WARIS KEBAYAN

Bab 11

“Kenapa Shikin?” tanya Pak Aziz sebaik sahaja sampai di bilik air.

“Mak jatuh, terus pengsan,” Ashikin memberitahu sambil memangku kepala Makcik Saleha yang pengsan terbaring di lantai bilik air.

“Jom hantar mak ke hospital la ayah,” kata Along.

Pak Aziz tak jawab, dia sekadar anggukkan kepala. Jelas kelihatan riak risau di wajah ayah.

Along dan Achik mengangkat Makcik Saleha, terus masuk ke dalam kereta. Angah ikut, duduk kat belakang memangku Makcik Saleha yang masih tak sedar. Pak Aziz duduk di bahagian penumpang di depan. Ashikin dan Achik je tinggal kat rumah sebab kereta tak muat dah. Mereka mampu melihat kereta Along berlalu pergi.

“Ashraf tau tak pasal mak ni?” tanya Achik tiba-tiba.

“Dia tak tahu rasanya. Shikin tak beritahu dia. Tak tahulah kalau ayah ada cakap kat dia,” sahut Ashikin.

“Macammana mak jadi macam tu?” tanya Achik lagi.

“Manalah Shikin tau. Tiba-tiba je.” Sahut Ashikin sambil melangkah ke dapur meninggalkan Achik yang masih di beranda rumah.

Ashikin melihat jam dinding dah pukul 10.30 pagi. Dia mula mengeluarkan ikan dan sayur untuk dimasak. Hari ini ada ramai orang kat rumah, kena masak lebih sikit. Sesekali dia menjenguk Achik yang masih leka bermain telefon di beranda rumah.

Sedang Ashikin memotong sayur, dia terdengar satu bunyi seakan merengus. Ashikin berhenti memotong sayur. Memusingkan badannya mencari arah bunyi tersebut yang seperti hampir sangat dengannya. Ashikin berpusing, memerhati sekeliling. Meremang bulu roma.

“Cucu cucu tak dapat lari, nenek tua banyak sakti,” terdengar nada suara itu lagi. Ashikin mula gelisah. Melilau matanya memerhati sekeliling, dan tiba-tiba dia teringat untuk melihat ke arah kayu alang rumah di ruang tamu. Ashikin menjenguk ke arah pintu dapur yang membolehkan dia memandang ke kayu alang rumahnya. Perlahan-lahan Ashikin mendongak. Dan memang ada seseorang atau sesuatu di sana. Tak sempat Ashikin mengecam apa benda tu sebab kedudukannya yang agak jauh dan gelap di atas sana, tiba-tiba benda tu melompat ke arah Ashikin dan Ashikin terus tak sedarkan diri.

Achik berlari masuk ke rumah bila mendengar suara Ashikin menjerit tapi Ashikin tak kelihatan. Dia memanggil Ashikin tapi tiada sahutan. Dia mencari adiknya itu di dapur, bilik, halaman, beranda, semuanya tiada.

Achik mula cuak. Sebab dia kenal sangat adiknya itu. Nak pergi ke mana pun, memang akan beritahu, dia takkan menghilang macam tu je. Achik hantar whatsapp kat Along, “Along, Ashikin hilang,” Along terus telefon Achik.

“Shikin hilang??? Tiba-tiba je? Tak cuba call handphone dia?” tanya Along.

“Dah call, handphone dia ada je ni. Dia tengah memasak kat dapur, Achik duduk kat beranda luar ni, terdengar dia jerit, tak sampai 5 saat kot Achik masuk rumah dia dah  takde. Sayur bertaburan kat dapur seperti tercampak.” kata Achik.

“Aduhhh… Apa pulak kali ni,” sahut Along.

“Mak macammana?” tanya Achik.

“Mak ok. Doktor kata badan mak kurang nutrisi, macam kurang makan untuk tempoh yang lama. Doktor suruh masuk kat wad tapi mak nak balik, taknak tinggal kat wad katanya.” Sahut Along.

“Lambat lagi ke nak balik?” tanya Achik agak gelisah dan risau.

“Tengah tunggu nak ambil ubat ni. Setengah jam lagi sampai rumah kot,” sahut Along.

Achik melilau ke sekeliling rumah mencari Ashikin. Puas dia melaung memanggil nama adiknya sampaikan Makcik Saemah yang tinggal selang 3 lot dari rumah mereka pun boleh dengar dia memanggil adiknya.

“Kenapa tu Zarul? Ashikin ke mana?” tanyanya.

“Entahlah Makcik Saemah. Tadi ada memasak kat dapur tu, tiba-tiba je hilang,” kata Achik memberitahu.

“Dia keluar kejap kot. Kadang dia ke kedai,” kata Makcik Saemah.

“Iyelah agaknya,” sahut Acik, taknak memanjangkan perbualan sebab risau banyak soalan lain yang Makcik Saemah tanya lagi nanti.

Setengah jam kemudian, kereta Along memasuki perkarangan rumah. Pak Aziz, Angah dan Makcik Saleha keluar dari kereta. Makcik Saleha nampak lebih bertenaga dari pagi tadi, sebelum dia dibawa ke klinik. Pak Aziz pula terus mengambil motorsikalnya dan terus menunggang, pergi tak tahu ke mana.

Achik merapati Along. “Ayah tahu ke?” bisiknya.

“Ayah tahu dah, semua pun tahu dah.” Sahut Along.

“Tu ayah nak ke mana?” tanya Achik.

“Katanya nak pergi panggil Ustaz Shaari semula,” sahut Along, melangkah masuk ke rumah.

“Mak duduk kat sini je. Jangan ke mana-mana, nanti jatuh lagi.” Kata Angah sambil melangkah ke dapur, mengemas keadaan yang berselerak.

Seketika kemudian, Pak Aziz pulang membawa Ustaz Shaari yang membonceng di belakangnya. Ustaz Shaari masuk ke dalam rumah, melilau matanya melihat sekeliling sambil membacakan sesuatu.

“Benda tu dah sorokkan Ashikin. Dia dah terlalu terdesak untuk mencari tuan baru. Ashikin terlalu muda, tak layak untuk dia.” Kata Ustaz Shaari.

“Nak buat macammana ni Ustaz?” tanya Pak Aziz tak sabar, nampak jelas kerisauan diwajahnya, bahkan lebih risau dari ketika dia tahu Makcik Saleha hilang haritu.

Ustaz Shaari merapati Makcik Saleha.

“Kak Leha, saya tahu Kak Leha belum sihat. Tapi Kak Leha kena jawab soalan saya dengan jujur dan tepat,” kata Ustaz Shaari.

“Apa dia? Tanyalah. Kalau saya ingat, saya beritahu,” kata Makcik Saleha.

“Ada ambil apa-apa barang orang tak? Samada terambil tanpa sengaja atau dengan sengaja,” tanya Ustaz Shaari.

“Takde,” sahut Makcik Saleha penuh yakin memandang tepat wajah Ustaz Shaari.

“Ada ambil barang yang orang bagi? Atau ada mimpi apa-apa?” tanya Ustaz Shaari lagi.

Makcik Saleha diam.

“Apa perkara terakhir yang Kak Leha ingat sebelum Kak Leha dibawa pergi oleh dua wanita yang menghantar Kak Leha ke rumah saya pagi tadi?” tanya Ustaz Shaari lagi.

“Perkara terakhir? Mimpi?” Makcik Saleha mengerutkan dahi cuba mengingatkan kembali.

Suasana hening seketika. Masing-masing memberi ruang untuk Makcik Saleha berfikir dan mengingat kembali apa yang terjadi kepada dirinya. Pak Aziz dah ke hulu hilir melangkahnya. Kalau kat Mekah tu, mahu dah ditawafnya kaabah, dah selesai satu rukun haji.

“Seminggu sebelum saya menguruskan jenazah terakhir, saya ada bermimpi tiga malam berturut-turut. Ada bayi perempuan diletakkan di pintu pagar rumah, dan saya cuma lihat saja, saya tak sentuh atau ambil bayi tu sebab ada banyak darah disekitarnya. Lepas tu, saya bermimpi seseorang memberikan saya sehelai kain batik. Juga saya tak ambil, saya tinggalkan di pagar rumah.” Cerita Makcik Saleha perlahan-lahan, sedikit demi sedikit dia cuba mengingati. Semua yang ada di situ dia mendengar cerita Makcik Saleha.

“Mimpi saja? Yang betul-betul, ada ambil barang orang tak? Atau ada orang bagi barang tak?” tanya Ustaz Shaari lagi.

“Lepas selesai uruskan jenazah terakhir tu, anak arwah ada berikan saya sebentuk cincin delima sebagai upah. Saya tolak tapi katanya arwah maknya berhajat dan berpesan agar cincin delima tu diberi kepada sesiapa saja yang menguruskan jenazahnya nanti. Disebabkan itu, saya ambil. Sebab itu hajat arwah. Tapi takkanlah sebab itu. Barang lain saya takde ambil atau takde orang bagi. Khairat Kematian je la yang bagi saya upah dan sepersalinan telekung. Itu je,” kata Makcik Saleha.

“Siapa jenazah terakhir yang Kak Leha uruskan?” tanya Ustaz Shaari.

“Bidan Piah,” sahut Makcik Saleha.

“Mana cincin delima tu?” tanya Ustaz Shaari lagi.

Makcik Saleha bangun dan melangkah ke dalam bilik. Seketika kemudian dia keluar membawa satu kotak kecil lalu menyerahkan kepada Ustaz Shaari.

“Apa terjadi lepas Kak Leha terima cincin ni?” tanya Ustaz Shaari lagi.

“Badan saya rasa panas dan lemah. Sesekali rasa sakit di dada, sesak nafas. Tidur malam rasa macam ada benda menindih. Setiap kali solat, tak boleh khusyu’ sebab seperti ada sesuatu yang bergerak mundar mandir di belakang. Saya ingatkan itu adalah akibat dari dosa yang saya tak sedar sepanjang saya menguruskan jenazah. Sebab tu saya nak berhenti kerja menguruskan jenazah.” Kata Makcik Saleha lagi. Ingatannya seperti kembali pulih.

Pak Aziz duduk di sebelah Makcik Saleha. Memang Makcik Saleha ada mengadu semua tu kepada Pak Aziz, tapi Pak Aziz kata itu cuma perasaannya saja. Sebab itu Makcik Saleha tak hiraukan sangat tentang apa yang dia rasakan.

Sampailah satu hari, ketika Makcik Saleha sedang tidur di satu malam, dia terdengar  ada bunyi seseorang di dapur. Dia ingat mungkin Ashraf atau Ashikin, sebab mereka berdua selalu tidur lewat. Tapi sebaik sahaja dia ke dapur, dia terasa seperti ada sesuatu yang berdiri di atas bahunya. Makcik Saleha dapat dengar satu suara garau menyebut bait-bait lagu nenek kebayan. Cucu-cucu tak dapat lari, nenek tua banyak sakti, sekarang nenek nak cari ganti, siapa yang kena dia yang jadi.

Makcik Saleha cuba memanggil Pak Aziz tapi suaranya tak keluar. Sesuatu yang berdiri di atas bahunya tiba-tiba melompat ke hadapannya. Seorang nenek tua yang dah bongkok, dengan rambut putih mengerbang, gigi bertaring putih, kulit menggerutu dan hidungnya panjang hingga bengkok di hujungnya. Rupanya amat menyeramkan.

Nenek tua itu memegang satu tongkat, dikepala tongkat tu ada kepala manusia. Makcik Saleha cuba lari, nenek tu menarik kaki Makcik Saleha hingga Makcik Saleha terjatuh dan terus tak sedarkan diri. Hinggalah dia dikejutkan oleh dua orang wanita di dalam sebuah hutan dan wanita itulah yang membawanya pergi dan menjaganya hingga dia dihantar pulang ke rumah Ustaz Shaari.

Meremang bulu roma mereka yang mendengar cerita Makcik Saleha.

Ustaz Shaari membuka kotak kecil yang diberi oleh Makcik Saleha sebentar tadi. Ada sebentuk cincin delima dengan warna merah yang cantik di dalamnya. Angah merapati cincin tersebut dengan wajah seakan terpukau dengan kecantikan cincin tersebut.

Ustaz Shaari menutup kembali kotak cincin tersebut. Dan Angah tiba-tiba terduduk seolah dia tak sedar ketika dia merapati cincin itu tadi.

“Anak-anak Mak Piah tak tinggal kat rumah tu lagi kan bang?” Ustaz Shaari bertanya Pak Aziz. Pak Aziz gelengkan kepala.

“Rumah tu dah mereka jadikan homestay. Tapi takde orang nak tinggal kat homestay tu. Semua yang tinggal kat rumah tu kata rumah tu berhantu. Anak-anak dia pun taknak tinggal kat rumah tu. Tapi mereka taknak jual juga sebab sayangkan harta pusaka maknya,” kata Pak Aziz.

“Jom kita pergi rumah anak sulungnya. Anak sulung dia tinggal tak jauh dari rumah arwah kan?” tanya Ustaz Shaari.

“Haah. Jom saya bawakkan ke sana,” kata Pak Aziz sambil mengambil kunci motor dan keluar bersama Ustaz Shaari.

“Along nak ikut ayah,” kata Along.

“Achik pun” kata Achik pula.

“Tak payah, jaga mak kamu kat rumah.” Kata Pak Aziz. Dan Ustaz Shaari pun mengangguk mengiyakan.

Along dan Achik akur.

– Bersambung –

2 thoughts on “WARIS KEBAYAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s