WARIS KEBAYAN

Bab 8

Ashikin dan Pak Aziz memanjangkan leher menjenguk ke arah orang yang bersama dengan Along. Along memimpin tangan orang itu yang berjalan perlahan sambil terbongkok-bongkok. Dari pakaiannya memang itulah pakaian Makcik Saleha masa dia keluar dari rumah untuk pergi ke rumah Makcik Tipah pagi tadi.

“Leha?” Pak Aziz memanggil perlahan.

Makcik Saleha mengangkat wajahnya dan memandang ke arah Pak Aziz dan semua yang berada di situ. Makcik Saleha tak menyahut, dia kembali tunduk dan melangkah sambil dipimpin oleh Along lalu terus masuk ke dalam rumah diikuti oleh Angah dan Achik. Sedangkan Ashikin dan Pak Aziz masih berdiri di pintu, tak berganjak sambil memandang ke arah Makcik Saleha. Ashikin melihat jam dinding, hampir pukul 4.30 pagi.

“Ayah, Shikin, kenapa tercegat kat situ lagi? Marilah masuk. Takde apa dah, mak dah balik ni ha.” Kata Angah.

Pak Aziz memberi isyarat menyuruh Ashikin masuk ke dalam rumah. Ashikin akur. Dia duduk jauh dari Makcik Saleha yang sedang terlentok di bahu Angah yang sedang memeluknya. Pak Aziz menutup pintu lalu duduk di kerusi di hadapan Makcik Saleha. Dipandangnya Makcik Saleha dengan wajah penuh tandatanya.

“Leha, awak ke mana dari pagi tadi?” tanya Pak Aziz memandang tepat ke wajah Makcik Saleha. Makcik Saleha tak jawab bahkan dia tak memandang Pak Aziz pun.

“Mak, jawablah. Ayah tanya tu,” kata Along.

Makcik Saleha masih diam. Matanya melilau melihat sekeliling rumah.

“Mak penat kot. Bagi dia rehat dulu. Shikin bentangkan tilam kat sini, biar Angah tidur dengan mak,” kata Angah.

Ashikin lantas bangun dan mengambil beberapa keping tilam yang berlipat dan bersusun elok di tepi dinding dalam bilik Makcik Saleha. Memang Makcik Saleha menyimpan semua bantal dan tilam di situ untuk kemudahan anak-anak dan cucunya bila mereka balik ke rumah itu.

Setelah dibentangkan tilam, Angah membawa Makcik Saleha baring di atas tilam. Along dan Achik pun baring di situ juga. Ashikin pandang Pak Aziz dengan wajah cuak.

“Kamu jumpa mak kamu kat mana tadi?” tanya Pak Aziz kepada Along setelah Makcik Saleha berbaring di tilamnya.

“Kat tepi sungai tepi hutan jalan nak masuk ke kampung ni. Masa tu Along tak perasan pun ada orang. Achik yang nampak. Sebab tak terlintas pun di fikiran bahawa akan ada orang yang berjalan-jalan di situ pada waktu macam ni. Masa Achik nampak tu, kami pun was-was nak berhenti sebab dia berjalan terbongkok-bongkok macam nenek tua sangat. Along drive perlahan masa nak melintasi orang tu, masa tu la mak menoleh pandang kami. Kami pun terkejut nampak mak kat situ waktu macam ni. Terus kami berhenti dan pergi dekat mak,” kata Along menceritakan detik pertemuannya dengan Makcik Saleha.

“Tapi rupa mak agak pelik masa tu kan Along? Dia pandang kami semacam je. Macam nak terkam orang pun ada. Mak sesat kot, lepas tu dia ketakutan. Tu yang jadi macam tu agaknya.” tanya Achik pula.

“Iyelah ayah. Masa dalam kereta pun mak tak bercakap apapun. Kami tanya pun mak buat tak tahu. Lepas tu bau busuk sangat, tak tahulah ke mana mak dah pergi seharian ni. Sian mak,” sahut Angah pula yang masih berbaring di sebelah Makcik Saleha.

“Macammana mak boleh hilang ayah? Ayah gaduh dengan mak ke?” tanya Along. Ashikin yang masih duduk di tepi dinding biliknya terus memandang wajah Pak Aziz yang seolah serba tak kena tu.

“Panjang ceritanya. Korang pergilah tidur dulu, penat perjalanan jauh. Esok kita sembang lagi,” kat Pak Aziz sambil bangun dari duduknya dan melangkah masuk ke biliknya.

“Ayah, betul ke itu mak? Shikin macam tak yakin je. Dia tak berani pandang muka ayah pun,” kata Ashikin berbisik kepada Pak Aziz. Pak Aziz memberi isyarat menyuruhnya diam.

“Kamu masuk tidur kat dalam bilik kamu,” kata Pak Aziz.

Ashikin akur. Dia masuk ke biliknya. Walaupun hatinya masih takut, tapi dia cuba untuk tidak bertindak ataupun bercakap apa-apa yang membuatkan abang dan kakaknya tahu tentang punca kehilangan Makcik Saleha.

Ashikin membaringkan tubuhkan di atas katil. Matanya memang tak mengantuk. Tadi dia berasa gembira bila abang dan kakaknya balik tapi sekarang hatinya cuak semula bila abang dan kakaknya membawa pulang Makcik Saleha yang dia sendiri tak pasti samada itu Makcik Saleha maknya atau nenek kebayan yang menyerupai Makcik Saleha.

Sedang Ashikin terkebil-kebil dalam kegelapan tu, tiba-tiba dia terdengar bunyi pintu biliknya ditolak dari luar. Ashikin dah kecut perut. Pintu biliknya terbuka luas tapi dia tak nampak kelibat sesiapa yang melangkah masuk ke dalam biliknya.

“Cucu cucu tak dapat lari, nenek tua banyak sakti, sekarang nenek nak cari ganti, siapa yang kena dia yang jadi,” telinga Ashikin menangkap suara garau itu lagi. Ahhh.. Sudahhhhh… ! Ashikin cuak. Dia pejamkan matanya kuat-kuat.

Suara tu berulang-ulang lagi, sampai ianya seolah-olah betul kat tepi telinganya. Ashikin buka mata, dan ternyata nenek tua dengan rambut putih mengerbang tu ada di depannya, hampir dengan wajahnya! Ashikin tak dapat bersuara, rasa nak bernafas pun macam tak boleh dah. Dada Ashikin sakit.

Ashikin terasa sesuatu yang menggerutu menyentuh tangannya. Ashikin kaku di situ, pejamkan mata dan menanti apa yang bakal berlaku. Dalam kepasrahan itu, dalam tak sedar dia membacakan surah Qursi yang sebenarnya dia sendiri tak tahu apa yang sedang dibacanya. Sebab itulah surah yang sedang lalu di fikirannya. Diulangnya baca dengan nada yang kuat, makin kuat dan makin kuat.

Hingga tiba-tiba lampu biliknya terpasang.

“Kau dah kenapa Shikin? Macam orang nampak hantu. Menjerit macam apa dah,” kata Angah di tepi Ashikin yang berpeluh sejuk. Mukanya pucat.

Ashikin memanjangkan lehernya menjenguk ke luar bilik. Dia nampak Along dan Achik sedang tidur. Dia menjenguk lagi mencari seseorang.

“Mak mana?” tanya Ashikin.

“Ada tidur kat luar tu. Kenapa?” tanya Angah.

Ashikin menggelengkan kepala. “Shikin bermimpi je,” sahut Ashikin.

“Dah nak subuh dah ni. Tu mimpi syaitan la tu, tak bagi kau bangun solat subuh,” kata Angah dengan nada mengusik sambil melangkah keluar dari bilik Ashikin dan berbaring semula di sebelah Makcik Saleha. Ashikin tersenyum kelat, terus bangun dari katil, lalu melangkah keluar.

Ashikin lihat jam dinding dah pukul 5.30 pagi. Sempat juga dia menjeling ke arah Makcik Saleha yang sedang berbaring di antara Angah dan Along. Tak tahulah kenapa, hatinya tak rasa orang yang dibawa balik oleh abang dan kakaknya sebentar tadi ialah maknya.

Ashikin terus melangkah ke dapur yang dah terang benderang. Kat dapur dia terdengar bunyi paip air berpasang di bilik air. Itu mesti Pak Aziz yang memang kebiasaannya bangun pada masa itu dan terus bersiap untuk ke masjid.

Ashikin menjerang air dan melihat sekeliling kalau ada apa-apa yang boleh dimasak untuk dibuat  sarapan, maklumlah pagi ni ramai kat rumah. Dan Ashikin memang telah diajar oleh Makcik Saleha untuk rajin ke dapur memasak. Makcik Saleha kata, anak gadis ni, pandai macammana pun dia tetap kena pandai buat kerja dapur. Walaupun dia bergaji besar, ada orang gaji dua tiga orang, tapi dia tetap kena memasak untuk keluarga. Pembantu rumah adalah pembantu sahaja, bukan yang membuat segalanya. Kita yang perlu memasak, biar air tangan kita yang dimakan oleh ahli keluarga kita, bukan orang luar.

Sedang Ashikin mengupas pisang untuk digoreng, Pak Aziz keluar dari bilik air.

“Kamu nak buat apa tu Shikin?” tegur Pak Aziz.

“Shikin nak goreng pisang ni ayah. Ayah nak pergi solat kat masjid ke?” tanya Ashikin.

“Hajatnya begitulah. Semalam maghrib dan isya’ pun ayah tak pergi. Kamu boleh tinggal kat rumah dah kan? Along, Angah dan Achik dah ada tu.” Kata Pak Aziz.

“Boleh ayah. Ayah pergilah. Tapi ayah..” kata Ashikin terhenti di situ.

“Tapi apa?” tanya Pak Aziz menatap wajah anaknya.

“Ayah yakin ke itu adalah mak?” tanya Ashikin berbisik sambil matanya menjeling ke arah pintu dapur bagi memastikan tiada siapa di sana.

“Ayah pun tak pasti. Itupun salah satu sebab tu ayah nak juga pergi masjid ni. Ayah nak jumpa Ustaz Shaari,” sahut Pak Aziz.

“Elok juga tu. Shikin dah tak tahan dah rasa takut sepanjang masa kat rumah sendiri macam ni ayah. Ni kalau jumpa mak betul pun Shikin dah tak pasti Shikin kenal ke tak. Tu yang kat depan tu pun, tak tahu la Shikin nak pandang dia macammana,” kata Ashikin.

“Shikin, siapa pun dia, dia tetap makhluk ciptaan Allah, hamba Allah. Dia takde apa-apa kelebihan pun dari kita. Ingat, jangan takut pada makhluk lain selain Allah. Itu syirik,” kata Pak Aziz membuatkan Ashikin beristighfar panjang.

“Dah, lepas ayah bersiap ni, ayah terus ke masjid. Kamu jaga diri. Kalau boleh, jangan cakap apa-apa kat abang dan kakak kamu dulu ye,” kata Pak Aziz meninggalkan pesan.

“Baik ayah,” sahut Ashikin, kembali menyambung mengupas kulit pisang.

“Jangan cakap apa ayah?” tiba-tiba je Along muncul dari ruang tamu. Ashikin dan Pak Aziz berpandangan sesama sendiri.

“Takde apa Along. Ayah nak pergi masjid solat subuh. Kamu nak ikut?” tanya Pak Aziz.

“Tak kot ayah, kepala berdenyut-denyut ni. Mungkin tak cukup tidur,” sahut Along.

“Takpelah, solat kat rumah je. Nanti lepas sarapan, makan ubat,” kata Pak Aziz. Along menganggukkan kepalanya sambil melangkah turun dari anak tangga di pintu dapur, menuju ke bilik air.

“Ayah pesan apa tadi Shikin? Jangan cakap pasal siapa?” tanya Along bila dia keluar dari bilik air.

“Takde apa. Memang setiap kali ayah nak pergi masjid, ayah pesan macam tu,” kata Ashikin cuba menutup cerita tentang Makcik Saleha.

“Tapi kenapa Along rasa lain macam je rupa Shikin dan ayah sejak Along sampai semalam. Macam ada sesuatu yang tak kena,” kata Along lagi, masih mahu mencungkil rahsia.

“Kan Along sampai tengah malam, kami tengah tidur. Memang la muka lain macam,” sahut Ashikin sambil tangannya lincah membancuh tepung untuk menggoreng pisang.

“Dan mak pun lain macam je. Terus terang Along cakap, masa nampak mak kat tepi sungai semalam, hati Along kata itu bukan mak. Tapi sebab Angah dan Achik terus bawa mak naik kereta, Along pun ikut je la,” cerita Along lagi.

“Kenapa pula Along rasa macam tu?” tanya Ashikin. Dia pula yang nak mengorek rahsia.

“Pertamanya, apa mak buat kat situ waktu macam tu? Mak orang kampung ni, takkan sesat. Keduanya, masa kami jumpa mak, rupa dia macam orang tua sangat, bukan rupa macam mak. Mak kita taklah tua macam tu. Ketiga, mak tak cakap sepatah perkataan pun. Dia asyik tengok kami bertiga dengan pandangan macam tak pernah nampak kami. Keempat, masa mak masuk kereta, bau busuk ya amat. Sampai Along buka cermin tingkap, tak pakai aircond dah. Kelima, Along intai mak yang duduk kat belakang Along dari cermin tengah tu, muka mak lain macam. Rambutnya macam putih mengerbang, kulitnya hitam. Memang macam bukan mak la. Dan yang Keenam, bulu roma Along meremang sepanjang dalam kereta lepas mak masuk,” kata Along panjang lebar dalam nada berbisik seperti taknak sesiapa dengar.

Ashikin diam.

Tiba-tiba mereka terasa seperti ada kelibat seseorang di pintu dapur. Ashikin dan Along menoleh. Makcik Saleha sedang berdiri di sana sambil memerhati mereka berdua.

– Bersambung –

2 thoughts on “WARIS KEBAYAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s