WARIS KEBAYAN

Bab 7

Aku offkan call dari mak aku.

“Sekejap, aku call ayah aku beritahu aku nak pergi ke rumah kau,” kata Ashikin. Aku angguk kepala je. Aku pun dah tak sabar nak keluar dari rumah tu.

Lepas mendapat izin dari ayahnya, Ashikin mengikut aku balik rumah aku. Mak aku dah siap berhidang dah.

“Korang ni dah solat zohor ke belum?” mak aku bagi soalan pertamanya.

“Belum lagi mak. Macammana nak solat, kami nak bergerak pun takut,” sahutku.

“Takut apa?” tanya mak aku lagi. Ashikin jeling kat aku.

“Takde apalah mak. Nanti lepas makan Ain dan Shikin pergi solat ye. Laparlah mak, sian kami,” kata aku sambil memegang perut kat mak aku. Mak aku jeling je. Tapi tetap tolong kaukkan nasi dari periuk masuk ke mangkuk.

“Shikin makan ye. Jangan malu-malu. Buat macam kat rumah sendiri. Makcik nak berehat kat ruang tamu sekejap,” kata mak aku. Kat Ashikin, lembut pula nada suaranya. Kat aku suaranya macam singa lapar je, pakej sekali dengan jelingan maut. Ni yang buat aku jeles ni.

Lepas makan, kami solat. Lepas tu aku bagi Ashikin baca novel aku.

Lebih kurang pukul 6.00 petang, ayah Ashikin telefon, suruh Ashikin balik. Ashikin akur. Kayuh basikalnya balik ke rumah. Aku tak ikut dah. Rasanya lepas ni aku tak berani nak pergi ke rumah dia dah. Tapi sampaikah hati aku nanti?

Sebaik je Ashikin hilang dari pandangan, mak aku tepuk belakang aku. Melompat aku terkejut.

“Mak ni, janganlah tepuk orang macam tu. Terkejut tau. Rasa nak jatuh dah jantung ni. Nanti jantung jatuh, mati pulak anak mak yang seorang ni. Mak juga yang sunyi nanti,” kataku buat muka tak suka mak aku tepuk aku macam tu.

“Elleh, mak tepuk macam tu pun nak terkejut sampai jantung jatuh. Tengok cerita hantu korea tengah malam buta, lepas tu menjerit tengah tidur sampai peluk mak, tak takut pulak?” perli mak aku.

“Mak, takut dengan terkejut perkara lain-lain mak. Citer hantu tu takut. Mak tepuk tiba-tiba ni namanya terkejut. Terkejut lagi bahaya dari takut mak,” sahutku.

“Kalau pasal menjawab, kaulah paling pandai. Harap-harap result SPM nanti kau dapat A+++ dalam bahasa melayu,” kata mak aku lagi, masih perli aku.

Aku taknak jawab dah. Mak aku memang suka usik aku kadang tu sampai aku rasa nak menangis. Mana tak nangisnya, nak lawan tak boleh sebab itu mak. Kang tak masuk syurga pulak aku. Memang la aku tak pandai belajar, tapi aku nak jugak masuk syurga.

“Ain, ada apa-apa perkara yang berlaku kat rumah Ashikin ke? Mak macam rasa ada yang tak kena je,” kata mak aku memulakan misi mengorek rahsia.

Dah beberapa aku terlanjur cakap kan, mestilah mak aku dah rasa sesuatu. Mak ni, kalau tak cakap apapun, dia akan tahu. Tak payah la korang try harder nak kelentong mak korang, dia mesti tahu punya, pusing la ikut celah mana pun. Samada dia nak tanya korang atau tak je. Memang itu sakti kehormat yang Tuhan bagi kepada setiap mak.

Aku pun apa lagi, macam nak tersumbat otak aku, macam nak pecah dah jantung aku menyimpan rahsia ni. Aku cerita semuanya kat mak aku. Dari Makcik Saleha berkelakuan pelik, sampai makan uri tu, munculnya nenek tua iras Makcik Saleha nyanyi lagi nenek kebayan tu, semualah. Takde satu pun tercicir. Melopong mak aku mendengarnya.

“Habis tu, Makcik Saleha sekarang kat mana? Dah jumpa?” tanya mak aku lagi. Dalam wajah cuak tu, ada rupa risau juga.

“Belum lagi. Ashikin kata nak report polis pun kena tunggu 24 jam.” Kata aku sambil mengambil remote tv dan tukar channel lain. Mak aku ketuk tangan aku dan rampas remote semula. Ditukarnya balik cerita ‘Kanchan Kirana’ yang sedang ditontonnya tadi. Tak taulah dah berapa kali aku tengok mak aku tengok cerita tu. Tak jemu ke? Aku yang tak tengok beriya ni pun rasa macam nak muntah tengok cerita yang sama.

Ayah aku takde kat rumah. Kalau ayah aku ada, dia akan suruh mak aku biar je aku nak tengok channel yang mana aku suka. Sebab 6 bulan kot sebelum SPM aku tak tengok tv. Masa tu mak aku buat muka sebab ayah aku back up aku. Hahaha…

Kat rumah Ashikin……

“Bila ayah boleh buat report?” tanya Ashikin selepas soalt maghrib berjemaah dengan Pak Aziz.

“Paling awal pun esok pagi,” kata ayah.

“Ayah dah bagitahu kat Along, Angah dan Achik pasal mak hilang ni?” tanya aku lagi.

“Ayah pun tak tahu lagi samada nak beritahu mereka atau tak. Nanti mereka risau pula. Terus balik ke sini. Walhal tetiba nanti mak kamu balik, takde yang serius. Kesian pula diorang tergesa-gesa balik.” kata ayah.

“Ayah, samada serius atau tak, ayah kena beritahu mereka. Kalau mak balik, Alhamdulillah. Kalau mak tak balik? Dan lepas tu kita report polis? takkan masa tu baru nak beritahu mereka?” tanya Ashikin lagi. Pak Aziz diam.

“Biar Shikin whatsapp kat group family kita tu. Lepas tu ikut suka merekalah nak balik atau tak. Sekurang-kurangnya kita dah beritahu,” kata Ashikin lagi. Dan Pak Aziz masih dia. Buntu dah akalnya nak mencari Makcik Saleha.

Tadi, Pak Aziz dan beberapa orang kampung dah pergi mencari Makcik Saleha. Mereka berjumpa dengan basikalnya di tepi sungai kat pinggir kampung. Seberang sungai tu adalah hutan. Mereka dah berpecah, ada yang cari dalam hutan, ada yang menyusuri sungai, tapi tak jumpa Makcik Saleha.

Sekarang ni hari dah malam. Kat manalah Makcik Saleha, dah makan ke? Kesejukan ke? Ketakutan ke? Sebak dada Ashikin memikirkan maknya.

“Ayah, Along Angah dan Achik kata mereka nak balik sini. Malam ni mereka gerak dari rumah mereka. Mereka balik bertiga je, naik sebiji kereta.” Kata Ashikin memaklumkan Pak Aziz setelah membaca balasan mesej dari abang dan kakaknya. Pak Aziz diam sambil memandang ke luar rumah sambil mengira biji tasbih di tangannya.

“Kat manalah mak kamu ni. Moga Allah melindungi dia, walau dimana dia berada, walau apapun keadaannya,” kata Pak Aziz perlahan.

“Aamiin…  In Shaa Allah ayah. Mak tu orang baik, Allah pasti jaga mak,” kata Ashikin menenangkan hati ayahnya walaupun dia sendiri goyah. Tak sabar rasanya nak tunggu pagi untuk buat laporan polis.

“Kamu tidurlah Shikin. Ayah nak buat solat hajat. Moga mak kamu ditemui selamat,” kata Pak Aziz tatkala jam dinding dah menunjukkan pukul 12 malam. Ashikin akur, dia memang mengantuk tapi dia tahu dia takkan dapat lena. Dia mesti asyik memikirkan pasal Makcik Saleha.

Di tengah malam, Ashikin terjaga bila terdengar bunyi periuk jatuh di dapur. Ashikin tengok jam, pukul 3.30 pagi. Ashikin bangun dan cuba meneliti bunyi tu sekali lagi. Dan memang bunyi tu datang dari dapur. Bunyi seperti seseorang sedang makan di dapurnya. Ashikin bangun, melangkah ke arah pintu bilik lalu membukanya. Melihat ke ruang tamu yang gelap, hanya disinari lampu dari beranda rumah.

Ashikin melangkah ke pintu bilik Pak Aziz, mengetuknya beberapa kali. Tiba-tiba kedengaran bunyi pinggan pecah di dapur dan dalam tak sedar Ashikin berlari ke dapur. Dalam hatinya terfikirkan bahawa ayahnya sedang makan sebab dari semalam ayahnya tak makan.

Tapi bila melihatkan keadaan dapur yang gelap, Ashikin menjadi takut.

“Ayah?” panggilnya perlahan.

Dan Ashikin terdengar bunyi seperti seseorang menghirup kuah. “Ayah ke tu? Kenapa tak pasang lampu?” Ashikin memberanikan diri bersuara lagi. Kali ni dia nampak sesuatu yang bergerak di bawah sinki dapur. Bulu roma Ashikin meremang, dia berundur beberapa tapak ke belakang.

Ashikin nampak seseorang, sedang terbongkok-bongkok di bawah sinki sedang makan dari periuk nasi. Beberapa keping pinggan kaca dan cawan bertaburan di lantai. Sedang dia mengundur beberapa tapak tu, tiba-tiba dia terlanggar seseorang. Dia nak melompat dah tapi mulutnya ditutup oleh seseorang.

“Shhh…. Diam. Ayah ni,” kata Pak Aziz melepaskan tekupan tangannya di mulut Ashikin.

“Ayah, ada orang kat dapur, sedang makan dari perik nasi. Dia kat tepi sinki,” kata Ashikin memberitahu.

“Kamu tunggu sini. Biar ayah pergi tengok,” kata Pak Aziz masih berbisik.

“Shikin takut, Shikin ikut ayah,” kata Ashikin sambil memaut lengan ayahnya dan mengikut sekali langkah Pak Aziz. Masa ni hilang dah rasa malunya nak berpegangan tangan dengan ayahnya.

Pak Aziz melangkah perlahan ke dapur. Di muka pintu, dia berhenti dan memerhati dalam kesamaran di dapur. Pak Aziz meraba-raba suis lampu kat tepi pintu dapur. Terang benderang dapur tu. Tiada siapa di sana. Tapi periuk dan pinggan kaca yang pecah bertaburan.

“Ayah, tadi memang ada seseorang kat situ. Tengoklah periuk dan pinggan yang pecah tu,” kata Ashikin yakin dengan apa yang dilihatnya tadi walaupun dalam kesamaran cahaya, sekadar cahaya jalan yang masuk melalui celahan tingkap kaca.

Pak Aziz tak jawab. Dia terus melangkah ke arah kaca dan periuk yang berselerakan. Diangkatnya satu persatu. Ketika Ashikin nak membantunya, dia menghalang.

“Shikin pergi masuk bilik. Biar ayah je yang kemas semua ni,” kata Pak Aziz.

“Shikin takut,” sahut Ashikin.

Setelah selesai mengemas, tiba-tiba kedengaran bunyi enjin kereta di halaman rumah. Ashikin berlari ke ruang tamu, memetik suis lampu dan menjenguk ke luar melalui tingkap. Kelihatan kereta Along di halaman rumah.

“Ayah. Along dah sampai,” kata Ashikin memberitahu ayahnya. Pak Aziz muncul dari dapur ketika Ashikin sedang membuka kunci pintu rumah. Terserlah keriangan di wajah Ashikin sebab abang dan kakaknya balik. Hilang rasa takutnya sekejap tadi.

“Assalamualaikum ayah,” Kelihatan Angah keluar dari pintu kereta belakang, manakala Along dan Achik duduk di depan.

“Waalaikumussalam. Kenapa tak tunggu siang baru balik? Kan bahaya memandu malam-malam macam ni.” kata Pak Aziz ketika Angah dan Acik bersalaman dengannya.

Along pula setelah keluar dari kereta terus membuka pintu kereta di bahagian penumpang belakang.

“Siapa pulak tu?” tanya Pak Aziz bila melihat seseorang keluar dari pintu kereta yang dibuka oleh Along.

“Mak, kami jumpa sedang berjalan-jalan dalam gelap kat tepi hutan dekat sungai tu tadi. Terus kami bawa balik.” Sahut Angah membuatkan Ashikin dan Pak Aziz berpandangan sesama sendiri.

– Bersambung –

2 thoughts on “WARIS KEBAYAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s