WARIS KEBAYAN

Bab 5

Sampai di pintu dapur, Ashikin memanjangkan lehernya menjenguk ke dapur. Matanya melilau melihat sekeliling. Dan dia ternampak sesusuk tubuh di sebalik dinding menuju ke bilik air. Melihatkan dari pakaian tu, Ashikin rasa itu Makcik Saleha.

Ashikin turun tangga kayu, melangkah perlahan ke arah susuk di sebalik dinding tu. Takut memang takut tapi memandangkan hari masih siang, Ashikin memberanikan diri. Mana ada hantu keluar di siang hari kan?

“Mak?” Ashikin memanggil perlahan.

Dan susuk tubuh itu berpaling memandang ke arah Ashikin. Dan ternyata itu memang Makcik Saleha.

“Mak buat apa kat sini? Bukan pagi tadi mak pergi ke rumah Makcik Tipah ke? Tadi Makcik Tipah datang cari mak sebab mak dah janji nak pergi ke rumah dia hari ni,” kata Ashikin.

Makcik Saleha melangkah perlahan ke arah Ashikin sambil kepalanya meliuk lentuk melihat Ashikin dengan pandangan tajam sambil tersenyum manis. Makcik Saleha mengelilingi Ashikin, memandang Ashikin dari atas ke bawah, dari bawah ke atas, membuatkan Ashikin rasa tak selesa dipandang begitu.

“Mak dah kenapa?” tanyanya.

“Aku suka kamu.” Kata Makcik Saleha masih berjalan perlahan mengelilingi Ashikin.

“Mak?” panggil Ashikin perlahan.

“Kamu mahu ikut aku?” tanya Makcik Saleha lagi.

“Ikut mak pergi mana?” tanya Ashikin masih terpaku di situ.

“Aku jaga kamu, kamu jaga aku. Kita saling menjaga. Aku bagi banyak kebaikan kepada kamu,” kata Makcik Saleha lagi.

“Mak ni peliklah,” sahut Ashikin lagi sambil cuba melangkah ke arah pintu. Tapi Makcik Saleha lebih laju memotong langkahnya. Ashikin pun rasa pelik sebab Makcik Saleha jarang bergerak pantas begitu. Selalunya Makcik Saleha bergerak perlahan dan teratur.

“Tunjukkan aku telapak tanganmu nak. Kita boleh bersatu,” kata Makcik Saleha. Masa ni Ashikin dah rasa lain macam. Ashikin terus melangkah walau dihalang oleh Makcik Saleha.

“Kamu ikut aku, aku lepaskan ibu kamu,” kata Makcik Saleha lagi.

“Ibu saya? Habis tu awak ni siapa?” tanya Ashikin dengan dada berdebar. Nak lari, takut dikejar. Nak tunggu, takut dicakar.

Belum sempat jelmaan ‘Makcik Saleha/ menjawab, kedengaran bunyi enjin motor Pak Aziz memasuki halaman rumah. Ashikin berlari menjenguk ayahnya melalui tingkap dapur. Dan bila dia menoleh semula ke arah ‘Makcik Saleha’ tadi, dia dah tiada di situ. Ashikin termenung sendirian. Dia cubit tangannya, sakit. Dia menampar pipinya, sakit juga. Jadi, sahlah dia tak bermimpi.

“Assalamualaikum,” terdengar suara Pak Aziz memberi salam.

“Waalaikumussalam ayah,” sahut Ashikin dari dalam rumah lalu membuka pintu.

Pak Aziz duduk di beranda rumah sambil mengibas-ngibas bajunya sebab kepanasan.

“Dah jumpa mak ke ayah?” tanya Ashikin.

“Jumpa dah. Kat tepi hutan sana. Apa dibuatnya kat sana entah. Katanya dia sesat, tapi ayah pun pelik, macammana dia boleh sesat. Peliklah mak kamu sejak akhir-akhir ni. Takkan buang tebiat kot,” kata Pak Aziz sambil memandang jauh ke halaman.

“Ayah,” panggil Ashikin perlahan membuatkan Pak Aziz memandang anak gadisnya.

“Tadi Shikin nampak mak kat dapur. Nampak pelik. Katanya dia nak Shikin ikut dia. Ikut kemana Shikin tak tahu. Tapi kalau ayah jumpa mak kat sana, yang Shikin nampak kat dapur sekejap ni tadi siapa?” tanya Ashikin.

Pak Aziz kembali merenung ke halaman sambil mengerutkan dahinya. Tak tahulah sebab panas mentari atau sedang berfikir.

“Ayah cepatlah jumpa Ustaz Shaari tu. Shikin memang rasa ada benda tak kena dengan mak ni,” kata Ashikin lagi, mendesak ayahnya.

“Kamu dah masak?” tanya Pak Aziz, cuba mengubah topik. Mungkin taknak Ashikin terlalu serius memikirkan hal itu.

“Belum ayah. Tadi ke dapur sebab nak masak tapi bila terserempak dengan ‘mak’, takut pulak,” sahut Ashikin beralasan.

“Jom ayah teman,” kata Pak Aziz sambil bangun dari duduknya di beranda lalu masuk ke rumah dan terus ke dapur diikuti oleh Ashikin.

Sedang Ashikin membasuh pucuk paku di sinki, seseorang memberi salam di halaman rumah. Pak Aziz menjenguk melalui tingkap. Dan ternampak Makcik Tipah kelam kabut turun dari motornya.

“Kenapa kamu ni Tipah? Kelam kabut sangat.” Laung Pak Aziz dari tingkap dapur.

“Kak Leha,” kata Makcik Tipah sambil berlari anak ke arah Pak Aziz dengan wajah yang agak risau.

“Kenapa dengan Leha? Hilang lagi ke? Kan aku dah hantar sampai depan rumah kamu tadi?” kata Pak Aziz lagi.

“Dia makan uri cucu aku!” kata Makcik Tipah membuatkan penapis yang aku pegang berisi penuh dengan pucuk ubi tadi terlepas dari tangan. Pak Aziz pula yang tadinya tenang membelek suratkhabar sambil menghisap rokok daun, terus bangun.

“Kau jangan main-main Tipah.” Kata Pak Aziz.

“Takkanlah saya nak main-main dengan perkara macam ni Bang Aziz oiiiii!” kata Makcik Tipah. Memang wajahnya pucat dan agak takut.

“Kat mana dia sekarang?” tanya Pak Aziz bergegas bangun dan membetulkan seluar dan bajunya.

“Masa dia masuk rumah, dia tanya uri dah tanam ke? Memang saya belum tanam lagi sebab sibuk dengan anak dan cucu saya. Malumlah, anak sulung, cucu sulung. Saya pun tak pandai lagi. Nak tunggu suami dia balik dari tempat kerjanya sekejap lagi baru nak suruh suaminya tanam sebab semalam tak sempat, kami sampai rumah pun dah nak maghrib. Azlina bersalin awal dari tarikh yang doktor bagi, jadi kami kelam kabut sikit. Tu yang suaminya pergi ke tempat kerja sekejap sebab nak bahagikan kunci dan kerja kat kawan lain.” Sempat lagi Makcik Latipah bercerita dalam kelam kabut tu.

“Lepas tu, dia minta uri tu. Katanya biar dia basuh dan tanam. Saya suruh dia uruskan hal Azlina dan anaknya dulu tapi dia kata uri tak boleh biar lama, kena basuh cepat dan tanam segera. Jadi saya bagilah uri tu. Dia bawa ke bilik air. Lama dia kat sana. Jadi saya pun jenguklah. Kat sana saya nampak dia tengah makan uri tu, mulutnya penuh darah. Saya menjerit. Dia lari keluar rumah saya, tak tahu kemana. Masa tu suami Azlina balik. Saya suruh dia temankan Azlina dan cucu saya, saya datang ke sini. Lain macam je Kak Leha tu,” kata  Makcik Tipah mengakhiri ceritanya.

“Biar aku pergi cari dia. Kau pula pergi balik rumah, jaga anak cucu kamu elok-elok. Dan jangan cakap kat sesiapa lagi pasal hal ni. Takut timbul fitnah,” kata Pak Aziz.

“Iye Bang Aziz. Saya rahsiakan. Saya kenal Kak Leha macammana. Ni bukan dia ni,” kata Makcik Tipah sambil memandang ke arah Pak Aziz yang sedang berjalan laju ke arah motornya seakan dah lupa pada Ashikin yang sedang memandang Pak Aziz dari pintu dapur. Ashikin pun takut sebenarnya. Tapi takkan dia nak tahan Pak Aziz dari keluar mencari Makcik Saleha.

Ashikin masuk ke dalam rumah. Mengambil telefonnya lalu menelefon aku. Siapa lagi dia nak cari kalau bukan aku, kawan rapatnya kan.

“Ain, meh datang rumah aku kejap. Aku takut ni, tinggal rumah sorang-sorang,” kata Ashikin dalam telefon.

“Siang buta kau takut kenapa? Ni aku tengah tolong mak aku masak, kau rasa tak jadi singa ke mak aku kang kalau tiba-tiba aku keluar sebab nak temankan kau?” kata aku sambil mengerling ke arah mak aku yang sedang tumis kangkong.

“Alaa, kau katalah ada emergency ke apa. Aku betul-betul takut ni,” kata Ashikin.

“Jap, aku tanya mak aku.” Kata aku, rasa kesian pulak kat Ashikin. Ashikin ni kalau takde hal yang betul-betul penting, dia takkan paksa aku macam ni.

“Mak, Shikin ni macam tengah ada masalah. Dia kata dia tinggal kat rumah sorang diri. Dia takut, dia panggil Ain temankan dia sekejap. Boleh Ain pergi?” tanya aku kat mak.

“Takut apa pulak siang buta ni?” tanya mak aku tanpa pandang aku sebab dia sibuk tengok kuali dia.

“Tak tahulah mak. Sian dia,” kataku buat muka kesian.

“Pergilah, jangan lagut sangat. Balik sebelum zohor,” kata mak aku, masih tak pandang aku. Kiranya rugi je aku buat muka sedih, muka kesian kat mak aku sebab dia tak pandang aku pun.

“Shikin, kau tunggu ye. Kejap lagi aku sampai,” kata aku lalu memutuskan talian.

Aku sarung tudung yang mana aku jumpa je, Aku tarik basikal yang tersandar kat tepi rumah, kayuh laju-laju ke rumah Ashikin. Tak jauh pun rumah aku dengan Ashikin. Lebih kurang 5 minit je kalau aku drift. Kalau aku kayuh sopan, lapan hingga sepuluh minit sampailah, itupun kalau takde lembu melintas jalan.

Sampai kat rumah Ashikin, dia sedang berdiri di luar rumahnya menunggu aku. Bila dia nampak je muka aku, terus senyum meleret, macam orang nampak kekasih hati.

“Terima kasih Ain, sudi datang temankan aku. Aku minta maaf sangat sebab menyusahkan kau. Aku betul-betul takut,” katanya sambil memegang tangan aku. Memang tangan dia sejuk.

“Kenapa? Apa yang kau takutkan?” tanyaku sambil mengikuti langkahnya masuk ke dalam rumah.

“Mak aku. Dia dah lain macam. Aku selalu terserempak dengan dia dalam rumah ni,” kata Ashikin.

“Lain macam apanya? Dah ini rumah dia, memang la kau terserempak dengan dia. Takkan kau nak terserempak dengan mak aku pulak? Yang itu iyelah lain macam,” kataku pelik dengan kata-kata Ashikin yang macam tak betul je.

“Bukan. Ini lain. Dia ada dalam rumah, tapi kami nampak dia kat luar rumah. Dia selalu nyanyi lagi nenek kebayan yang budak-budak selalu main petang-petang tu. Dan yang terbaru ni, Makcik Tipah kata mak aku makan uri cucu dia. Kau rasa?” kata-kata Ashikin buatkan aku buka mata aku besar-besar dan pandang tepat ke muka Ashikin. Sekarang aku pulak yang cuak.

“Makan uri???? Uri tu kan yang keluar sekali dengan baby masa orang bersalin tu?” tanyaku lagi inginkan kepastian.

“Iyelah, mana ada benda lain yang guna perkataan uri tu. Kalau urine tu dah benda lain,” sahut Ashikin.

“Kenapa mak kau makan uri?” tanyaku lagi.

“Hish kau ni. Manalah aku tahu. Kena tunggu ayah aku balik baru tahu apa cerita sebenarnya. Tadi pun aku nampak mak aku kat dapur. Tu yang aku takut nak masuk rumah ni. Sebab tu aku telefon suruh kau temankan aku,” Kata Ashikin lagi.

– Bersambung –

2 thoughts on “WARIS KEBAYAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s