WARIS KEBAYAN

Bab 6

Aku diam. Bila mendengarkan cerita Ashikin tu, aku pulak yang cuak. Takut pulak aku nak masuk ke rumah Ashikin. Tiba-tiba je aku rasa rumah tu nampak seram, walaupun matahari terpacak kat atas kepala.

“Jomlah masuk rumah aku. Kenapa berhenti kat sini?” tanya Ashikin bila aku berhenti melangkah di anak tangga kedua nak masuk ke rumah dia.

“Kau panggil aku, macamlah aku berani sangat,” kata aku. Tiba-tiba rasa nak lari balik rumah.

“Habis tu aku nak panggil siapa pulak?” tanya Ashikin. Aku akur, melangkah masuk ke rumah Ashikin.

“Kau nak duduk kat ruang tamu ni je atau nak ikut aku kat dapur? Aku nak masak ni. Tadi mak aku dah pesan, dia balik nak makan. Kang mak aku balik aku tak siap masak lagi, membebel lagi dia,” kata Ashikin.

“Tadi bukan kau kata mak kau dah jadi lain ke? Yang kata dia makan uri tu?” kataku lagi masih tak dapat nak fikir suasana Makcik Saleha makan uri tu.

“Entahlah, aku tak rasa mak aku yang makan uri tu. Ada hantu kot yang menyerupai mak aku,” kata Ashikin.

“Kalau itu bukan mak kau, habis mak kau mana?” tanya aku lagi. Ashikin tak jawab.

Aku tengok je Ashikin memasak. Aku tak nafikan bahawa Ashikin lebih pandai dalam bab memasak dan buat kerja rumah ni. Dia memang cekap. Lepas goreng ikan, dia tumis pucuk paku. Laju je tangannya kupas bawang bagai, kalau akulah, nak makan pukul 12, aku kena duduk kat dapur dari pukul 8 pagi. Nak kupas kulit  bawang 3 biji pun ambil masa setengah jam. Itu yang mak aku selalu marah kat aku, terhegeh-hegeh katanya. Dan sebab terhegeh-hegeh tu la mak aku buat semua, malas dia nak suruh aku. Dan sebab mak aku buat semua tu lah, aku makin tak pandai. Iyelah, bila nak pandai, kalau dah semuanya mak aku buat kan?

Sedang aku ralit memerhati Ashikin memasak, tiba-tiba terdengar derap kaki seseorang melangkah masuk di pintu rumah Ashikin. Tak tahulah kenapa, bulu tengkuk aku meremang, sejuk je rasa tengkuk aku walaupun panas merening di bawah atap zink rumah Ashikin.

Aku menoleh ke arah bunyi derap kaki tu. Aku nampak Makcik Saleha sedang berdiri terpaku melihat ke arah aku. Aku terus bangun.

“Makcik dah balik? Minta maaf makcik, saya duduk kat tangga. Saya datang temankan Ashikin je. Dia takut duduk sorang-sorang,” kataku.

Ashikin menoleh ke arah aku. “Siapa Ain?” tanyanya.

“Ni mak kau dah balik.” Sahutku.

Ashikin melangkah beberapa tapak ke arah aku dan menjenguk melihat ke ruang tamu.

“Mana?” tanya Ashikin lagi. Masa ni aku tengok balik kat tempat aku nampak Makcik Saleha berdiri tadi. Iyelah, dah takde sesiapa kat situ.

“Tadi ada kat situ,” kataku.

“Kau ni Ain, mengalahkan aku pulak,” kata Ashikin sambil berhenti meninjau ke ruang tamu dan melangkah balik ke dapurnya. Belum sempat Ashikin melangkah, terdengar bunyi seseorang menghirup air. Aku dan Ashikin terus memandang ke arah bunyi itu, kami nampak Makcik Saleha sedang bercangkung di atas meja sambil menghirup kuah masak lemak yang Ashikin dah hidang kat atas meja.

Terbeliak mata aku dan Ashikin. Kami masing-masing tak bersuara. Jangankan nak bersuara, nak bergerak pun tak mampu dah. Nak lari? Kaki kami melekat kat lantai.

Seketika kemudian, Makcik Saleha mengangkat mukanya memandang ke arah aku dan Ashikin. Aku rasa macam aku nak terkencing dah masa tu.

Makcik Saleha melompat turun dari meja. Dalam keadaan merangkak, dia menghala ke arah kami. Ya Tuhan, masa tu tak tahu nak cakap apa perasaan aku. Memang rasa nak mati dah. Boleh pulak Makcik Saleha mengelilingi kami, laksana monyet besar sedang membelek benda pelik yang tak pernah dilihatnya.

“Cucu-cucu tak dapat lari…… Hihihi…

Nenek tua banyak sakti……. Haaaaaaa……

Sekarang nenek nak cari ganti…….

Siapa yang kena, dia yang jadi….”

Ashikin menjerit bila tangan Makcik Saleha memegang bahunya. Aku pula masih keras kat situ. Mujurlah suasana itu tak lama bila tiba-tiba Pak Aziz muncul dan melaungkan azan. Jelmaan nenek tua seperti Makcik Saleha itu kelihatan merangkak ke dinding dan terus hilang.

Pak Aziz menepuk dahi aku tiga kali, barulah aku terduduk. Lepas tu Pak Aziz merapati Ashikin, membacakan surah Al-Fatihah dan meniupkan di ubun-ubun kepala Ashikin. Ashikin terus terduduk longlai. Sempat aku sambut dia walaupun aku pun longlai sama.

“Ayah…. Tadi…..,” Ashikin cuba memberitahu Pak Aziz tapi Pak Aziz suruh Ashikin diam.

“Ayah dah nampak. Kamu pergi ajak Ain ni masuk bilik dulu. Sekejap lagi Ustaz Shaari datang,” kata Pak Aziz.

“Dah jumpa mak ke?” tanya Ashikin. Pak Aziz geleng kepala.

Aku ikut Ashikin masuk ke biliknya.

“Apa benda tadi tu Shikin?” tanya aku sebaik sahaja Ashikin menutup pintu bilik.

“Aku tak tahu Ain. Itulah yang aku selalu nampak sejak mak aku berhenti jadi tukang urus jenazah tu. Ashraf dan ayah aku pun pernah nampak tapi aku rasa akulah yang paling kerap nampak,” kata Ashikin.

“Kenapa dia nyanyi lagu tu? Seram pula rasanya. Selalunya kalau kita main sambil nyanyi lagu tu, takdelah rasa seram macam ni,” kata aku.

“Kan. Memang masa mula-mula aku dengar mak aku nyanyi lagu tu, maksud aku jelmaan mak aku tu, aku ingatkan mak aku nak main-main. Tapi bila dia nyanyi dengan suara garau, tempo pun tak sama, tune tak kena, dah jadi seram pulak,” sahut Ashikin.

“Shikin, kau ingat tak ada satu malam minggu lepas masa kita bervideo call. Masa tu aku nak tunjuk kat kau novel-novel baru aku yang aku beli kat pesta buku tu.” aku buka cerita yang aku dah simpan sejak minggu lepas.

“Hah, kenapa dengan novel-novel kau tu? Dah habis baca ke? Bagi aku pinjam,” kata Ashikin sambil mengurut-ngurut kakinya yang krem kejap tadi.

“Ni bukan pasal novel tu. Ni pasal video call tu,” sahut aku. Sebenarnya aku serba salah nak beritahu kat Ashikin, takut dia tersinggung.

“Kenapa dengan video call tu?” tanya Ashikin lagi.

“Kan aku kata aku nampak seseorang kat belakang kau? Tapi kau kata mana ada sesiapa sebab masa tu mak kau sedang solat isya’,” kata aku membuatkan Ashikin berhenti menggosok kakinya dan memandang aku.

“Haah, aku ingat. Kau nampak siapa?” tanya Ashikin. Dia dah ingat pasal malam tu, itu kali terakhir mereka bervideo call.

“Aku nampak mak kau kat belakang kau. Dia duduk membongkok sambil memandang ke arah kau yang sedang berbual dengan aku. Tapi rupa mak kau masa tu agak seram, dengan rambut putih mengerbang, tangannya hitam dan menggerutu. Dia duduk dan pandang kau macam nak terkam kau dari belakang. Aku ingat lagi kau toleh ke belakang masa tu, tapi kau kata takde apa,” kata aku membuka cerita yang menyebabkan aku dah taknak bervideo call dengan Ashikin.

“Tapi masa tu memang aku tengok kat belakang aku, memang takde apa,” kata Ashikin masih dengan pendapatnya.

“Ok, aku ada skrinshot gambar kau masa dalam video call tu. Dan memang nenek tu ada kat belakang kau. Sekejap aku cari balik gambar tu,” kata aku sambil membuka galeri telefon aku. Aku jumpa beberapa skrinshot yang aku ambil masa bervideo call dengan Ashikin.

Berubah air muka Ashikin bila melihat gambar tu.

“Aku taknak bagitahu kau masa tu sebab nombor satu kau takkan percaya, nombor dua, aku taknak kau takut, nombor tiga aku taknak kau kecik hati. Aku tak bagi sesiapapun tengok gambar ni. Aku cuma simpan sebagai bukti nak tunjuk kat kau satu hari nanti,” kataku memujuk Ashikin. Tiba-tiba rasa serba salah pulak.

Ashikin terus membelek gambar tu. Kejap di zoomnya, kejap diterbalikkannya. Dan tiba-tiba pintu bilik Ashikin diketuk. Aku melompat naik ke katil, dan handphone aku di tangan Ashikin terpelanting ke depan, terlepas dari tangan Ashikin. Terkejut punya pasal.

“Shikin, mari keluar sekejap. Ni Ustaz Shaari dah datang,” terdengar suara Pak Aziz dari luar bilik. Aku cepat-cepat ambil telefon aku, mujur tak jatuh atas benda keras. Kalau tak, berderai telefon aku.

Ashikin tarik satu tudung yang tersangkut kat belakang pintu biliknya lalu menyarung ke kepalanya. Dia lantas membuka pintu dan menjenguk keluar. Kelihatan Pak Aziz dan Ustaz Shaari sedang berdiri di luar bilik.

“Dah jumpa mak ke ayah?” tanya Ashikin kepada Pak Aziz. Pak Aziz masih menggelengkan kepala.

“Macam ni, sekarang dah nak masuk waktu zohor. Ayah nak solat di masjid dan nak minta tolong orang kampung carikan mak kamu. Kamu boleh duduk kat rumah ni sendiri? Ain boleh temankan Ashikin sekejap tak? Sementara pakcik pergi masjid dan cari Makcik Saleha?” tanya Pak Aziz sambil memandang wajah aku dan Ashikin silih berganti.

“Boleh pakcik, Ain temankan Ashikin,” sahut aku tanpa berfikir. Iyelah kawan baik aku sedang dalam kesusahan. Takkan aku nak tinggalkan Ashikin sendirian.

“Ayah pergilah. Shikin tunggu kat rumah dengan Ain,” sahut Ashikin pula.

Pak Aziz dan Ustaz Shaari keluar dari rumah dan melangkah seiringan menuju ke arah masjid. Aku dan Ashikin cepat-cepat tutup pintu. Dan kami duduk di ruang tamu.

“Shikin, kalau benda tu datang lagi, kita jangan panik tau. Kita lawan dia. Tengok apa jadi. Mak aku kata, hantu tak keluar di siang hari sebab dia takutkan matahari. Nanti dia terbakar kalau kena matahari.” Kata aku memberi semangat kepada Ashikin.

“Kau tu banyak sangat tengok cerita hantu melayu dan korea. Cuba kau tengok cerita hantu orang putih, siang buta pun mereka keluar.” Sahut Ashikin menyangkal kata-kata aku.

“Tapi sebenarnya hantu memang tak keluar siang. Kan ustaz pun cakap masa kita sekolah, hantu akan keluar sebelah malam lepas maghrib macam tu,” kata aku lagi masih bertegas dengan pendapat aku.

“Ustaz tak kata hantu la, Ustaz kata hantu tak wujud. Yang wujud syaitan dan jin,” sahut Ashikin lagi. Aku diam. Ashikin memang pandai, aku je yang selalu nak bagi pendapat kononnya akan menang.

Tiba-tiba terdengar bunyi orang ketawa terbahak-bahak. Ashikin dah cuak, air mukanya dah berubah. Aku angkat telefon aku, bagi isyarat kat Ashikin bahawa itu bunyi telefon aku. Ashikin jeling aku.

“Hello, Ain, kamu kat mana? Kan mak dah pesan balik sebelum zohor? Kamu ni kalau dapat keluar rumah, memang tak ingat jalan balik kan? Elok sangatlah anak dara keluar di tengahari buta macam ni?” Aku menjauhkan sikit telefon dari telinga aku. Tak sempat aku jawab salam mak aku dah bertempik kat telefon.

“Mak, Ain kat rumah Shikin lagi ni. Dia ada masalah sikit. Ain temankan dia sekejap ye. Nanti Pak Aziz dah balik, Ain balik,” kata aku memujuk mak. Silap aku juga, sebab tadi aku janji balik sebelum zohor. Kot iye pun tak dapat balik, telefonlah mak aku kan. Takdelah dia risau.

“Makcik Saleha mana?” tanya mak aku dengan suara yang agak lembut sikit dari tadi, walaupun ada saki baki marah dalam nadanya.

“Makcik Saleha hilang,” sahutku.

“Hilang???” tanya mak aku balik. Ashikin jegilkan mata kat aku, sambil buat isyarat suruh jangan cakap kat sesiapa yang Makcik Saleha hilang.

“Panjang ceritanya mak. Nanti Ain balik, Ain beritahu mak,” kata aku memujuk mak lagi.

“Kamu dah makan ke?” mak aku tanya.

“Belum mak. Lapar ni,” kataku, baru terasa perut lapar bila mak aku tanya. Mengada-ngada kan?

“Ashikin tu dah makan?” tanya mak aku lagi.

“Belum juga. Tadi dia dah masak tapi lepas tu ada benda …..” Ashikin ketuk kaki aku sekali lagi bagi isyarat supaya jangan cakap.

“Benda apa?” tanya mak aku lagi.

“Takde apa mak. Kucing bawa lari ikan dia.” Sahut aku.

“Mari sini, ajak Ashikin sekali. Makan kat sini je. Mak dah siap masak ni,” kata mak aku.

Mak aku tu baik. Cuma aku je yang belum cukup baik. Mak ni, kalau dia marah, itu tandanya dia sayang kita. Tapi anak-anak ni suka memberontak, kononnya mak ni terlalu mengongkong la, tak open minded la, tak sporting la. Mak ni, dia pernah jadi anak. Dia tahu apa akibat setiap sesuatu. Dia nak kita jadi orang baik.

“Kamu dengar tak apa mak cakap ni Ain?” tiba-tiba mak aku bersuara.

“Iye mak, Ain dengar. Nanti Ain ajak Shikin ke sana. Itupun kalau dia nak,” kata aku.

“Bagi mak cakap dengan Shikin,” kata mak aku. Aku pun terus bagi telefon kat Ashikin.

“Shikin, meh sini makan kat rumah makcik. Datang tau. Takdenya mak dan ayah kamu marah. Macamlah mak ayah kamu tak kenal dan tak biasa dengan makcik. Datang ye,” kata mak aku memujuk Ashikin.

“Baik makcik. Nanti Shikin datang,” sahut Ashikin.

– Bersambung –

2 thoughts on “WARIS KEBAYAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s