WARIS KEBAYAN

Bab 9

Along bingkas bangun dari kerusi. Nampak sangat Along terkejut. Ashikin pulak, dia dah biasa terkejut sejak kebelakangan ni. Hampir tercampak tepung yang dah dibancuhnya tadi.

“Eh, mak? Mak dah bangun? Bila mak datang dapur, tak perasan pulak,” kata Along sambil kembali duduk di kerusi, pura-pura seolah dia tak terkejut.

Makcik Saleha melangkah menuruni tiga tingkat anak tangga ke dapur. Dia melangkah perlahan ke arah Ashikin dan Along. Ashikin cuba buat-buat macam takde apa, sambil memotong pisang dan memasukkannya ke dalam bancuhan tepung dalam besen. Sebenarnya tangan dia menggeletar. Along dah diam terkelu sambil memandang langkah Makcik Saleha dari hujung mata je, tak berani nak pandang terus.

Makcik Saleha berhenti di belakang Ashikin. Ya Allah, menggeletar lutut Ashikin masa tu. Cuma sebab Along ada je yang membuatkan dia masih berani berdiri di situ. Kalau Along takde, memang dia bukak langkah seribu dah.

Makcik Saleha mengangkat tangannya dan meletakkannya di bahu Ashikin. Ashikin terjerit sikit, terkejut dalam ketakutan.

“Kenapa ni mak?” tanya Along. Makcik Saleha tak menjawab. Along memandang Ashikin yang dah macam nak menangis rupanya sebab tangan Makcik Saleha masih di atas bahunya. Namun tangan Ashikin masih tak berhenti menggaul pisang dalam tepung.

“Mak ok ke?” tanya Along lagi.

“Cucu cucu tak dapat lari, nenek tua banyak sakti, sekarang nenek nak cari ganti, siapa yang kena dia yang jadi,” Makcik Saleha menyanyi lagu tu lagi dan lepas tu dia meniup ke arah rambut Ashikin. Masa tu Ashikin dah hilang sabar, dia terus menepis tangan Makcik Saleha dari bahunya dan bergerak menjauhkan diri dari Makcik Saleha. Along memandang Ashikin tapi dia pun turut bangun dari kerusinya.

“Sejak bila pula mak suka nyanyi lagu budak-budak ni mak? Kenapa mak nampak lain macam sangat ni?” tanya Along lagi.

Makcik Saleha memusingkan kepalanya dan memandang tepat ke wajah Along. Along pula nampak cuak dan menggelabah. Makcik Saleha melangkah mendekati Along. Sampai kat Along, Makcik Saleha melangkah perlahan mengelilingi Along, melihat Along dari kepala ke kaki dan dari kaki ke kepala. Selepas itu Makcik Saleha kembali merenung Ashikin.

Makcik Saleha melangkah perlahan ke arah Ashikin. Ashikin tak tunggu lama, dia terus lari ke arah pintu dapur dan terus lari ke ruang tamu tempat Angah dan Achik sedang tidur. Ashikin pasang lampu. Kelihatan Makcik Saleha masih berbaring di antara Angah dan Achik.

Along muncul dari dapur, turut sama melihat ke arah Makcik Saleha yang sedang berbaring dan kemudian Along melihat ke dapur semula silih berganti.

“Bukan mak kat dapur ke tadi? Cepatnya mak datang baring kat sini balik?” tanya Along dengan nada berbisik kepada Ashikin. Ashikin angkat bahu.

Masa Along berdiri berhadapan dengan Ashikin, dia membelakangkan pintu dapur dan masa itu jugalah Ashikin nampak Makcik Saleha muncul di belakang Along, tapi dia seakan terawang-awang, tidak menjejak tanah.

Ashikin tak mampu bersuara. Dia menggeletar dan matanya dibulatkan sambil jarinya menunjukkan ke arah Makcik Saleha di belakang Along. Along pula tak perasan, memandang ke arah Ashikin sambil buat isyarat ‘apa dia?’

Ashikin nampak Makcik Saleha yang berada di belakang Along semakin meninggi. Kakinya dilantai dapur yang perlu dituruni tiga anak tangga dan kepala Makcik Saleha dah mencecah ke siling dapur.

“Along, mak kat belakang Along,” kata Ashikin sambil menggigil.

Along dengan pantas menoleh ke belakang dan terus jatuh terduduk. Along tak mampu bergerak masa tu. Makcik Saleha yang di dapur dengan tubuh yang tinggi tu memandang Along dengan mata yang merah, dan seolah mahu menerkam Along bila-bila masa sahaja. Ashikin dah menangis. Dan masa itulah Angah tersedar. Dan masa itu juga kedengaran bunyi azan subuh dilaungkan di masjid.

Makcik Saleha yang pelik di dapur dari hilang entah ke mana. Along masih dengan kedudukan tadi. Dan Angah pula memandang Along dan Ashikin silih berganti dengan wajah pelik.

“Kenapa pasang lampu ni? Kan mak tidur ni? Korang nak sembang, pergilah sembang kat dapur nun, kenapa buat bising kat sini?” kata Angah sambil menggosok-gosok matanya.

Ashikin tak jawab, dia melangkah ke arah Along. Ashikin pegang bahu Along dan menolong Along membetulkan duduknya.

“Apa benda tadi tu?” tanya Along dengan wajah yang masih pucat.

Ashikin meletakkan jarinya di bibir memberi isyarat supaya Alongnya diam. Dan kemudian Ashikin menunjukkan ke arah Makcik Saleha yang sedang berbaring di ruang tamu. Angah pula dah berbaring semula.

Ashikin bangun dan menutup lampu di ruang tamu. Ashikin melangkah perlahan ke pintu dapur, melihat sekeliling dan kemudian turun ke dapur. Along mengikutnya.

“Siapa tadi tu Shikin? Apa benda tu? Kenapa dia rupa macam mak? Kan mak ada berbaring di sana?” tanya Along bertalu-talu.

“Yang baring kat depan tu pun belum tentu mak,” sahut Ashikin berbisik. Along membeliakkan matanya memandang Ashikin dan kemudian menjenguk Makcik Saleha yang berbaring di ruang tamu.

“Habis tu siapa?” tanya Along, juga berbisik.

“Along, tunggulah hari cerah sikit baru Shikin beritahu. Atau tunggu ayah yang bagitahu. Sekarang ni Shikin pun masih menggeletar pasal tadi, jantung pun tak betul berdegup lagi. Shikin solat dulu, lepas solat Shikin goreng pisang ni dan bancuh air. Nanti ayah balik, sarapan tak siap lagi,” kata Ashikin sambil menutup besen bancuhan goreng pisangnya dengan tudung saji dan berlalu ke bilik air sambil diperhatikan oleh Along yang masih terpinga-pinga.

Selesai solat subuh, Ashikin kembali ke dapur. Angah pun dah bangun dan sedang membancuh air kopi dan menggoreng pisang.

“Angah pergilah solat dulu, biar Shikin sambung,” kata Ashikin.

Angah tak cakap banyak, terus melangkah ke bilik air setelah Achik keluar dari sana.

“Mak, bangun mak. Dah nak siang ni. Mak belum solat subuh lagi,” terdengar suara Angah memanggil Makcik Saleha menyuruhnya bangun. Ashikin dan Along berpandangan sesama sendiri.

Along bangun, menjenguk ke ruang tamu tempat Makcik Saleha sedang berbaring. Makcik Saleha tak bergerak.

“Angah pergi solat dulu. Nanti Along kejut mak,” kata Along. Angah terus masuk bilik Ashikin untuk solat. Achik pula solat kat bilik Pak Aziz.

Ashikin melihat jam, hampir pukul 7 pagi. Dia terus menghidangkan kopi dan goreng pisang panas di atas meja.

“Along nak kejut mak ke?” tanya Ashikin bila melihatkan Alongnya memerhati tubuh Makcik Saleha yang sedang berbaring tanpa bergerak tu.

“Along takut la,” sahut Along. Entah kenapa Ashikin rasa nak tergelak melihat wajah Alongnya yang memang cuak habis.

Achik keluar dari bilik Pak Aziz dan terus merapati tubuh Makcik Saleha. “Mak,” panggilnya perlahan. Makcik Saleha tak bergerak.

Ashik memegang bahu Makcik Saleha lalu menggoncangnya sedikit. Juga tak bergerak.

“Mak?” Panggilnya lagi dengan nada yang agak kuat dan menggoncang tubuh Makcik Saleha dengan agak kuat juga. Pun Makcik Saleha tak bergerak.

Angah keluar dari bilik lalu membuka semua tingkap di ruang tamu.

“Laaaa… Mak tak bangun lagi?” tanyanya bila melihat tubuh Makcik Saleha masih berbaring.

“Achik dah kejut, mak tak bergerak sikit pun,” kata Achik lalu bangun.

“Mak demam kot,” sahut Angah sambil mendekati Makcik Saleha. Dia memegang dahi Makcik Saleha, menyentuh tangan Makcik Saleha.

“Sejuk je tubuh mak ni,” kata Angah lagi.

“Biarlah dulu, mak penat sangat kot,” kata Achik sambil melangkah ke dapur dan diikuti oleh Angah.

“Ayah tak balik lagi?” tanya Achik kepada Ashikin. Ashikin geleng kepala.

“Kau ni dah kenapa Along? Dari Achik bangun tadi muka cuak semacam je. Kau nampak hantu ke apa?” tanya Achik sambil menepuk belakang Along. Along diam je sambil merenung ke luar tingkap, melihat matahari terbit.

“Sama je Along dengan Shikin tu. Shikin tu lagi la, dari semalam kita sampai muka dah macam apa dah, lepas tu mengigau baca ayat Qursi kuat-kuat. Along dan Achik tidur mati, tak sedar apapun,” kata Angah sambil menuangkan air kopi ke dalam cawan.

“Takde apalah Angah. Shikin terkejut tengok Along Angah dan Achik sampai waktu macam tu. Ingatkan pagi ni baru bergerak dari KL.” Kata Ashikin mengubah topik.

“Macammana mak boleh hilang Shikin? Mak lari dari rumah ke? Mak gaduh dengan ayah ek?” tanya Angah.

“Mana ada gaduh. Mak keluar pagi tu sebab nak uruskan anak Makcik Tipah yang baru bersalin. Lepas tu terus tak balik,” kata Ashikin ringkas.

“Uruskan anak Makcik Tipah bersalin? Sejak bila pulak mak jadi bidan ni? Bukan kata mak dah nak berhenti kerja ke? Tukar bidang lain pulak?” tanya Achik pula.

“Entahlah, mak kata mak dah biasa kerja. Bila tak kerja, dia macam rasa bosan kot. Tu yang dia nak kerja balik. Shikin pun takdelah nak sembang dengan Along Angah dan Achik pasal ni. Ingatkan biar ayah atau mak sendiri yang beritahu,” kat Ashikin.

“Iye jugak, bosan kot duduk rumah sebab mak dah biasa kerja,” sahut Along.

“Tapi kenapa nak jadi bidan pula?” tanya Angah.

“Entah, mak kata jadi bidan lagi senang dari uruskan jenazah,” sahut Ashikin lagi.

“Tiba-tiba je?” tanya Angah lagi macam tak puas hati. Ashikin mengangguk.

Seketika kemudian terdengar suara Pak Aziz memberi salam. Pak Aziz masuk melalui pintu dapur.

“Ayah, jom sarapan sekali,” ajak Achik.

Pak Aziz terus duduk di kerusi bersama anak-anaknya, menghirup kopi yang dibuat oleh Angah tadi. Angah memang mewarisi kepandaian Makcik Saleha membancuh air kopi. Sedap sungguh.

“Mak kamu mana?” tiba-tiba Pak Aziz bertanya.

“Tu masih baring kat ruang tamu. Kami dah kejut tapi tak bergerak pun. Nak kata demam, tak panas pun badannya,” kata Angah.

Pak Aziz bangun lalu melangkah ke ruang tamu. Seketika kemudian, Pak Aziz datang ke dapur semula. “Mana ada mak kamu kat ruang tamu tu” Kata Pak Aziz membuatkan semua yang berada di dapur bangun dan menjenguk ke ruang tamu tempat Makcik Saleha berbaring tadi.

Pak Aziz memandang ke arah Ashikin. Begitu juga Along. Ashikin angkat bahu dan geleng kepala menandakan dia tak tahu.

“Eh, tadi mak ada kat sini. Tak dengar pula bunyi mak bangun,” kata Angah sambil mengangkat bantal yang semalamnya dibaring oleh Makcik Saleha.

“Ayah tak panggil Ustaz Shaari ke?” bisik Ashikin kepada Pak Aziz.

“Ustaz Shaari kata lepas sarapan dia datang,” kata Pak Aziz, juga berbisik.

“Lepas ayah pergi tadi, jelmaan mak tu muncul lagi. Kali ni Along pun nampak,” kata Ashikin masih berbisik membuatkan Pak Aziz memandangnya sambil mengerutkan dahi.

– Bersambung –

2 thoughts on “WARIS KEBAYAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s