WARIS KEBAYAN

Bab 12 (AKHIR)

Ketika mereka sampai di rumah Zahira, anak sulung arwah Bidan Piah, rumahnya bertutup rapat seperti tiada orang di rumahnya. Pak Aziz dan Ustaz Shaari memberi salam beberapa kali tapi tak bersahut.

“Takde orang kat rumah kot,” kata Pak Aziz.

Baru saja Pak Aziz dan Ustaz Shaari nak meninggalkan perkarangan rumah Zahira, tiba-tiba terdengar bunyi seseorang batuk dari dalam rumah. Pak Aziz dan Ustaz Shaari berhenti melangkah dan berpatah balik ke depan rumah Zahira.

“Assalamualaikum. Zahira, kamu ada di rumah ke? Kami ada hal penting ni nak jumpa kamu.” Panggil Pak Aziz. Tiada sahutan.

Ustaz Shaari berjalan mengelilingi rumah tersebut. Ketika dia berada di bahagian dapur, Ustaz Shaari kelihatan berubah sikit wajahnya. Pak Aziz mendapatkan Ustaz Shaari dan menjenguk ke arah yang sedang dilihat oleh Ustaz Shaari.

Kelihatan seseorang di dalam rumah, berdiri di tingkap yang terbuka memandang ke arah mereka dengan wajah yang menakutkan. Rupanya seperti arwah Bidan Piah, dengan rambut putih panjang ke kaki, berbaju kurung lusuh, dua gigi taring, mata besar berwarna putih seakan nak tersembul keluar dan kulitnya yang hitam seakan terbakar.

“Astaghfirullah,” ucap Ustaz Shaari menundukkan wajahnya. Begitu juga Pak Aziz.

“Nak buat apa ni Ustaz?” tanya Pak Aziz.

“Kita pecah masuk ke rumahnya,” kata Ustaz Shaari. Pak Aziz anggukkan kepala. Memang Pak Aziz akan menurut sahaja, dia tahu Ustaz Shaari tahu apa yang perlu dilakukan.

Mereka melangkah ke arah pintu depan rumah Zahira lalu menolaknya perlahan. Tak berkunci pun.

“Zahira?” Pak Aziz memanggil.

Zahira tinggal bersama dua orang anaknya yang masih kecil. Suaminya meninggal dunia dua tahun lepas akibat kemalangan jalan raya. Sejak kematian suaminya, Zahira tak banyak bergaul dengan orang kampung. Dia lebih suka menyendiri bersama dengan anak-anaknya. Dia bekerja di kilang di pekan untuk menampung kehidupan dia tiga beranak.

Pak Aziz dan Ustaz Shaari terus masuk ke dalam rumah Zahira dan memerhati sekeliling, mencari arah suara orang batuk sekejap tadi.

“Ustaz, orang yang kita tengok kat dapur tadi, nak pergi tengok ke?” tanya Pak Aziz.

“Tak perlu. Dia tahu kita ada kat sini. Dia akan cari kita kalau dia nak. Sekarang kita cari Zahira dan anaknya,” kata Ustaz Shaari.

Pak Aziz menolak satu daun pintu bilik perlahan. Di dalam bilik tu dia nampak Zahira dan dua anaknya sedang duduk berpelukan di satu penjuru. Pak Aziz terus masuk ke dalam bilik tersebut dan merapati tiga beranak itu. Sebaik sahaja ternampak Pak Aziz, Zahira terus menangis meraung macam orang gila layaknya. Tak sedar dia memaut kuat tangan Pak Aziz, seperti tak mahu melepaskannya. Pak Aziz pula rasa serba salah.

“Tolong kami Pak Aziz. Mak datang kacau kami,” kata Zahira tanpa malu dah dia terus memaut tangan Pak Aziz.

Ustaz Shaari masuk ke bilik tersebut.

“Mana mak kamu?” tanyanya.

“Dia ada di merata-rata. Dia memerhati kami. Dia kata, saya kena bertanggungjawab kerana enggan mewarisinya dan menyerahkan dia kepada orang lain. Katanya saya dah terikat dengan janji, saya perlu menjaganya di seumur hidup saya. Sedangkan dia dah mati. Saya takut. Dia pernah angkat anak saya naik ke alang rumah. Katanya dia akan makan anak saya kalau saya tak ambil balik dia,” kata Zahira sambil menangis teresak-esak.

“Mak kamu kan dah mati? Macammana pula dia boleh datang jumpa kamu?” tanya Pak Aziz.

“Saya tak tahu Pak Aziz. Saya tak tahu,” kata Zahira, masih menangis.

“Betul kamu tak tahu?” tanya Ustaz Shaari.

“Betul, saya tak tahu,” kata Zahira tapi tangisannya dah reda sikit.

“Pada hari mak kamu meninggal dunia, kamu ada beri sebentuk cincin delima kepada Makcik Saleha kan? Kenapa kamu beri dia cincin tu?” tanya Ustaz Shaari sambil memandang tepat ke arah Zahira. Zahira pula yang seperti takut-takut nak memandang Ustaz Shaari. Dua orang anak Zahira masih memeluk ibunya dan menangis perlahan.

“Sebab mak pesan suruh bagi cincin tu pada orang yang uruskan jenazahnya,” sahut Zahira tanpa memandang ke arah Ustaz Shaari.

“Betul mak kamu pesan begitu?” tanya Ustaz Shaari lagi. Kali ni lebih tegas.

Zahira menganggukkan kepala.

“Ingat, kalau kamu tipu, tiada siapa boleh bantu kamu. Dan kamu juga kena ingat, menganiaya sesama insan itu berdosa besar,” kata Ustaz Shaari. Pak Aziz memandang Ustaz Shaari, tak faham dengan kata-katanya. Zahira diam.

“Saya boleh tolong halau jin yang menyerupai mak kamu. Tapi saya tak boleh tolong kalau ada perkara lain yang saya tak tahu. Sebab tu kamu kena berterus terang dengan saya. Kamu tahu tak? Mak kamu bukan saja mengganggu kamu, tapi dia juga mengganggu Makcik Saleha dan keluarga. Dan sekarang Ashkin hilang. Ingatlah, kalau ada apa-apa yang kamu sembunyikan, kamulah yang akan ditanya Allah di akhirat nanti kerana bersubahat menyembunyikan perkara syirik,” kata Ustaz Shaari lagi.

Pak Aziz diam saja di tepi. Walaupun dia tak faham maksud Ustaz Shaari. Zahira masih berdiam diri.

Tiba-tiba terdengar bunyi rengusan dari arah pintu bilik. Anak-anak Zahira terus menjerit sekuat hati mereka. Pak Aziz dan Ustaz Shaari memandang ke arah pintu bilik dan dari cahaya yang samar-samar memasuki rumah yang tingkapnya semua bertutup itu, kelihatan lembaga yang mereka lihat di dapur tadi sedang berdiri di situ.

Zahira memeluk anaknya sambil menutup mukanya. Seluruh badannya menggeletar.

“Tolong kami Ustaz, halaulah benda tu,” kata Zahira lagi.

“Saya boleh halau, tapi saya perlu tahu cerita sebenar,” kata Ustaz Shaari masih tenang berdiri di  situ.

Lembaga yang menyerupai arwah Bidan Piah itu berlegar-legar di dalam bilik itu, seperti cuba nak menghampiri Zahira dan anak-anaknya tapi dihalang oleh Ustaz Shaari. Lembaga itupun seakan tak berani melepasi Ustaz Shaari.

“Bang Aziz, bawa mereka keluar dari rumah. Saya akan halang ‘benda’ ni.” Kata Ustaz Shaari.

Pak Aziz akur, dia mendukung kedua-dua orang anak Zahira. Zahira yang masih memedang hujung baju Pak Aziz pun ikut bangun walaupun dalam keadaan terketar-ketar. Mereka melangkah perlahan keluar dari bilik itu. Lembaga itu merengus kuat seakan marah. Ustaz Shaari pula memandang lembaga tu sambil mulutnya membaca beberapa surah Al Quran. Lembaga itu terus meraung bila Zahira dan anak-anaknya keluar dari rumah. Pak Aziz dan Zahira serta anak-anaknya menunggu di luar rumah.

Lebih kurang 5 minit, Ustaz Shaari keluar dari rumah itu. Dan sekali lagi dia bertanya kepada Zahira samada dia ada menyembunyikan apa-apa. Ustaz Shaari kata, kalau Zahira tetap berdegil taknak menceritakan segalanya, Ustaz Shaari takkan tolong dia lagi.

“Sebenarnya, tiga bulan sebelum mak meninggal dunia, mak beritahu yang dia ada membela saka keturunan. Saka itu diperolehi dari datuknya iaitu moyang saya. Mak kata saka tu dah lama dalam keluarga kami. Dan turun temurun selama 9 keturunan, semuanya turun kepada anak lelaki. Cuma masa arwah moyang meninggal dunia, saka tu turun kepada cucu perempuan iaitu mak saya. Saya tak tahu ceritanya tapi yang saya tahu, masa arwah moyang meninggal dunia, mak saya yang mengadapnya. Tak tahu apa terjadi masa tu. Dan sekarang, saka tu nak turun kepada saya sebagai anak perempuan sulung. Saya taknak. Tapi mak kata kalau saya tak ambil, saka tu akan kacau seluruh keturunan kami.” Kata Zahira bercerita dengan nada perlahan.

“Saya takde pilihan masa tu. Mak suruh saya perasapkan cincin delima tu setiap malam selasa. Dan saya perlu menitiskan tiga titik darah ke atas cincin delima tu setiap malam jumaat di bulan penuh. Saya anggukkan sahaja sebab saya taknak mak terus merayu saya. Dan masa tu mak pun dah tenat. Saya taknak mak susah hati. Hinggalah akhirnya mak meninggal dunia,” kata Zahira.

“Kamu buat tak apa yang mak kamu suruh?” tanya Ustaz Shaari.

“Saya tak buat pun. Saya simpan je cincin tu sampai hari mak meninggal.” Kata Zahira.

“Lepas tu kamu bagi pada Makcik Saleha. Apa tujuannya?” tanya Ustaz Shaari, dengan wajah agak kesal.

“Saya tiada pilihan. Saya takut. Saya rasa Makcik Saleha seorang yang kuat imannya, mungkin saka mak yang berada di dalam cincin delima tu akan takut dan lari ke tempat lain,” kata Zahira.

“Kamu ingat semudah itu? Jin tu dah berada dalam dalam keturunan kamu terdahulu sejak 9 keturunan teratas, kamu ingat halau jin atau buang saka ni macam buang anak kucing?” kata Ustaz Shaari dengan agak keras tanpa memandang wajah Zahira.

“Kamu sedar tak apa yang kamu buat ni menyebabkan orang tak bersalah jadi mangsa? Dah la kamu tipu seorang yang sangat baik, lepas tu kamu cuba nak menutup segalanya begitu saja?” tanya Ustaz Shaari lagi.

Pak Aziz diam. Tak pernah dia lihat Ustaz Shaari seserius itu. Sampai dia pun tak berani nak menegur.

“Saya minta maaf. Saya betul-betul takut dan saya tak sangka akan jadi begini. Adik-adik saya yang lain tak tahu akan hal ni. Saya takde tempat nak bercerita. Sudahlah saya takde suami, anak-anak masih kecil. Saya taknak bela saka ni.” Kata Zahira.

Ustaz Shaari beristighfar panjang. Mungkin baru tersedar yang dia telah terikut tipu daya syaitan bila terlalu mengikut rasa marah.

“Sebenarnya benda tu sepatutnya berada dengan kamu tapi kamu dah buang dia kepada orang lain. Sebab tu dia tetap mengganggu kamu kerana kamulah waris sebenar. Tapi disebabkan dia tersimpan dalam batu delima yang kamu dah serahkan kepada Makcik Saleha, dia seakan hilang arah. Sebab tu dia sentiasa mencari tuan baru yang mampu menjaganya.” Kata Ustaz Shaari.

“Boleh buang tak benda tu Ustaz?” tanya Pak Aziz yang dah lama berdiam diri sejak tadi.

“Dia dah terlalu lama hidup dalam kalangan manusia. Nak buang kena ambil masa. Tapi kita boleh perdayakan dia buat sementara waktu supaya dia boleh lepaskan Ashikin,” kata Ustaz Shaari.

“Buatlah apapun Ustaz, asalkan ‘benda’ tu tak kacau sesiapa lagi,” kata Zahira.

Ustaz Shaari mengumpulkan beberapa ranting kayu di depan rumah Zahira lalu membakarnya. Setelah api marak, Ustaz Shaari mengambil cincin delima yang diambil dari bilik Makcik Saleha tadi, lalu mencampaknya ke dalam api. Terdengar raungan kuat yang menyeramkan dari dalam rumah Zahira membuatkan Zahira dan anak-anaknya menekup telinga mereka.

Setelah api padam, Ustaz Shaari mengambil semula cincin delima tersebut yang berwarna kemerah-merahan. Ustaz Shaari memejamkan mata, mulutnya terkumat kamit membaca beberapa surah Al Quran. Tak jauh dari tempat mereka berdiri, lembaga tadi ada di sana, memerhati segala perbuatan Ustaz Shaari.

“Aku mencari waris aku. Mereka tak boleh buang aku. Kami ada janji, janji kami takkan putus,” terdengar suara garau dari lembaga itu tapi dengan nada yang agak perlahan seakan lemah.

“Mereka tak buang kamu. Mereka akan datang setelah tumbuh pohon delima dari cincin ini. Akan kutanam ia di sini, kamu tunggu ia di sini hingga sampai masanya nanti. Kamu mahu kami pegang pada janji, jadi kamu perlu pegang janji kamu juga. Iblis juga memegang janjinya dengan Allah, maka kamu tunaikan janji kamu. Kamu tunggu di sini, jangan munculkan diri sehingga pohon tersebut tumbuh. Ingat janji kamu. Waris kamu akan datang sendiri nanti,” kata Ustaz Shaari sambil mengorek tanah ditengah-tengah tapak pembakaran tadi dan menanam cincin delima itu di situ sambil diperhati oleh lembaga tadi. “Allahu akbar!” Laungnya sambil menepukkan tangannya ke atas tanah yang telah menutup cincin delima tadi.

Sebaik sahaja cincin itu ditanam dan tanahnya di tepuk tiga kali oleh Ustaz Shaari, lembaga tadi hilang. Ustaz Shaari bangun sambil menyapu-nyapu bajunya yang kotor terkena debuan ranting yang terbakar tadi.

“Dia dah pergi ke Ustaz?” tanya Pak Aziz.

“Dia tak pergi, dia akan tunggu di sini. Sampai pohon delima tumbuh di sini,” kata Ustaz Shaari.

“Benda macam ni boleh pegang janji ke?” tanya Pak Aziz lagi.

“Manusia je yang tak pegang janji. Iblis pun pegang janjinya dengan Allah.” Kata Ustaz Shaari.

“Dia takkan kacau orang lagi ke?” tanya Zahira pula. Dia pun pelik, untuk satu perkara yang dah mendiami keluarganya sejak 9 keturunan dahulu, boleh hilang begitu saja?

“Dia takkan ganggu sehingga pohon delima itu tumbuh di sini.” Kata Ustaz Shaari.

“Kalau ada pohon delima tumbuh di sini?” tanya Pak Aziz pula.

“Dia akan keluar, mencari warisnya semula. Oleh itu, kita perlu buat sesuatu supaya tiada pohon delima yang akan tumbuh di sini,” kata Ustaz Shaari.

Pak Aziz dan Zahira diam. Masih tak faham.

“Jin ni tak ganggu kita selagi kita tak abaikan perintah Allah. Tapi manusia ni terlalu taksub nak hidup senang, walaupun terpaksa meminta bantuan jin. Macamlah jin tu ada banyak kuasa. Walhal kita sebagai manusia lebih tinggi darjatnya dari jin,” kata Ustaz Shaari seakan mengeluh kesal. Pak Aziz dan Zahira masih berdiam diri.

“Dah, jom balik. Zahira, rumah kamu ni, bukalah tingkap dan pintunya di siang hari. Biar matahari masuk. Banyakkan membaca Al-Quran. Solat jangan tinggal. Jangan takut pada ‘benda’ lain selain Allah. Kita ada Allah, Dia yang Satu dah cukup untuk menjaga kita semua kat dunia ni,” pesan Ustaz Shaari. Zahira anggukkan kepala.

“Shikin macammana Ustaz?” tanya Pak Aziz, baru teringkat kat anaknya.

“Dia ada kat rumah abang. Dia tak dibawa kemana-mana, cuma disorok seketika untuk mengugut kita.” Kata Ustaz Shaari.

Zahira membawa anak-anaknya masuk ke dalam rumahnya semula. Pak Aziz menghantar Ustaz Shaari balik terus ke rumahnya kerana hampir masuk waktu solat zohor. Dan setelah menghantar Ustaz Shaari, Pak Aziz pulang ke rumahnya. Dan betul seperti yang Ustaz Shaari kata, Ashikin memang berada di dapur ketika ditemui oleh Along.

Bila ditanya apa terjadi, Ashikin kata nenek kebayan tu menariknya sampai dia jatuh dan tak sedarkan diri, dia seperti berada di satu tempat yang keliling putih berkabus, takde apa-apa langsung. Tak nampak kelibat manusia atau objek lain, kosong sekosongnya. Keadaan kekal begitu hinggalah Along menggoncang badannya. Dan menurut Makcik Saleha, itulah juga yang dialaminya lepas hari ketiga dia menguruskan jenazah arwah Bidan Piah hinggalah dia ditemui oleh dua wanita yang membantunya.

Dan Pak Aziz yang terlopong. Dia baru sedar bahawa selepas hari ketiga Makcik Saleha menguruskan jenazah arwah Bidan Piah, orang yang tidur dan hidup bersamanya di rumah itu, yang berbuai di bawah pokok rambutan di tengah malam buta, yang makan bersamanya, yang merenung wajahnya, semua tu bukanlah Makcik Saleha, tapi nenek kebayan warisan Bidan Piah! Barulah betul-betul meremang bulu roma Pak Aziz.

Selepas kejadian itu, Ustaz Shaari menanam sepohon pokok ketapang di tapak tempat dia menanam cincin delima itu. Zahira telah menjual rumahnya dan berpindah ke pekan, berhampiran dengan tempat kerjanya. Rumah pusaka maknya juga dijual kepada orang luar di atas persetujuan mereka tiga beradik.

Tak semua orang kampung tu yang tahu kisah ini. Ustaz Shaari dah pesan agar kisah ini disimpan elok-elok, tak perlu dihebahkan demi mengelakkan fitnah dan demi menjaga nama baik Bidan Piah yang banyak berjasa dalam kampung itu.

Bagi Ashikin, dia nekad, kalau result SPM dia elok, dia pasti akan cari universiti yang jauh agar dia dapat lupakan nenek kebayan yang suka kepadanya. Dan paling penting, dia takkan menyanyikan lagu nenek kebayan tu lagi.

Nenek nenek si bongkok tiga,

Siang mengantuk malam berjaga,

Mencari cucu di mana ada,

Nenekku kawin dengan anak raja.

Cucu-cucu tak dapat lari,

Nenek tua banyak sakti,

Sekarang nenek nak cari ganti,

Siapa yang kena dia yang jadi.

Jangan menyorok lagi. Lariiiiiiiiiiiii……!

– T A M A T –

2 thoughts on “WARIS KEBAYAN

Leave a Reply to Vathi Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s