WARIS KEBAYAN

Bab 3

Masuk ke bulan Januari, rumah mereka tinggal tiga orang sahaja. Pak Aziz, Makcik Saleha dan Ashikin. Keadaan jadi makin sunyi. Makcik Saleha masih macam dulu, masih selalu termenung, tambahan pula anak yang suka menyakat dia dah takde. Tinggallah Ashikin, yang suka membaca novel dan main handphone. Paling selalu, Ashikin message dengan aku la, tiap-tiap malam, dah macam orang bercinta pulak. Bila kebosanan melampau, kami bervideo call. Hahaha… Dia boring, aku pun boring. Masing-masing melayan je la.

Ashikin bukan taknak sembang dengan Makcik Saleha. Tapi menurut Ashikin, sejak Makcik Saleha berhenti buat kerja menguruskan jenazah tu, memang Makcik Saleha dah tak sama macam dulu. Dulu Ashikin pun suka mengusik maknya tu. Maknya pun sporting kalau diusik, bahkan kadangkala dia pun mengusik anaknya tu. Tapi sejak dia berhenti kerja tu, Makcik Saleha mudah marah. Usik sikit dah sentap. Jadi, Ashikin taknaklah mengusik maknya lagi, takut pula berdosa.

Maka, Makcik Saleha buat hal dia, dan Ashikin buat hal dia. Yang selalu membangkitkan suasana kat rumah tu, Pak Aziz ajelah. Dialah yang akan duduk bersembang dengan Makcik Saleha ataupun Ashikin.

Tapi Pak Aziz pun pernah menyuarakan perasaan yang sama kepada Ashikin. Katanya Makcik Saleha dah tak macam dulu, dia lebih suka menyendiri walaupun di rumah sendiri.

“Ayah rasa mak tu kenapa?” tanya Ashikin satu hari.

“Mungkin dia berhenti kerja tu mengejut sangat. Tu yang jadi stress tu kot. Sebab hati masih nak buat kerja tu sebab dia dah terbiasa, tapi badan dah tak lalu, tu yang dia buat keputusan berhenti tu,” kata Pak Aziz.

“Tapi ayah tak rasa ke mak tu berhenti macam ada sesuatu yang dah terjadi? Sebab takde angin, takde rebut, dia tiba-tiba je nak berhenti, Kita tak pernah mendesak mak berhenti pun. Mak pun tak pernah kata dia nak berhenti buat kerja tu. Tapi tiba-tiba je lepas uruskan jenazah Mak Piah, dia terus kata nak berhenti kerja. Ayah tak rasa pelik ke?” tanya Ashikin.

“Pelik tu takdelah. Sebab mak kamu dah selalu merungut kata badannya selalu sakit-sakit dah sejak kebelakangan tu. Ayah pun kata mungkin usianya dan tak berkudrat macam dulu-dulu. Adalah ayah kata, mungkin dia perlu kurangkan buat kerja tu. Seminggu sekali je ke, atau kalau ada kes kecemasan sangat barulah dia pergi. Diam je mak kamu,” kata Pak Aziz.

“Nanti cubalah ayah tanyakan mak. Kalau betul dia masih sayangkan kerjanya tu, takpelah, suruh mak buat balik. Shikin boleh bantu. Tapi itulah, lepas dapat result SPM, kalau layak, Shikin nak lah sambung kat U. Nanti bila Shikin sambung kat U, siapa pula nak tolong mak nanti,” kata Ashikin.

“Nantilah ayah bincang dengan mak kamu.” Kata Pak Aziz sambil menyarungkan kopiah kat kepalanya, lalu melangkah keluar nak pergi ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib.

Ashikin menutup pintu. Dia berlalu ke dapur mencari-cari maknya. Dan dia terlihat  Makcik Saleha sedang terbongkok-bongkok di tepi almari lauk, seperti sedang mencari sesuatu.

“Mak cari apa?” Ashikin menegur. Makcik Saleha tak jawab.

“Mak?” Ashikin memanggil lagi.

“Cucu-cucu tak dapat lari, nenek tua banyak sakti, sekarang nenek nak cari ganti, siapa yang kena dia yang jadi,” tiba-tiba je Ashikin menangkap suara Makcik Saleha menyanyikan lagu tu perlahan. Terus meremang bulu roma Ashikin masa tu. Dia pandang keliling nak pastikan takde orang lain dalam rumah tu dan juga nak tahu kalau-kalau radio berpasang. Tapi ternyata tiada orang lain di situ selain dirinya dan Makcik Saleha.

“Mak menyanyi ke?” tanya Ashikin lagi sambil merapati Makcik Saleha.

“Cucu-cucu tak dapat lari, nenek tua banyak sakti, sekarang nenek nak cari ganti, siapa yang kena dia yang jadi,” Ashikin masih mendengar Makcik Saleha menyanyi lagu tu dengan nada berbisik.

Ashikin makin cuak. Dia merapati maknya dan mahu memegang bahu Makcik Saleha. Belum sempat dia menyentuh tubuh Makcik Saleha yang masih terbongkok-bongkok di tepi almari tu, tiba-tiba terdengar suara seseorang menyergahnya dari belakang. Ashikin menoleh memandang ke arah suara itu.

“Kamu tak mandi lagi ke Shikin? Dah nak maghrib ni,” terdengar suara Makcik Saleha agak keras dari pintu dapur.

Ashikin tak jawab, dia terus menoleh semula ke arah tubuh yang terbongkok-bongkok sambil menyanyi di tepi almari tadi. Ternyata tiada sesiapa di situ.

“Mak, tadi…..” katanya sambil menunjuk ke arah Makcik Saleha dan ke arah almari tu silih berganti.

“Tadi apa? Kamu jangan suka lewatkan mandi petang. Dah masuk maghrib baru nak mandi. Kamu dah besar kot, takkan mak nak marah lagi. Cepat pergi mandi, lepas solat tolong jerang nasi dan panaskan lauk.” Kata Makcik Saleha lagi dan terus melangkah masuk ke biliknya meninggalkan Ashikin yang masih terpaku di tepi almari.

Tak lama kemudian, terdengar laungan azan sayup berkumandang dari arah masjid yang berdekatan. Ashikin beristighfar. Dia kuatkan hatinya untuk mengatakan bahawa tadi dia sedang dipermainkan syaitan agar dia melewatkan solat maghribnya. Dia melangkah masuk ke biliknya untuk bersiap mengadap Sang Pencipta bagi melunaskan tanggungjawab fardhu yang diwajibkan ke atas setiap hamba-Nya.

Macam biasa lepas solat Isya’, Pak Aziz balik dari masjid. Dan mereka makan bersama-sama. Masa makan malam itulah tiba-tiba Makcik Saleha membuka mulut menyuarakan hasratnya untuk bekerja semula. Tapi bukan sebagai tukang urus jenazah lagi, tapi sebagai bidan kampung!

“Kenapa taknak duduk rumah je? Boleh berehat, takde stress lagi,” kata Pak Aziz.

“Saya dah biasa buat kerja. Bila saya duduk rumah tak buat apa-apa, badan ni asyik rasa nak demam je,”

“Kenapa nak tukar bidang pulak? Taknak buat kerja lama dah?” tanya Pak Aziz lagi sambil menyuap nasi ke mulutnya.

“Jadi bidan tak sesukar menguruskan jenazah. Jadi bidan lebih mudah. Cuma menyambut kelahiran bayi, mandikan bayi dan ubatkan ibu yang baru melahirkan. Lagipun sekarang ramai yang memilih untuk melahirkan di hospital. Jadi kerja bidan dah tak susah. Cuma nak jaga ibu dalam pantang, mengurut dan mandikan bayi je,” sahut Makcik Saleha.

Atas alasan itu, Pak Aziz mengizinkan Makcik Saleha meneruskan kerjanya dalam bidang perbidanan. Tapi, masa tu aku tak tahu pula yang menjadi bidan ni perlu ada ilmu yang tinggi. Ilmu tinggi tu macam masuk U ke? Bukan. Ilmu yang takkan boleh dapat walau belajar setinggi PhD sekalipun. Dan bukan senang-senang nak dapat ilmu ini.

Sejak Makcik Saleha jadi bidan, Ashikin perasan beberapa perubahan yang berlaku kepada maknya. Maknya makin kurang bercakap, jadi makin mudah marah, selalu terperap dalam bilik dan dia tak benarkan sesiapa masuk ke bilik pada masa dia berada dia dalam bilik tersebut. Pak Aziz pun tak boleh masuk, habis dikuncinya pintu tingkap. Bila Pak Aziz tanya, dia kata dia perlu masa bersendiri untuk mengasah ilmunya agar dia semakin mahir dalam bidang perbidanan.

Ashikin tanya aku, kalau nak jadi bidan, bukan ke kena belajar dengan orang yang lebih pandai? Boleh ke belajar sorang-sorang duduk dalam bilik? Ada pula dia tanya aku. Aku ni tengok tv main game telefon pandai la, nak tanya pasal belajar jadi bidan bagai, mana la aku tahu. Bila aku tanya mak aku, dah kena marah pulak. Mak aku kata, belajar je kat sekolah tu elok-elok, masuk universiti, capai ilmu tinggi-tinggi. Kerja bidan semua tu biar orang lain buat.

Makin hari keadaan Makcik Saleha makin pelik. Ada satu malam tu lebih kurang jam 11.30 malam kot. Masa tu Pak Aziz dan Makcik Saleha dan masuk bilik tidur dah tapi Ashikin masih menonton tv. Maklumlah, masa nak SPM haritu, dia tak dapat tengok tv. Jadi sekarang dia qado semua cerita kat tv tu.

Pak Aziz keluar dari bilik, nak minum kot. “Kamu tak tidur lagi Shikin?” tanya Pak Aziz bila melihat anak daranya masih menonton tv.

“Belum lagi ayah. Sekejap lagi lepas cerita ni habis,” sahut Ashikin.

“Jangan tidur lewat sangat Shikin. Esok susah nak bangun subuh,” pesan Pak Aziz sambil melangkah ke dapur.

“Baik ayah,” sahut Ashikin dengan matanya masih memandang ke kaca televisyen.

Masa Pak Aziz kat dapur, Ashikin dengar ayahnya menegur seseorang.

“Eh, bila masa awak ke sini? Bukan awak tidur kat dalam bilik ke masa abang keluar tadi?” tanya Pak Aziz.

“Merepek je abang ni. Lepas makan tadi sampai sekarang saya belum masuk bilik lagi. Saya nak siapkan perkakasan ni, esok Tipah panggil saya tolong uruskan anaknya bersalin tadi. Ini tugas pertama saya sebagai bidan, kenalah buat betul-betul,” jawab Makcik Saleha membuatkan Ashikin mula memasang telinga.

“Habis tu siapa kat dalam bilik tu? Tadi siap pandang muka saya, senyum kat saya. Baring sebelah saya sambil pandang saya,” kata Pak Aziz lagi, seakan tak percaya bahawa Makcik Saleha masih di dapur.

“Abang ni mimpi kot,” sahut Makcik Saleha masih membelek bakul peralatan mengurutnya. Dan Pak Aziz terus diam.

Ashikin pula yang hilang sabar, dia jenguk ke dalam bilik mak ayahnya yang pintunya terbuka sedikit. Dari samar-samar sinar lampu jalan yang tersuluh ke dalam bilik, Ashikin nampak sesuatu yang bergerak di atas katil. Ashikin rapatkan dirinya ke pintu bilik, sebab nak lihat betul-betul apa benda yang bergerak di atas katil mak ayahnya sedangkan mak ayahnya berada di dapur.

Ashikin dapat dengar bunyi katil berkeriut seperti seseorang bergerak di atasnya. Siapa pulak tu. Kalau dulu ada Ashraf, boleh jugaklah nak fikir itu Ashraf tapi sekarang Ashraf kat asrama, takkanlah dia yang masuk tidur kat bilik tu? Ashikin gigih bangun dan menjenguk ke dalam bilik. Masa tu la dia nampak sesusuk tubuh  seakan perempuan, dengan rambut mengerbang dan matanya yang merah memandang ke arahnya. Ashikin terkejut sekejap. Dan dia dapat dengar dengan jelas ada satu suara garau menyebut bait bait kata dalam lagu. “Cucu cucu tak dapat lari, nenek tua banyak sakti, sekarang nenek nak cari ganti, siapa yang kena, dia yang jadi”. Ashikin terdiam, masa tu memang bulu romanya meremang. Sejuk je rasa badan dia. Kaki rasa keras je.

Suara garau tu terus menyanyikan lagu walau dengan tempo yang salah. Dan suara itu makin hampir kepada Ashikin yang masih berdiri di pintu bilik. Ashikin cuba menjerit tapi suara tak keluar. Dia dapat lihat susuk tubuh tadi merangkak turun dari katil, dan bergerak perlahan ke arahnya.

Tiba-tiba Ashikin dapat rasakan bahunya dipegang seseorang. Terkejut bukan kepalanglah dia. Melompat kemain tinggi. Pak Aziz pun terkejut melihatnya.

“Kamu buat apa berdiri kat sini? Tengok apa kat dalam tu sampai tak perasan ayah kat sini?” tanya Pak Aziz menegur anak daranya yang dah lama dilihatnya berdiri di pintu biliknya.

– Bersambung –

2 thoughts on “WARIS KEBAYAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s