungjawab wanita itu sendiri. Ada masa sampai diri sendiri terabai. Diri sendiri sakit pun tak sedar sebab nak pastikan orang sekeliling dapat apa yang mereka mahu. Itulah wanita.

Okay, panjang pulak muqaddimah aku.

Kisah aku ni bermula bila satu hari Amira mengemukakan pendapat untuk kami keluar bersama, bercuti di satu tempat, tanpa anak-anak dan suami. Cuma kami. Bukan nak pergi jauh-jauh sampai luar negara, dalam Malaysia pun cukup. Tak payah pergi lama-lama, tiga hari dua malam pun cukup. Kami je. Sekadar nak melepaskan tekanan. Nak memanjakan diri seketika. Yang dah kahwin, biar suami jaga anak-anak dan rumah. Bukan selalu. Macam aku ni, lepas kahwin dan ada anak, memang tak pernah ada ‘Me Time’. Bukannya suami aku tak bawa aku pergi holiday, tapi aku tetap terkejar sana sini dengan anak-anak. Cuma kali ni kami je pergi, bawa diri sendiri, keluar dari rumah tanpa memikirkan baju anak-anak, barang anak-anak, anak nak makan, anak nak mandi. Untuk sekali ni je, biar suami yang uruskan.

Setelah kata sepakat dibuat, kami, aku, Amira, Aisyah, Hana, Nisa, Fika bersetuju untuk bercuti ke Pulau Tioman. Kami-kami je, tanpa anak dan suami. Tiga hari dua malam.

Aku pun apa lagi, mulalah menyusun ayat manis yang paling manja, nak minta izin suami aku untuk pergi bercuti ni. “Girls Day Out” kononnya bak kata orang. Excited sungguh aku. Harap-harap suami aku izinkan. Anak-anak memang tak pernah berenggang dengan aku. Yang aku risau sekarang, bukan mereka yang cari aku, tapi aku yang tak boleh lena malam sebab teringatkan mereka.

Malam tu, beriya sungguhlah aku masak sedap-sedap, senyum tak lekang di bibir, cakap pun yang manis-manis je kat suami aku sebab nak minta pergi bercuti punya pasal ni. Sampai suami aku pun perasan.

“Awak ni dah kenapa? Tersengih sampai telinga. Selalunya jadi tarzan je dengan anak-anak, sampai abang pun kena sekali,” kata suami aku.

“Abang, Lina nak minta izin ni. Nak pergi bercuti dengan kawan-kawan kat Pulau Tioman,” aku mulakan bicara.

“Family day ke?” suami aku tanya lagi.

“Bukan, kami saja je nak bercuti,” sahutku lagi.

“Siapa yang pergi?” dah macam pegawai polis dia punya soalan. Aku pun sebutlah semua nama kawan-kawan aku yang nak pergi tu. Aku memang tak pernah rahsiakan dari suami aku dengan siapa aku berkawan.

“Yang dah kahwin tu pergi dengan keluarga juga ke?” tanyanya lagi.

“Tak, kami semua nak pergi sendiri, tak bawa keluarga,” sahutku, masa ni agak berdebar juga nak cakap. Susah nak maklumkan bahawa aku nak pergi sendiri, tanpa suami dan anak-anak.

Suami aku diam.

“Boleh tak bang?” tanyaku lagi bila suami aku diam.

“Berani ke? Takde lelaki langsung?” tanya suami aku lagi.

“Berani. Nisa dan Aisyah kan dah selalu travel sendiri sampai ke luar negara pun mereka back-pack sendiri, tak ikut ajensi pelancongan. Sebab tu Lina dan kawan lain berani nak ikut sekali. Sekali ni je, boleh tak?” tanya aku lagi.

Aku tahu, suami aku bukan tak izinkan aku pergi. Selalunya dia akan lepaskan kalau aku nak ke mana-mana. Tapi kali ni mungkin berat hatinya sebab tiada lelaki ikut. Manalah tahu, kereta rosak tengah jalan ke, sesat ke, apa-apalah.

“Abang janganlah risau sangat. Lina bukan pergi seorang. Kami pergi berenam, semua tu abang kenal. Mereka yang dah kahwin pun tinggalkan suami dan anak mereka. Sekali ni je, kami nak enjoy sesekali. Boleh ye bang?” kataku lagi sambil mengelip-ngelipkan mataku memandang suami aku. Kononnya comellah tu, walhal suami aku buat muka risau je.

“Abang bukan tak bagi pergi. Tapi bila dengar semua perempuan tu, abang rasa risau sikit. Itu je,” kata suami aku.

“In Shaa Allah, abang doakan kami semua selamat pergi dan selamat balik. Pandailah kami jaga diri. Bukannya jauh, Pulau Tioman je. Bila-bila masa abang sendiri pun boleh drive ke sana kalau ada kecemasan.” Sahutku menyokong kata-kata sendiri. Iyelah, mana ada ahli mesyuarat lain nak sokong aku kan.

“Iyelah, abang izinkan. Bila nak pergi?” kata suami aku membuatkan aku rasa nak melompat ke langit seronoknya.

“Kalau semua setuju, barulah Nisa akan arrange semuanya, hotel, masa, dan keperluan lain. Nanti dah dapat tarikh, Lina beritahu abang ye,” kataku masih menahan rasa seronok.

Malam tu juga aku maklumkan geng aku bahawa aku dah dapat lampu hijau dari suami aku untuk pergi bercuti dengan mereka. Dan akhirnya yang mana ada suami tu pun dah dapat lampu hijau. Dalam enam orang tu, yang dah berkahwin ada empat orang termasuk aku. Tapi aku dengan Hana je yang ada anak. Amira dan Fika dah kahwin tapi belum ada anak. Nisa dan Aisyah pula masih bujang, sebab tu mereka rajin travel ke merata tempat.

Maka, percutian kami ini akan diatur oleh Nisa dan Aisyah. Aku memang tak tahu apa, ikut je.

Sampai hari yang dirancang, Nisa ambil aku dari rumah aku. Kami semua naik Toyota Alphard Nisa je. Setelah semua orang dah diambil, kami pun memulakan perjalanan. Perjalanan kami ni kalau ikut waze akan mengambil masa tiga jam je. Tapi berhenti rehat, solat, makan, mungkin dekat maghrib baru sampai hotel kot.

Aku ni mula-mula terasa happy, tapi lepas sejam perjalanan aku ada rasa tak berapa sedap hati. Rasa berdebar-debar. Lepas tu rasa macam nak batalkan percutian tu pulak. Tak tahu lah kenapa. Aku bisik kat Hana tentang perasaan aku tu, sebab dia dengan aku je yang dah bergelar ibu dalam geng kami tu. Hana kata dia pun ada perasaan yang sama. Katanya sejak semalam dia dah ada perasaan macam nak batalkan je, berdebar lain macam. Tapi bila teringatkan pasal janji, dia cuba kuatkan semangatnya.

Dan suaminya pun ada cakap, mungkin sebab ini kali pertama dia nak berjauhan dengan anak-anak, sebab tu perasaan tu jadi begitu. Dan Hana pun terasa mungkin itu juga sebabnya. Tapi bila aku kata aku pun ada perasaan begitu, Hana mula pandang aku semacam dah.

“Takde apa kot. Macam yang suami aku kata la, ini kali pertama kita nak berjauhan dari anak-anak. Takpe, kita abaikan perasaan tu. Ingat, kita bercuti ni pun sebab kita nak ‘Me Time’ kan. Jadi, kita jangan ingat perkara lain. Sekarang masa untuk kita enjoy,” kata Hana lagi. Dan aku akur. Cuba membuang semua prasangka buruk.

Aku tak risau percutian kami ni. Aku cuma risaukan anak-anak aku je. Boleh ke mereka tidur malam tanpa aku. Suami aku tak pandai masak, setakat masak nasi putih bolehlah, dadar telur pun kadang hangus. Apalah mereka nak makan nanti. Tapi suami aku dah kata, kedai kan banyak.

Sebenarnya aku yang terlalu berfikir. Bak kata Amira, biar para suami pulak pikul tugas mak kat rumah. Memasak, membasuh, jaga anak, semua tu la. Biar mereka tahu susah senang jadi mak, takde masa nak tengok tv pun. Aku tarik nafas panjang-panjang, In Shaa Allah, mereka akan ok. Sekarang aku perlu lupakan semua tu buat seketika. This is my ‘Me Time’ yang aku nak.

Aku tengok jam, pukul 5 petang. Aku pandang keliling, kami berada di satu kawasan yang agak tinggi, di kiri kami gunung dan kanan kami gaung. Sayup je ke bawah aku tengok. Ni kalau silap gaya ni, terpelecot sikit je, Nauzubillah. Tapi mujur cuaca hari tu elok sangat, takde hujan dan tak berapa panas.

“Jauh lagi ke Nisa?” aku bertanya.

“Turun dari kawasan tinggi ni, kita berhenti kat mana-mana masjid, solat asar dan rehat sekejap. Lepas tu kita teruskan perjalanan, kalau tak berhenti kat mana-mana, sejam lepas tu kita sampailah,” jawab Nisa. Aku diam. Kembali melihat ke arah gaung yang curam ke bawah. Aku pejamkan mata, cuba untuk lena.

Tak sempat aku nak lena, tiba-tiba van Nisa tersengguk-sengguk, enjin macam nak mati. Aku buka mata aku besar-besar, dada berdegup laju.

“Kenapa Nisa?” tanya Hana.

“Tak tahulah. Pagi tadi aku dah hantar servis dah. Pomen tu kata kereta aku elok je,” sahut Nisa sambil menekan hazard light dan memusingkan stereng kereta ke tepi lalu memberhentikannya.

“Minyak habis kot?” kata Amira dari tempat duduk paling belakang.

“Tak juga, tak kurang dari setengah tangki lagi ni.” Kata Nisa, dengan wajah risau.

“Kat kawasan macam ni, kat manalah kita nak cari pomen. Orang pun kurang lalu lalang sini. Inikan hari kerja,” kata Fika pula.

Memang kami sengaja mengambil tarikh percutian ni pada hari bekerja sebab taknak kesesakan dan ramai orang. Yang bekerja ambil cuti tahunan, macam aku ni, suami aku rela ambil cuti tahunan dia, betapa ikhlasnya dia nak aku pergi bercuti.

“Habis tu, macammana ni? Takde nombor telefon mana-mana pomen ke?” tanya Hana pula.

Nisa keluar van, buka bonet depan. Aisyah dan Amira pun ikut keluar dan pergi berdiri depan bonet bersama-sama Nisa. Aku tunggu dalam kereta dengan Hana dam Fika. Buat apa ramai-ramai kat luar sana, bukannya boleh tolong apa-apa pun. Nak pulak ruang jalan tu agak terhad disebabkan curam dan gunung di kedua-dua belah jalan raya tu.

Aku nampak Nisa menelefon seseorang. Berkedut seribu mukanya. Kereta lain kurang lalu pula, mungkin sebab hari bekerja kot. Takde orang lalu situ.

Seketika kemudian, Nisa dan yang lainnya masuk ke dalam van.

“Macammana Nisa?” Tanya Hana.

“Aku dah call pomen kat tempat aku. Katanya kebetulan dia ada kawan dekat-dekat sini. Tapi tak dekat sangat la, dia kena ambil masa juga untuk sampai sini. Tunggulah kawan dia datang. Mungkin cepat, mungkin lambat. Apa nak buat, tunggu je la. Aku tak berani nak usik apa-apa, kang takut makin teruk pulak,” kata Nisa.

– Bersambung –

3 thoughts on “Me Time

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s