WARIS KEBAYAN

Bab 2

Sedang aku dan Ashraf berpandangan tu, kedengaran Pak Aziz memberi salam dari luar rumah. Masing-masing menjawab salam. Ashikin membuka pintu dan dia nampak Pak Aziz berdiri di beranda rumah. Biasanya waktu-waktu begini memang Pak Aziz baru balik masjid. Pak Aziz jarang culas berjemaah di masjid tak kira waktu solat apa. Cuma ada sesekali kalau Pak Aziz tak sihat atau Makcik Saleha tak sihat dan tiada yang menemani, barulah Pak Aziz solat di rumah je.

“Jom masuk rumah Leha. Tak elok duduk kat luar malam-malam macam ni. Nanti masuk angin. Awak tu bukannya muda lagi,” kata Pak Aziz sambil memandang ke halaman rumah.

“Ayah?” Ashikin memanggil ayahnya perlahan.

“Ajak mak kamu tu masuk rumah. Apa dibuatnya berbuai kat bawah pokok rambutan tu? Tak pernah-pernah mak kamu buat perangai duduk kat luar rumah waktu macam ni. Ayah panggil dia buat tak tahu je,” rungut Pak Aziz sambil melangkah masuk ke dalam rumah di kala Ashikin dan Ashraf berpandangan sesama sendiri dengan wajah penuh tandatanya. Cuak pun ada.

“Awak cakap dengan siapa?” tiba-tiba Makcik Saleha menegur Pak Aziz sebaik sahaja suaminya masuk ke dalam rumah. Wajah Pak Aziz berubah.

“Eh! Awak bukan kat luar tadi ke?” tanya Pak Aziz memandang Makcik Saleha dan keluar rumah silih berganti seperti nak buat kepastian.

“Abang dengan Ashraf ni dah kenapa? Dua-dua pun masuk rumah dan kata saya kat luar. Sejak maghrib tadi saya duduk dalam rumah ni ha. Tanya Ashikin, saya dengan dia berdua je sejak maghrib tadi,” kata Makcik Saleha sambil duduk dan melipat kain kat tepi dinding ruang tamu.

“Ashraf pun nampak mak kat luar?” tanya Pak Aziz sambil memandang ke arah Ashraf.

“Eh taklah. Ashraf nampak buaian tu bergerak je. Ingatkan Kak Shikin kat situ. Tapi bila nampak Kak Shikin dalam rumah, ingatkan mak la yang duduk kat situ. Dah dua-dua pun ada kat dalam rumah, maknanya angin la tu,” sahut Ashraf, memandang Ashikin. Ashikin terus tutup pintu, kunci serapat-rapatnya. Pak Aziz juga turut terdiam, terus menanggalkan kopiahnya dan menukar baju melayunya.

Malam tu, Ashikin terjaga dari tidurnya. Dia terdengar bunyi berkeriut macam besi yang berhayun. Ashikin buka mata, dia ambil handphone untuk lihat pukul berapa. Pukul 3 pagi. Ashikin cuba pasang telinga, mendengar bunyi besi yang berkeriut tadi. Dia dengar bunyi tu datang dari arah luar rumah.

Ashikin bangun, melihat sekelilingnya. Memang tiada apa. Dia bangun dari katil lalu melangkah ke tingkap. Bunyi tu makin kuat. Ashikin rasa itu bunyi buaian besi yang ayahnya pasang di bawah pokok rambutan di depan rumah mereka. Memang situ tempat Ashikin dan Ashraf suka bermain petang-petang.

Ashikin membuka sedikit tingkap kaca di biliknya. Dengan bantuan lampu dari beranda rumahnya yang terpasang dan sedikit cahaya bulan mengambang yang dihalang dek dedaun pokok, Ashikin nampak buaian tu bergerak sendiri, seperti dihayun oleh seseorang. Nak kata angin, pokok tak bergoyang pun. Cuma buaian tu saja yang bergerak.

Ashikin cepat-cepat menutup cermin kaca tingkap biliknya. Baru saja dia nak melangkah kembali ke katilnya, tiba-tiba dia terdengar satu suara garau sedang menyanyi dengan tempo yang celaru tapi sebutannya dapat didengar dengan jelas setiap bait katanya.

“Cucu-cucu tak dapat lari, nenek tua banyak sakti, sekarang nenek nak cari ganti, siapa yang kena dia yang jadi,” Suara garau itu menyanyikan lagu itu berulang kali dengan nada seakan berbisik. Dan bunyi buaian berhayun tadi semakin kuat, seperti berat, seperti sesuatu yang memberatkannya. Tak seperti tadi bunyinya sekadar seolah buaian kosong ditiup angin saja.

Ashikin memberanikan diri kembali ke tingkap. Dan pada masa ini, tiada lagi suara garau menyanyikan lagu nenek kebayan tadi. Ashikin buka tingkap sedikit dengan perlahan. Matanya terus tertumpu kepada buaian yang sedang bergerak. Dan jelas ternampak kelibat seseorang yang sedang duduk di atas papan buaian dan berhayun di atasnya.

Ashikin mengecilkan pola matanya untuk melihat dengan lebih jelas siapa yang sedang berhayun di atas buaian tu di tengah malam buta ni. Dari pengamatan Ashikin, orang itu adalah seorang perempuan dan memakai pakaian maknya, Makcik Saleha! Ashikin menggosok matanya beberapa kali dan melihat kembali ke buaian tersebut. Dan takde orang, dan buaian itupun tak bergerak langsung.

Ashikin membuka cermin tingkapnya luas sedikit untuk melihat kalau-kalau ada kelibat orang tadi di halaman rumahnya. Dan tiba-tiba Makcik Saleha berdiri di depan tingkapnya, hampir sangat dengan Ashikin, hanya terpisah dengan cermin tingkap semata-mata.

“Mak buat apa kat luar malam buta ni?” tanya Ashikin pelik melihat maknya. Makcik Saleha tak menjawab tapi memandang tepat kepada Ashikin yang berada di dalam rumah. Besar matanya, sesekali terteleng kepalanya untuk melihat wajah Ashikin dari celahan tingkap cermin.

“Cucu-cucu tak dapat lari, nenek tua banyak sakti, sekarang nenek nak cari ganti, siapa yang kena dia yang jadi,” Makcik Saleha menyanyi di luar tingkap. Masa ni Ashikin dah mula rasa tak sedap hati. Dia terus tutup tingkap dan melangkah keluar dari bilik. Sebaik sahaja pintu bilik dibukanya, Makcik Saleha sedang berdiri di hadapan pintunya.

“Mak! Terkejut Shikin. Mak tak tidur ke? Tadi mak keluar buat apa?” tanya Ashikin, meremang bulu romanya melihat Makcik Saleha berdiri dalam keadaan yang sama seperti dia berdiri di luar tingkap bilik sekejap tadi, terteleng melihat dirinya. Makcik Saleha tak menjawab tapi memandang Ashikin tanpa berkelip.

“Mak ni dah kenapa tengok Shikin macam tu? Mak ada keluar rumah tak tadi?” tanya Ashikin, masih meremang bulu roma. Kulitnya sejuk je dia rasa.

“Kenapa Shikin?” tiba-tiba Pak Aziz menegur Ashikin dari pintu bilik sebelah bilik Ashikin.

Ashikin menoleh sekejap je ke arah Pak Aziz dan lepas bila memandang semula ke arah Makcik Saleha tadi, dia dah takde di tempatnya.

“Mak mana ayah?” tanya Ashikin.

“Ada la dalam bilik tu, tengah tidur. Kenapa?” tanya Pak Aziz.

“Tadi Shikin macam nampak mak kat luar rumah. Tapi bila Shikin buka pintu bilik ni, mak berdiri kat depan pintu. Dia tak jawab bila Shikin tegur. Sampailah ayah tegur Shikin ni, tiba-tiba je dia dah takde kat sini,” kata Ashikin sambil menjenguk melihat ke dalam bilik ayahnya untuk melihat betul ke maknya ada tidur di sana. Dan ternyata memang Makcik Saleha ada berbaring di dalam biliknya.

“Perasaan kamu je kot. Takpun kamu mimpi,” kata Pak Aziz.

“Shikin yakin Shikin sedar masa Shikin tengok mak tadi ayah,” jawab Ashikin.

“Sudahlah tu, pergi basuh kaki. Dan tidur semula. In Shaa Allah, takde apa. Mak kamu ada je kat dalam bilik tu. Kalau takut, pergi tidur dengan mak. Biar ayah je tidur kat bilik kamu. Nak?” tanya Pak Aziz.

Ashikin geleng kepala. Nak tidur dengan Makcik Saleha pun dia takut. Tak tahu samada itu Makcik Saleha mak dia atau Makcik Saleha yang berdiri sambil menyanyi kat luar tingkap biliknya tadi.

“Kamu masuk tidur. Ayah baring kat luar bilik ni,” kata Pak Aziz sambil membentang toto kat depan pintu bilik Ashikin dan Makcik Saleha.

Ashikin masuk dalam bilik semula, pintu tak ditutup rapat. Matanya tak lepas dari memandang Pak Aziz yang berbaring di luar bilik hinggalah dia terlelap. Mujurlah tiada apa yang terjadi selepas itu hingga ke pagi.

Keesokan harinya, keputusan PT3 keluar. Awal pagi lagi Ashraf dah keluar rumah dengan beberapa orang kawannya. Ashikin yang kat rumah pulak berdebar macam dia yang nak ambil keputusan peperiksaan. Tepat jam 12 tengahari, Ashraf balik sambil tersenyum gembira. Result baik la tu. Dia dapat 9A 1 B. Senyum sampai ke telinga. Tak sabar-sabar naik tangga nak beritahu keputusannya kepada mak, ayah dan kakaknya.

Mak ayah mana tak bangga kan, anak dapat keputusan baik macam tu. Sedangkan mereka bukannya dari keluarga kaya yang mampu membayar pusat tuisyen kat pekan nun. Pak Aziz dan Makcik Saleha pun bukannya orang yang pandai sangat nak mengajar anak-anak kat rumah. Setakat ajar mengaji Quran tu bolehlah. Itupun tajwid entah ke mana. Maksud lagi la tak tahu.

“Jadi, kamu cadang nak sambung tingkatan 4 kat sekolah sama atau nak sambung MRSM atau asrama sekolah sains ke, atau ada rancangan lain?” tanya Pak Aziz kepada anak bongsunya.

“Ash cadang nak mohon MRSM. Sebab ramai kawan Ash dapat keputusan elok juga. Mereka pun nak mohon MRSM. Cuma MRSM tu agak tinggi kosnya. Boleh ke ayah?” tanya Ashraf dengan senyum yang masih melekat kat bibirnya.

“Ayah dah cakap banyak kali, jangan fikir pasal kos kalau nak belajar. Jangan risau, ayah mampu. Abang dan kakak kamu juga dulu ayah mampu hantar belajar sampai Ijazah, takkanlah kamu yang bongsu ayah tak boleh hantar pula. Jangan berkira untuk menuntut ilmu, In Shaa Allah ada rezeki kamu nanti,” sahut Pak Aziz, yang sentiasa menyokong anak-anaknya.

“Kak Shikin kamu dulu pun keputusan elok, lebih kurang macam kamu juga. Tapi dia yang taknak sambung kat sekolah lain. Kononnya sayang nak tinggalkan cikgu dan kawan-kawan kat sekolah lama. Tu yang masih kat sekolah tu. Kalau tak, mungkin kat asrama juga sekarang ni,” sahut Makcik Saleha.

Ashikin tersengih je, memang dia yang taknak tukar sekolah. Nak sambung kat situ juga. Lagipun katanya belajar kat mana-mana pun sama, yang penting semangat untuk belajar dan kena rajin. Tapi kalau Ashikin pindah sekolah haritu, memang aku dan dia terpisah le. Nak pulak dia masuk asrama, lagilah jarang kami berjumpa. Keputusan PT3 aku dulu tak begitu elok. Aku tak sepandai Ashikin. Ashikin tu memang pandai. Baik pulak tu, sebab tu aku masih kawan dengan dia sampai sekarang. Sesekali sentap tu biasalah, esok lusa jumpa lagi.

Dan rezeki Ashraf, dia berjaya melayakkan diri untuk memasuki MRSM. Ditambah lagi satu berita yang menggembirakan, dia dapat biasiswa kerajaan negeri. Wah! Lagi bangga la dia. Betul kata Pak Aziz, asalkan ada niat untuk menuntut ilmu, pasti akan dimudahkan dan ada rezekinya.

– Bersambung –

2 thoughts on “WARIS KEBAYAN

Leave a Reply to Vathi Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s