WARIS KEBAYAN

Bab 1

Kali ni aku nak cerita pasal Makcik Saleha, mak kepada kawan aku Ashikin. Kisah ni sepertimana yang Ashikin cerita kat aku. Kalau dia tipu aku, maknanya aku tipu koranglah. Tapi aku rasa dia tak tipu aku, sebab aku pun ada terserempak sesekali dengan nenek tu masa aku datang rumah mereka. Seram sungguh muka dia.

Makcik Saleha ni seorang tukang mandi jenazah kat kampung aku. Dia baik. Ramai orang suka kat dia sebab dia suka tolong orang kampung. Kalau ada orang meninggal dunia, perempuan la, memang Makcik Saleha la yang mereka akan panggil. Biasanya Makcik Saleha ni akan datang seorang diri membawa peralatan mandikan jenazah selain dari barang lain yang dia dah senaraikan untuk waris simati beli sendiri.

Kenapa dia datang seorang diri? Dia takde pembantu ke? Senang sangat ke mandikan jenazah tu sampai boleh buat seorang diri?

Bukan kerja mudah memandikan jenazah. Lebih susah dari mandikan orang tua yang dah takde tenaga. Sebab bila mandikan jenazah, segala tenaga adalah di atas tukang mandi. Kalau besar tubuh arwah, jenuhlah si tukang mandi ni nak menggerakkan tubuh badannya. Dan perlu buat selembut-lembut sentuhan kerana arwah mungkin sakit tapi tak mampu memberitahu kita apatah lagi mempertahankan dirinya sendiri.

Kerna itulah Makcik Saleha sering datang seorang diri, dengan harapan waris-waris terutama anak-anak arwahlah akan membantunya. Siapa lagi yang boleh mengusap lembut kulit ibunya dengan penuh kasih sayang jika bukan anak-anaknya yang dikandung 9 bulan 10 hari dalam rahimnya, yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, yang disayanginya bagai menatang minyak yang penuh.

Ada juga kes dimana arwah tiada waris, atau yang paling sedih waris-waris arwah tak mahu membantu memandikan arwah, maka Makcik Saleha akan meminta jasa baik tetamu yang hadir yang sudi membantunya. Alhamdulillah, sehingga kini sentiasa ada yang akan membantunya. Inilah lumrah alam, bila kita memudahkan kerja orang lain, akan ada orang lain yang akan memudahkan kerja kita, begitulah sebaliknya.

Setiap kali selesai proses memandikan jenazah, Makcik Saleha tak pernah minta upah dari waris. Tetapi Makcik Saleha tak menolak jika waris memberi upah kepadanya. Biasanya pihak khairat kematian kampung akan berikan sedikit saguhati kepada Makcik Saleha atas tugasnya. Ingat senang ke nak mandikan jenazah? Berpeluh weh. Berpeluh berhabis tenaga takpe lagi, yang berat tu ialah nak menanggung apa-apa kesilapan dalam proses memandikan jenazah, mana tau terkasar ke, air tak lalu rata ke, kekotoran tak dibuang habis ke. Sebab mandikan jenazah adalah aktiviti terakhir arwah sebelum berangkat ke alam seterusnya.

Pak Aziz adalah suami Makcik Saleha iaitu ayah Ashikin. Pak Aziz ni dulu kerja kat pejabat kerajaan. Sekarang dah pencen. Lepas tu Pak Aziz ni pun rajin, dia ada tanah kecil kat kampung tu, terletak belakang rumah mereka. Kat situ Pak Aziz berkebun. Ada pokok pisang, betik, sayur-sayuran. Ada bela ayam dan kambing juga. Rajin sungguh keluarga ni.

Ashikin ni anak ke empat dari lima orang adik beradik. Dua orang abang dan seorang kakaknya dah berkeluarga dan tinggal di bandar. Ashikin dan adik bongsu lelakinya, Ashraf, saja yang masih tinggal bersama Pak Aziz dan Makcik Saleha. Ashikin ni kawan baik dengan aku sejak sekolah rendah lagi. Sampailah sekarang ni kami sedang tunggu result SPM, kami masih kawan baik. Ashraf pula sedang tunggu result PT3.

Ashikin ada juga ikut Makcik Saleha pergi memandikan jenazah. Tapi dia ikut je, dia tak tolong mandikan pun. Cuma kalau takde waris arwah yang membantu, Makcik Saleha akan suruh Ashikin tolong buat kerja-kerja sampingan. Tolong potong daun pandan, jahitkan bantal jenazah, macam tu la. Makcik Saleha tak pernah suruh Ashikin tolong mandikan jenazah. Dan Ashikin pernah beritahu aku bahawa dia pun taknak mandikan jenazah. Dia takut walaupun Makcik Saleha dah beritahu jangan takut bila berdepan dengan jenazah sebab kita juga bakal jenazah satu hari nanti.

Macammana tak takut? Ashikin kata dia dah tengok macam-macam rupa jenazah. Ada yang sempurna dan ada yang tak sempurna. Kalau jenazah meninggal akibat sakit masih ok tapi kalau jenazah yang meninggal akibat kemalangan ngeri, memang seram melihatnya. Memanglah Makcik Saleha tak bagi dia tolong, dan ada masa Makcik Saleha tak bagi dia tengok pun keadaan jenazah tapi generasi muda ni bersemangat ingin tahu. Dijelingnya juga walau tahu takut.

Ashikin pernah ketakutan sampai bila dia balik rumah pun dia masih dapat tengok jenazah tu kat depan mata dia. Jenazah tu duduk dalam bilik dia la, jenazah tu bergolek kat depan tv rumah dia la. Beberapa kali juga Makcik Saleha terpaksa panggil Ustaz Ashari untuk memulihkan semangat Ashikin. Lepas tu Pak Aziz melarang Ashikin dari mengikut Makcik Saleha menguruskan jenazah. Tapi Ashikin kesian kat mak dia. Kalau dia tak ikut, dan takde pulak orang nak tolong, semua maknya kena buat seorang diri. Makcik Saleha boleh je buat seorang tapi penat la. Dah la ada anak yang sepatutnya boleh diharapkan tapi tak berani pulak nak tolong mak. Jadi, bila perasaan takut hilang, Ashikin kembali ikut Makcik Saleha buat kerja tu. Dia kuatkan semangat.

Pernah sekali tu Ashikin nampak jenazah yang dia tengok Makcik Saleha mandikan sekejap tadi, duduk bersama-sama dengan orang lain setelah jenazah siap dikafankan. Ashikin cuit bahu Makcik Saleha, tunjukkan jenazah tu. Makcik Saleha suruh dia diam dan jangan pedulikan orang yang menyerupai jenazah tu. Korang ingat senang ke nak diam? Ashikin tengok lagi, dan orang tu pandang Ashikin. Cepat-cepat Ashikin alihkan pandangannya. Tapi mata tu gatal kan? Perlahan-lahan dia toleh ke belakang semula, nak tengok orang tu ada lagi tak kat sana. Dah takde!

Dah takde tu sudahlah kan? Dia pergi melilau pula mencari di sekeliling. Bila dah sah takde dah orang tu, Ashikin pandanglah ke depan semula dan orang tu betul-betul kat depan muka dia, nyaris-nyaris nak tercium. Kuat Ashikin jerit masa tu. Lepas tu meracau-racau tak tentu hala. Jerit kata ada hantu. Dah tentulah orang ramai yang berada di sana panik. Nak pula dia kata jenazah tu bangun dan duduk bersama orang lain, dah waris arwah pula berkecil hati. Makcik Saleha cepat-cepat pegang Ashikin. Pak Aziz yang kebetulan berada di masjid masa tu pun datang berlari ke tempat pengurusan jenazah sebab terdengar suara Ashikin menjerit.

“Mak dah kata, jangan peduli, jangan tengok. Kau degil. Sebab tu mak kata jangan ikut,” Makcik Saleha merungut marahkan Ashikin masa dalam perjalanan balik ke rumah.

“Shikin memang nampak orang tu mak. Memang dialah jenazah yang mak mandi dan kafankan,” kata Ashikin, masih tak puas hati bila semua orang kata dia buat cerita.

Masa Ashikin sembang dengan aku pun, aku susah nak percaya tapi sebab dia bersungguh-sungguh kata dia nampak orang tu, dan kecewanya dia bila tiada yang percaya dengan kata-katanya, maka aku gigihkan diri untuk mempercayainya.

Makcik Saleha makin tua, tenaga makin tak sekuat dulu. Kadang-kadang dia semput masa uruskan jenazah yang bersaiz besar. Pak Aziz dah suruh dia berhenti buat kerja tu. Tapi memandangkan tiada orang lain yang mahir dalam bab pengurusan jenazah wanita di kampung tu, Makcik Saleha teruskan juga. Tambahan dia memang suka dengan kerjanya itu, dah sebati dalam jiwanya.

Ashikin pun selalu cakap kat aku, dia selalu minta agar mak dia diberikan petunjuk untuk berhenti buat kerja tu. Biarlah orang lain pula yang sambung. Kalau takde orang sangat nak uruskan, panggillah orang hospital uruskan. Sampai begitu sekali dia nak mak dia berhenti buat kerja tu.

Dan akhirnya seperti yang diminta, dan dihajatkan oleh Ashikin termakbul bila satu hari Makcik Saleha kata dia nak berhenti dari bekerja sebagai pengurus jenazah. Itupun selepas dia menguruskan jenazah Mak Piah, seorang orang lama di kampung itu. Mak Piah ada tiga orang anak tapi semua pun tak tinggal bersamanya. Mak Piah tinggal seorang diri sejak kematian suaminya lapan tahun lalu. Anak-anaknya pun jarang menjenguknya di kampung. Masa menguruskan jenazah Mak Piah pun, anak-anaknya tak mambantu. Semuanya balik tapi mereka menyerahkan segala tugas kepada Makcik Saleha.

Mungkin kerana terlalu penat dengan urusan pada hari itu membuatkan Makcik Saleha betul-betul penat dan serik untuk meneruskan kerjayanya. Ashikin dan Pak Aziz pun tak tanya banyak dah. Mereka memang bersyukur sangat sebab Makcik Saleha nak berhenti buat kerja tu. Bukannya apa, Makcik Saleha dan kian berumur. Dia tak mampu dah menguruskan jenazah saban hari sebab tiada orang lain yang mahu membuat kerja itu. Sedih? Pastilah sedih sebab lepas Makcik Saleha, tiada lagi wanita dalam kampung tu yang berpengalaman memandikan jenazah wanita. Lepas ni, kenalah panggil tukang mandi jenazah wanita dari kampung sebelah tapi kena bayarlah. Ingat senang dia nak datang dari jauh, lepas tu dia pasti akan bawa pembantu yang perlu dibayar juga untuk menguruskan jenazah jika tiada waris yang nak membantu. Kalau meninggal di hospital, harap pihak hospital sajalah yang siapkan segalanya dari memandikan sampai mengkafankan. Sampai rumah, hanya perlu disolatkan dan dikebumikan.

Mulanya Pak Aziz dan Ashikin ingat, Makcik Saleha main-main je nak berhenti tu. Tapi bila ada beberapa orang kampung yang datang merayu meminta Makcik Saleha uruskan jenazah saudara mara, Makcik Saleha tetap bertegas taknak buat kerja tu lagi. Sampaikan Pak Aziz pula merasa kesian pada orang yang datang merayu meminta tolong. Tapi Makcik Saleha betul-betul bertegas taknak buat kerja tu lagi.

Sebulan juga Makcik Saleha termenung macam orang hilang arah, tak tahu nak buat apa. Termenung sana, termenung sini. Goreng ikan, ikan hangus. Masak nasi, nasi hangit. Semuanya seolah serba tak kena. Mula-mula Pak Aziz dan Ashikin fikir semua tu terjadi sebab Makcik Saleha masih teringatkan kerja lamanya. Mana taknya, dia dah buat kerja itu sebelum Ashikin dan Ashraf lahir lagi, lebih kurang dua puluh tahun kot Makcik Saleha buat kerja tu. Sejak umurnya tiga puluh tahun sebab menggantikan tempat emaknya dulu iaitu nenek Ashikin. Memanglah teringat-ingat.

Tapi bila lama-kelamaan keadaan Makcik Saleha tetap begitu, Pak Aziz mula bertanya kepada Makcik Saleha. “Awak ni ada masalah ke? Atau awak masih teringat kerja lama awak? Kalau kerja itu yang buatkan awak tenang, awak sambunglah semula, saya izinkan,” kata Pak Aziz pada satu hari kepada isterinya.

“Tak tahulah bang, lepas berhenti tu saya rasa macam panas semacam je. Rasa macam sedang diperhatikan seseorang pun ada. Rasa macam kehilangan pun ada. Saya risau mana tahu ada dosa saya terhadap jenazah sepanjang saya menguruskan jenazah. Atau mungkin sebab saya dah lama buat kerja tu, tiba-tiba berhenti, saya jadi lupa semua. Takpelah, harap-harap sementara waktu saja,” jawab Makcik Saleha tanpa memandang Pak Aziz.

“Awak jangan fikir banyak sangat. Dosa pahala itu Allah yang tentukan. Berzikir selalu. Pergilah majlis ilmu kat surau tu, mungkin boleh hilangkan bosan.” kata Pak Aziz. Memang dia tak pernah membangkang apa saja keinginan Makcik Saleha. Dah hampir empat puluh tahun mereka bersama. Masing-masing dah tahu perangai dan sikap masing-masing.

Namun keadaan Makcik Saleha tetap sama. Dia asyik termenung, kadang-kadang bercakap seorang diri. Dulu Makcik Saleha selalu juga bergaul dengan masyarakat. Tiap minggu pergi dewan orang ramai kampung tu sebab ada kelas mengaji, kelas memasak, kelas menjahit dan sebagainya. Tapi sekarang Makcik Saleha lebih banyak terperap di rumah, termenung sana, termenung sini.

Satu malam tu, masa Ashikin sedang menonton televisyen lepas makan malam, Ashraf baru balik dari rumah kawannya. Biasalah, musim cuti sekolah, Ashraf rajin mengikut Pak Sahak buat katering untuk orang kenduri. Kalau dekat dalam kampung je, petang Ashraf balik dah. Tapi kalau ke kampung yang jauh sikit, memang malam la baru sampai rumah.

Masa Ashraf masuk rumah, dia tanya kat Ashikin, “Mak buat apa kat luar tu? Ash cakap dengan mak, mak buat tak tahu je,” katanya. Ashikin pandang Ashraf. “Kau nampak mak kat mana?” tanya Ashikin sebab baru kejap tadi dia nampak Makcik Saleha masuk ke biliknya.

“Kat buaian bawah pokok rambutan tu. Dah la duduk dalam gelap. Ash dengar bunyi tali buaian tu baru nampak mak.” Kata Ashraf sambil duduk di kerusi.

“Entah, tadi mak masuk bilik. Akak tak perasan pulak bila mak keluar. Mungkin akak fokus sangat tengok cerita ni kot. Mak nak ambil angin luar kot. Memang malam ni panas sangat, berkuap rasanya,” kata Ashikin sambil menyambung menonton televisyen. Ashraf pun diam.

“Ashraf, kau pergilah mandi. Kalau kau duduk macam ni, dengan badan letih, nanti kau terlena. Baik kau mandi, siapkan badan kau, solat isya’, lepas tu kau nak buat apapun tak kisah dah,” kata Ashikin kepada adiknya.

Ashraf akur. Dia bangun. Masa itulah Makcik Saleha keluar dari biliknya.

“Eh, dah balik pun kamu Ashraf. Dah makan?” tanya Makcik Saleha.

“Aik, mak bukan kat luar ke tadi?” tanya Ashraf lagi membuatkan Ashikin pun menoleh melihat maknya.

“Dah tengah malam buta ni nak duduk kat luar buat apa? Angin malam bukannya elok untuk mak yang dah tua ni.” Sahut Makcik Saleha membuatkan Ashikin dan Ashraf berpandangan sesama sendiri.

– Bersambung –

2 thoughts on “WARIS KEBAYAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s