WARIS KEBAYAN

Bab 4

“Ayah, ada orang dalam bilik ayah,” Ashikin berbisik.

“Siapa?” tanya Pak Aziz. Ashikin angkat bahu.

Pak Aziz masuk ke dalam bilik dan memasang lampu. Terang benderang bilik tu. Dan Ashikin dengan tak sabarnya terus menjenguk masuk ke dalam bilik. Memang takde sesiapa.

“Tadi memang ada orang ayah. Nampak macam perempuan, rambutnya mengerbang. Dia merangkak turun dari katil dan datang dekat dengan Shikin. Tapi tak sempat lagi dia datang dekat, ayah dah tegur Shikin. Bila Shikin tengok balik, dia dah takde,” kata Ashikin memberitahu ayahnya. Pak Aziz diam sambil mengerutkan dahinya.

“Tapi memang sebelum ayah keluar tadi, mak kamu ada kat dalam bilik ni, tidur dengan ayah kat atas katil tu. Tapi bila ayah ke dapur, mak kamu ada kat sana pulak,” kata Pak Aziz.

“Ayah tahu tak, dah beberapa kali Shikin….,” tak sempat Ashikin menghabiskan ayatnya, Makcik Saleha muncul dari dapur.

“Dah kenapa dua beranak bersembang kat tengah pintu bilik ni? Tak boleh tunggu esok ke? Kot iye pun, duduklah elok-elok baru sembang,” kata Makcik Saleha membuatkan Pak Aziz memberi isyarat kepada Ashikin menyuruhnya diam. Dan Ashikin pun diam, terus melangkah semula ke kerusi tempat dia duduk tadi sambil menonton televisyen.

“Takde apalah, Shikin kata ada bunyi kat atas bumbung tadi. Musang agaknya, nak curi ayam,” kata Pak Aziz. Makcik Saleha terus masuk ke bilik dan diikuti oleh Pak Aziz dengan diiringi oleh kerlingan dari Ashikin yang sedang duduk di kerusi.

Ashikin mengambil remote tv, dah takde mood dia nak tengok cerita korea kat tv tu. Fikirannya dah tak boleh fokus. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan Makcik Saleha. Tapi dia tak tahu apa yang tak kena. Makcik Saleha masih melakukan rutin hariannya, memasak, ikut Pak Aziz ke kebun, basuh baju lipat baju dan yang paling penting, Makcik Saleha masih menunaikan solat. Takkanlah Makcik Saleha bela hantu pulak.

Ashikin bangun lalu menutup lampu. Dalam gelap tu dia berjalan perlahan menuju ke biliknya. Di pintu bilik, dia berhenti seketika kerana terasa seperti ada yang memerhatikannya. Ashikin memandang keliling yang samar-samar, hanya bertemankan cahaya lampu beranda rumah yang masuk melalui cermin tingkap. Tiada sesiapa.

Ashikin melangkah semula. Dan masa ini dia terdengar bunyi suara garau itu lagi. Menyanyikan lagu nenek kebayan tu.

“Siapa tu?” jerit Ashikin. Tiada sahutan. Suasana sunyi seketika.

Ashikin melangkah semula menuju ke biliknya. Tapi dia terasa-rasa seperti ada seseorang mengikutnya berdasarkan dari bunyi langkah yang mengikuti langkahnya. Dia dengar ada bunyi langkah lain di belakangnya. Laju Ashikin melangkah. Sampai dalam bilik, Ashikin mencari-cari suis lampu. Sedang dia teraba-raba mencari suis, tiba-tiba tangannya tersentuh sesuatu yang menggerutu dan kasar.

Ashikin terus meraba benda tu sambil dia tak pasti apa benda tu. Memanglah bilik tu gelap tapi dah bertahun kot dia duduk kat dalam bilik tu, dia tahu apa yang ada kat dalam biliknya. Tapi dia tak tahu apa benda menggerutu tu. Meremang bulu romanya bila terasa ada satu nafas ditepi telinganya.

“Cucu-cucu tak dapat lari, nenek tua banyak sakti, sekarang nenek nak cari ganti, siapa yang kena dia yang jadi,” lagu dan suara garau itu lagi. Ashikin menoleh ke arah suara itu. Dan dari samar cahaya lampu dia dapat lihat satu lembaga berwarna gelap, matanya besar berwarna putih, rambutnya mengerbang dan terbongkok-bongkok seperti orang tua. Dan ternyata benda menggerutu yang disentuh oleh Ashikin sebentar tadi ialah tangan nenek tua itu yang hitam dan kasar dengan kuku yang panjang. Ashikin menjerit dah masa tu dan dia terus pengsan tak sedar diri.

Masa dia sedar, Makcik Saleha dan Pak Aziz sedang mengadapnya berbaring di atas katil di biliknya. Ashikin bingkas bangun dan memandang ke sekeliling bilik.

“Kamu kenapa Shikin? Terpekik terlolong macam orang hilang akal je,” kata Makcik Saleha bila melihat anaknya dah sedar.

“Kenapa Shikin? Kamu nampak apa?” tanya Pak Aziz.

Ashikin memandang wajah Makcik Saleha.

“Kenapa kamu pandang mak macam tu?” tanya Makcik Saleha.

“Masa Shikin masuk bilik ni tadi, ada satu lembaga lain ikut Shikin. Dia macam nenek tua, rambut mengerbang, tubuhnya menggerutu, kulitnya kasar, matanya besar warna putih dan kukunya panjang.” Kata Ashikin terketar-ketar sambil matanya melilau memandang sekeliling.

“Merepeklah kamu ni Shikin. Tu lah, tengok tv sampai jauh malam, lepas tu tak boleh beza dah cerita nyata ke cerita tv. Entah-entah dah masuk mimpi,” kata Makcik Saleha.

“Dah, pergi basuh kaki. Ambil wudhu’ dan tidur semula. Biar lampu berpasang. Ayah tidur kat luar pintu bilik ni.” Kata Pak Aziz.

“Abang layankan la anak kesayangan abang ni. Manja sangat. Esok lusa bila masuk U kena duduk hostel, macammanalah agaknya,” kata Makcik Saleha sambil melangkah masuk ke biliknya semula.

“Ayah, Shikin nampak banyak kali dah nenek tu. Ada masa dia menyerupai mak. Dan dia nyanyi lagu nenek kebayan yang budak-budak selalu main tu,” kata Ashikin tak puas hati bila Makcik Saleha tak percayakan kata-katanya..

“Shhh…,” Pak Aziz meletakkan jari telunjuk di bibirnya memberi isyarat supaya Ashikin diam dan tak meneruskan kata-katanya sambil matanya meleret melihat Makcik Saleha yang dah masuk ke dalam bilik.

“Esok kita cerita. Kalau boleh, jangan sampai mak kamu tahu. Nanti ayah jumpa Ustaz Shaari.” Kata Pak Aziz menenangkan Ashikin.

Ashikin akur. Dan dia rasa lega sikit. Sekurang-kurangnya Pak Aziz percayakan kata-katanya. Itupun sebab Pak Aziz sendiri pun pernah nampak nenek tua tu. Takpe, esok biar Pak Aziz bertanyakan hal tu kepada Ustaz Shaari, harap-harap ada jalan penyelesaian.

Keesokan harinya, awal pagi Makcik Saleha dah keluar dari rumah menghala ke rumah Makcik Tipah kerana anak sulungnya baru bersalin di hospital dan baru keluar petang semalam. Ini tugas pertama Makcik Saleha sejak menjadi bidan kampung. Excited dia pagi tadi sebelum keluar rumah, memesan agar Ashikin memasak untuk makan tengahari nanti. Dia balik nanti nak terus makan katanya.

“Ayah, bila ayah nak pergi jumpa dengan Ustaz Shaari?” tanya Ashikin tak sabar sebaik susuk tubuh Makcik Saleha hilang dari pandangan.

“Nantilah, solat zohor nanti ke. Tadi masa solat subuh ayah tak sempat jumpa dia sebab dia sibuk sikit nak buat kuliah subuh tadi,” kata Pak Aziz.

“Ayah rasa apa benda tu?” tanya Ashikin.

“Manalah ayah tahu.” Sahut Pak Aziz acuh tak acuh sambil menghirup baki kopinya dalam cawan. Memang Makcik Saleha pandai bancuh kopi yang sedap, itu tak dinafikan. Bila minum kopi buatan Makcik Saleha, memang lupa sekejap semua masalah, hantu pun kena tunggu kat tepi, punyalah menikmati sedapnya kopi tu.

“Ayah pun pernah nampak ke benda tu? Atau ayah cuma nampak mak di dua tempat berlainan?” tanya Ashikin lagi tak puas hati bila Pak Aziz tak mengendahkan pertanyaannya.

“Ayah pernah nampak benda yang macam kamu cakap tu, sedang berdiri kat atas kolah air dalam bilik air. Ayah taknaklah cakap kat kamu sebab nanti kamu takut pulak nak ke bilik air,” sahut Pak Aziz dan meremang bulu roma Ashikin bila dengar Pak Aziz cakap macam tu. Menyesal pulak dia bertanya.

Ashikin terus bangun dari duduknya, melangkah ke dapur nak mengemas semula semua perkakasan lepas mereka sarapan pagi tadi. Membuka peti sejuk untuk keluarkan ikan yang nak dimasak tengahari nanti, lepas tu menjenguk ke mesin basuh, mengangkat semua kain untuk dijemur di penyidai.

Lepas sidai kain, Ashikin masuk ke dalam rumah, mengambil penyapu lalu menyapu habuk dan sampai di lantai, dari ruang tamu ke dapur sementara Pak Aziz leka membaca suratkhabar di beranda.

Tiba-tiba Makcik Tipah datang dengan menunggang motosikal.

“Mak kamu ada?” tanyanya kepada Ashikin yang menjenguk dari tingkap.

“Eh, bukan mak pergi rumah Makcik Tipah ke? Awal pagi tadi mak dah keluar,” sahut Ashikin.

“Kenapa tu Tipah?” laung ayah dari beranda rumah.

“Leha janji nak datang rumah aku tengokkan anak aku yang baru bersalin tu. Aku tunggu la kat rumah tapi dia tak sampai pun. Ni dah nak pukul 10 dah, mana ada orang berurut masa matahari dah nak naik,” kata Makcik Tipah.

“Dia tak pergi ke rumah kamu ke? Sebab awal pagi tadi dia dah keluar kayuh basikal. Aku nak hantar katanya dekat je,” kata Pak Aziz.

“Takde pun. Ni aku tinggalkan anak dengan cucu aku kejap ni, usaha juga datang sini cari dia,” kata Makcik Tipah. Pak Aziz memandang Ashikin sambil menggaru kepala.

“Kau balik dulu. Aku pergi cari dia sekejap. Dia ada singgah kat mana-mana agaknya,” kata Pak Aziz sambil masuk ke dalam rumah untuk menukar seluar. Dan Makcik Tipah terus balik ke rumahnya.

“Shikin, ayah keluar sekejap pergi cari mak. Kamu jaga rumah ye,” kata Pak Aziz sambil menghidupkan enjin motor tuanya dan berlalu pergi.

Sebaik Pak Aziz hilang dari pandangan, Ashikin duduk tersandar di kerusi macamlah penat sangat, buat kerja sikit je pun. Patutlah Makcik Saleha selalu membebel kat Ashikin, baru buat kerja sikit, dah penat macam buat kerja buruh. Padahal Makcik Saleha buat kerja lagi banyak kot, takde pulak dia duduk tersandar macam penat sangat buat kerja.

Makcik Saleha selalu kata, budak zaman sekarang ni manja sangat. Buat kerja berat sikit tak boleh, kena marah sikit tak boleh. Sedangkan semua kelengkapan tak sesusah zaman dulu. Dulu nak mandi kena cedok air telaga, nak cahaya kena pasang lampu minyak tanah atau gasolin. Nak makan kena hidupkan kayu api baru boleh masak, kena tangkap ikan sendiri kat sungai. Tak macam sekarang, semua main petik je. Nak mandi pulas paip je, nak cahaya petik suis je, nak masak petik dapur gas je, ikan ayam semua boleh beli seminggu simpan dalam peti sejuk.

Itupun masih ada budak zaman sekarang kata mereka susah lagi. Makcik Saleha kalau dapat membebel, dengan aku sekali pun kena kalau aku ada kat sana. Dia dah anggap aku macam anak dia sendiri dah. Mana taknya, dari kecil, dari mula aku kenal dunia, aku memanh dah kenal keluarga ni. Kadang makan tidur pun kat rumah Makcik Saleha. Bukannya mak aku tak marah sebab makan tidur kat rumah orang, tapi aku memang suka ikut Ashikin dari dulu. Kadang-kadang Ashikin datang tidur kat rumah aku.

Mujurlah bila dah besar ni, tau pulak aku malu nak bertandang kat rumah orang sampai makan tidur kat sana. Kalau tak, mesti mak aku membebel lagi panjang dari Makcik Saleha.

Ketika Ashikin hampir terlena di kerusi malas ayahnya, tiba-tiba dia terdengar bunyi pinggan mangkuk berlaga di dapur seperti ada seseorang sedang menyusun pinggan mangkuk. Ashikin tersentak. Dia bangun dan melangkah perlahan ke dapur.

– Bersambung –

2 thoughts on “WARIS KEBAYAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s