WARIS KEBAYAN

Bab 10

Tiba-tiba terdengar suara Angah menjerit memanggil Makcik Saleha. Pak Aziz dan Ashikin berlari ke ruang tamu. Along pula berlari masuk dari luar rumah. Kelihatan Angah dan Achik memandang ke alang rumah.

“Mak buat apa kat atas tu mak?” kata Angah sambil mendongak ke alang rumah.

Ashikin dan Pak Aziz turut memandang ke arah yang sama. Kelihatan Makcik Saleha sedang mencangkung di atas alang rumah sambil memerhatikan semua yang berada di situ.

“Leha?” Pak Aziz memanggil.

Dalam kekalutan tu, terdengar bunyi enjin motor memasuki halaman rumah Pak Aziz. Semua mata memandang ke arah motor tersebut. Kelihatan Ustaz Shaari sedang memberhentikan motornya dan memberi salam kepada mereka yang berada di situ.

Pak Aziz menghampiri Ustaz Shaari dan memberitahu sesuatu. Ustaz Shaari masuk ke dalam rumah dan melihat Makcik Saleha di atas kayu alang rumah.

“Astaghfirullahal aziim,” terdengar Ustaz Shaari beristighfar.

“Lela, turun ke bawah. Ni Ustaz datang nak tengokkan Leha,” kata Pak Aziz dengan nada memujuk.

“Itu bukan Kak Leha,” kata Ustaz Shaari membuatkan semua yang berada di situ sekali lagi memandang ke arah Ustaz Shaari.

“Apa maksud Ustaz itu bukan mak kami?” tanya Angah.

Ustaz Shaari diam. Dia berpeluk tubuh sambil memejamkan mata dengan mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. ‘Makcik Saleha’ yang sedang mencangkung di atas kayu alang rumah mendengus kasar, matanya memandang tajam ke arah semua orang yang berada di situ. Matanya putih tanpa mata hitam, rambutnya putih, kulitnya hitam dan kaki tangannya kelihatan menggerutu.

Angah dah menangis tersedu-sedu melihat keadaan maknya begitu. Susah untuk dia terima kata-kata Ustaz Shaari bahawa itu bukan Makcik Saleha.

“Lebih baik kamu pergi sebelum aku hancurkan kamu dengan ayat Allah. Kami tak perlukan kamu di sini,” tiba-tiba Ustaz Shaari bersuara tanpa memandang ‘Makcik Saleha’ yang sedang merangkak ke hulu ke hilir di atas kayu alang sambil merengus marah, seolah serigala yang nak menerkam mangsa buruannya.

“Aku taknak cakap banyak kali. Kamu faham apa aku cakap. Ini tempat kami, kamu takkan menang,” kata Ustaz Shaari lagi.

“Aku takkan pergi. Aku mahu tuan aku. Dia yang suruh aku tunggu,” ‘Makcik Saleha’ bersuara dengan nada garau.

“Tuan kamu dah takde. Pergilah ke tempat asal kamu, dia dah tak perlukan kamu,” kata Ustaz Shaari lagi.

“Aku dah bersama tuan aku berpuluh tahun, takkan dia nak tinggalkan aku begitu saja,” kata ‘Makcik Saleha’ sambil ke hulu hilir merangkak di atas kayu alang rumah Pak Aziz.

Ustaz Shaari mengangkat kakinya agak tinggi dan menghentak tumit kakinya ke lantai dan serentak dengan itu ‘Makcik Saleha’ menjerit kuat, seram bunyinya. Sesiapa sahaja yang mendengarnya pasti meremang bulu roma.

“Pergi!” Ustaz Shaari bersuara perlahan tapi tegas.

“Tidak!” ‘Makcik Saleha’ melawan.

“Kalau begitu, aku terpaksa hancurkan kamu,” kata Ustaz Shaari seakan mengugut.

“Aku bawa sekali tubuh ini,” kata ‘Makcik Saleha’, juga mengugut.

Ustaz Shaari membuka matanya yang merah dan dia seperti menggeletar menahan marah.

“Kau jin yang menumpang di tubuh manusia, berani kau ugut aku?” Ustaz Shaari bersuara marah.

‘Makcik Saleha’ diam. Dia berhenti merangkak. Dia mencangkung. Seketika kemudian terdengar suaranya perlahan menyanyikan lagu nenek kebayan. Tak sempat lagu itu habis, Ustaz Shaari melaungkan azan, membuatkan ‘Makcik Saleha’ merangkak laju ke bumbung rumah dan terus hilang.

“Dia dah pergi?” bisik Pak Aziz kepada Ustaz Shaari.

“Belum” kata Ustaz Shaari.

“Habis tu? Dia bawa Kak Leha kau ke mana?” tanya Pak Aziz lagi.

“Abang jangan risau, Kak Leha selamat. Jin tu cuma berani mengugut,” kata Ustaz Shaari.

“Jadi, yang tadi tu bukan mak kami?” tanya Achik.

“Bukan,” sahut Ustaz Shaari.

“Mak kami mana?” tanya Angah.

“Ada orang menjaganya,” sahut Ustaz Shaari.

“Perlu buat report polis tak ni?” tanya Pak Aziz lagi.

“Tak perlu,” sahut Ustaz Shaari.

Mereka semua yang berada di situ berpandangan sesama sendiri.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba terdengar suara seorang wanita memberi salam dari luar rumah. Suara itu amat dikenali.

Semua yang berada di situ menjawab salam dan terus menjenguk keluar rumah. Makcik Saleha berdiri di luar rumah bersama dengan Ustazah Umaira, isteri Ustaz Shaari.

Along, Angah dan Achik terus menerpa keluar rumah mendapatkan Makcik Saleha yang kelihatan agak lemah dan pucat. Mereka lalu memimpin Makcik Saleha masuk ke dalam rumah. Ashikin sahaja yang masih tak berani mendekati Makcik Saleha. Dia memandang Makcik Saleha dengan wajah cuak.

“Jangan takut. Ini mak kamu,” kata Ustaz Shaari sambil tersenyum memandang Ashikin.

“Ustaz?” Pak Aziz memanggil Ustaz Shaari meminta penjelasan. Ustaz Shaari memberi isyarat tunggu sekejap.

“Shikin, pergi ambilkan air untuk mak,” kata Pak Aziz. Ashikin memandang Pak Aziz dengan wajah serba salah. Namun dia tetap melangkah ke dapur dan mengambil air kosong. Matanya melilau melihat keliling termasuk kayu alang rumah. Macam terpandang-pandang Makcik Saleha bertenggek mencangkung di sana.

Ashikin menyerahkan segelas air kepada Angah. Angah memberikan Makcik Saleha minum.

“Sebaik saja saya sampai ke rumah lepas solat subuh tadi, ada dua orang wanita datang ke rumah saya. Mereka membawa Kak Leha bersama mereka. Mereka kata Kak Leha telah di’kurung’ oleh jin jahat yang telah bertahun hidup di kalangan manusia. Mereka telah melepaskan Kak Leha dari ‘kurungan’ jin jahat dan membawa Kak Leha pulang bersama mereka. Mereka menjaganya dengan baik selama ini. Cuma mereka tak boleh menjaganya terus memandangkan Kak Leha bukan dalam kalangan mereka. Sebab itu mereka menghantarnya pulang selepas solat berjemaah bersama-sama kita di masjid pagi ni,” kata Ustaz Shaari.

Sekali lagi semua yang berada di situ memandang Ustaz Shaari dengan mulut terlopong, tak faham apa yang Ustaz Shaari cuba sampaikan.

“Maaf Ustaz, kami tak faham. Mak pergi mana? Mak di’kurung’ oleh siapa? Mak bukan dalam kalangan ‘mereka’? Siapa ‘mereka’ tu? Kenapa ‘mereka’ jaga mak?” pertanyaan demi pertanyaan terpacul dari mulut Angah.

“Dalam dunia ini, selain dari manusia dan makhluk lain yang kita nampak, ada lagi makhluk Allah yang lain yang kita tak dapat lihat dengan mata kasar. Mereka datang dari kalangan jin. Jin ni macam kita juga, ada jahat ada baik. Cuma kita tak dapat lihat mereka. Kerana itulah kita sebagai umat islam wajib percayakan alam ghaib. Di situlah baru kita sedar betapa kuasa Allah meliputi segalanya termasuk yang kita tak dapat lihat, kerana segalanya ciptaan Allah,” kata Ustaz Shaari.

“Maksud ustaz, mak kami dijaga oleh jin?” tanya Angah.

“Iye. Yang kita selalu sebut sebagai ‘bunian’. Bunian ini juga sejenis jin, mereka sama macam kita, solat berpuasa. Mak kamu di’kurung’ oleh jin jahat yang mengikutnya balik. Tapi disebabkan mak kamu bukanlah tapak sesuai untuk jin jahat itu, maka dia cuba mencari tapak baru. Tapi dia terpaksa ‘mengurung’ mak kamu hingga dia berjumpa ‘tapak’ atau ‘tuan’ baru. Mak kamu bernasib baik kerana ditemui oleh masyarakat jin atau bunian dan selamat di dalam jagaan mereka hingga pagi ini,” kata Ustaz Shaari tak jemu menjawab soalan-soalan pelik dari anak-anak Pak Aziz.

“Sejak bila mak kami di’kurung’ dan ditemui tu?” tanya Along.

“Yang itu kita kena tanya mak kamu. Dia saja yang tahu,” kata Ustaz Shaari.

“Kalau ini mak kami, yang semalam kami bawa balik tu apa?” tanya Achik.

“Itulah jin jahat yang mengikut dan mengurung mak kamu. Dia berjaya memperdayakan kamu,” kata Ustaz Shaari.

“Maknanya semalam Angah tidur dengan ……?” kata Angah sambil jarinya menunjuk ke arah tempat dia berbaring semalam sambil memeluk Makcik Saleha.

Semua yang ada di situ diam. Masing-masing kelu. Hinggalah tiba-tiba Makcik Saleha memanggil Ashikin. Semua yang berada di situ berpandangan sesama sendiri. Ashikin lagi la takut, dia yang banyak berjumpa dengan Makcik Saleha sejak dua menjak ni, Ashikin memandang Pak Aziz dan Ustaz Shaari silih berganti.

“Pergilah, jangan risau. Itu mak kamu,” kata Ustazah Umaira sambil menepuk bahu Ashikin yang teragak-agak nak merapati Makcik Saleha.

“Tapi Shikin takut. ‘Benda’ tu selalu kacau Shikin. Siang malam. Selalu nyanyi lagi nenek kebayan tu. Macam jampi serapah pulak,” kata Ashikin, tak tertahan rasa hatinya menyimpan rahsia tu lagi.

“Betul, itu adalah cara dia menarik perhatian. Setiap kali dia berjumpa dengan ‘tapak’ yang dia suka, dia akan nyanyi lagu tu. Seolah sejenis pukau. Makin kerap dia menyanyikan lagu tu, makin mudah dia perdaya ‘tapak’ baru yang dia suka, maka akan mudahlah dia memasuki tubuh ‘tapak’ barunya,” kata Ustaz Shaari membuatkan Ashikin semakin meremang bulu roma.

“Maksud ustaz, dia suka Shikin?” tanya Pak Aziz.

“Berkemungkinan besar. Alhamdulillah, Allah melindungi Shikin,” kata Ustaz Shaari.

“Maknanya Shikin dan ayah memang dah tahu pasal ‘nenek kebayan’ ni sebelum kami balik ke sini?” tanya Angah.

“Iye Angah. Cuma ayah taknak ceritakan pada kamu sebab taknak kamu risau atau takut,” sahut Pak Aziz.

“Maknanya masa Angah dan Achik tidur dengan ‘mak’ semalam, Shikin dan Ayah tahu itu bukan mak? Dan ayah tak beritahu bahawa kami tidur dengan jelmaan jin tu?” tanya Achik pula.

“Ayah minta maaf, bukan ayah taknak beritahu. Ayah sendiri tak tahu samada itu mak kamu atau bukan,” sahut Pak Aziz.

Achik mengusap mukanya, menahan rasa seram. Begitu juga Angah, pucat mukanya. Along je nampak macam tenang sikit, mungkin sebab dia dah nampak ‘benda’ tu pagi tadi dan dia tak tidur di tepi Makcik Saleha semalam. Cuma dia terasa seram juga bila memikirkan ‘benda’ tu duduk kat tempat duduk di belakang kereta nya semasa dia memandu semalam. Lepas ni tiap kali naik kereta tu, mesti terbayang-bayang.

Tiba-tiba Makcik Saleha bangun dari duduknya. Semua orang pun dah lupa kat Makcik Saleha yang baru balik tadi. Masing-masing yang berada di situ memandang Makcik Saleha dengan pandangan lain macam dah.

“Yang ini saya jamin, memang mak kamu. Jangan tengok dia macam tu,” kata Ustaz Shaari sambil tersenyum.

Ashikin merapati Makcik Saleha. “Mak?” panggilnya perlahan. Makcik Saleha melangkah ke dapur.

“Mak nak ke mana?” tanya Ashikin.

“Mak nak mandi, lepas tu mak nak baring sekejap. Badan mak rasa nak demam,” sahut Makcik Saleha.

Ashikin segera mengambilkan tuala mandi Makcik Saleha dan mengikut maknya ke bilik air.

“Sebenarnya apa benda yang mengganggu mak kami tu Ustaz?” tanya Along yang sejak tadi diam.

“Susah nak cakap. Yang pasti jin tu dah hidup di dalam kalangan manusia sejak lama. Usianya mungkin dah beratus tahun.” Kata Ustaz Shaari.

“Tadi dia dah lari kan? Maknanya dia dah pergi?” tanya Achik pula.

“Dia masih ada. Kena cari dia sebelum dia mengganggu orang lain. Dan dia mungkin sedang dalam ketakutan, jadi dia mungkin akan bertindak lebih jauh dari apa yang kita fikirkan.” Kata Ustaz Shaari.

“Macammana nak cari dia?” tanya Along.

“Yang itu saya perlu tanya mak kamu. Dia yang tahu benda tu berasal dari mana. Kita tak perlu cari ‘dia’, kita cuma perlu hapuskan tempat tinggalnya,” kata Ustaz Shaari.

“Manalah mak kami tahu. Dah dia pun kena kurung, kan Ustaz yang cakap tadi?” kata Angah pula.

Ustaz Shaari diam. Pak Aziz memandang sinis ke arah Angah.

“Beginilah, biar mak kamu berehat sekejap, mungkin betul dia rasa nak demam tu. Maklumlah entah dah berapa lama dia duduk di alam yang tak sama dengannya. Nanti petang lepas asar saya datang lagi,” kata Ustaz Shaari.

“Tapi mak kan baru semalam je hilang?” tanya Achik lagi masih tak begitu faham dengan situasi masa tu.

“Jasad mak kamu memang baru semalam hilangnya. Tapi kita tak tahu sejak bila rohnya dah terikat dengan ‘benda’ tu,” kata Ustaz Shaari sambil bangun dari duduk.

Pak Aziz bagi isyarat kat anak-anaknya suruh berhenti bertanya. Dan masing-masing diam, memandang Ustaz Shaari dan Ustazah Umaira meninggalkan perkarangan rumah mereka.

“Mak!” tiba-tiba terdengar suara Ashikin menjerit. Semua yang berada di situ berlari ke bilik air.

– Bersambung –

2 thoughts on “WARIS KEBAYAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s